Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 November 2015

KTNS RS3 : Selesa Ke Mana Sahaja

Bagi pemegang lesen B2 yang sukakan pengembaraan motosikal, model KTNS RS3 ini mungkin jawapan yang sedang anda carikan dan tahniah buat KTNS Holdings Sdn Bhd yang telah berjaya mengisi 'kekosongan' segmen jentera dual-purpose (DP) berkuasa sederhana. RS3 mula diperkenalkan pada penghujung Disember lalu, memasuki pasaran negara sekitar Februari 2015 dan sehingga kini penjualannya telah menghampiri 500 unit. Antara faktor utama yang menjadikan model ini digemari ialah keselesaan posisi tunggangan, kotak-kotak barangnya yang luas serta bunyi yang mantap!

Model yang kami uji ini berwarna hitam/kuning – cukup sesuai sekali dengan rekabentuknya sehinggakan timbul perasaan yang teruja apabila melihat RS3 ini di hadapan mata. Walaupun berkuasa 250cc, hampir semua orang pasti bersetuju apabila kami katakan saiz tubuh badan jentera ini besar dan tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan mesin DP yang bersesaran lebih tinggi seperti Honda CB500X atau BMW F 650GS. Lampu hadapannya yang lengkap dengan jenis LED bukan sahaja cantik tetapi juga menawarkan suluhan yang cemerlang. Paruh atau 'peak' yang dilengkapkan pada model ini memantapkan lagi rekabentuknya. Untuk melindungi jentera DP ini daripada rosak teruk jika berlaku kemalangan, RS3 dilengkapi dengan bar pelindung enjin.

Duduk di atas pelananya memang cukup selesa – RS3 mempunyai sudut tunggangan yang tepat untuk semua jenis penunggang cuma dirasakan bar hendalnya terlalu lebar untuk pengendalian sesetengah orang. Ruang antara penunggang dengan bar hendal yang luas memudahkan kita mengubah posisi dalam semua keadaan. Rekaan tangki sebesar 15 liter ini juga memudahkan kita mengepit untuk memberikan tunggangan lebih kemas dalam kelajuan tinggi. Apa yang boleh difikirkan semula oleh pihak KTNS ialah untuk memasang cermin pengadang udara jenis boleh laras. Baru seronok!

Enjin satu silinder, empat lejang dengan sistem penyejuk cecair ini berputar dengan lembut dan lancar sekali sebaik sahaja dihidupkan. Apa yang agak mengecewakan, bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos terlalu kuat. Ini langsung tidak sesuai dengan model ini kerana model-model DP adalah dihasilkan untuk pengembaraan dan pastinya bunyi ekzos yang terlalu kuat akan mengganggu persekitaran .

Kebanyakan pengembara motosikal juga sering menggunakan alat perhubungan jarak jauh yang dilengkapkan di dalam topi keledar dan semestinya bunyi ekzos yang kuat mengganggu segala perhubungan.

Oleh itu masalah ini segera kami adukan kepada pihak KTNS dan mendapati bahawa sistem ekzos jentera yang sedang diuji ini telah diubahsuai sedikit menjadikan bunyinya agak kuat. Apabila mendengar sistem ekzos original, barulah kami berpuas hati kerana bunyinya memang cukup sedap dan mantap!

Dengan kuasa maksimum 18.5kw (24hp) pada 9,000rpm dan tork 23Nm pada 7,000rpm , memecut dengan RS3 cukup memuaskan hati. Nisbah gear dirasakan agak rapat terutamanya dalam gear-gear pertengahan menyebabkan penunggang terpaksa menjadi lebih rajin menukar gear terutamanya apabila berada di jalan-jalan berselekoh. Menunggang dalam gear kedua, ketiga dan keempat memang seronok, lebih lebih lagi di dalam bandar kerana ia memudahkan kita memintas dan melarikan diri daripada kenderaan yang lebih besar.

Tidak kiralah anda seorang pengembara motosikal mahu pun seorang eksekutif yang bertugas di tengah-tengah bandaraya, kehadiran kotak barang di sisi dan belakang sememangnya dialu-alukan. Kotak-kotak barang ini mampu memuatkan pelbagai jenis barangan yang bersaiz sederhana seperti pakaian, fail, barangan runcit dan buah-buahan kecil. Casisnya yang mantap membantu pergerakan dalam kelajuan tinggi walaupun dengan membawa bebanan menjadi berkeyakinan kerana tiada langsung gangguan dari segi kestabilan mahupun pengendalian.

Antara sikap penunggang dan pemandu yang jangan sesekali dicontohi ialah keluar dari simpang atau susur lebuhraya tanpa melihat kenderaan yang datang dari belakang. Mudah sahaja! Perlahankan kenderaan, toleh sekejap ke sebelah kanan atau gunakan cermin sisi untuk memastikan jalan telah selamat sebelum memasuki lorong utama. Mujurlah RS3 dilengkapi dengan brek-brek jenis cakera yang bertindak dengan baik sekali.

Walaupun pada dasar penciptaan sebuah jentera DP bukanlah untuk kita menilai kemampuannya memecut ke tahap maksimum tetapi RS3 ini memang pantas. Dalam gear tertinggi, ia boleh dipacu pada kelajuan tertinggi sekitar 150km/j dan terima kasih kepada panel meternya yang menawarkan paparan yang cukup jelas. Hanya dengan sekali jelingan, kita sudah dapat pastikan tahap kelajuan yang dicapai kerana angka-angka yang tertera cukup besar. Meter RS3 terbahagi dua, penunjuk analog menunjukkan putaran rpm manakala meter digital memaparkan kadar kelajuan, masa, tahap bahan api, posisi gear, jarak perjalanan dan suhu.

Kelajuan paling ideal untuk model ini ialah sekitar 110-120km/j dan pastinya untuk si pengembara, menunggang dengan santai adalah pilihan terbaik kerana dapat menikmati segala pemandangan indah. Tidak kiralah di dalam mahu pun di luar negara, banyak lokasi dan tempat-tempat menarik sering terlepas pandang kerana kita terpaksa menumpukan seluruh perhatian kepada tunggangan (jika suka memecut). Sejujurnya, setiap penunggang akan dapati adalah sukar untuk memperlahankan sesebuah jentera dalam kelajuan tinggi lebih-lebih lagi apabila keadaan cemas. Setuju? Demi keselamatan penunggang, KTNS telah melengkapkan jenteranya dengan brek-brek cakera yang berkualiti tinggi.

Model ini hanya seberat 175kg yang memudahkan kita mengendalikannya hampir di mana sahaja. Selepas semakin serasi dan selesa dengan RS3 ini, kami sengaja mencari lokasi yang jalannya di situ berbatu dan bertanah merah. Ya! Memang terserlah kebolehan mesin 250cc ini! Tindak balas antara pendikit dan enjin yang tepat dalam semua gear memudahkan setiap proses pergerakan di jalan-jalan sukar sebegini. Jentera DP ini mampu mendaki, membelok dan berhenti dengan kemas sekali.

Paling membanggakan, setiap destinasi yang kami singgahi pastinya terdapat beberapa orang hadir bertanyakan model apakah ini? Ramai yang meneka ia adalah mesin DP keluaran negara eropah yang bersesaran lebih daripada 600cc. Bila dikongsikan info mengenai model ini, rata-ratanya teruja apabila mendapati pemegang lesen B2 juga kini sudah mampu untuk mengadakan aktiviti pengembaraan motosikal dengan jentera KTNS RS3 ini.

Apa yang perlu dipertingkatkan lagi ialah sistem saspensinya. Kemantapan fork hadapan jenis terbalik menyerap segala hentakan memang dipuji tetapi apabila menunggang dengan agak laju, bar hendal masih bergegar. Masalah yang hampir sama turut dikongsi oleh pembonceng, gegaran jelas dirasai apabila kelajuan ditingkatkan lebih daripada 110km/j. Model ini diperkenalkan dengan tayar bersaiz 100/90-18 (hadapan) dan 130/90- 15 di bahagian belakang. Tayar-tayar ini menggigit setiap permukaan jalan dengan baik sekali.

Dengan tangki sebesar 15 liter, RS3 ini boleh dipacu lebih daripada 200 kilometer tetapi penjimatan bahan api bergantung kepada cara tunggangan dan lokasi yang dilawati. Pastinya akan lebih banyak bahan api digunakan jika penunggang itu berat dan apabila mendaki di jalanan berbukit. Dipasarkan oleh KTNS Holdings Sdn Bhd dengan harga RM13,250 (tanpa cukai GST) untuk RS3 standard dan untuk model SE (Special Edition) yang mempunyai sedikit kelainan seperti berwarna emas dan bersport rim, harganya RM13,650 (tanpa cukai GST). Warna model standard RS3 ialah kuning/ hitam dan merah/ hitam. RR

Isu Pada

November 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair
Isipadu250cc
Gerek & Lejang77 x 53.6mm
Nisbah Mampatan11.6:1
Kuasa Maksimum18.5kW pada 9,000rpm
Tork Maksimum23Nm pada 7,000rpm
Isi Tangki15 liter
Tinggi Pelana-
Berat175kg
PengeluarKTNS Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.