Yamaha MT-09: Makin Padat Dengan Teknologi
Sudah tiga versi Yamaha MT-09 kita rasa. Kali pertama ialah pada tahun 2013 dulu yang telah kami uji hingga ke Bukit Merah, Perak. Memang mantap dan sangat berkuasa model itu. Mod tunggangan pun ada dua saja iaitu A dan B. Pada ketika ia diperkenalkan dulu, isu yang selalu dibangkitkan ialah berkenaan tentang hantaran kuasanya yang agak raw serta sistem saspensi yang perlu ditingkatkan.
Model versi kedua diuji ke Melaka pada tahun 2018. Ya... empat tahun lalu dan paling seronok, zaman tak ada Covid-19. Banyak tempat yang kami singgahi kerana lokasi untuk fotografi semuanya menarik. Model ini memang 'best'! Lincah, senang ditunggang, hantaran kuasa jauh lebih baik berbanding versi pertama, selesa, cantik dan dilengkapi dengan sistem saspensi yang mengagumkan. Memang antara jentera 'naked' paling syok.
Unit yang diuji kali ini merupakan versi terbaru yang telah dikemaskan dengan enjin serba baru, panel meter lebih canggih, rupabentuk yang segar dan menawan. Harganya ialah RM54,998 – tidaklah terlalu tinggi kan?
Keunikan model ini hadir menerusi lampu utamanya jenis LED yang tampak cukup moden – macam robot pun ada! Bahagian kepala tidak dilengkapi dengan sebarang 'windshield', cuma terdapat panel meter TFT berwarna penuh yang disusun cukup kemas.
Panel meter MT-09 bersaiz 3.5” memang 'advance'. Kita mulakan dengan 'layout' asas yang memaparkan tahap kelajuan, tahap bahan api, posisi gear, putaran rpm, masa, talaan mod tunggangan, talaan sistem traction contol, quickshifter, jarak perjalanan dan brake control.
Menerusi suis di sebelah kiri, kita boleh mengubah talaan untuk sistem TC dan mod tunggangan. Ada tiga tahap traction control (1, 2 dan M – manual) manakala mod tunggangan iaitu D-Mode MT-09 baru ini terdiri daripada 1, 2, 3 dan 4. D-mode 1 paling 'power' yang menawarkan hantaran kuasa penuh manakala D-Mode 4 sesuai untuk penunggang baru atau kita ketika menunggang di laluan licin.
Dengan adanya sistem TC, tahap hantaran kuasa akan dikawal secara automatik mengikut permukaannya. Jika di laluan yang licin, unit elektronik six-axis IMU akan berinteraksi dengan sistem TC untuk mengurangkan tahap putaran tayar agar lebih perlahan dan selamat.
Motor yang kita tunggang semakin hari semakin moden. Tak kira moped atau 'big bike'. Semuanya bertujuan untuk memberi lebih nikmat dan paling penting menjamin keselamatan penunggang atau pemiliknya sendiri. Pengaktifan six-axis IMU datangnya dari sensor yang mengesan pergerakan seperti tahap pecutan, miringan, putaran tayar dan sebagainya. Segala info atau bacaan yang didapati daripada sensor ini akan diterjemahkan menerusi 'otak' untuk tindakan selanjutnya.
Dengan adanya 'otak' bijak ini maka MT-09 telah dilengkapi dengan pelbagai sistem elektronik lebih canggih seperti Slide Control System dan Front Wheel Lift Control System. Untuk membuat talaan sistem-sistem ini juga amat mudah. Terdapat 'suis roda' di bar hendal sebelah kanan yang berfungsi untuk memilih setiap talaan terpapar di panel meter
pelbagai fungsi dan dari situ, barulah kita pilih setiap talaan yang diingini.
Satu paparan kecil mempunyai banyak lapisan. Contohnya di paparan Jarak Perjalanan, jika 'klik' di sini, kita juga boleh memilih untuk melihat beberapa lagi info lain seperti Masa Perjalanan (Trip Time), Trip 1, Trip 2, Purata Penggunaan Bahan Api dan Suhu Enjin. Kalau nak guna paparan yang dipilih, 'klik' suis roda itu sekali lagi.
Ada banyak lagi pilihan yang pelbagai jenis talaan. Panjang nak cerita satu per satu. Ada kami kongsikan sedikit video cara penggunaan suis roda atau wheel switch ini di akaun Tik Tok RodaRoda (tiktok.com/@rodarodamalaysia) dan di saluran Youtube Majalah RodaRoda.
Rekabentuk sistem ekzos baru (corong di bahagian bawah) memang cukup unik. Namun begitu, bunyi derumannya sedap didengar sebaik sahaja suis penghidup ditekan. Walaupun kekal dengan enjin tiga silinder, saiz enjin MT-09 baru ini besar sedikit berbanding yang lama. Enjin lama bersesaran 847cc manakala yang baru ini 889cc. Walaupun lebih besar, enjin ini direka lebih ringan – salah satu penyumbang kepada berat keseluruhan Yamaha MT-09 2021.
Hantaran kuasa dalam D-Mode 1 dan 2 tidaklah begitu berbeza sangat tetapi ketika mula-mula meninggalkan Kompleks Hong Leong Yamaha, kami dapati pengendalian MT-09 ini sedikit mengecewakan. Oleh kerana hujan turun dengan lebatnya pada hari pertama sesi pandu uji, model jalanan ini ditunggang dengan cukup lembut dan berhati-hati.
Dalam keadaan hujan, licin dan basah, D-Mode 4 dan TC2 memang terbaiklah. Respon pendikit cukup tenang manakala hantaran kuasa juga lembut walaupun pendikit dipulas dengan galak. Ini membolehkan pergerakan MT-09 lebih selamat dan terkawal.
Sayangnya, sudut belokan MT-09 baru ini agak terhad dan menyebabkan kita perlukan lebih ruang untuk menggerakkan jentera ini – contohnya untuk membuat pusingan 'U'. Kalau nak ubah kedudukan di tempat parking memang ambil masa sedikit. Rasanya masalah ini tidak kami hadapi dengan model V2 dulu.
Hari berikutnya cukup terang dan panas. MT-09 ini terus ditunggang di lebuhraya. Apabila tiba di selekoh panjang, kami juga miringkan dalam kelajuan tinggi – aduh! Jentera ini kurang stabil, benar-benar menakutkan. Mengapa? Kami ke stesen minyak paling dekat dan mendapati tahap tekanan angin tayar amat berkurangan. Fuh... nasib baik.
Selepas diisi semula dengan tekanan yang betul, MT-09 ini dipecut semula. Ya... jauh lebih sedap tetapi apabila tiba di selekoh tajam, kami tetap tak dapat 'layan' dengan yakin dan selesa seperti mana MT-09 V2 dahulu. Model baru ini dilengkapkan dengan fork hadapan jenis USD dan penyerap hentak tunggal di belakang yang seharusnya memberikan tindak balas lebih baik.
Secara peribadi, tunggangan di laluan-laluan lurus lebih seronok dengan model sebelum ini. Dikatakan versi SP akan dilancarkan pada tahun ini tetapi tidak pasti sama ada model tersebut akan masuk ke pasaran negara atau tidak. Harap-harapnya masuklah kan...
Dengan kekuatan enjin yang menjanakan hantaran kuasa setinggi 119Ps pada 10,000rpm dan tork 93Nm pada 7,000rpm, memecut dengan pantas bukanlah sesuatu yang sukar. Pulas sahaja pendikitnya, MT-09 ini 'berlari' dengan kencang. Walaupun mampu dipecut lebih daripada 220km/j, kelajuan paling selesa ialah sekitar 110km/j – 120km/j. Ikutlah undang-undang jalan raya.
Sistem Quick Shift (QS) yang kini dipadankan pada Yamaha ini memang mantap. Sistem QS model lama hanya beroperasi sewaktu kita menambah gear sahaja manakala MT-09 baru ini hadir dengan sistem QS up/down. Jadi, kali ini kita dapat menambah dan... menurunkan gear tanpa perlu menarik tuas klac. Pergerakannya pula sangat lancar. We love it!
Walaupun pelana model baru ini sedikit tinggi berbanding yang lama, ia tidak sukar untuk dipanjat cuma seperti yang kami katakan tadi, sudut belokan yang agak terhad itulah perlu berhati-hati. Salah belok, salah sudut boleh tumbang jadinya. Bila atas jalan, kawasan luas, pandai guna posisi badan ketika membelok memang tak ada masalah.
Antara ciri-ciri lain yang kami sukakan ialah Brake Control (BC). Ada dua pilihan. BC 1 memberikan tindak balas sistem ABS seperti biasa manakala BC 2 memberikan kita 'Cornering ABS' untuk cengkaman lebih mantap.
Apabila kami mendapat masa yang cukup panjang untuk menguji sesebuah jentera, barulah puas dan faham akan setiap sistem ciptaan para jurutera yang bijaksana. Untuk mengenal dan memahami sesebuah motosikal lebih-lebih yang padat dengan sistem elektronik, kita perlu lebih banyak masa bersamanya. Kaji, uji... cuba... rasa!
MT-09 dilengkapkan dengan tayar bersaiz 120 (58W) di depan dan 180 (73W) di belakang. Dengan satu isian penuh tangki bersaiz 14 liter, kami dapat menjelajah ke pelbagai daerah dan tempat di negeri Selangor yang lebih daripada 230 kilometer. Harus diingat, tahap penggunaan bahan api sentiasa berbeza – bergantung pada pelbagai aspek.
Walaupun ada beberapa ciri MT-09 V2 yang kami lebih sukakan, secara purata model baru ini lebih moden dan menarik untuk ditunggangi. Sejauh mana keberkesanan setiap sistem elektronik itu berbanding corak tunggangan seseorang individu itu sebenarnya bergantung kepada tahap kepakarannya. RR
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk cecair, 4 lejang, 3 silinder |
Isipadu | 889cc |
Kuasa maksimum | 119Ps pada 10,000rpm |
Tork maksimum | 93Nm pada 7,000rpm |
Tayar | 120/70ZR-17M/C (depan) & 180/55ZR-17M/C (belakang) |
Saspensi | USD 41mm (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal (belakang) |
Brek | cakera 298mm (depan) & 245mm (belakang) |
P x L x T | 2,090mm x 795mm x 1,190mm |
Isi tangki | 14 liter |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor |
Popular