Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 27 September 2022

Honda Forza 250 - Hantaran Kuasa Padu, Teknologi Pun Ada Ummph...

Beberapa tahun lalu, Boon Siew Honda (BSH) melancarkan skuter maksi mewah iaitu Forza 300 yang memiliki spesifikasi yang cukup mantap! Dari segi ciri-ciri menarik, Forza 300 memang sukarlah untuk ditandingi oleh para pencabarnya (ketika itu) tetapi model tersebut sangat sukar untuk dilihat di jalan raya.

Ini disebabkan harganya yang cukup tinggi, sekitar RM36,000 manakala untuk membelinya pula perlukan penukaran lesen khususnya bagi mereka yang hanya ada lesen B2. Tambah lagi kos di situ, sedangkan kebanyakan di antara kita masih selesa hanya dengan lesen B2. Oleh itu, daripada berbelanja lebih untuk skuter 300cc, ramai yang membuat keputusan untuk memilih skuter jenama lain.

Itu isu lapok! Kini telah hadir model Honda Forza 250 yang pastinya menawan ramai peminat skuter tanahair kerana harganya kini tidak lagi terlalu 'kayangan', bentuknya sporty, ada banyak ciri-ciri menarik dan cukup selesa.

Harga asas untuk seunit skuter maksi Honda ini ialah RM25,388 dan didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu Matte Gunpowder Black Metallic, Pearl Horizon White dan Candy Rossy Red. Bestkan harganya.... jadi, lepas baca artikel ini teruslah ke Honda Big Wing atau Honda Impian X atau para pengedar Honda berdekatan dengan kalian ye!

Berbanding Forza 300 yang telah kita uji sebelum ini, rekabentuknya tidaklah jauh berbeza. Dapat kita lihat bahagian fairing ada perubahan ketara, termasuk juga bentuk lampu isyarat depan. Yang lain semua nampak sama. Pastinya rekaan lampu-lampu LED yang menghiasi bahagian hadapan menjadikan skuter ini tampak cukup mewah dan anggun. Lampu LED ini juga dipadankan pada bahagian belakang – ada klassss!

Panel meter Forza 250 ini terdiri daripada dua meter analog (penunjuk kelajuan dan tahap rpm) dan satu paparan digital yang penuh dengan info-info penting serta talaan. Terdapat suis info A dan B pada bar hendal sebelah kiri yang bertujuan untuk kita membuat talaan dan pilihan. Tahap kecerahan untuk paparan panel meter ini juga boleh ditala dengan mudah (terletak dalam Info A).

Menerusi suis Info A, penunggang dapat melihat paparan untuk trip, purata penggunaan bahan api dan jam. Sementara Info B pula memaparkan odometer dan jarak purata perjalanan. Apa yang janggal ialah posisi suis Info A dan Info B agak berjauhan terutamanya Info B yang terletak pada posisi yang biasanya adalah suis hon. Tertekan juga beberapa kali pada awalnya!

Turut berada di bar hendal sebelah kiri ialah suis untuk pelarasan cermin pengadang angin – Ya! Forza 250 ini dilengkapkan dengan cermin pengadang angin elektronik. Ketinggiannya dapat kita laras hanya dengan menekan suis – padu sungguh dan ini adalah ciri-ciri utama yang memberikan kelebihan buat Honda Forza 250 ini.

Kalau menunggang di dalam bandar, rendahkan cermin ini agar kita tidak terlalu panas tetapi apabila ingin memecut di lebuhraya, tinggikannya agar kita lebih selesa. Cermin pengadang angin ini juga sangat berguna apabila kita menunggang di dalam hujan – dapat jugalah berlindung sedikit. Pengadang angin elektronik ini memang sangat praktikal tambah-tambah lagi ketika cuaca yang kurang menentu. Suis 'T' pula adalah untuk Selectable Torque Control yang boleh kita hidup dan matikan pada bila-bila masa. Bagi bukan peminat Honda, sistem Torque Control ini sama lah dengan sistem traction control.

Forza baru ini juga menggunakan sistem kunci pintar (keyless) yang moden. Pada 'alat kawalan' itu terdapat tiga jenis butang yang lengkap dengan gambar. Butang berbentuk 'kunci' digunakan untuk kita hidupkan sistem Kunci Pintar.

Tekan butang itu dalam masa dua saat, tunggu lampu LED merah bertukar kepada hijau yang mengesahkan sistem ini telah dihidupkan. Untuk menyahaktifkan sistem ini, tekan butang yang sama apabila enjin dimatikan. Apabila lampu LED bertukar dari hijau kepada merah, kita tidak dapat lagi memutar kunci utamanya. Jika kita tidak menyahaktifkan sistem 'Kunci Pintar' ini, sesiapa sahaja boleh menghidupkan enjin skuter ini jika 'alat kawalan' ini berada di dalam julat operasi 2 meter atau 6.6 kaki.

Butang dengan gambar 'motosikal' pula adalah untuk Answer Back System yang memudahkan kita mencari lokasi Forza ini di tempat parkir. Honda turut melengkapkan model ini dengan Sistem Penggera Anti Kecurian (butang gambar penggera/speaker). Tekan butang ini untuk menghidupkan sistem penggera dan jika ada pergerakan seperti tolakan atau goncangan, penggera akan berbunyi selama 10 saat.

Namun begitu, apabila kita mengubah posisi atau tegakkan skuter ini, penggera akan berbunyi selama 60 saat. Apabila kita on kan sistem penggera ini, ia akan aktif selama 10 hari.

Untuk mematikan bunyi ini, tekan semula butang yang sama. Kadar sensitiviti Sistem Anti Kecurian ini juga boleh ditala dalam tiga tahap iaitu A) Tiga kali bunyi penggera B) Dua kali bunyi penggera C) Sekali bunyi penggera.

Jangan sekali-kali tinggalkan 'alat kawalan' ini di dalam ruang barang depan atau pun berdekatan dengan skuter kita. Jika sistem Kunci Pintar aktif, sesiapa pun dapat menghidupkan enjin, membuka kunci penghidup utama, membuka penutup tangki dan membuka pengunci hendal.

Untuk menghidupkan enjin, kita terlebih dahulu perlu menarik tuas brek belakang (sebelah kiri) dan tekan suis penghidup. Enjin berputar dengan cukup lancar dan senyap. Posisi menunggang menegak dan ruang papan pemijak yang luas memang cukup selesa sekali. Berbanding dengan jentera saingannya, Forza 250 dirasakan lebih kompak dan lebih lincah karaktornya untuk tunggangan urban.

Skuter maksi Honda ini didatangkan dengan enjin 250cc, sistem penyejuk cecair SOHC berkuasa 16.2kW pada 7,750rpm dan tork 22.6Nm pada 6,250rpm yang dapat dirasa dengan jelas sebaik sahaja kita memulas pendikit. Dalam kedudukan 5,500rpm, kita dah mula bergerak dengan agak laju dan bila direntap lagi, skuter ini memang 'betoi-betoi' syok!

Kualiti produk Honda memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Bukan setakat kemasan luarannya cukup mengagumkan, pergerakan sistem transmisi V-Matic (Continuosly Variable Transmission) skuter ini memang cukup lancar. Jujurnya, kami sangat suka memecut Forza ini setiap kali berada di atas pelananya. Ia dipecut pada kelajuan tinggi hampir di sepanjang masa. Kestabilan dan kelincahannya memberikan ketagihan untuk kita mengoyak pendikitnya.

Dengan adanya cermin pengadang angin automatik, dapatlah kami rasa betapa penting teknologi moden pada sesebuah motosikal khususnya yang berharga tinggi dan saiz enjin yang besar. Biarlah sebuah jentera sport 500cc lebih moden dan mantap daripada 250cc. Model 1,000cc pula seharusnya jauh lebih cemerlang daripada model 500cc. Barulah berbaloi kita keluarkan modal!

Tekan sahaja suis, 'windshield' akan turun/naik mengikut ketinggian yang kita mahukan. Kami lebih selesa cermin ini diturunkan ke tahap minimum apabila membawanya bersiar-siar di dalam kawasan bandar. Tambahan pula musim panas, bila kena angin tu sejuklah sedikit.

Masuk sahaja di laluan lurus yang kosong, kami naikkan cermin untuk menambah kelajuan. Laju maksimum yang berjaya dicapai ialah sekitar 140km/j dan apabila kita turun bukit sedikit, hampir juga cecah 150km/j tetapi ketika ini dirasakan enjin sudah mula mengerang dan tersentap-sentap.

Dengan pelana setinggi 780mm, Forza memang selesa untuk kita naiki. Tak kiralah anda tinggi atau rendah, tak ada masalah! Beratnya hanya 185kg, mampu untuk kita 'handle' ketika sudah bergerak di atas jalan mahu pun apabila kita perlu menolak/mengundurkannya di ruang parkir berpuluh kali semata-mata bagi dapatkan kedudukan terbaik - termasuk untuk kepuasan jurukamera.

Apa kurang menarik bagi kami ialah pada bahagian cermin sisinya yang agak 'capang.' Risau juga untuk mencelah di tengah-tengah kesesakan jalan raya, lebih-lebih lagi di antara dua kenderaan MPV - cermin sisi mereka juga tinggi, boleh tersentuh jika tidak cekap.

Forza 250 juga sesuai dijadikan teman mengembara. Tangkinya bersaiz 11.7 liter telah memberikan kami jarak sejauh 310 kilometer dan sangat pasti jarak perjalanan akan jauh lebih jimat jika kita menunggang dengan santai dan tenang.

Ruang barang Honda ini memang luas betul! Di bahagian kiri hadapan (glove box) boleh memuatkan sebotol air mineral bersaiz kecil dan dalam ruang ini juga diletakkan soket USB 'Type C' yang bagi kami ia kurang praktikal berbanding soket USB biasa. Untuk menjaga jangka hayat bateri skuter ini, para penunggang disaran untuk mengecas telefon pintar masing-masing sewaktu enjin bergerak. Untuk tujuan keselamatan, glove box ini terkunci sebaik sahaja kita mengunci bar hendal.

Bahagian bawah pelana sangat luas. Setakat dua buah topi keledar tu senang sangat. Untuk model baru ini, Honda telah melengkapkan ruang barang dengan plastik pemisah (divider/separater) yang bertujuan untuk elakkan sesetengah barang yang dibawa bersepah-sepah di dalam ruangan itu.

Terdapat cara pemasangan (sangat mudah) pada plat plastik tersebut. Jika diamati betul-betul, Honda turut meletakkan getah kecil di hujung ruang ini agar topi keledar kita tidak terhentak dengan kuat. Turut dilengkapkan pada pelana Forza ini juga ialah tempat penyangkut topi keledar manakala wayar penyangkutnya disimpan dengan rapi bersama tool kit.

Sedikit gegaran dirasa pada bahagian penyerap hentak belakang sewaktu kami berada di permukaan yang kurang rata tapi tidaklah sehingga mengganggu perjalanan. Forza 250 didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70 15M/C 56P di depan dan 140/70 14M/C 62P yang menggigit permukaan jalan dengan cukup cemerlang. Untuk mengawal pergerakan jentera 250cc, Honda ini hadir dengan sistem brek hadapan dan belakang cakera jenis hidraulik beserta ABS.

Selepas 320 kilometer menikmati pelbagai jenis jalan, ragam penunggang dan laluan, skuter maksi dari Honda ini memang cukup praktikal, sangat selesa, anggun dan jimat petrol. Ia ternyata memberi cabaran buat segmen skuter 250cc di Malaysia. Apa yang perlu pihak Boon Siew lakukan ialah mempergiatkan promosi serta memantapkan lagi perkhidmatan lepasan jualan. RR

Isu Pada

Jun 2022

Spesifikasi

Enjinsistem penyejuk cecair, SOHC, 4 lejang
Isipadu250cc
Kuasa maksimum16.2kW pada 7,750rpm
Tork maksimum22.6Nm pada 6,250rpm
Tayar120/70-15M/C 56P (depan) & 140/70-14M/C 62P (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak jenis berspring (belakang)
Brekbrek cakera hidraulik + ABS
P x L x T2,147mm x 754mm x 1,507mm
Berat185kg
PengeluarBoon Siew Honda (BSH)

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Model Baru

Aprilia RS457 Dilancarkan. Harga dari RM33,900

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia telah melancarkan model 'superbike' terbaru iaitu Aprilia RS457.