Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 September 2015

CMC XY400 : Memberi Kejutan Hebat!

Bagaikan kembali ke zaman silam apabila melihat motor ini di depan mata. Rekabentuk, kemasan luaran, aksesori berkrom dan deruman enjinnya menggamit semula memori lalu tatkala melihat mesin-mesin seperti Triumph, Royal Enfield, BSA dan Norton ditunggang dengan cukup bergaya. Dengan kesungguhan syarikat tempatan iaitu Chear Global Sdn Bhd, motosikal berbentuk klasik ini bukan sahaja dapat kita lihat di atas jalan raya malah kini ia sudah boleh dimiliki.

Ucapkanlah selamat datang kepada CMC XY400, sebuah mesin baru yang dihasilkan berbentuk retro yang cukup-cukup menawan. Melihat bentuknya mengingatkan saya kepada salah seorang kenalan ayah di kampung yang merupakan satu-satunya guru bermotosikal klasik. Setiap petang beliau akan bermotor keliling kampung bermesra dengan jiran-jirannya manakala anak-anak muda hanya mampu melihat dan terliur setiap kali ekzosnya berdentum apabila pendikit dipulas. Mengenangkan pengalaman itu membuatkan saya tersenyum seketika.

Terima kasih diucapkan kepada Chear Global kerana memberi peluang untuk kami menikmati tunggangan bagaikan puluhan tahun dahulu. Sebelum melompat terus ke atasnya, tidak sah jika kami tidak membelek-belek jentera yang cukup anggun ini. Bahagian kepalanya dihiasi dengan dua meter berbentuk bulat yang bersaiz sama dan meter-meter ini dicantikkan lagi dengan kemasan berwarna krom. Walaupun ringkas, ia masih memberi maklumat penting seperti jarak perjalanan, tahap kelajuan, lampu isyarat dan kedudukan gear neutral. Untuk kelihatan retro, lampu utamanya juga dihasilkan dalam bentuk bulat.

Kedudukan pelananya hanya setinggi 790mm, cukup tebal dan empuk memberikan keselesaan sebaik sahaja kita melabuhkan punggung dan ini amat penting buat sebuah jentera ‘klasik’ yang pastinya menjadi pilihan setiap pemilik untuk mengembara bersamanya. Sudut dan ketinggian bar hendal yang tepat menawarkan posisi menunggang yang relaks tidak kiralah anda seorang yang tinggi atau rendah. “Melihat rekabentuknya, ramai penunggang lain terkejut dengan kelincahan mesin ini memecut terutamanya dari keadaan pegun atau pun apabila berada di lebuhraya.” Oh ya…Terdapat dua cara untuk kita menghidupkan enjin. Guna suis penghidup seperti motor-motor sekarang ini atau dengan cara menendang – macam motor dulu-dulu. Tentulah mempraktis cara lama lebih menyeronokkan.

Seperti yang dikatakan oleh Pengurus Besar CMC, En. K.C Leong, “Anda pastinya akan teruja dan mengagumi kuasa yang dihasilkan oleh jentera 399cc ini.” Benar apa yang beliau katakan. Enjin CMC ini bertindak dengan cemerlang sekali setiap kali pendikitnya dipulas. Dengan saiz fizikalnya yang tidak terlalu berat (150kg) menjadikan ianya dapat memecut dengan pantas sehinggakan kita tidak menyangka CMC XY 400 ini menggunakan sistem karburetor kerana hantaran kuasanya cukup lancar sekali. Keseronokan bersama CMC ini lebih bermakna apabila kita mendengar bunyi yang terhasil menerusi sistem ekzos jenis peashooter yang segar dan menyenangkan. Ianya tidak terlalu bingit.

Kelicinan proses menukar gear yang ditawarkan oleh jentera CMC jauh lebih efisien jika hendak dibandingkan dengan jentera-jentera klasik dan inilah perbezaan paling besar antara motosikal lama dan baru. Jentera ini didatangkan dengan enjin 397.2cc, satu silinder, sistem penyejuk minyak yang menawarkan kuasa maksimum setinggi 26.5hp pada 7,000rpm dan tork 30Nm pada 5,500rpm – cukup hebat untuk sebuah jentera ‘klasik’. Dalam laluan lurus, CMC ini dapat dilarikan sepantas 150 km/j dengan mudah sekali tetapi kelajuan paling ideal ialah sekitar 110km/j. Okay la tu…. tidak membahayakan dan tidak akan disaman oleh pihak berkuasa kerana memandu laju.

Nota: Sistem penyejuk minyak ini berfungsi dengan adanya satu bekas minyak (oil pot) yang bersambung pada bahagian enjin menerusi saluran paip yang bertindak mengalirkan pelincir untuk tujuan penyejukan.

Melihat rekabentuknya, ramai penunggang lain terkejut dengan kelincahan mesin ini memecut terutamanya dari keadaan pegun atau pun apabila berada di lebuhraya. Benar…. ini terbukti ketika kami berada di atas lebuhraya. Terdapat sebuah jentera berkuasa sederhana yang cuba mengekori dari belakang tetapi memilih untuk tidak memintas. Apabila kelajuan ditingkatkan, dia cuba mengikut rentak sehinggalah terpaksa mengalah apabila jentera ini dipecut ke tahap maksimum. Apa yang mengagumkan, tamparan angin dari hadapan tidaklah sekuat yang kita sangkakan manakala ketegaran casisnya menjadikan mesin ini cukup tegap dan tangkas.

Hakikat yang pastinya dihadapi oleh setiap penunggang yang memiliki CMC ini ialah anda akan disapa… akan ditanya… akan dirapati oleh orang ramai tidak kira tua atau muda dan apa bangsa sekali pun, hampir semuanya amat meminati jentera ini. CMC masih mengekalkan ciri-ciri sebuah motosikal tua seperti bahagian madgad, lampu hadapan, lampu belakang, sistem ekzos di kiri dan kanan, kerangka dan getah di sisi tangki untuk kita meletakkan lutut dengan lebih kemas. Inilah yang menyebabkannya mendapat perhatian ke mana sahaja ia dibawa.

Kedudukan enjin dan kerangka yang rendah membantu kita mengendalikan mesin ini dengan mudah. Kedudukan bar hendal yang lebar memberikan keyakinan untuk kita memiringkan motosikal ini dengan pantas walaupun di selekoh-selekoh tajam. Jangan pula nak dibandingkan dengan prestasi mesin sport ya!! Kelincahan CMC ini di jalan-jalan berselekoh datangnya daripada sistem saspensi hadapan jenis teleskopik dan jenis henjutan spring di belakang. Ia menyerap segala hentakan dengan baik sekali sama ada ketika membrek sebelum memasuki selekoh atau pun apabila menunggang di jalan-jalan yang tidak rata.

Seiring dengan rekabentuknya, menunggang CMC ini tidak boleh terburu-buru, tidak perlu tergopoh gapah. Tunggangan perlu dilakukan dengan jiwa yang tenang kerana segala nostalgia akan kembali ke fikiran dengan tiba-tiba. Dengan tubuh badan yang ramping, XY400 ini memang pilihan yang bijak untuk dibawa bersiar-siar walaupun di dalam bandar yang padat dengan kenderaan lain.

Walaupun ia adalah sebuah jentera retro, pihak Chear Global Sdn Bhd tidak pernah mengenepikan faktor keselamatan. Jentera baru ini dilengkapi dengan brek hadapan jenis cakera hidraulik yang cukup efisien manakala brek belakang jenis gelendong langsung tidak mengecewakan (kalau boleh, brek belakang juga perlu ditukar dengan brek cakera). Tayar hadapan bersaiz 100/90-19 dan di belakang 130/70-18 mencengkam dengan baik sekali walaupun di atas permukaan jalan yang agak berpasir.

Selepas hampir 300 kilometer bersamanya, kami masih segar tanpa rasa sakit-sakit badan. “Baguslah motor ini, boleh bawa mengembara kalau lengkap dengan beg sisi,” kata salah seorang daripada kami.

Ya…antara aksesori tambahan yang boleh ditambah agar XY400 ini lebih praktikal ialah beg barangan sisi dan cermin pengadang udara. Walaupun menggunakan sistem karburetor, CMC XY400 ini dapat dibawa sejauh 180 kilometer dengan isian penuh tangki sebesar 13 liter. Jimat!

Kepuasan menunggang adalah satu perkara subjektif. Ada yang merasakan nikmatnya menunggang itu hadir apabila jentera dipecut lebih daripada 300km/j, ada pula yang mendapatinya apabila dapat mengembara ribuan kilometer tetapi dengan CMC ini, kami rasakan ia mempunyai ‘roh’ dan semangatnya yang tersendiri. Kita sentiasa bagaikan tertarik dengan rekabentuknya dan dahagakan keupayaan enjinnya memecut di jalan raya. Terima kasih sekali lagi CMC XY400…. seperti kami, kami pasti anda juga tentu akan menyukainya!

Model ini ditawarkan pada harga jualan RM17,808 (termasuk GST) dengan dua pilihan warna iaitu merah dan hijau. RR

Isu Pada

September 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk minyak
Isipadu307.2cc
Gerek & Lejang85 x 70mm
Nisbah Mampatan-
Kuasa Maksimum26.hhp pada 7,000rpm
Tork Maksimum30Nm pada 5,500rpm
Isi Tangki13 liter
Tinggi Pelana790mm
Berat150kg
PengeluarChear Global Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Dari Litar

Pasukan Repsol Honda Tiba Di Buriram. Joan Mir Perlu Buat 'Come Back'!

Selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sudah ketiga berturut-turut, Joan Mir perlu kembalikan prestasinya ke tahap terbaik sempena perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand minggu ini.