Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 26 September 2022

Suzuki Burgman 400 - Elegan, Selesa & Pantas

Kali pertama saya melihat sebuah skuter maksi gagah mengembara ribuan kilometer ialah ketika menjejakkan kaki buat pertama kalinya di bumi Eropah kira-kira 20 tahun yang lalu. Itu juga kali pertama melihat motosikal-motosikal dan kereta berprestasi tinggi memecut dengan kepantasan yang luar biasa di atas lebuhraya terkenal di Eropah, Autobahn.

Apabila sampai ke salah satu R&R di sana, dapatlah melihat beberapa kumpulan motosikal yang sedang mengembara ke destinasi yang tidaklah sempat ditanya ketika itu. Salah satu daripada kumpulan itu terdiri daripada 4-6 orang pemilik skuter maksi pelbagai jenama, antaranya Suzuki Burgman 650.

Oleh kerana tidak banyak pemilik skuter maksi di Malaysia, ‘pemandangan’ itu memang sukar untuk dilupakan. ‘Rider-rider’ menunggang skuter itu segak dengan riding jaket, topi keledar full face, sarung tangan dan apabila memecut laju di atas lebuhraya, skuter-skuter ini meluncur dengan tegap dan megah.

Apabila dunia motosikal di Malaysia berkembang dengan pesat, satu persatu jenama motosikal mula melancarkan skuter-skuter yang berkuasa 250cc dan ke atas. Akhirnya pada tahun 2018, kami mendapat peluang menikmati ribuan kilometer perjalanan dengan Suzuki Burgman 400. Walaupun bukanlah model 650 seperti yang dilihat di Eropah tetapi dari segi rekabentuk, kedua-duanya masih memiliki banyak persamaan.

Selepas empat tahun sejak kali terakhir menunggangnya, RR sekali lagi diberi kesempatan untuk menunggang uji model terbaru Suzuki Burgman 400. Oleh kerana Burgman sebelum ini telah memberikan 1001 senyuman buat kami, sudah tentu kami tidak sabar-sabar lagi untuk memanjat jentera ini semula sebaik sahaja mendapat pengesahan tarikh untuk sesi tunggang uji.

Jujurnya, tidak banyak perbezaan ketara dapat dilihat daripada rekaan luarnya berbanding model yang kami uji empat tahun yang lalu. Burgman 400 2021 ini ditawarkan ke pasaran negara pada harga RM45,999 dan hanya ada satu warna sahaja iaitu Metallic Sword Silver.

Keanggunan Burgman ini datangkan daripada lampu-lampu LED yang dipadankan dengan tubuh badannya yang besar dan gagah itu. Cermin pengadang anginnya tidaklah terlalu tinggi tetapi sayangnya ia tidak boleh dilaraskan secara automatik. Bahagian hadapan juga tidak banyak berbeza dengan model terdahulu. Ruang kaki cukup luas walaupun untuk mereka yang berkaki panjang, kita dapat mengubah posisi kaki dengan mudah jika digunakan untuk mengembara ke destinasi yang berjarak jauh. Kalau sempit, posisi lutut tidak berubah, memang
letih dan mudah kejang.

Bar hendal berada dalam kelebaran dan ketinggian yang selesa untuk diletakkan tangan dan paling kami suka ialah keempukan pelana skuter Suzuki ini. Bahagian ‘support’ atau ‘back rest’ untuk pinggang juga boleh dilaras di antara 15 hingga 30mm – sangat bagus khususnya agar pinggan kita tidak cepat lenguh.

Panel meter Suzuki ini terdiri daripada dua meter analog yang mengapit paparan digital di tengah-tengah. Penunjuk kelajuan di sebelah kiri manakala takometer di sebelah kanan. Paparan digital memberikan info untuk penggunaan bahan api, jarak perjalanan, trip, masa, TC, purata penggunaan bahan api dan lain-lain lagi. Apa yang perlu difikirkan semula oleh pihak Suzuki ialah untuk merekasemula panel meter ini agar lebih canggih dan bertepatan dengan peredaran masa.

Terdapat dua ruang barangan di bahagian depan bersaiz sederhana yang boleh kita simpan bermacam-macam barangan. Ruang sebelah kiri bersaiz 2.8 liter manakala ruang sebelah kanan pula seluas 3.5 liter. Untuk tujuan keselamatan khususnya, jika berhenti atau parkir di kawasan yang agak curam, Suzuki telah melengkapkan skuter ini dengan Rear Brake Lock System. Fungsinya lebih kurang seperti ‘handbrake’.

Pelana setinggi 765mm memang sesuai dinaiki oleh sesiapa sahaja – cukup rendah dan senang sekali! Ruang barangan bawah pelana memang cukup besar sekali. Boleh kita guna untuk menyimpan pelbagai jenis barangan, pakaian dan topi keledar. Sesuai untuk mereka yang nak mengembara atau balik kampong di waktu perayaan. Memang luas… sumbat je lah!

Untuk mengelakkan daripada kecurian, Burgman 400 menggunakan Suzuki Advance Immobiliser System (SAIS). Ia adalah satu sistem identifikasi elektronik yang diletakkan pada kunci utama yang menghalang sebarang kunci lain atau cubaan orang lain untuk cubaan menghidupkan skuter ini.

Burgman 400 ini juga didatangkan dengan casis yang ringan, bertubuh ramping dan komponen luaran kompak yang menjadikannya cukup mudah untuk kita kendalikan walaupun apabila berada di dalam kesesakan lalulintas. Walaupun tubuhnya besar dan panjang, ketangkasan serta kelincahannya skuter 400cc ini memang merupakan platform terbaik buat mereka yang bekerjaya yang perlu bergerak dengan pantas.

Namun begitu, kemantapan hantaran kuasanya paling disukai. Pulas sahaja pendikit, skuter ini berlari dengan kencang sekali. Suzuki Burgman 400 ini didatangkan dengan enjin 4 lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair DOHC, 400cc, Euro 5 yang menawarkan hantaran kuasa 20Ps dan kuasa tork 35.5Nm. Dengan cermin pengadang angin yang cukup besar untuk menghalang tamparan angin, kita dapat memecut dengan selesa walaupun ketika kelajuan mencecah 150km/j.

Namun begitu, skuter ini hadir dengan Eco Drive Indicator yang membantu kita menunggang dalam kelajuan yang ideal untuk penjimatan bahan api. Apabila lampu ‘ECO’ menyala, ini bermakna putaran enjin jentera ini berada di tahap yang paling efisien untuk penggunaan bahan api.

Terdapat juga lampu penunjuk untuk sistem TC yang ‘memberitahu’ kita/penunggang bahawa sistem Tranction Control (TC) sedang diaktifkan. Ini membantu kita untuk tidak melakukan kesilapan apabila menunggang di laluan-laluan berselekoh atau permukaan yang kurang cengkaman.

Sebagai sebuah jentera yang sesuai untuk semua jenis perjalanan, skuter maksi ini dilengkapkan dengan sistem saspensi hadapan jenis teleskopik yang bertindak cukup cemerlang ketika kita membrek dengan keras. Sistem penyerap hentak belakang juga membantu menyerap segala hentakan dan bebanan dengan cemerlang sekali. Kami cukup berpuas hati apabila menunggang di kawasan perumahan yang biasanya ada banyak jalan-jalan berbonggol atau tidak rata.

Suzuki telah menyempurnakan skuter mereka ini dengan tayar-tayar bersaiz 120/70-15M/C 56S (depan) dan 150/70-13M/C 64S (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Tayar-tayar ini dikawalkan oleh sistem brek jenis cakera beserta ABS yang tidak mengecewakan langsung. Kita pastinya mampu untuk membawa skuter ini menikmati destinasi percutian tanah tinggi juga sangat sesuai kerana Burgman memiliki segala-galanya.

Dengan sistem penyerap hentak yang mantap, pengendalian yang cemerlang dan hantaran kuasa mantap, jentera seberat 218kg ini dapat diguna dengan sangat menyeronokkan. Pakej utama yang merangkumi saiz badan, berat, sistem keselamatan dan hantaran kuasa yang padu membolehkan kita berada di atas lebuhraya dengan yakin sekali. Kalau nak potong bas atau treler besar pun tak ada masalah. Untuk satu tangki 13.5 liter mampu membawa kita lebih daripada 250 kilometer.

Apa yang diharapkan ialah agar Suzuki memperbaharui rekabentuknya supaya tampak lebih sporty agar lebih diminati oleh golongan muda. Apabila bentuknya lebih sporty dan ditambah pula dengan warna-warna lebih garang, barulah Burgman 400 akan lebih terserlah berbanding sekarang ini. Jujurnya untuk sebuah jentera bernilai hampir RM46k, ia perlu lebih menonjol khususnya dari segi rekabentuk, warna dan teknologi atau Suzuki akan ketinggalan! RR

Isu Pada

Jun 2022

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, Euro5
Isipadu400cc
Gerek x Lejang81.0mm x 77.6mm
Nisbah mampatan10.6:1
Tayar120/70-15M/C 56S (depan) & 150/70-13M/C 64S (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & jenis link berspring (belakang)
Brekcakera + ABS
P x L x T2,235mm x 765mm x 1,350mm
Berat218kg
PengeluarSuzuki Malaysia Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    Rieju Xplora 557 dan 707, Model 'Crossover' Baru dari Sepanyol.

  • Dari Litar

    WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

  • Warta Roda

    Lelaki Lemas, Motosikal Dihanyut Banjir

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Perkenalkan GSX-8R Baru. Harga asas RM53,800

  • Model Baru

    BENDA NAPOLEON BOB 500 - Sudah Berada di Pasaran, Harga Bermula RM27,888

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Nyaris Dihanyut Banjir

JITRA: Seorang penunggang motosikal berjaya diselamatkan orang ramai daripada dihanyutkan arus deras di Kampung Manggol, Malau.

Model Baru

KTM 390 Adventure 2025 dengan berorientasikan dunia lasak

KTM 390 Adventure R 2025 bakal hadir ke pasaran global dengan 'wajah' baru yang sama sekali berbeza dengan varian 390 Adventure yang berada di pasaran sekarang ini.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.