SUZUKI Address Citarasa Terkini Peminat Skuter
Kita mempunyai citarasa dan kehendak yang berbeza. Ada pula yang mementingkan keselesaan, ada yang minat pada kelajuan, dan pastinya ada yang suka bergaya bersama jentera masing-masing. Percaya atau tidak, jenama motosikal berenjin automatik dari negara matahari terbit ini telah mula menambat hati para pengguna di Malaysia pada awal tahun 90-an dahulu. Model V100 berenjin dua lejang diperkenalkan dengan ciri-ciri yang digemari tidak kira lelaki ataupun wanita.
Pada tahun 1997, Suzuki sekali lagi memeriahkan lagi dunia skuter di negara ini dengan melancarkan model V125 berenjin empat lejang yang menjadi fenomena skuter pada waktu itu. Hampir setiap anak muda di negara ini menggilainya kerana ia cukup versatil. VS125 diminati kerana rupabentuk yang urban. Ia mudah diubahsuai mengikut selera peminatnya seperti rekacorak air brush dan sistem audio canggih. Antara model skuter Suzuki yang mewarnai dunia motosikal tanahair adalah VR125, VS150, Step, Skydrive, Nex115 dan kini Address, berkapasiti 113cc yang dilancarkan pada bulan Mei lalu.
Kini jentera skuter sudah tidak asing lagi di negara kita. Ia popular bukan sahaja di kawasan bandar malah turut menjadi pilihan di kawasan kampung dan digilai dari semua peringkat umur. Skuter diminati kerana ia tidak memerlukan penukaran gear dan klac kerana ia hanya perlu mengawal pendikit untuk meningkatkan kelajuan. Namun, jentera skuter mahupun motosikal biasa mempunyai kelebihan masing-masing.
Rupabentuk Suzuki Address kini lebih anggun dan menawan hati siapa sahaja yang melihatnya dengan rekaan garis-garis aerodinamik yang canggih dan sporty beserta lampu utamanya yang besar. Lampu brek belakang juga besar dan terang untuk dilihat dari jarak yang jauh. Boleh dikatakan, rekaan skuter ini kelihatan sesuai untuk penunggang lelaki mahupun wanita. Ia tidak terlalu kecil untuk penunggang yang berketinggian 5.5 kaki sehingga 6 kaki. Ketinggian bar hendal dan kedudukan pelana boleh dikatakan ideal dan selesa. Ruang meletak kaki agak luas memberikan penunggangnya ‘bersatu’ untuk bergerak pantas dan mengubah haluan dengan tepat.
Model Address ini turut dilengkapi ruang bawah pelana yang luas berkapasiti 20.6 liter yang boleh memuatkan beg galas berisi komputer riba, telefon bimbit, satu set baju hujan atau beg tangan wanita yang besar…. tiada masalah, pastinya kaum wanita berasa selamat dengan menyimpan ‘harta’ mereka di bawah pelana. Bagi mereka yang suka ke pasar untuk membeli barangan, model ini turut dilengkapi penyangkut barang yang terletak di belakang fairing hadapan untuk meletak barang.
Pandu Uji
Menghidupkan enjin Address ini pada waktu pagi yang dingin memang ‘syiok’. Tidak perlu berfikir panjang, tarik tuas brek dan tekan punat penghidup elektriknya (turut dilengkapi penghidup tendang) dan enjin menderum dengan lembut sekali. Terima kasih kepada sistem pancitan bahanapi yang menggantikan sistem karburetor melancarkan lagi proses menghidupkan jentera automatik ini di waktu pagi. Enjin silinder tunggal, empat lejang dan berisipadu 113cc menawarkan tunggangan yang mengasyikkan dengan kuasa maksimum 7.7kW. Jangan terperanjat pula apabila kita antara yang berupaya memecut laju meninggalkan kenderaan lain apabila pendikit dipulas dari keadaan melahu. Memang benar… ia meluru ke hadapan dengan tangkas sekali!
Saiz meternya besar dengan paparan yang mudah dibaca memberikan kelebihan kepada kita untuk terus fokus ketika menunggang di jalanan. Hanya sekali pandang kita sudah mengetahui kelajuan, tahap bahanapi dan isyarat belok dan jarak perjalanan. Lampu latar belakang meter ini terang dan jelas ketika menunggang di waktu malam begitu juga dengan suluhan lampu utamanya. Sistem ekzosnya dilengkapi dengan pelindung panas dan aksesori ini cukup penting terutamanya bagi penduduk di kawasan kejiranan yang terdapat ramai kanak-kanak. Tubuh mereka sangat terdedah dengan bahagian-bahagian panas seperti brek cakera, enjin dan semestinya sistem ekzos.
Dengan berat keseluruhan 97 kilogram, Address menawarkan pengendalian yang cukup mudah dan inilah yang kita inginkan terutama ketika memacunya di dalam bandar yang seringkali memerlukan kita untuk mencelah kenderaan lain . Pakai helmet penuh muka, sarung tangan dan kasut – memang ada umph!
Oleh kerana agak ringan, meluncur dalam kelajuan maksimum iaitu sekitar 110- 115km/j memerlukan genggaman yang kuat kerana agak bergoyang sedikit di atas lebuh raya, lebih-lebih apabila dipintas oleh kenderaan besar jika dalam kelajuan tinggi. Namun jika menunggang sekitar 80-90km/j ia stabil dan seronok. Tambah meyakinkan apabila meluncur dengan laju, sistem brek cakera (depan) dan jenis gelendong di belakang bertindak cukup efisien dan jika mahukan cengkaman yang menakjubkan, tarik sahaja kedua-dua tuas breknya. Address dilengkapi sistem pengunci brek belakang yang terletak di hadapan tuas brek sebelah kiri.
Di jalan-jalan berselekoh, skuter ini juga langsung tidak mengecewakan. Saspensi hadapan Address adalah jenis fork teleskopik dan ia bertindak dengan kemas walaupun ketika kita membrek dengan keras. Kita tidak akan terasa mengelungsur ke hadapan walaupun di atas pelana yang rata. Penyerap hentak belakangnya memberikan keselesaan penunggang dan juga pembonceng ditambah pula dengan saiz tayar yang agak lebar, 80/90-14 MC 40P di hadapan dan 90/90-14 MC 46P jenis tubeless. Sportrim lima jejari yang ideal untuk model ini menambahkan keanggunan penampilan keseluruhannya.
Satu lagi perkara yang menyebabkan Address ini menjadi kesukaan ramai iaitu menunggangnya ketika hujan. Okay… rekaan fairing hadapan memang banyak membantu melindungi kasut dan sebahagian seluar kita daripada terkena percikan air hujan di permukaan jalan. Kalau hujan lebat bahagian atas seluar kita akan basah tetapi dari lutut hingga ke kasut terbukti agak kering.
Kami dapat memacu model ini lebih daripada 150 kilometer dengan sekali isian penuh tangki bersaiz 5.2 liter dalam pelbagai jenis gaya tunggangan dan permukaan jalan. Sememangnya ia adalah mesin yang menjimatkan dengan memberikan penggunaan purata setiap satu liternya lebih kurang 30km. Address adalah jentera pilihan yang sesuai digunakan di mana sahaja kerana ia menawarkan gaya, tunggangan yang lincah dan penjimatan bahan api yang baik.
Terdapat dua warna pilihan ketika ia diperkenalkan iaitu Celebration Red dan Metallic Medium Blue. Ia ditawarkan pada harga asas RM5,075.28 termasuk GST 6%. Namun, para peminat skuter Suzuki Address ditawarkan pula dengan pilihan warna terbaru iaitu MotoGP Colour/ Special Edition yang ditawarkan pada harga asas RM5,181.28 termasuk GST 6% yang diperkenalkan pada perlumbaan SBK Sepang baru-baru ini. RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, DOHC, sejukan udara |
Isipadu | 113cc |
Gerek & Lejang | 51.0 x 55.2mm |
Nisbah Mampatan | 9.4:1 |
Kuasa Maksimum | 6.9kW pada 6,000rpm |
Tork Maksimum | 8.6Nm pada 8,000rpm |
Isi Tangki | 5.2 liter |
Tinggi Pelana | - |
Berat | 97kg |
Pengeluar | Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd |
Popular