DUCATI PANIGALE R : Kini Lebih Sempurna
Sejak 45 tahun yang lalu, Ducati telah membina model edisi terhad yang dihasilkan khas buat para pelanggannya. Antara yang terawal ialah model 750SS dengan kerangka ikoniknya berwarna hijau, sebuah model streetlegal Paul Smart Imola 200 yang memenangi perlumbaan Formula 750. Apabila siri Superbike menggantikan perlumbaan itu pada tahun 1988, pengeluar dari Itali ini telah berjaya menghasilkan beberapa model yang mempunyai spesifikasi seperti mana yang dikehendaki regulasi perlumbaan Superbike – tidak hanya dari segi teknikal tetapi juga jumlah produksi yang mesti dihasilkan untuk melayakkan diri dalam perlumbaan ini.
Perkenalkan Panigale R 2015 – model terbaru mesin jentera Ducati yang sinonim dengan kata-kata mereka, "selling what it races but also racing what it sells." Model ini mempunyai apa yang diperlukan dalam WSBK 2015 iaitu jumlah pengeluaran minima 1,000 unit yang dijual di Itali pada harga Euro 32,990 termasuk cukai. Ia tidak seperti model 1199 Superleggera yang hanya dihasilkan sebanyak 500 unit tetapi dengan model baru ini, Ducati akan terus menghasilkannya – mengikut permintaan para pelanggan.
Saya berpeluang untuk menunggang mesin ini di litar Imola yang cukup gemilang ini, tidak beberapa lama selepas pelumba Ducati, Davide Giugliano berjaya menduduki petak pole dengan catatan masa yang mengagumkan. Saya cuba meneka siapa di kalangan ducatista yang mampu memiliki jentera desmodromic ini – sila periksa baki wang di bank masing-masing kerana Ducati ini merupakan satu-satunya jentera paling mirip dengan mesin kilang yang digunakan dalam perlumbaan.
Ducati memperkenalkannya kerana model 1299 Panigale tidak dibenarkan berlumba kerana saiz siling untuk sebuah jentera yang ingin ke perlumbaan ialah 1,200cc. Pada masa yang sama, pihak WSBK kini mengenakan regulasi baru yang mahukan sebuah mesin perlumbaan itu hampir sama dengan apa yang sedang berada di bilik pameran pengeluar masing-masing. Untuk menjadikan jentera Ducati hebat di dalam dan luar litar perlumbaan maka lahirlah Panigale R ini. Secara teknikalnya, model R ini memang hampir sama dengan apa yang Chaz Davies dan Davide Giugliano gunakan dalam WSBK. Ini pastinya sebuah jentera yang sangat diinginkan bukan sahaja buat mereka yang sukakan 'trackday' tetapi juga sesuai untuk para pasukan baru yang ingin menyertai perlumbaan. Contohnya, jentera pasukan Althea yang digunakan oleh pelumba Terol dan Biaocco memulakan kempen mereka dalam WSBK dengan menunggang model R ini sebelum menukar kepada model perlumbaan sepenuhnya. Ternyata prestasi mesin baru ini cukup hebat!
Menurut peraturan WSBK tahun ini, setiap motosikal yang bakal bertanding mesti mengekalkan alat ganti asal seperti aci engkol, conrod, omboh dan bahan asas pembuatan injap. Ini adalah satu kelebihan buat Panigale baru ini kerana conrodnya dibuat menggunakan titanium berbanding keluli seperti yang dilengkapkan pada model 1199/1299. Beratnya kurang 0.63kg berbanding dengan model dahulu. Untuk sebuah enjin v-kembar 90 darjah, aci engkol model ini memang cukup ringan lengkap dengan pengimbang tungsten.
Dengan saiz gerek x lejang 112 x 60.8mm, enjin Superquadro ini menawarkan putaran 500rpm lebih tinggi berbanding model 1199 sebelum ini. Ia juga dilengkapi dengan revlimiter untuk sistem RBW (ride by wire) ditala pada kadar kemuncak 12,000rpm. Lihatlah betapa hebatnya kejuruteraan sekarang ini dalam usaha untuk terus menghasilkan motosikal berteknologi dan berkuasa tinggi.
Enjin v-kembar superquadro 90 darjah ini memang berposisi tegak, tidak seperti enjin L-kembar yang lebih mendatar seperti model 1098R/1198. Sudut silinder model ini tepat 90 darjah – format ini kini turut dikongsi oleh jentera MotoGP, Honda RC213V yang terbukti berkuasa dan tidak ada gegaran. Enjin ini juga diletakkan sedikit ke hadapan untuk mendapatkan lebih cengkaman pada bahagian hadapan. Tapak rodanya yang kini 1,442mm (lebih 5mm daripada model terdahulu) dihasilkan untuk mengurangkan kadar berwheelie, meningkatkan jangka hayat tayar dan pengendalian yang lebih baik.
Tidak seperti model Ducati lain yang mempunyai omboh tiga gegelang, Panigale R hadir dengan omboh dua gegelang untuk mengurangkan geseran ketika putaran tinggi. Kesemua bahagian sistem ekzosnya kini dibuat menggunakan titanium berbanding keluli pada model sebelum ini. Injap kemasukan bersaiz besar dibuat oleh Marelli dan dikawal dengan menggunakan motor berasingan dengan kawalan terus sistem RBW.
Kuasa maksimum model R ini ialah 205bhp/150.8kW pada 11,500rpm yang sememangnya mengikut piawaian Euro 3 Catalyst exhaust dan kuasa tork setinggi 136.2Nm pada 10,250rpm. Cuba para pembaca bandingkannya dengan model 1199 Panigale R tahun 2013 yang juga pemenang 2014 FIM Superstock yang ketika itu berkuasa 195hp pada 10,750rpm dan tork 132Nm pada 9,000rpm. Jelas Panigale baru ini telah berjaya mengatasinya! Walaupun enjinnya kecil, model baru ini juga mempunyai kuasa maksimum yang sama dengan model 1299 Panigale cuma dari segi torknya ia lebih rendah.
Jika selama ini Ducati cukup sinonim dengan sistem ekzos Termignoni, kini kerjasama ini telah bertukar arah kepada syarikat sistem ekzos dari Slovenia iaitu Akrapovic. Sistem ekzos baru ini menggunakan paip titanium 60mm dengan dua penyenyap yang juga jenis titanium. Buat pertama kalinya sistem ekzos jentera Ducati mempunyai injap elektronik seperti mana yang sedang dipakai oleh Kawasaki Superbike sejak dua tahun yang lalu dan telah terbukti membantu proses pecutan menjadi lebih cemerlang.
Antara kekuatan utama jentera Ducati ialah menerusi ketepatan brek enjinnya dan kali ini proses yang sama dapat dilakukan dengan lebih efisien menerusi ECU dan slipper clutch. Jadi, enjin baru dengan aci engkol lebih ringan akan memastikan penunggang dapat memecut lebih pantas sewaktu keluar selekoh manakala injap elektronik sistem ekzos pula bertindak menjadikan penunggang lebih tangkas dapat memasuki setiap selekoh dengan lebih tepat.
Caranya begini! Apabila pendikit ditutup, ECU akan mengira pergerakan tayar hadapan dan belakang. Jika tayar belakang berputar lebih laju, injap sistem ekzos akan ditutup menerusi ECU seterusnya memberikan brek enjin yang tepat untuk penunggangnya. Sistem ekzos Akrapovic ini tawarkan 2.5kg lebih ringan berbanding ekzos Termignoni sebelum ini dan ia turut menyumbang kepada pengurangan sebanyak 6kg untuk model baru ini.
Enjin Superquadro juga merupakan komponen penting pada casis Panigale ini. Seperti 1299, ia masih menggunakan geometri yang sama, jenis aluminium semi-monocoque tidaklah dari jenis magnesium seperti mana yang digunakan pada Superleggera. Model ini dilengkapi dengan saspensi hadapan fork jenis Ohlins NIX30 dan lengan ayun jenis tunggal dengan penyerap hentak TTX boleh laras yang menjanjikan tindakbalas lebih cepat dan tepat.
Pakej elektronik yang dilengkapkan pada Panigale R ini pada dasarnya tidak jauh bezanya dengan model 1299 Panigale S kecuali sistem saspensi elektronik. Ia didatangkan dengan sistem Inertial Measurement Unit (IMU) yang bertindak untuk mengukur pecutan dalam tiga paksi berbeza di dalam setiap selekoh seterusnya berinteraksi dengan sistem Ducati Wheelie Control (DWC) dan sistem ABS. Model ini juga didatangkan dengan program Ducati Traction Control (DTC) lapan tahap yang boleh kita lihat menerusi panel meternya yang cukup terang dan jelas.
Antara ciri-ciri hebat lain yang dimiliki oleh model ini ialah tiga jenis mod tunggangan iaitu Race, Sport dan Rain, sistem Quick Shifter baru, sistem autoblip untuk menurunkan gear dan sistem Engine Brake Control (EBC) yang banyak membantu mengekalkan kestabilan apabila kita menutup pendikit sebelum memasuki selekoh. Penambahbaikan Panigale R ini telah terasa pada kadar pecutannya ketika berada di selekoh-selekoh tajam manakala kuasa torknya yang hadir dalam setiap putaran enjin menawarkan tunggangan yang cukup mantap.
Jentera ini tidak seperti enjin v-kembar desmo yang lain! Anda perlu sentiasa meletakkan kaki di tuas gear kerana Panigale ini sentiasa mahu kita memecut setiap masa. Ketika mula-mula menunggangnya, beberapa kali saya terlajak menggunakan gear sehingga putaran enjin mencecah 12,000rpm kerana terlalu lama berada dalam suatu gear. Kita akan terasa hamburan kuasa yang cukup hebat ketika putaran enjin mencecah 7,500rpm dan di masa yang sama penunggang akan dapat menurunkan ke 5,000rpm di chicane yang tajam tanpa sebarang gangguan – pulas sahaja pendikit, ia kembali memecut dengan pantas.
Ketika menggunakan sistem DWT tahap dua, saya dapati tayar hadapan cukup suka terangkat ketika memecah pendikit di hairpin Tosa. Saya dapat berada di laluan lurus cukup selesa untuk mendapatkan kelajuan maksimum dengan menggunakan gear keempat manakala Davide Giugliano hanya cukup dengan gear keempat. Saya bertukar kepada tahap 3 agar lebih mudah dikendalikan dan kemudiannya ditukar pula kepada tahap 4 – tahap yang kurang menyeronokkan kerana pecutan terganggu.
Sama juga dengan sistem TC, saya bermula dengan menggunakan tahap 4 kemudian menurunkannya ke tahap 2 – dapat dirasakan apabila tayar belakang berputar agak ligat ketika di selekoh dan tanda amarannya di papan meter juga menyala beberapa kali. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah kadar pecutannya yang kini hampir sama dengan mesin 1,000cc empat silinder. Saya juga dapat bandingkan dengan model V4 Aprilia RSV RF yang ditunggang beberapa minggu sebelum ini, Ducati nampaknya jauh lebih bertenaga.
Sistem brek Brembonya pula sangat efektif. Kita mampu menurunkan kelajuan dengan pantas dan stabil walaupun selepas memecut dalam kelajuan paling maksimum tanpa menyebabkan tayar belakang terangkat. Saya dapati Davide Giugliano yang sedang memacu sebuah lagi Panigale R dan seorang penunggang lain bersama model F15 Superbike milik Davide berada di belakang saya. Sangat menjengkelkan apabila mereka memintas saya di dalam selekoh!
Opps! Davide dan Chaz kedua-dua mereka dapat mencatatkan masa yang cukup hebat dengan model R ini tambahan pula mesin-mesin ini dilengkapkan dengan tayar Superstock 1000 Diablo Supercorsa yang ternyata mencengkam dengan baik sekali. Memang sangat memuaskan hati menunggang sebuah jentera jalanan yang berprestasi seperti model R ini.
Melihat akan kesemua varian Panigale yang berada di atas jalan, model baru R ini ternyata adalah satu lagi bukti kehebatan Ducati dalam menghasilkan jentera dua roda. Ia lebih pantas, lebih lincah dan paling mengujakan setiap selekoh litar Imola ini dapat diratah dengan tepat sekali. Inilah gabungannya antara saspensi Ohlins, sistem brek mantap dan casis yang tegap tidak kiralah betapa agresifnya anda mengubah posisinya ke kiri dan ke kanan. Dengan Panigale R pasti segalanya amat mudah dan ia juga adalah jelmaan mesin perlumbaan yang bukan sahaja sangat cantik tetapi juga sudah mampu dimiliki. RR
Laporan: Alan Cathcart
Foto: Kel Edge & Milagro
Spesifikasi
Enjin | Superquadro, silinder kembar, desmodromic |
Isipadu | 1,198cc |
Gerek & Lejang | 112 x 60.8mm |
Nisbah Mampatan | 13.2:1 |
Kuasa Maksimum | 205hp pada 11,500rpm |
Tork Maksimum | 136.3Nm pada 10.250rpm |
Isi Tangki | 17 liter |
Tinggi Pelana | 830mm |
Berat | 184kg |
Pengeluar | - |
Popular