Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 November 2015

Brough Superior SS100 : Lagenda Telah Kembali!

Industri motosikal klasik diibarat seperti sudah dibekukan dan hanya sebilangan daripada jentera-jentera ini berjaya dikeluarkan untuk digunapakai. Antara jenama yang berjaya memperbaharui mesin 'lama' mereka itu ialah Triumph, MV Agusta, Norton, Horex dan Indian. Terbaru ialah sebuah jenama yang digelar Rolls-Royce of Motorcycle iaitu Brough Superior menerusi model SS100.

Brough Superior dilahirkan pada tahun 1919 dan merupakan pengeluar motosikal yang paling pantas, diminati dan eksklusif di era Perang Dunia Kedua. Syarikat ini terpaksa memberhentikan operasinya pada tahun 1940 kerana peperangan yang melanda hampir di setiap ceruk dunia. Bagaimana pun, jenama ini terus mekar di ingatan para penunggang motosikal kerana ia adalah pemegang rekod Jentera ini dihasilkan ketika itu dengan menumpukan World Land Speed. perhatian kepada prestasi, rekabentuk mantap, strategi pemasaran yang bijak dan kemampuan memberi saingan dengan pengeluar lain. Itulah sasaran dan wawasan pengasasnya, George Brough.

Jentera Brough ini tidak dihasilkan semula walaupun selepas perang tamat tetapi segalanya telah berubah apabila syarikat ini telah dimiliki oleh Mark Upham pada tahun 2008. Sejak dari saat itu, beliau cukup bersemangat untuk memperkenalkan kembali jentera hebat ini dan bermulalah pembinaan model ikonik SS100 yang cukup terkenal pada zaman 1920an-1930an. Percaya atau tidak, jentera ini boleh dikatakan adalah mesin superbike pertama di era itu kerana mesin Brough adalah yang terpantas. Antara pemilik paling awal jentera ini ialah lagenda motosikal, T.E Lawrence ('of Arabia') yang mempunyai tujuh buah Brough ini sebelum ditimpa kemalangan maut pada tahun 1935 ketika menunggang salah satu daripada jenteranya itu.

Awalnya, model SS100 yang direka semula ini hampir kesemuanya sama seperti jentera asal cuma diberikan sedikit nafas baru seperti penghidup jenis elektrik. Tetapi version terbaru gabungan UK dan Perancis yang terkenal dengan gelaran AngloFrench Entente Cordiale telah menghasilkan sebuah Brough Superior yang serba baru dan lain daripada yang lain. Produksi pertamanya akan bermula di Perancis dan ini merupakan sebuah mesin streetbike berprestasi tinggi yang membawa satu nama yang terkenal dan ternama, ianya tidak lain dan tidak bukan Brough Superior SS100.

Model baru Brough Superior ini juga ditawarkan pada harga yang tinggi iaitu sekitar Euro50,000 tetapi kali ini tubuhnya padat dengan teknologi terkini, bahan binaan berkualiti tinggi dan rekabentuk yang lebih radikal. Untuk melakukannya, syarikat ini perlu bekerjasama dengan pereka ternama dari Perancis, Thierry Henriette yang juga pemilik Boxer Design bertempat di Toulouse. Dengan kepakaran mereka berdua, maka lahirlah model terbaru SS100 yang telah dipertontonkan kepada pencinta motosikal buat pertama kalinya di pameran motosikal antarabangsa EICMA pada tahun 2013.

Jentera hebat ini dilengkapi dengan enjin V-kembar yang direka oleh Akira Engineering yang beroperasi di Bayonne, Perancis. Syarikat ini juga telah menghasilkan enjin hebat Kawasaki ZX10R milik Tom Sykes yang muncul juara WSBK 2013 dan Jonathan Rea yang berjaya mengulangi kejayaan yang sama pada musim ini. Mereka amat yakin produksi Brough Superior SS100 akan bermula tidak lama lagi dengan menyasarkan beberapa unit motosikal buatan tangan ini dapat dihantar sebelum hujung tahun ini.

Pembinaan enjin ini akan dipindahkan ke kilang serba moden Boxer Design di Toulouse yang kini juga merupakan 'rumah' baru untuk Brough Superior. Henriette mempunyai 15 orang pekerja yang cukup dedikasi untuk menghasilkan jentera hebat ini dan berdasarkan kepakaran ini, dijangkakan sebanyak 125 unit Brough mampu dihasilkan untuk pasaran tahun 2016 dan sebanyak 250 pada tahun berikutnya. Sedekad yang lalu, Henriette telah membuktikan kepakarannya dengan kejayaan menghasilkan sebanyak 36 buah Boxer VB1 Superbike.

Walaupun sebuah jentera baru, SS100 ini mempunyai kemiripan dengan model lama tetapi hanya dari segi luaran manakala 'isi dalaman'nya didatangkan dengan kejuruteraan dan komponen terkini. Enjin SS100 ini bersesaran 997cc dengan gerek dan lejang bersaiz 94 x 71.8mm yang memberikan kuasa setinggi 127bhp pada 7,800 (menurut Boxer) dan tork 120Nm pada 6,400rpm. Untuk mereka yang sukakan enjin lebih berprestasi, turut ditawarkan ialah versi turbocharged yang pastinya lebih pantas.

Kesemua model baru Brough Superior ini dihasilkan dengan rekabentuk asas yang cukup istimewa untuk setiap pemilik dan dengan berbelanja sekitar Euro50,000, ia adalah sebuah motosikal yang sangat berprestij seperti mana yang dilakukan oleh George Brough ketika mula-mula mengasaskan syarikat ini. “Setiap pelanggan mengharapkan yang terbaik dan kami yakin mampu berikan suatu produk yang terbaik,” kata pengasas ini puluhan tahun yang lalu.

Mata kita pastinya tertarik dengan bentuknya yang ramping, ranggi manakala panjangnya jentera ini (tapak roda:1,540mm) menyerlahkan lagi bentuknya yang cukup unik. Lihat pada rekaan dari saspensi hingga ke bahagian sisinya, ia menggabungkan antara dunia retro, citarasa moden dan terkini. Saspensi hadapan model ini diasaskan daripada wishbone fork system rekaan Claude Fior, seorang jurutera Perancis yang pernah menggunakan sistem fork yang sama pada jentera 500cc di perlumbaan motosikal pada era 80-an lalu. Sistem ini turut digunakan oleh BMW untuk mencipta fork duolever yang digunakan pada Siri-K enam silinder mereka.

Fior sebenarnya turut pernah menghasilkan beberapa buah jentera jalanan untuk Boxer Design yang menggunakan sistem saspensi hadapan yang sama. Untuk model SS100, fork hadapan ini dibuat dengan menggunakan aluminium yang bukan sahaja ringan tetapi juga bertegaran tinggi. Kemantapan jentera ini di jalanan turut disumbang oleh keberkesanan penyerap hentak jenis Ohlins yang kini dilengkap pada Brough Superior ini. Brek cakera hadapan berbentuk klasik ini bersaiz 230mm jenis komposit aluminium-ceramic menawarkan cengkaman dan kepantasan proses memberhentikan kelajuan dalam masa yang sangat singkat.

Saya merupakan orang pertama dari luar yang telah diberi peluang untuk menguji jentera hebat ini. Kesempatan ini diambil sebaik-baiknya untuk menunggang di Toulouse walaupun terpaksa berhadapan dengan hujan yang cukup lebat dan mujurlah ia tidak lama. Saya masih sempat menikmati keunikan jentera ini apabila cuaca telah berubah dan ianya memang satu pengalaman hebat untuk dikongsi bersama para pembaca dan 300 orang pemilik jentera ini.

Tidak diragui... rekabentuknya sangat menakjubkan! Walaupun ramping dan panjang, ruangan menunggang cukup luas – memang hebat penciptanya! Pelananya dirasa terlalu tinggi, ya.... 830mm dan ini agak menyukarkan khususnya buat para penunggang yang rendah daripada 180cm atau 5'10”. Henriette bercadang merendahkan sedikit (25mm) untuk model jalanan dan selepas itu barulah saya rasa ia lebih selesa ditunggang. Casisnya yang tegar dan mantap memudahkan kita meliukkan tubuh badan Brough ini ketika berada di kawasan yang kecil atau apabila cuba mengubah posisi di dalam kawasan bandar.

Bar hendal jenis pulled-back ini mempunyai bentuk yang sempurna – kita dapat memilih untuk menunggang Brough ini dengan cara dan gaya apa sekali pun. Dengan kepelbagaian gaya tunggangan ini, setiap penunggang jentera ini dapat ke mana sahaja tanpa letih dan lenguh-lenguh badan. Kalau ingin menambah kelajuan, turunkan badan ke tangki dan pulas pendikitnya yang tebal itu – saya amat sukakannya.

Oleh kerana saiznya kecil, suis penghidup ini memang susah untuk ditekan, tambah-tambah lagi buat mereka yang memakai sarung tangan. Kalau dilihat dengan mata kasar, enjinnya tidaklah jauh beza berbanding Ducati dan apabila dilihat dimensinya iaitu 94 x 71.8mm (94 x71.5mm Ducati 1000DS) memang sama. Tapi bunyi Brough jauh berbeza! Ia lebih perlahan daripada Ducati dan menepati piawaian Euro 3. Apabila bunyinya perlahan, ini bermakna kita dapat mendengar pergerakan injap-injap yang mirip dengan bunyi enjin pushrod pada jentera vintaj SS100 lama saya.

Dengan kuasa setinggi 127bhp pada 7,800rpm, pecutan jentera ini seperti kita sedang menunggang mesin supersport 600cc dan perlu diingat, undang-undang WSBK kini membenarkan mesin v-kembar sehingga berkuasa 1200cc untuk bersaing. Kapasiti yang dibenarkan ini amat mudah buat pasukan Akira untuk mencipta sebuah enjin baru yang lebih dinamik. Bayangkan anda sedang memacu sebuah jentera streetfighter klasik yang menawarkan prestasi sebuah jentera sport.

Dengan mengenakan gaya tunggangan santai, perasaan menunggang jentera ini sama seperti kita menunggang sebuah Aston Martin DB9 atau Bentley Continental yang mempunyai kualiti pembikinan sangat tinggi. Model ini turut dilengkapi dengan Ride By Wire (RBW), pemetaan enjin oleh sistem ECU Synerjet yang boleh dipuji walaupun masih dalam pembangunan. Penunggang dapat menikmati tindak balas yang cukup tepat antara pendikit dan enjin - memang sungguh berbeza dan seronok menunggang Brough ini!

Saya amat teruja dengan prestasi mesin ini ketika berada di selekoh, fork hadapannya menyerap dengan baik dan membenarkan kita masuk dan memecut keluar cukup yakin sekali terutama ketika berada sekitar 5,000rpm. Sistem transmisi enam kelajuan Brough ini lancar dan lembut, jarang juga kita dapat rasai pada jentera yang berprestasi tinggi. Kecuali... untuk mendapatkan kedudukan gear neutral memang agak susah sedikit. Henriette sedar akan masalah ini dan sedang berusaha untuk mengatasinya secepat mungkin.

Walaupun seberat 186kg, pengagihan bebanan 50/50% memudahkan kita mengendalikannya tidak kira laju atau perlahan, kecil atau luas sesebuah kawasan itu. Kualiti tunggangan dan pengendalian segalanya sempurna dan menepati apa yang kita inginkan. Sekali lagi saya perlu menceritakan tentang sistem fork hadapannya yang cukup cemerlang. Setiap pemilik Brough ini akan dapat menikmatinya kerana bahagian tangan anda bagaikan tidak begitu bergegar walaupun di jalan-jalan tidak sempurna.

Untuk semua jentera yang baru dilahirkan semula dengan penuh semangat dan keazaman, Brough Superior SS100 benar-benar menunjukkan sinarnya. Ya… memang terdapat beberapa kelemahan (suis penghidup yang kecil, kesukaran masuk gear neutral, posisi ekzos terlalu tinggi yang memerlukan pelindung) perlu diatasi dengan cepat tetapi itu semua hanya masalah kecil buat mereka yang bijaksana seperti Mark Upham, Henriette dan seluruh pasukannya. Inilah keindahan mencipta sesuatu yang terbukti sangat hebat! RR

Laporan: Alan Cathcart

Foto: Kyoichi Nakamura

Isu Pada

November 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, V-kembar, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu997cc
Gerek & Lejang94 x 71.8mm
Nisbah Mampatan11.1
Kuasa Maksimum127hp pada 7,800rpm
Tork Maksimum120Nm pada 6,400rpm
Isi Tangki
Tinggi Pelana830mm
Berat186kg
PengeluarBrough Superior Motocycles Toulouse, Perancis

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.