Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Oktober 2015

BENELLI TNT600S Ada Rupa, Ada Gaya

Sejak diperkenalkan lebih daripada dua tahun yang lalu, Benelli TnT600 kini sudah tidak asing lagi buat para pencinta motosikal di negara ini. Bentuknya yang menarik, ketahanan enjin dan harga mampu milik adalah faktor utama mengapa model ini semakin popular dari masa ke semasa. Saban hari kita dapat melihat dan mendengar para pemilik jentera 600cc ini menganjurkan konvoi dan ekspedisi mengunjungi destinasi menarik di dalam dan di luar negara.

Terima kasih Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd atas kesudian memberi peluang kepada RR untuk menunggang uji model terbaru, menggantikan model sebelum ini iaitu TnT600 yang menawarkan rekabentuk luaran yang kini lebih mantap dan kemas. Pastinya perbezaan di rekaan bahagian hadapan menangkap sepasang mata kita terlebih dahulu yang lebih langsing berbanding sebelum ini. Untuk pencerahan lebih baik, lampu ini dilengkapi dengan mentol H7 dan lampu kabus yang menepati piawaian Europe Standard (R50/E40).

TnT600S masih mengekalkan ketinggian pelana sama seperti model sebelum ini iaitu 800mm yang terbukti mudah dipanjat oleh pelbagai jenis penunggang, lelaki atau kaum hawawanita. Benelli telah merekacipta tangki serba baru untuk memberikan keselesaan optimum kepada penunggangnya sewaktu berada di jalan-jalan berliku mahupun apabila memerah pendikit dengan lebih galak sewaktu di lebuhraya. Rekaan tangki baru ini turut menyumbang kepada saiz lebih besar iaitu 16 liter berbanding 15 liter yang dilengkapkan pada model terdahulu. Tangki lebih besar.... pastinya perjalanan lebih jauh!

Seperti model TnT600, ketinggian dan kelebaran bar hendalnya yang sempurna memudahkan kita mengendalikan jentera ini. Paparan panel meter baru kini lebih moden dan kemas – meter analog menunjukkan tahap rpm manakala info-info lain seperti kelajuan, suhu, masa, tahap bahan api dan jarak perjalanan yang kita lihat dengan adanya meter jenis digital. Diharap panel meter pada model akan datang dilengkapkan dengan penunjuk gear, barulah lebih yakin menunggang di jalanan berliku.

Bagi para pembaca yang sudah arif menunggang mungkin beranggapan meter gear ini tidak begitu penting tetapi percayalah ia amat diperlukan lebih-lebih lagi buat penunggang yang baru ingin berjinak-jinak dengan dunia motosikal berkuasa tinggi. Semakin hari semakin kerap pula kita lihat kemalangan yang “Posisi sistem ekzos di bawah pelana menarik minat hampir setiap mata yang memandangnya. Rekaan ini mencerminkan tempat asalnya mesin-mesin Benelli dilahirkan iaitu di Itali” melibatkan jentera berkuasa tinggi sedangkan teknologi sesebuah motosikal itu berkembang dengan pesatnya. Sememangnya terdapat 1001 macam faktor dan sebab berlakunya kemalangan itu dan mungkin penggunaan gear yang salah adalah salah satu daripadanya.

Okay... jom kita kembali tatapi motor cantik ini. Dari pandangan sisi, kami akui bahawa kemantapan jentera ini datangnya daripada casisnya yang cukup menarik. Casis Benelli ini merupakan gabungan kerangka trellis yang bersambung dengan plat aluminium bersaiz besar dan disatukan dengan penggunaan bolt bertegaran tinggi. Cukup inovatif! Tidak dinafikan, posisi sistem ekzos di bawah pelana menarik minat hampir setiap mata yang memandangnya. Rekaan ini mencerminkan tempat asalnya mesin-mesin Benelli dilahirkan iaitu di Itali.

Putaran enjinnya yang lancar amat menyenangkan sebaik sahaja ia dihidupkan. Kita dapat rasakan betapa senyapnya ia bergerak tetapi apabila pendikit dipulas galak sedikit...TnT ini mula menunjukkan kematangan suaranya. Memang sedap! Enjin yang bersesaran 600cc ini membekalkan kuasa setinggi 80.4hp (60kW) pada 11,000rpm dan tork 55.0 Nm pada 8,000rpm. Gear ketiga sudah cukup kuat untuk membawa kita meluru ke hadapan pada kelajuan sekitar 80-90km/j sebelum mengerang meminta gear ditambah.

Kotak gear enam kelajuan jentera ini cukup lancar... kalau kita pandai menggunakan gear dan klac, memecut dengan TnT ini cukup pantas – macam pakai powershifter pula rasanya. Dengan tubuh badan yang ramping serta bar hendal yang tinggi, kita mudah menunggangnya hampir ke mana sahaja, yang penting sentiasa berwaspada. Hantaran kuasa paling ideal untuk terus mantap di jalanan biasa ialah dengan menggunakan gear kelima kerana ia masih mengekalkan tork yang kuat untuk membuat pintasan dan mampu kekal selesa walaupun kelajuan diturunkan.

Hamburan kuasa di peringkat pertengahan kemas dan mantap tetapi untuk mendapatkan kelajuan maksimum, ia agak lambat sedikit berbanding jentera-jentera saingannya tetapi itu tidak menjadi hal... ia tetap mampu memecut sepantas 230km/j. Apa yang mengagumkan ialah casis yang tegar dan berat keseluruhannya 220kg menjadikan TnT600S ini cukup stabil dikala kita memecut dalam kelajuan tertinggi. Langsung tidak bergoyang!

Dalam kategori mesin jalanan atau naked, Benelli ini adalah yang paling berat berbanding Suzuki Gladius ABS (205kg), Honda CB650F (206kg), Kawasaki ER6n (204kg) dan Yamaha XJ6 (205kg). Walaupun agak berat, pengendalian Benelli ini ketika menunggang dengan perlahan tetap tidak menyusahkan dengan syarat kita perlu sentiasa membuat anggaran yang betul pada suatu ruang sebelum membuat belokan.

Hakikatnya untuk merasakan nikmat bersama sebuah jentera naked ini bukanlah terletak pada angka kelajuan yang tertera pada paparan meternya tetapi dilihat pada tahap keselesaan. Jika asyik menunggang dengan laju, pastinya tolakan angin dari hadapan akan meletihkan badan malah tidak sempat melihat keindahan alam di kiri dan kanan kerana kita perlu menumpukan seluruh perhatian di jalanraya.

Kehebatan Benelli ini terserlah apabila tiba saatnya mengasah tayar-tayar Pirelli Angel GT yang dilengkapkan padanya! Tayar hadapan Benelli bersaiz 120/70 R17 dan belakang 180/55 R17 yang menawarkan prestasi cengkaman begitu cemerlang sekali tidak kira ketika di cuaca panas yang sempurna mahu pun apabila di atas permukaan yang basah. Tukarkan gear lebih rendah untuk dapatkan brek enjin yang sesuai, miringkan TnT ini dan rasakan betapa galaknya ia meratah setiap selekoh di depan mata. Dengan keberatannya, penunggang perlu lebih bijak mengalihkan tubuh badan dengan tepat ketika membuat miringan agar dapat berada di laluan dengan kemas.

Sistem saspensi hadapan jenis teleskopik yang dilengkapkan pada model ini cukup efektif, jelas dapat dirasakan apabila melanggar bonggol atau ketika menyusuri jalan berlubang – bahagian tangan tidak sakit, bagus sekali. Lengan ayun belakang lengkap dengan peredam coil spring tidak memberikan masalah ketika masuk/keluar selekoh-selekoh kecil tetapi sedikit membuai apabila menunggang berdua di selekoh panjang dalam kelajuan tinggi.

Tidak kiralah sama ada kita suka menunggang di kawasan berselekoh atau membuat pengembaraan, ratusan kilometer yang bakal kita lalui itu tidak mungkin dapat dicapai jika jentera tidak dilengkapi dengan sistem brek yang baik. Oleh itu, Benelli melengkapkan jenteranya ini dengan sepasang brek cakera 320mm dengan angkup radial (hadapan) dan cakera 260mm di belakang yang terbukti cukup efisien.

Kami tinggalkan keseronokan jalan berselekoh dan membuat keputusan untuk merasakan prestasi Benelli ini di dalam kesesakan bandar. Kami mengenang kembali ketika menguji model TnT600 dua tahun yang lalu untuk membuat sedikit perbandingan. Ya... benar! Model lama dan yang baru, kedua-duanya tidak mengeluarkan haba panas yang mengganggu baik dari bahagian enjin mahu pun dari sistem ekzosnya. Kami pasti ini adalah satu lagi faktor penting mengapa model TnT turut digemari dan dipakai oleh mereka yang bekerja di bandar.

Dengan kelangsingan tubuh badannya, penunggang TnT ini juga tidak akan merangkak-rangkak untuk menyelit di antara kenderaan empat roda. Inilah kelebihan jentera naked berbanding model-model sport atau cruiser. Apa yang sedikit mengganggu ialah bebanan pembonceng yang meletihkan penunggang tetapi ianya hanya berlaku di dalam bandar kerana penunggang sering menggunakan brek tetapi apabila trafik kembali lancar, masalah ini tidak lagi membelenggu. Secara totalnya, posisi menunggang Benelli ini tidak menghampakan.

Dengan isian penuh tangki 16 liter ini, kami dapat bergerak lebih daripada 250 kilometer – cukup jimat! Tahniah Benelli kerana terus memberikan pilihan terbaik buat pengguna motosikal negara ini. Benelli Tornado TnT600S ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Metallic Gold dan Red Ruby pada harga RM31,990 (tidak termasuk GST). RR

Isu Pada

Oktober 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, 16 injap DOHC
Isipadu600
Gerek & Lejang65 x 45.2mm
Nisbah Mampatan11.5:1
Kuasa Maksimum63kW pada 11,000rpm
Tork Maksimum55.0Nm pada 8,000rpm
Isi Tangki16 liter
Tinggi Pelana800mm
Berat220kg
PengeluarBenelli Keeway Motocycles Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.