Suzuki Hayabusa 2021 - Rasa Seperti Raja
Apa perasaan menunggang Suzuki Hayabusa? Apa rasa duduk atas Suzuki Hayabusa? Apa pula perasaannya bila memecut Suzuki Hayabusa? Jawapannya mudah... “BAGAIKAN SEORANG RAJA!” Hati berasa sebegitu teruja dan bangga sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sebuah jentera lagenda yang terkenal sebagai antara motosikal paling laju di dunia.
Hayabusa dalam bahasa Jepun bermaksud 'Peregrine Falcon' atau 'Helang'. Jadi, sudah tentulah dari segi rekabentuk dan karaktor penciptaan jentera ini berdasarkan namanya. Bentuknya cukup aerodinamik, tangkas dan meluncur laju.
Ketika Suzuki melancarkan model ini di peringkat global tahun lalu, RR telah pun mendapat peluang untuk memaparkan secara eksklusif dan terperinci mengenai model ini menerusi ruangan 'Pandu Uji' dalam isu Jun 2021. Dapatkan majalah ini di http://shopee.com.my/yusseri71 atau di kedai RR: http://shop.rodaroda.my.
Suzuki Hayabusa dilancarkan secara rasminya ke dunia pada tahun 1999 dan serta merta diiktiraf sebagai motosikal produksi terpantas di dunia dengan kelajuan melebihi 300 km/j. Selain sangat dikenali sebagai produk Suzuki paling laju, Hayabusa diminati kerana kesempurnaan pakejnya yang merangkumi pengendalian, keselesaan, tahan lasak, jimat bahan api dan cukup anggun.
Rekabentuknya sahaja amat berbeza dengan kebiasaan atau kelaziman ciptaan motosikal-motosikal sport touring lain ketika itu. Benarlah, ia adalah gabungan sebuah jentera sport dan touring. Ketika di awal kemunculannya, antara model-model yang menjadi saingan ialah Kawasaki ZZR1100, Honda CBR1100XX Blackbird dan kemudiannya dicabar oleh Kawasaki ZX-12 dan terkini pastinya H2 atau H2SX.
Sehingga kini, Suzuki Hayabusa dibahagikan kepada tiga generasi. Generasi pertama diklasifikasikan model dari tahun 1999-2007 (Enjin 1,299cc), Generasi kedua dari 2008-2020 (1,340cc) dan yang terkini adalah Generasi ketiga juga bersesaran 1,340cc tetapi kini dengan piawaian Euro5.
Tak kisahlah... yang penting Hayabusa di depan mata. Model yang diuji ini berwarna Glass Sparkle Black / Candy Burnt Gold – cukup garang. Turut ditawarkan ialah Metallic Mat Sword Silver / Candy Daring Red dan Pearl Brilliant White / Metallic Mat Stellar Blue.
Secara amnya, Suzuki tetap mengekalkan rekabentuk model 2021 ini 'sama' seperti model-model sebelum – sekali tengok dah tahu ia adalah 'Busa'. Yang pastinya model baru lebih 'sharp' dan moden. Bahagian muka depan dimantapkan dengan lampu utama jenis LED dan paling best ialah pada ciptaan lampu penunjuk (position light) yang bersepadu dengan lampu isyarat. Ini bermakna, waktu normal ia berwarna putih tetapi akan bertukar warna apabila kita menggunakan lampu isyarat. Rekabentuk dan pencahayaan lampu LED di belakang tampak mewah dan cukup terang.
Hayabusa memang besar... memang berkuasa tetapi sebaik sahaja kita memaut bar hendalnya, ia sangat mudah untuk dibawa. Pelana yang setinggi 800mm menjadikan kaki kita terletak kemas di atas jalan dan sudut putaran bar hendal yang luas amat menyenang hati. Kita dalam menolak, mengundur atau meng-gerakkannya tanpa perlu bersusah payah. Jujurnya, menunggang Hayabusa lebih rileks berbanding siri sport GSX-R.
Terima kasih buat Suzuki yang terus mengekalkan penggunaan panel meter analog untuk model baru ini. Pergerakan jarum-jarum (gaya oldschool) ini sangat mengujakan dan bagi penunggang-penunggang otai, ia memberikan perasaan istimewa yang sukar dijelaskan dengan kata-kata mahupun penulisan. Orang lama je tahu!
Untuk disesuaikan dengan aras kemodenan, panel meter Hayabusa turut didatangkan dengan paparan TFT berwarna penuh yang jelas dan menarik. Logo Hayabusa akan 'menjelma' sebaik sahaja kita 'On'kan suis. Macam-macam ada di paparan TFT ini. Ini bukan sahaja memberi maklumat asas malah mempunyai kepelbagaian lapisan untuk bermacam-macam jenis talaan. Itu memang sangat menarik.
Salah satu ciri terbaik yang dimiliki oleh Hayabusa Generasi Ketiga ini adalah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S) yang menggandingkan lima ciri elektronik bertujuan untuk membantu para pemiliknya menikmati prestasi maksimum daripada sebuah enjin moden diikuti dengan kadar ketegaran casis baharu serta tetapan sistem saspensinya.
Apa dia lima ciri-ciri itu?
- Power Mode Selector - menawarkan tiga tetapan output enjin yang berbeza untuk dipadankan dengan jalan dan kondisi tunggangan.
- Anti-lift Control System - membenarkan pecutan yang lebih agresif tanpa menyebabkan tayar depan terangkat.
- Bi-directional Quick Shift System - sistem ini membenarkan penukaran gear (dua arah) dengan lebih pantas tanpa menggunakan klac atau melepaskan pendikit.
- Engine Brake Control System - ciri ini mampu menghapuskan kesan daripada brek enjin bagi mengelakkan gelinciran tayar belakang.
- Motion Track Traction Control System - menggunakan input daripada unit pengukuran inersia (IMU), sistem ini akan memantau secara konsisten sudut condong bagi menghadkan gelinciran tayar ketika di selekoh atau ketika jalan lurus.
Deruman yang terhasil daripada ekzos 'besar' di sisi kanan jentera ini memang 'menggetarkan' jiwa... belum bergerak kita dah dapat rasa betapa lajunya ia mampu pergi. Seperti model-model Suzuki yang lain, Hayabusa ini turut dilengkapkan dengan sistem Easy Start – kita dapat hidupkan enjin hanya dengan sekali tekan sahaja.
Menerusi unit sensor six-axis IMU, ia mengaktifkan pakej elektronik seperti Lean-sensitive ABS Braking, Traction Control, Launch Control dan mod tunggangan. Terdapat tiga pilihan mod menunggang (A-Active, B-Basic and C-Comfort). Dengan enjin 1,340cc yang berkuasa 190 ps pada 9,700 rom dan tork 150 Nm pada 7,000 rpm, memecut ke hadapan sangat lancar dan pantas.
Sistem QS pula menjadikan proses penukaran gear dapat nikmati tak jemu-jemu. Bayangkan kita bawa motosikal sebesar Hayabusa ke dalam bandar tapi tak memenatkan, senang bergerak, selesa... tak letih main klac. Bar hendal model baru ini didekatkan sedikit dengan penunggang bertujuan untuk pengagihan berat 50:50 membantu memudahkan pengendalian. Padu sungguh.
Lampu penunjuk gear boleh disetkan mengikut kehendak penunggang – kami 'follow' apa yang telah ditala oleh pihak Suzuki Malaysia. Itu pun dah terlalu laju. Kalau diperah sungguh-sungguh, gear kedua boleh mencecah lebih daripada 140km/j. Bayangkan kelajuan yang dapat dicapai pada empat lagi posisi gear?
Dengan Hayabusa, berada di kelajuan 150-170km/j bagaikan tidak ada apa-apa. Langsung tidak terasa laju dan faktor hebat ini datangnya dari rekaan tubuh badan Suzuki 'legend' ini yang cukup aerodinamik. Jadi... tak perlulah kita bincangkan lagi kelajuan maksimum untuk jentera ini – sama ada kita berani atau tidak sahaja!
Mungkin kami ulang beberapa kali bagaimana mudahkan menunggang Hayabusa tidak kira solo atau berdua. Tidak kiralah dalam mod tunggangan Aatau B, anda akan dapati segala-galanya dalam genggaman kita – mesin ini menurut segala kehendak dan kemahuan kita dengan patuh sekali. Bila guna mod C pula, terasa benar respon yang lembut… mungkin 'lembab' untuk Sang Raja Jalanan. Mod C memang sesuai benar menjadi pilihan untuk tunggangan dalam hujan.
Jangan silap, terdapat tiga lagi mod tunggangan set tetapan peribadi yang boleh ditala mengikut tahap keupayaan, corak tunggangan dan di mana anda menunggang. Ditawarkan traction control 10 tahap untuk model ini yang kesemuanya memberikan tindak balas yang cemerlang.
Kita dapat mengajak jentera ini ke mana sahaja tanpa rasa akan kecundang (letih, penat, stress) kerana ia dicipta untuk memberi kepuasan yang bukannya terletak pada nikmat 280km/j-300km/j semata-mata. Biar kita puas meneroka ribuan perjalanan selepas berbelanja RM112,200.
Untuk keselesaan, Hayabusa turut didatangkan dengan sistem cruise-control yang boleh kita talakan apabila kelajuan melebihi 30km/j. Perjalanan yang jauh dirasa dekat, yang dekat pula dah macam sekelip mata. Itulah dia keistimewaan 'Busa' ini. Ke mana sahaja dia dibawa, hampir semua orang mengenalinya. Ada juga yang sempat bergurau dengan berkata: “ Haiya – manyak - busat” yang merujuk kepada perkataan Hayabusa.
Paling mengujakan apabila merasakan kelincahan jentera ini di laluan berliku dan berselekoh tajam. Kami dapat masuk/keluar selekoh dengan sangat yakin. Walaupun beratnya lebih daripada 260kg, ia langsung tidak terasa manakala sistem saspensi Suzuki ini juga 'bekerja' dengan sangat cemerlang.
Model sport tourer ini telah disempurnakan dengan tayar-tayar gemuk bersaiz 120/70ZR17M/C (58W) di depan dan 190/50ZR17M/C (73W) di belakang. Ternyata Suzuki juga membekalkan jentera terpantas dunia ini dengan sistem brek unggul Brembo Stylema di depan manakala tayar belakang menggunakan brek cakera jenis Nissin.
Sistem Engine Brake Control (EB) yang terpapar di paparan panel meter adalah pakej keselamatan yang menawarkan kawalan brek enjin. Lebih tinggi talaan kita, sistem ini akan menjadikan pergerakan jentera lebih lancar dan terkawal sewaktu brek enjin semakin berkurangan. Ini amat penting untuk elakkan tayar-tayar daripada tergelincir atau membuang.
Tangkinya bersaiz 20 liter yang boleh membawa kita menikmati ratusan kilometer dengan sekali isi. Boleh jalan jauh... cepat pula tu! Tidak hairanlah mengapa Hayabusa terus mendapat sambutan di kalangan para pencinta motosikal dari dulu hingga kini. Ia benar-benar sahabat sejati yang tidak akan mengecewakan. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 4 silinder, sistem penyejuk cecair, DOHC |
Isipadu | 1,340cc |
Gerek x Lejang | 81.0mm x 65.0mm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Tayar | 120/70ZR17M/C (depan) & 190/50ZR17M/C (belakang) |
Saspensi | fork USD teleskopik (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak berspring (belakang) |
Brek | brek cakera Brembo Stylema (depan) & brek cakera nissin (belakang) |
P x L x T | 2,180mm x 735mm x 1,165mm |
Isi tangki | 20 liter |
Pengeluar | Suzuki Malaysia Sdn Bhd |
Popular