Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 November 2015

KTM 250 DUKE : Pesaing Baru Dari Eropah

Kini jentera berjenama KTM yang sinonim dengan warna jingga ini sudah tidak asing lagi di negara kita. Sekali pandang sahaja, sesiapa pun sudah dapat meneka jenama ini kerana rekaannya yang amat tersendiri berbanding jenama motosikal lain. Ia popular bukan sahaja di kawasan bandar malah turut menjadi pilihan untuk beriadah bersama rakan-rakan dengan berkonvoi jarak jauh mahupun dekat.

Berdasarkan kejayaan mereka dalam perlumbaan peringkat dunia seperti MotoGP, Motocross dan Enduro, KTM memang amat berpengalaman dan arif dalam mencipta enjin-enjin satu silinder yang gagah. Model Duke merupakan mesin jalanan yang dihasilkan khusus untuk semua jenis penunggang tidak kira lelaki atau wanita, pelajar mahupun yang sudah bekerja.

Kini keluarga Duke boleh dikatakan lengkap di dalam pasaran negara kita dengan pelbagai jenis variasi seperti 125 Duke, 200 Duke, 390 Duke, 690 Duke dan 1290 Superduke. Yang terbaru, 250 Duke yang dilancarkan pada pertengahan tahun ini oleh Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd (KTM CKD Malaysia).

Malaysia merupakan negara pertama di Asean yang memperkenalkan model ini untuk para pencinta motosikal tempatan. Dari segi rekaan, KTM mengekalkan rekabentuk 250 Duke sama seperti 125cc, 200cc dan 390cc. Kesemua model ini mempunyai satu tarikan jika menunggang di waktu malam, ia mempunyai lampu yang menyala di bar pemegang hendal yang menunjukkan suis isyarat belok, lampu tinggi atau rendah, suis penghidup enjin, pemati enjin dan juga suis hon. Tidak lagi perlu tercari-cari di mana suis apabila mahu menggunakannya di waktu yang gelap. Model RC juga mempunyai ciri-ciri ini. Menarik bukan?

Duke ini dihasilkan kerana memenuhi permintaan pasaran negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara yang amat popular dengan jentera berkuasa 250cc empat lejang dari negara matahari terbit. Namun kini, giliran jentera dari Eropah pula menjengah pasaran. Tidak terkecuali negara Malaysia, pasaran motosikal kelas pertengahan ini sememang mendapat perhatian para peminat motosikal yang kebanyakannya mempunyai lesen menunggang B2. Lesen kelas ini hanya dihadkan sehingga jentera berkuasa 250cc. Pelancaran model ini juga sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para pemilik 200 Duke di negara ini yang mahukan jentera yang lebih berkuasa.

Pandu Uji: Enjin aci sesondol berkembar empat injap Duke ini berdenyut serta merta apabila kita menekan butang penghidup elektriknya dan ia melahu pada putaran rpm yang agak tinggi sambil mengeluarkan ‘suara’ yang senyap dari muncung ekzosnya. Bagi sebuah jentera motosikal entry level ia berbunyi agak nyaring apabila pendikit minyak dipulas dengan lebih galak. Tidak terdengar sebarang bunyi mekanikal. Bagus kerana karaktor enjin silinder tunggal sememangnya berbunyi agak kasar apabila enjin berputar pada rpm yang tinggi tetapi, tiada sebarang bunyi dari enjin ini yang boleh mengganggu tumpuan pemiliknya.

Walaupun enjinnya bersesaran 248.8cc dilengkapi dengan sistem sejukan cecair, hantaran kuasanya cukup untuk mengejutkan dan membuatkan kita teruja. Terasa seperti enjin 390cc yang dikecilkan sahaja. Ia berkuasa 31.3hp pada 9,000rpm dan tork 24 Nm pada 7,250rpm yang memberikan tunggangan lancar dalam mana-mana kedudukan gear.

Dengan kuasa tork setinggi itu, ia sudah mencukupi untuk kita mengharungi kesesakan jalan raya di dalam kawasan bandar. Gunakan gear empat dan lima sahaja pun sudah cukup pantas untuk memintas kenderaan lain mahupun melepaskan diri kita daripada dihimpit oleh kenderaan yang lebih besar.

Kita dapat merasa motor ini amat mudah dikawal. Dengan bar hendal yang tinggi dan pelananya setinggi 800mm yang memberikan gaya tunggangan yang menegak, mesin ini memang sangat selesa dan lincah untuk dikendalikan dalam apa juga keadaan mahupun laluan. Sistem klac jenis anti lompatan yang dilengkapkan pada enjinnya amat mudah digunakan, lembut dan tidak menyakitkan jari kita. Sesuai untuk kaum wanita yang mahu berjinak-jinak dengan motosikal berklac manual.

Ia bergerak dengan tangkas, dalam gear dua ia boleh ditarik sehingga 60km/j, gear ketiga sehingga 80km/j, keempat sudah menghampiri 100km/j, kelima mencecah 125- 130km/j dan apabila sudah di gear keenam, meter kelajuan digitalnya sudah menunjukkan kelajuan maksimum selaju 165km/j. Cukup laju untuk jentera 250cc silinder tunggal empat lejang ini.

Brek enjinnya tidak terlalu keras mencengkam dan membolehkan kita menurunkan gear dengan lambat ataupun mengekalkan gear kedua dan ketiga terutama sekali apabila sedang memasuki selekoh-selekoh tajam di sepanjang laluan berbukit ke Bukit Fraser ataupun ke Ulu Yam. Dengan adanya sistem brek Bybre (rekaan Brembo) bersaiz 300mm di roda hadapan dan 230mm di belakang yang dilengkapi sistem ABS untuk model ini, ianya turut membantu kita untuk beraksi dengan lebih agresif dan selamat.

Dengan adanya penunjuk kedudukan gear, pasti kita dapat memasuki suatu selekoh dengan tepat dan selamat untuk penunggang dan enjin. Tanpa penunjuk gear, penunggang boleh melakukan kesilapan apabila menurunkan gear ketika rpm yang tinggi. Ini boleh menjejaskan jangka hayat enjin. Selain itu, paparan meter digitalnya yang berwarna jingga ini juga dilengkapi dengan penunjuk tahap bahan api, suhu enjin, rpm, jam dan jarak perjalanan.

Kadar penggunaan petrol juga memuaskan dan menjimatkan. Dengan isian penuh tangki bersaiz 11 liter ini, ia mampu membawa penunggangnya bergerak sejauh 250km dengan purata kelajuan 100km/j-120km/j. Juga bergantung kepada saiz penunggang. Jika lagi rendah kelajuan, lagi jimatlah petrol.

Jentera KTM ini didatangkan dengan sepasang tayar yang gemuk iaitu Pirelli Diablo Rosso II bersaiz 110/70 ZR17 (hadapan) dan 150/60 ZR17 (belakang). Ia memberi keyakinan untuk menggigit permukaan jalan yang berselekoh dengan kemas dan cemerlang sekali. Manakala casis jenis trellis berwarna jingga yang bertegaran tinggi memantapkan lagi tunggangan kita ini adalah hasil daripada kejayaan jenama KTM yang sudah terkenal di dalam perlumbaan Moto3. Sistem saspensi hadapan jenis terbalik (43mm) dan lengan ayun belakang jenis aluminium tetuang jenis cantilever yang direka oleh WP Suspension berjaya menambah keyakinan kita untuk ‘bermain’ di selekoh-selekoh tajam.

Secara keseluruhannya, model 250 Duke ini amat mengujakan untuk para peminat yang baru ‘berhijrah’ ke dalam dunia motosikal yang sebenar. Ianya cukup bertenaga di gear-gear rendah mahupun gear yang tinggi. Karaktornya yang amat tersendiri membuatkan kita tidak jemu dengan prestasi keseluruhannya.

Setakat ini hanya satu pilihan warna untuk model 250 Duke iaitu warna hitam lengkap bersama casis dan roda berwarna jingga manakala harga yang ditawarkan adalah amat berpatutan dan mencabar para pesaingya. Ia dijual pada harga RM20,319.33 bersama insuran, cukai jalan dan tidak termasuk GST 6%. RR

Oleh: Firdaus

Isu Pada

November 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, silinder tunggal, DOHC, sistem penyejuk minyak
Isipadu248.8cc
Gerek & Lejang72 x 61mm
Nisbah Mampatan12.5:1
Kuasa Maksimum23Kw pada 9,500rpm
Tork Maksimum24Nm pada 7,250rpm
Isi Tangki11 liter
Tinggi Pelana800mm
Berat139kg
PengeluarEurotech Wheel Distribution Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.