Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Disember 2015

ROYAL ENFIELD : Cafe Racer Continental GT 535

Cinta terhadap motosikal adalah sesuatu yang subjektif. Ada yang kerana kelajuan, ada pula kerana keselesaan dan tidak kurang pula kerana kecantikan rupabentuknya. Bagi mereka yang ingin tampak bergaya, ranggi dan macho... model Royal Enfield Cafe Racer Continental GT adalah jawapannya! Jom kita mengimbau kembali secara ringkas tentang sejarah jenama istimewa ini.

Nama Royal Enfield (R.E) diambil sempena sebuah syarikat yang menghasilkan motosikal, basikal dan mesin rumput iaitu Enfield Cycle Company yang ditubuhkan pada tahun 1893. Pada tahun 1955, Enfield Cycle Company telah bekerjasama dengan Madras Motors di India dan mula memasang model Royal Enfield Bullet yang bersesaran 350cc. Pada mulanya, komponen motosikal ini didatangkan dari England sehinggalah pihak Enfield memohon agar mesin-mesin yang menghasilkan komponen ini diletakkan di India dan pada tahun 1962, semua komponen ini adalah buatan India.

Kehebatan enjin dan jentera yang dihasilkan oleh pihak Enfield terbukti hebat apabila mendapat kepercayaan Jabatan Peperangan British untuk membekalkan motosikal dan juga memenangi kontrak yang sama dengan Kerajaan Imperial Rusia dalam Perang Dunia Pertama. Keadaan yang hampir sama berlaku pada Perang Dunia Kedua apabila syarikat ini telah melahirkan pelbagai model untuk tujuan ketenteraan seperti WD/C350, WD/ CO 350 OHV, WD/L 570 SV dan paling terkenal ialah model WD/RE yang popular dengan panggilan Flying Flea, sebuah jentera rekaan khas untuk dilepaskan bersama pasukan payung terjun dari udara.

Okay... itu kisah lalu! Model cafe racer yang diuji ini ternyata menarik perhatian kita menerusi rekabentuknya. Lampu utamanya berbentuk bulat, mengekalkan identiti jenama ini sejak sekian lama namun begitu tidak sahlah sebuah mesin cafe racer jika bahagian belakangnya tidak direka dengan pelana tunggal. Enjin 535cc ini diletakkan dengan kemas pada kerangka keluli jenis downtube cradle.

Enjin bersesaran 535cc, dengan sistem pushrod ini berkuasa setinggi 29hp pada 5,100rpm dan tork 44Nm pada 4,000rpm yang menawarkan pecutan yang mantap dalam semua kedudukan gear – dapat dirasakan walaupun apabila putaran enjin dalam lingkungan 2,000 - 3,000rpm.” Ruang menunggang Royal Enfield ini kecil tetapi cukup luas untuk semua jenis penunggang termasuk yang tinggi lampai.

Panel meter berbentuk bulat memang serasi dengan konsep keseluruhan rekabentuk Continental GT ini dengan memaparkan kadar kelajuan, tahap putaran rpm dan terdapat juga meter digital yang memaparkan jarak perjalanan dan tahap bahan api. Kelebihan motosikal yang menggunakan meter jenis analog berbanding digital ialah kita dapat melihat dengan cepat tahap kelajuan yang dicapai dengan sekali imbas manakala paparan meter digital kadang-kalanya terganggu apabila menunggang di bawah terik matahari.

Enjin 535cc, empat lejang, sistem penyejuk udara dengan silinder tunggal ini bernafas dengan galak sekali apabila dihidupkan. R.E Continental GT ini dilengkapi dengan suis penghidup jenis elektrik dan tendang. Pilih yang mana suka. Kalau inginkan pengalaman seperti menunggang jentera lama, gunakan penghidup kaki tapi kalau rasa nak cepat tekan saja suisnya! Sistem ekzos yang dilengkapkan pada model ini bukanlah yang asal, jadi bunyinya lebih kuat sedikit berbanding biasa. Kemerduan sistem ekzos ini menyebabkan kehadiran R.E ini amat mudah diketahui tidak kira ke mana sahaja ia singgahi. Dengan pelana setinggi 800mm ia memang cukup mudah dipanjat, tidak kiralah anda seorang lelaki atau seorang wanita. Ah… sebaik sahaja kita melabuhkan punggung sambil kedua tapak tangan berada di bar hendal, ada dua perkara yang hendak kami kongsikan iaitu posisi menunggangnya agak radikal sedikit berbanding model Bullet 500 dan Bullet 350. Yang kedua ialah betapa terpeliharanya jentera ini dari segi warisan dan ketulenan pembuatannya, jesteru itu memberikan rasa hormat yang cukup tinggi kepada mereka yang bertanggung jawab mengekalkan keadaan ini dari dulu hingga kini.

Enjin bersesaran 535cc, dengan sistem pushrod ini berkuasa setinggi 29hp pada 5,100rpm dan tork 44Nm pada 4,000rpm yang menawarkan pecutan mantap dalam semua kedudukan gear – dapat dirasakan walaupun apabila putaran enjin dalam lingkungan 2,000 - 3,000rpm. Seperti model-model R.E yang lain, sistem enjin model ini juga menyebabkan gegaran amat dirasai apabila kelajuan semakin tinggi. Jika dikatakan ia adalah satu lagi ‘karaktor’ utama jentera R.E maka diharap pihak syarikat dapat menimbang semula agar masalah gegaran ini dapat diatasi kerana rata-rata pencinta motosikal kini turut mengutamakan keselesaan sewaktu berada di atas jalan, bukan hanya hebat pada gayanya sahaja.

Model ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api, tindak balas antara enjin dan pendikit agak lancar tetapi masih boleh dipertingkatkan. Kuasa tolakan dalam gear-gear pertengahan cukup mengagumkan, ditambah pula dengan pendikit yang lembut… kita akan sentiasa mahu memulas, mengajak Continental GT ini ke hadapan. R.E ini tidaklah dihasilkan untuk mereka yang mencari kelajuan tinggi tetapi ia lebih sesuai untuk tunggangan santai dengan bergaya sekali. Oleh itu kami memilih untuk menikmati keunikan menunggang jentera ini di kawasan-kawasan luar bandar seperti Seremban, Rembau, Sepri, Gunung Dato, Tampin dan Port Dickson. Kami menggunakan laluan lebuhraya terlebih dahulu. Ketiadaan cermin pengadang udara di hadapan tidak mengganggu konsentrasi sewaktu memecut laju. Dalam kedudukan gear tertinggi, R.E ini mampu dipecut mencecah 135km/j dengan putaran enjin yang segar dan mantap cuma masalah gegaran yang tidak begitu menyenangkan. Ya... ia bukan 'atlet pecut' tetapi pelumba jarak jauh! Kelajuan paling ideal ialah sekitar 100-110km/j – selamat daripada perangkap had laju!

Adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan setiap kali kita menunggang di luar kota lebih-lebih lagi apabila cuaca sudah pulih seperti biasa, langit kembali biru dan tiupan udara segar dapat dihirup semula. Jalannya tidak begitu sibuk, banyak pokok-pokok, redup, tenang dan tenteram. Jalan dari Senawang, Rembau dan Gunung Datuk cukup baik dan selamat. 'Dentuman' sistem ekzos jentera ini mengejutkan orang ramai setiap kali berhenti dan tahniah buat Royal Enfield Malaysia kerana sentiasa berusaha keras bagi memastikan jenama ini mendapat tempat di hati pengguna motosikal di Malaysia khususnya.

Masih jelas dalam ingatan ketika menunggang uji model Classic Bullet 500 empat tahun lalu yang ketika itu nama R.E masih asing buat masyarakat negara ini. Menurut pengurus Royal Enfield Malaysia, En. Ibrahim Abd Samad, dari penghujung 2011 hingga kini, sebanyak 400 buat unit R.E pelbagai model telah berjaya dijual dan ia adalah satu pencapaian yang membanggakan.

“Model cafe racer ini diperkenalkan pada tahun lepas dan lebih kurang 20 buah Continental GT telah dijual kepada peminatnya dari berbagai latar belakang seperti doktor, pensyarah mahu pun pengarah syarikat yang berusia dari 30 hingga 45 tahun,” tambahnya lagi.

Keasyikan meratah selekoh-selekoh di jalan-jalan kampung ini adalah kerana model Continental GT ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis teleskopik bersaiz 41mm yang menyerap setiap hentakan dengan cemerlang sekali. Walaupun posisi menunggang yang sedikit radikal, bahagian tapak tangan dan lengan tidak lenguh langsung. Di bahagian belakang pula, keselesaan kita memacu R.E adalah kerana ia didatangkan dengan penyerap hentak bergas Paioli yang telah terbukti di seluruh dunia. Kami yakin, tidak kira anda kurus atau berbadan besar, menunggang Continental GT ini tidak akan memenatkan!

Kami memasuki Kampung Air Sekapas Sepri dan seperti biasa, pemandangan di sini cukup tenang. Tidak terdengar bunyi ketukan pembinaan bangunan, hon-hon kenderaan atau terhidu udara tercemar yang datang hampir dari semua arah. Bunyi yang hinggap di telinga kami hanya kicauan burung, bunyi-bunyi desiran angin dan udara yang segar. Keadaan ternyata banyak berubah, jalan dalam kawasan desa juga cantik dan baik.

Continental GT ini dilengkapi dengan tayar-tayar Pirelli Sport Demon bersaiz 100/90-18 (hadapan) dan Pirelli Sport Demon bersaiz 130/70-18 (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan baik dan kemas. Untuk ke kaki Gunung Datuk, GT terpaksa menyusuri jalan yang lebih kecil. Jentera seberat 184 kg ini mudah untuk kita arahkan ke kiri dan ke kanan, ia seperti menunggang jentera di bawah 500cc tambahan pula brek-brek jenis Brembo yang dilengkapkan padanya bertindak dengan sempurna. Begitulah pentingnya sistem brek pada sesebuah jentera itu tidak kira ianya bersesaran kecil atau besar. Kecelakaan tiba tidak diundang, boleh jadi akibat kealpaan kita atau pun kesilapan pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu pastikan jentera yang kita tunggangi hari-hari diselenggara dengan baik demi nyawa kita dan orang tersayang.

Langit yang membiru bagaikan mengajak kami memerah pendikit meninggalkan kehijauan bumi untuk menikmati pula keindahan pantai di Port Dickson (PD). Sebagai antara destinasi pelancongan paling popular di Malaysia, PD tidak pernah 'rehat' daripada pelbagai aktiviti menarik. Konvoi motosikal berkuasa tinggi sudah jadi perkara biasa buat penduduk di sini dan pastinya lebih banyak 'bikers' yang datang, lebih menguntungkan.

Continental GT terus berbakti dengan cemerlang sekali! Sistem pancitan bahan apinya terbukti membantu kita jimat petrol. Perjalanan sudah mencecah 210 kilometer tetapi tangki sebesar 13.5 liter ini masih banyak isinya. Jika anda mencari sebuah motosikal yang ramping, anggun dengan gaya retro, R.E ini berada di tangga teratas dalam senarai. Ia bukan jentera pantas tetapi dijamin Continental GT ini lancar, tampak menarik dan mempunyai prestasi yang memuaskan hati. Selepas seharian bersamanya, R.E Continental GT telah membawa kami sejauh 300 kilometer dan paling dikagumi tentulah posisi menunggangnya yang tidak memenatkan.

Jentera ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam (model 2016), merah dan kuning. Boleh dimiliki pada harga asas RM39,888.RR

Isu Pada

Disember 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk udara
Isipadu535cc
Gerek & Lejang87mm x 90mm
Nisbah Mampatan8.5:1
Kuasa Maksimum29.1hp pada 5,100rpm
Tork Maksimum44Nm pada 4,000rpm
Isi Tangki13.5 liter
Tinggi Pelana-
Berat184kg
PengeluarThe Big Bike Shop

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.