BMW F 850 GS Dengan 4S: Seronok, Stabil, Selesa & Selamat
Pasaran jentera pengembaraan berkuasa sederhana sememangnya semakin berkembang dari hari ke hari. Ini dibuktikan dengan jumlahnya yang cukup banyak dan dapat kita lihat menyusuri lebuhraya di seluruh negara. Tidak dinafikan mesin yang dilengkapkan dengan enjin bersesaran 1,000cc dan ke atas memiliki kekuatan dan kepantasan untuk dipacu dengan megah dari satu tempat ke satu tempat tetapi ada ketikanya mesin sebesar ini tidak begitu praktikal.
Antara faktor utama mengapa model dual purpose (DP) bersaiz sederhana mendapat permintaan tinggi ialah kerana ia mudah dikendalikan, tidak besar dan tidak terlalu berat. Malaysia ternyata memiliki lebuhraya yang luas dan baik tetapi apabila memasuki kawasan bandar, seringkali kita akan bersesak-sesak dengan jumlah kenderaan empat roda yang kian bertambah. Di kala ini, menunggang sebuah motosikal yang besar dan berat amat menyusahkan berbanding modelmodel sederhana.
BMW merupakan pengeluar motosikal yang sentiasa memastikan setiap produknya mampu memenuhi kehendak para pelanggannya. Memang betul! Tengok sahaja siri jentera pengembaraan yang mereka tawarkan. Para pelanggan dapat melihat dan memilih pelbagai model mengikut kemahiran tunggangan serta betapa dalamnya poket seseorang itu. Model pengembaraan atau adventure keluaran syarikat seperti siri GS sahaja terdiri daripada beberapa model dari 300cc hinggalah ke 1,250cc. Pilih sahaja!
Antara model baru yang cukup menarik hati ialah F 850 GS yang telah ditampilkan pada suku akhir tahun lalu. Begini, walaupun ia didatangkan dengan enjin bersesaran 853cc, berkuasa 95hp pada 8,250rpm dan tork 92Nm pada 6,250rpm yang cukup mantap tetapi dari segi saiznya, model F 850 GS memang sederhana saja.
Paling menarik perhatian ialah rekabentuk keseluruhan model ini. Bahagian hadapan jentera BMW (tidak kira model apa pun) sentiasa direka dengan bijak dan model ini tidak terkecuali. Lampu utamanya jenis LED berserta Day Running Light (DRL) bukan sahaja menyerlahkan kesinambungan rekaan jentera lasak BMW tetapi juga menawarkan suluhan yang cukup jelas. Dengan kemasan paruh/ peak di depan, BMW ini memang nampak macho!
Meter TFT yang dipadankan pada model ini memang ditunggu-tunggu. Aduhai... memang menarik sekali. Ia cukup terang, penuh warna, paparan tersusun kemas dan mudah dibaca. Menerusi paparan TFT bersaiz 6.5 inci ini, kita mudah melihat tahap kelajuan, tahap putaran rpm (berwarna), posisi gear, jarak perjalanan, trip, tahap bahan api, purata penggunaan bahan api, masa, suhu enjin dan pemilihan mod. Paparannya juga boleh ditukar kepada beberapa keperluan lain seperti navigasi, media (lagu), membuat/menjawab panggilan dan untuk membuat talaan. Itulah kecanggihan sistem BMW Motorrad Connectivity yang boleh dinikmati oleh setiap pemilik jentera ini.
Pelananya setinggi 860mm, tidaklah begitu susah untuk dipanjat. Posisi menunggang cukup selesa dengan ruang di antara penunggang dan bar hendal yang luas. Segala talaan dapat dilakukan dengan pantas dan mudah menerusi suis yang terdapat di kiri dan kanan bar hendal. Sistem transmisi 6 kelajuan dan klac model ini cukup lembut – setiap pecutan dibuat dengan lancar. Untuk disesuaikan dengan pelbagai jenis tunggangan, BMW ini dilengkapi dengan dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain. Tahap kawalan sistem ABS dan Automatic Stability Control (ASC) juga disepadankan dengan mod tunggangan yang kita pilih.
Dengan menggunakan mod Road, jentera ini memiliki sifat agresif yang cukup mantap. Daya pecutan yang hadir dari semua putaran rpm dan kedudukan gear memudahkan kita memecut dari kelajuan 80km/j ke 170km/j dengan pantas. Apa yang sedikit mengganggu ialah cermin pengadang udaranya yang tidak boleh dilaras. Sayang sekali… pastinya F 850 GS ini lebih selesa ditunggang dalam kelajuan tinggi jika cerminnya boleh dilaras.
Ketegapan jentera ini membelah pukulan angin kencang ketika berada di laluan terbuka seperti lebuhraya adalah datangnya dari kerangka yang bertegaran tinggi. Keselesaan sentiasa menjadi ciri utama jentera keluaran 'Bee Eem' ini dan untuk F 850 GS baru, segala hentakan dikawal dengan baik oleh fork hadapan jenis terbalik (USD) 43mm dan lengan ayun dengan spring tengah. Memang betul... cukup selesa.
BMW ini memang cukup senang untuk dikawal. Tidak kiralah sama ada dalam kelajuan tinggi mahupun rendah. Ini datangnya dari rekaan tubuh badannya yang ramping dan bar hendal yang lebar. BMW ini sepanjang 2,305mm – tidak susah mengendalikannya di laluan yang terhad. BMW F 850 GS boleh dijadikan pilihan warga kota yang inginkan sebuah jentera adventure yang bertenaga untuk tujuan kembara dan turut sesuai digunakan dalam bandar. Selain mudah mencelah, kita tidak merasa sebarang haba panas pada bahagian sistem ekzos atau pun enjinnya sendiri.
Lebuhraya telah kami redah dengan kelajuan tertinggi 200km/j, laluan berselekoh diratah tanpa masalah – ketangkasan dan pengendalian mudah amat membantu. Selepas itu, BMW F 850 GS dibawa ke laluan lasak (offroad) untuk melihat kemampuannya 'menari' di permukaan yang sukar. Dengan menggunakan tayar Michelin Anakee III bersaiz 90/90 21 (hadapan) dan 150/70 R17 (belakang) yang diilhamkan oleh tayar radial Michelin Sport Touring yang memberikan pengendalian dan kestabilan cukup mantap.
Michelin Anakee III ini direka cukup bijak – tahap kedalaman bunga tayar yang berbeza adalah meningkatkan tahap cengkaman agar sesuai untuk pelbagai jenis permukaan jalan dan sudut miringan tidak kira kering atau basah. Rekabentuk bunga tayar yang penuh inovatif ini juga cukup unik berbanding yang lain. Untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai apa juga jenis tayar Michelin, sila hubungi Michelin Malaysia Sdn Bhd, Unit 901, Level 9 Uptown 2, No. 2 Jalan SS21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Malaysia. Tel: 03-76803888.
Karaktor enjin serta merta bertukar sebaik sahaja kami menukarkan kepada mod Rain – kuasa hantaran lebih rendah dan sememangnya amat menyenangkan apabila F 850 GS ini ditunggang di dalam cuaca yang tidak menentu. Selain itu, kita tidak berasa takut walaupun membrek dengan agak keras di permukaan yang licin kerana sistem ABS yang disempurnakan pada setiap jentera BMW telah terbukti cemerlang. Ia memang sepadan dengan sistem brek yang dimiliki oleh jentera ini. BMW ada empat S yang amat kami inginkan pada setiap motosikal iaitu Seronok, Stabil, Seles a dan Selamat.
Satu isian tangki sebesar 15 liter dapat membawa kami mengunjungi pelbagai destinasi dengan jarak perjalanan lebih daripada 250 kilometer. BMW F 850 GS ditawarkan pada harga bermula RM79,500. Memang menarik sekali kan! Oleh itu, ayuh kunjungi pusat pengedar BMW Motorrad berdekatan dengan anda untuk melihat dengan lebih dekat dan membuat tempahan. RR
Popular