Y15ZR Moped 4-Lejang Berkuasa Tinggi Dari Yamaha
Sejak 135LC diperkenalkan pada tahun 2006, Yamaha ternyata berupaya menambat hati para pengguna motosikal di seluruh negara tidak kira siapa. Antara faktor penting mengapa model ini begitu diminati ialah kerana sistem enjin dengan penyejuk cecair, rekabentuk sporty dan kepantasannya memecut. 135LC dikatakan cukup sesuai dengan sistem jalanraya dan lebuhraya di Malaysia yang kebanyakannya memerlukan sebuah mesin berprestasi tinggi.
Setelah sekian lama kita menikmati kekuatan enjin bersesaran 135cc, kini tibalah masanya untuk mengucapkan selamat datang kepada model terbaru Y15ZR yang menawarkan rupa bentuk lebih terkini dan kuasa enjin serba baru! Ia diperkenalkan sebagai model pengganti Y125ZR tetapi jauh di sudut hati, masih ramai termasuk kami sendiri menganggapnya adalah ahli keluarga 135LC terbaru kerana rekabentuk dan sistem enjinnya yang lebih persis.
Benar... ia menyambung legasi 135LC - dapat dilihat dengan jelas menerusi rekaan lampu utama dan lampu posisi LEDnya. Sejak sembilan tahun lalu, jentera-jentera keluaran Yamaha sememangnya mempunyai rekabentuk seperti ini. Tidak percaya? Cuba lihat model 135LC dan Lagenda 115, konsep rekaannya hampir sama.
Lampu utamanya besar dan jelas manakala lampu posisi LED yang terletak di bahagian bawah terang dan menarik manakala lampu isyarat Y15ZR ini tidak lagi direka bersepadu dengan lampu posisi sebaliknya diletakkan di bahagian sisi fairing – lebih mudah dilihat dari semua arah. Lampu belakangnya pula dihasilkan sama seperti jentera naked, MT-07 dan model sport 250cc, R25. Sistem ekzos Yamaha ini tampak lebih mantap, sudah tiada lagi pelindung panas krom yang kini telah ditukar kepada pelindung berwarna hitam untuk disesuaikan dengan penampilan baru ini.
Kami tersenyum sesama sendiri apabila melihat akan ciptaan panel meter jentera baru Yamaha ini, siap dengan tulisan 'HI BUDDY' tertera sebaik sahaja kunci dipulas. Dengan kepesatan teknologi yang dimiliki dalam semua industri sekarang ini, adalah suatu kebanggaan melihat sebuah jentera moped telah dilengkapi dengan panel meter yang sekemas ini. Dahulunya panel seperti ini hanya mampu kita lihat dipasangkan pada jentera berkuasa tinggi sahaja tetapi kini tidak lagi. Y15ZR didatangkan dengan meter digital yang memaparkan informasi seperti tahap kelajuan, posisi gear, suhu, tahap bahan api dan masa manakala meter analog adalah penunjuk putaran rpm.
Enjin baru yang dilengkapkan pada model ini dihasil berasaskan enjin Yamaha FZ150i yang telah terbukti akan ketahanannya. Ia adalah sebuah enjin satu silinder, empat lejang, sistem penyejuk cecair dan bersesaran 150cc . Sebaik sahaja dihidupkan, kesegaran dan kelancaran enjin model ini memang sangat mengujakan. Dalam nada perlahan ia bertukar menjadi cukup garang apabila kita memutarkan enjin dengan lebih galak.
Penggunaan gearnya seperti motosikal klac biasa tidak lagi seperti jentera moped iaitu gear pertama di bawah manakala selanjutnya (2,3,4 dan 5) perlu dicungkil ke atas. Ruang yang luas antara bar hendal dan lutut memberikan keselesaan kepada penunggang ketika membelok pada sudut yang kecil atau ketika membuat pusingan 'U'. Berbanding model 135LC, Y15ZR lebih tinggi sedikit (780mm) tetapi ia tidak mengganggu tunggangan lebih-lebih lagi untuk mereka yang berkaki panjang.
Kami membuat keputusan untuk ke Fraser Hill dan menunggang di waktu pagi adalah yang terbaik. Dari Sungai Buloh, kami menggunakan lebuhraya untuk ke Rawang dan inilah masa terbaik untuk melihat kemampuan model baru Yamaha ini berlari. Dengan gerek dan lejang bersaiz 57.0mm x 58.7mm, enjin baru ini menawarkan kuasa maksimum setinggi 11.3kW (15hp) pada 8,500rpm dan tork 138Nm pada 7,000rpm. Pecutannya di peringkat pertengahan menggiurkan! Dalam kedudukan gear ketiga, kita dapat menarik enjin ke tahap 9,500rpm yang memberikan kelajuan sekitar 105km/j sebelum masuk ke gear keempat yang mampu diperah mencapai 120km/j.
Kekuatan enjin Yamaha baru ini sangat lancar, dirasakan dengan nikmatnya apabila memerah ke tahap tertinggi (140km/j) dalam gear kelima. Kepada pemilik jentera ini, mungkin akan kedengaran bunyi enjinnya agak kuat, anda tidak perlu risau kerana bunyi ini terhasil disebabkan posisi enjin terletak di dalam bahagian fairing berbanding enjin FZ150i yang lebih terbuka.
Sistem klac tangan ini bertindak dengan cemerlang sekali ketika proses hendak memintas sebuah kenderaan. Tarik sedikit untuk kuasa enjin dapat ditingkatkan dan melepaskannya agar jentera dapat meluncur dengan lebih pantas. Perlu diingat, ketika berada di lebuhraya, kita berkongsi dengan berbagai jenis kenderaan dan berbagai jenis ragam manusia. Jika berdekatan atau dihampiri oleh kenderaan besar, kita ada dua pilihan iaitu dengan membiarkan mereka berlalu atau memecut laju meninggalkan kenderaan ini.
Jangan amalkan menunggang di belakang lori atau bas kerana kita tidak dapat melihat apa yang berlaku di hadapan. Bayangkan lori atau bas ini melanggar kepingan getah tayar pecah, paip besi, batu bata atau pun kepingan kaca.... benda-benda ini akan terpelanting dan berterbangan ke belakang. Apa pula nasib orang di belakang? Nak bayangkan pun tak sanggup! Oleh itu, jadilah penunggang yang bijak dan selamat.
Kepantasan Y15ZR ini memecut sangat mengujakan. Enjinnya sangat responsif, tiada sekali pun berlaku kehilangan kuasa ketika membuat penukaran gear. Untuk memintas di lebuhraya, turun satu gear... pulas pendikit dan kemaskan kawalan kerana prestasi Y15ZR ini memang akan memberi kejutan terutamanya buat penunggang baru.
Dari Serendah, kami terus memecut menuju ke Kuala Kubu untuk melihat keindahan alam berhampiran dengan Empangan Sungai Selangor tetapi pandangan sedikit terganggu kerana jerebu yang agak tebal. Walaupun begitu, menunggang di kawasan luar bandar dan berbukit memang cukup segar, nyaman dan tidak memenatkan cuma jalan-jalan di kawasan sini tidaklah kesemuanya sempurna. Masih ada tempat yang agak berbahaya.
Selekoh-selekoh tajam yang 'tersaji' ketika memanjat Bukit Fraser menguji kemantapan jentera Yamaha ini. Kerangka jenis 'backbone' yang tegar memudahkan kita menukar posisi dengan kemas dalam semua keadaan. Dengan menggunakan gear dua, tiga dan empat, proses mendaki memang menyeronokkan. Yamaha telah melengkapkan jentera baru mereka ini dengan saspensi hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang yang telah bertugas dengan cemerlang sekali.
Tiba saja di selekoh... Tukar gear, guna brek hadapan, kawal miringan dengan brek belakang dan rasai keberkesanan sistem penyerap hentak Y15ZR ini memberikan kestabilan optimum kepada kita untuk membuat belokan. Tayar-tayar bersaiz 70/90-17MC (38P) di depan dan 120/70-17MC (58P) di belakang yang dilengkapkan pada jentera ini bertindak dengan baik ketika cuaca panas tetapi En. Mazlan (berbaju kuning) dan En. Zulkernain. sayangnya ia kurang mencengkam apabila suhu permukaan jalan semakin rendah atau basah sedikit.
Info: Bukit Fraser terletak di atas Banjaran Titiwangsa yang setinggi 1,310 meter dari aras laut. Bukit Fraser mendapat nama daripada seorang pengembara British zaman kolonial iaitu Louis James Fraser dan terdapat banyak bangunan dan rumah-rumah di sini dibina mengikut cita rasa orang-orang British. Dengan suhu sekitar 17 hingga 24 Celsius, ia terkenal sebagai pusat pelancongan yang dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara.
Bermotosikal di kawasan bersuhu rendah tidak memenatkan. Hampir setiap lorong kami masuk untuk mencari lokasi terbaik untuk sesi fotografi dan dengan Y15ZR ini, nak ke mana pun tak ada masalah cuma kehadirannya sentiasa menarik perhatian setiap mata yang memandang. Tiba-tiba kami disapa oleh dua orang peminat motosikal. “Tengah testing motor ni ke? Dari majalah RodaRoda kan?” kata En. Mazlan bersama seorang rakannya, En. Zulkernain yang sama-sama menetap dan bekerja di Fraser Hill. “Inikah Yamaha baru...? Macam mana performance tadi? Jalan mendaki ke sini memang best tetapi kalau hujan atau basah, kena lebih berhati-hati sebab permukaan jalan terlalu licin,” tambahnya.
Apabila peminat-peminat motosikal dah mula berborak memang susah nak berhenti. Topik asalnya Y15ZR bersambung pula pasal konvoi ke luar negara, ditambah dengan cerita Rossi dan Lorenzo, berkongsi pula dengan kisah penjimatan model FZ150i dan ditutup dengan sesi bergambar kenangan bersama Y15ZR.
Hari mulai gelap….ada tanda-tanda hujan nak turun. Kami meninggalkan Bukit Fraser sebelum keadaan jalan membahayakan tunggangan. Brek enjin yang tidak terlalu kuat membolehkan kita menggunakan gear ketiga dan keempat sewaktu menuruni kawasan berbukit tanpa perlu berasa risau. Y15ZR dilengkapi dengan brek cakera hidraulik di depan dan belakang yang cukup efisien. Walaupun dalam kelajuan sekitar 40-50km/j, jentera ini dapat diberhentikan dengan cekap dan pantas.
Selepas lebih daripada 250 kilometer perjalanan, kami akui kadar penggunaan bahan api model baru ini tidak mengecewakan. Tangki petrol bersaiz 4.2 liter penuh ini boleh membawa kita sejauh 130km/j selepas mengharungi pelbagai jenis jalan dan tempat. Kombinasi antara rekabentuk terkini, enjin yang mantap dan rekabentuk yang menarik adalah resepi terbaik untuk mendapatkan permintaan yang tinggi. Inilah yang berjaya dilakukan oleh Yamaha, tahniah!! Yamaha Y15ZR ditawarkan pada harga RM7999.82 untuk model standard yang berwarna merah, hitam dan biru manakala untuk model GP Edition berharga RM8423.71 (termasuk cukai GST 6%). RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, sistem penyejuk cecair, SOHC, silinder tunggal |
Isipadu | 150cc |
Gerek & Lejang | 57.0 x 58.7mm |
Nisbah Mampatan | 10.4:1 |
Kuasa Maksimum | 11.3kW pada 8,500rpm |
Tork Maksimum | 13.8Nm pada 7,000rpm |
Isi Tangki | 4.2 liter |
Tinggi Pelana | 780mm |
Berat | 115kg |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd |
Popular