Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 23 September 2022

Harley-Davidson Nightster 2022

Oleh kerana tidak dapat memenuhi tahap piawaian yang semakin ketat, jentera Sportster sejukan udara telah dikeluarkan dari barisan produk Harley-Davidson dan mengakibatkan wujudnya satu kekosongan dalam barisan jentera-jentera H-D. Selepas 65 tahun sejak pengenalan Sportster pertama, Harley dengan bangganya memperkenalkan model Nightster yang bakal mengisi kekosongan itu.

Nightster baru ini menawarkan hantaran kuasa yang lebih ketara berbanding model 1200 dan 883 sebelum ini. Nilai kuasa setinggi 89bhp dan garis merah, 9500rpm sebelum ini hanyalah satu impian yang hampir mustahil dicapai oleh jentera sejukan udara lama. Tetapi ia bukan hanya mengenai pembaharuan enjin semata-mata. Nightster dilengkapkan dengan casis baharu, saspensi Showa, berbilang mod tunggangan, traction control dan ABS.

Dari segi rekabentuk pula, ia masih dibayangi garisan ciptaan model Sportsters sebelumnya termasuklah dengan pemilihan tayar hadapan 19-inci dan di belakang 16-inci. Tangki bahan api itu sebenarnya bukan tangki petrol betul tetapi ia adalah 'pelindung/penutup' untuk kotak udara. Tangki bahan api sebenar yang bersaiz 17 liter terletak di bawah tempat duduk.

Dengan kekuatan 89hp pada 7,500rpm dan 70lbft tork pada 5,750rpm, Nightster mampu membuat pecutan lebih ketara walaupun jika kita bandingkan dengan Sportster 1200, yang hanya memiliki kuasa 60bhp. Nightster juga menghasilkan lebih banyak kuasa daripada beberapa rangkaian Harley yang lain.

Enjin v-kembar 975cc pada asasnya adalah versi yang ditala semula dan dikecilkan daripada enjin Revolution 1252 yang ditemui dalam Sportster S dan Pan America. Terdapat juga perubahan pada pengambilan dan ekzos, dengan pemasangan variable valve timing kini terletak pada bahagian ruang kemasukan sahaja.

Terdapat tiga mod tunggangan untuk dipilih: Sport, Road dan Rain. Mod Rain akan mengurangkan kuasa puncak sekitar 15%. Dalam mod Road terdapat juga had putaran yang tidak membenarkan kita untuk memulas pendikit melepasi sekitar 2,500rpm dalam kedudukan neutral. Jadi, jika anda mahu mendengar bunyi putaran enjin, anda tidak boleh melakukannya dalam keadaan motosikal yang terhenti. Ada satu cara iaitu dengan masukkan gear, tarik tuas klac dan putar pendikit!

Sebaik saja berlepas dari pengkalan ujian kami, saya serta-merta berasa selesa dengan Nightster ini. Kotak gearnya lebih seronok, tidak seperti transmisi lama manakala tuas gearnya juga lembut dan boleh laras. Namun begitu sistem suntikan bahan api tidak begitu licin dan benar-benar lancar walaupun enjinnya sudah dipanaskan.

Dalam mod Sport pula saya rasa prestasi enjin H-D ini tidak begitu memuaskan! Respon di antara enjin dan pendikit agak mengganggu. Jujurnya, saya tidak mungkin dapat menghabiskan banyak masa dalam mod Sport terutama sekali jika berada di dalam bandar. Dalam mod Rain, hantaran kuasanya boleh dikatakan lembut dan lebih baik tetapi saya memang agak kecewa dengan mod Sport.

Ketepikan dulu hal berkaitan mod tunggangan. Prestasi enjin V-twin 975cc mengagumkan kami sepanjang sesi ujian. Ya… kita boleh menunggang Nightster seperti sebuah Harley tradisional yang lain. Nisbah gear yang rapat, hantaran kuasa tork yang mantap dan posisi menunggang yang cukup selesa. Itu cara menunggang Harley biasa.

Kalau anda seorang peminat jentera sport, rasakanlah kemampuan Nightster ini meluncur dengan cukup bertenaga. Kuasa maksima untuk model ini ialah 89bhp pada 7,500rpm dan torknya pula setinggi 95Nm pada 5,750rpm. Hantaran kuasa yang cukup galak di antara 6,000rpm dan 8,000rpm pasti menarik lebih ramai pelanggan baru yang sebelum ini adalah seorang peminat jentera bersifat sport.

Memecut keluar dari selekoh tajam atau roundabout memang menyeronokkan. Matikan sistem TC dan kita akan dapat jentera ini memiliki tork cukup mantap yang akan terus hadir walaupun selepas kelajuan mencecah 160km/j. Panel meternya cukup ringkas. Cuma ada panel meter analog yang lengkap dengan paparan digital kecil dan tak pula ada meter tahap bahan api. Penyambungan sistem 'bluetooth' pun tak ada lah.

Model ini hanya seberat 221kg, jauh lebih ringan berbanding model 1200 penyejuk udara yang seberat 264kg. Paling menarik ialah perubahan pusat graviti dengan mengubah posisi tangki petrol (bawah pelana) manakala tangki petrol hanya dicipta sebagai penutup kotak udara. H-D juga mendengar kritikan untuk memperbaiki jarak kelegaan tanah.

Model-model sebelum ini direka bukanlah untuk tunggangan sporty disebabkan betapa terhadnya tahap pengendalian, lebih-lebih lagi jarak bawahnya. Sekarang, masalah itu telah diuruskan tetapi tempat pemijak dan ekzos masih dapat mencecah tanah, cuma perlu lebih bersungguhlah sedikit.

Sudah pasti ini bukan jentera kegunaan di litar tetapi kombinasi tayar hadapan bersaiz 19 inci dan 16 inci di belakang berjaya mengawal H-D 221kg ini dengan baik. Nightster ini lebih tangkas dan senang ditunggang di laluan berliku yang dahulunya agak sukar untuk sebuah jentera bernama H-D. Pengendaliannya sangat berbeza dan menjadikan Nightster ini sebuah motosikal yang seronok untuk ditunggang.

Brek cakera Brembo di depan menjalankan tugas dengan baik manakala brek belakang juga tidak mengecewakan. Turut dilengkap pada model ini ialah Drag-Torque Slip Control System (DSCS) atau sistem bantuan brek enjin. Kebanyakan sesi ujian dilakukan pada laluan berselekoh yang tajam. Ini bermakna saya tidak berpeluang untuk menguji keberkesanan sistem brek ini dari kelajuan tinggi.

H-D baru ini juga hadir dengan sistem TC boleh laras yang akan 'bekerjasama' sistem DSCS untuk mengelakkan tayar belakang daripada terkunci sewaktu kita menurunkan. Sayangnya model ini tidak dilengkapkan dengan sistem Lean-sensitive ABS – saya sebenarnya mengharapkan ciri tersebut terdapat pada H-D ini.

Dari sudut tahap keselesan, H-D ini memang mengagumkan! Ia sememangnya dicipta untuk untuk semua jenis penunggang tanpa mengira saiz dan jantina. Apa yang diperlukan ialah cermin pengadang angin dan sistem cruise-control.

Tangkinya yang sebesar 11.7 liter menawarkan perjalanan sekitar 228 kilometer tapi kami tidak dapat mengesahkannya semasa sesi tunggang uji kerana tak berapa nampak sama ada tangki petrol Nightster yang diuji ini betul-betul penuh atau tidak.

Dari segi rekacipta, kami tidak menyentuh soal keseluruhan rupabentuk Nightster ini, dan mungkin peminat tegar H-D tidak bersetuju. Secara amnya, model ini memang cantik dan mudah untuk diubahsuai atau dikustomkan. Cuma ada beberapa bahagian yang dilihat kemasannya agak tidak begitu berkualiti.

Tidak mengapalah. Paling diakui ialah Harley-Davidson Nightster ini merupakan satu pembaharuan dan peningkatan yang cukup besar. Ia adalah sebuah jentera H-D yang praktikal, seronok dan versatil. Kalau bercerita mengenai tahap pengendaliannya, jauh benar bezanya dengan model Sportster dulu dan jujurnya, ia antara model Harley paling padu yang pernah saya tunggangi. Purata penggunaan bahan api sebenarnya agak biasa seperti mana-mana jentera enjin v-kembar cuma sekali lagi, mod Sport memang tidak sesuai untuk digunakan dalam kelajuan rendah. RR

Isu Pada

Jun 2022

Spesifikasi

EnjinV-kembar, DOHC VVT, sistem penyejuk cecair
Isipadu975cc
Kuasa maksimum89bhp pada 7,500rpm
Tork maksimum95Nm pada 5,750rpm
Tayar100/90-19 (depan) & 150/80-16 (belakang)
Saspensifork konvensyen 'Dual Bending Valve' 41mm jenis showa (depan) & penyerap hentak kembar 76mm
Brekcakera tunggan 320, ABS (depan) & cakera tunggal 260mm, ABS (belakang)
P x L x T2,250mm x 840mm x 1,105mm
Isi tangki11.7 liter
Tinggi pelana705mm

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

Kemunculan Semula Moto Morini Cukup Mantap Dengan Calibro & Calibro Bagger 700

KYMCO AK550: Mewah, Elegan & Praktikal

Disyorkan untuk anda
Model Baru

JEDI K333: Direka Untuk Kesesuaian Penunggang Baru & Wanita

Sejak kemunculan sebagai model konsep, pihak syarikat telah menghabiskan lebih daripada 800 hari dengan melakukan penambahbaikan tanpa henti untuk model sport, JEDI K333.

Model Baru

Honda X-ADV 750 2025 Tiba di Pasaran Negara - Harga Bermula RM69,999

Boon Siew Honda (BSH) dengan bangganya memperkenalkan skuter adventure generasi terbaru untuk pasaran negara iaitu Honda X-ADV 750 2025.

Dari Litar

Pirelli Jadi Pembekal Utama Tayar MotoGP Menjelang 2027

Pirelli menjadi pembekal tayar eksklusif untuk Kejohanan Dunia MotoGP bagi tempoh lima tahun bermula musim 2027.

Warta Roda

Penunggang motosikal maut terbabas ke dalam parit

Seorang lelaki berusia 57 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan masuk ke dalam parit di Jalan Kampung Engkeramut.