Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 September 2015

KAWASAKI VERSYS 650 : Tampak Lebih Agresif, Nikmat Tunggangan Dengan Selesa

Sebelum pasaran negara dipenuhi dengan jentera-jentera 600cc-650cc seperti sekarang ini, terus terang kami katakan, hanya terdapat dua model sahaja yang ketika itu menguasai jalan-jalan di seluruh negara dengan megahnya iaitu Kawasaki ER6n dan Versys 650. Walaupun berada di pasaran buat sekian lama, model Versys terus menjadi pilihan para penunggang hingga ke hari ini. Mengapa? Jawapannya amat ringkas dan mudah sekali. Cantik, selesa dan tahan lasak! Sesuai benar dengan namanya yang diambil daripada perkataan Versatile System atau Versys.

Versys ini adalah jentera yang sesuai dimiliki hampir untuk semua jenis tunggangan. Ia merupakan sahabat rapat buat para pekerja yang berulang alik dari rumah ke pejabat, beriada di kawasan pantai, berbukit di hujung minggu atau memacunya mengembara ke luar negara. Versys boleh! Kemampuan untuk menjejalah di jalan raya biasa atau pun di laluan offroad telah pun dibuktikan oleh para pemiliknya yang sudah mengembara hingga sempadan China tanpa menghadapi sebarang masalah. Boleh kita katakan, Versys antara jentera 'tahap legend' lah sekarang ini.

Untuk 'memecut' sama laju dengan peredaran masa dan teknologi, Kawasaki telah memperkenalkan Versys 650 baru, dilancarkan pada 14 Jun lalu di majlis MPI (Media Press Introduction) di Pulai Spring Resort, Johor dengan menawarkan rekabentuk yang 'ummph' dan lebih menggiurkan. Dua buah lampu utama yang berbentuk tajam menggantikan lampu lama yang bentuknya menegak dan lampu baru ini adalah ciri-ciri utama menjadikan Versys 2015 lebih cantik. Bar hendalnya tidak jauh berbeza... cukup sedap dan selesa dipegang tetapi pelana yang kini 5mm lebih rendah memudahkan lebih ramai peminat motosikal dual-purpose menunggangnya. Antara bahagian yang masih sama dengan model terdahulu ialah pada rekabentuk lampu belakang dan sistem ekzosnya.

Kejayaan penjualan Versys ini adalah disebabkan keselesaannya buat penunggang dan pembonceng... betul tak? Ya, Versys baru ini dilengkapi dengan pelana yang cukup empuk disamping bar pemegang yang lengkap dengan braket khas untuk kotak barang. Rekaan ini memang bijak! Kita tidak perlu lagi membeli braket baru sebaliknya beli kotak barang khas model Versys ini.

Kami memilih untuk bermotor ke Kuala Selangor memandangkan sudah agak lama tidak ke sana disamping rindukan kehijauan sawah padi yang menjadi salah satu tarikan utama warga kota ke sana di hujung-hujung minggu untuk bergambar kenangan. Cermin pengadang udaranya boleh diubah dengan adanya butang bulat yang hanya perlu diputarkan untuk menggerakkan cermin ini ke bawah atau ke atas. Okay…siap! Versys 2015 ini seberat 214 kg, lebih lapan kilogram berbanding sebelumnya tetapi ia langsung tidak memberi kesukaran untuk dikendalikan tidak kira dalam kelajuan rendah atau pun tinggi dan jika ini adalah faktor utama mengapa Versys dikatakan sesuai untuk dibawa menjelajah termasuk ke kawasan luar bandar… kami bersetuju.

Sebaik sahaja dihidupkan kita dapat rasakan enjin 649cc, dua silinder kembar parallel, sistem penyejuk cecair, 8 injap ini bergerak dengan tenang sekali. Bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos kecilnya lembut dan segar, hampir tidak begitu terdengar tambahan pula jika bertopi keledar penuh. Model yang diuji ini telah dilengkapkan dengan meter posisi gear berbentuk kecil bulat yang merupakan aksesori pilihan kepada para pembelinya. Panel meter Versys baru ini lebih menarik dengan kedudukan meter analog tahap rpm diletakkan di atas paparan digital. Pendikit dipulas, kita dapat rasai perubahan yang dilakukan pada enjinnya yang kini berkuasa 69PS pada 8,500rpm (model lama: 64.0PS pada 8,000rpm) dan tork setinggi 64.0Nm pada 7,000rpm (model lama: 61Nm pada 6,800rpm) bergerak dengan pantas sekali. Dengan kuasa yang sehebat ini kita akan lebih teruja apabila berada di peringkat pertengahan, hanya memerlukan sedikit penggunaan pendikit untuk memecut ke hadapan.

Kemantapan jentera Kawasaki ini bergerak pantas adalah kerana ia telah dilengkapi dengan Dual Throttle Valve yang akan menambah kuasa pada semua keadaan. Ternyata dari segi prestasinya Versys ini bukan setakat sebuah jentera touring seperti model terdahulu tetapi kini ia bagaikan sebuah mesin jalanan yang pantas dan ranggi.

Dalam gear tertinggi, Kawasaki ini dapat memecut lebih daripada 200km/j dengan mudah sekali manakala casis keluli jenis berlian yang bertegaran tinggi memberikan keyakinan kepada penunggangnya untuk memecut dengan selamat dan satu lagi, cermin pengadang udara jelas jauh lebih baik jika dibandingkan dengan model lama. Kita dilindungi dengan cemerlang sekali… memang sangat selesa untuk perjalanan jauh. Keserasian antara penunggang dengan jentera yang ditungganginya amat penting demi keselamatan diri. Sedikit panduan ingin kami kongsikan… jika menunggang sebuah jentera baru, paling kurang kita hendaklah terlebih dahulu memahami karaktor, kuasa enjin dan sistem breknya. Lebih tinggi dan hebat kuasanya, lebih banyak masa diperlukan!

Versys ini juga dilengkapi dengan Economical Riding Indicator - memberitahu kita suatu kelajuan yang tepat untuk mencapai kadar penjimatan bahan api yang optimum. Kita boleh menilai tunggangan yang menjimatkan apabila munculnya tanda ‘eco’ di paparan meter Versys ini. Sebagai contoh, apabila berada di dalam gear kelima, tanda 'eco' ini akan terpapar jika kelajuan tidak melebihi 120km/j dan apabila kelajuan ditingkatkan maka tanda ini akan hilang. Begitu juga dalam kedudukan gear keenam, tanda 'eco' ini akan terpapar pada suatu kelajuan paling menjimatkan yang ditetapkan secara automatik.

Sebaik sahaja menghampiri bandar Sekinchan, sudah terlihat kehijauan sawah-sawah pagi di sini. Apa lagi…bagi isyarat dan terus masuk di kawasan itu. Cermin sisinya yang besar memudahkan kita melihat keadaan trafik di belakang hanya dengan sekali imbas sahaja.

Ia sebuah motosikal serba boleh yang memberikan rasa yakin dengan kemampuan untuk berada di jalan raya biasa, lebuhraya dan juga di kawasan offroad. Enjinnya begitu fleksibel! Kita masih boleh menurunkan kelajuan sekitar 35-40km/j dalam gear keempat tanpa sebarang gangguan pada sistem gear dan apabila pendikit dipulas… zoom! Versys ini ‘berlari’ menuju destinasinya.

Konvoi wakil media Kawasaki Versys  650 ketika pelancaran model ini di  Johor pada bulan Jun lalu.
Konvoi wakil media Kawasaki Versys 650 ketika pelancaran model ini di Johor pada bulan Jun lalu.

Bar hendalnya yang tinggi dan tangkinya yang mudah dikepit membantu kita mengawal jentera ini dengan cekap di jalan-jalan berbonggol. Sistem saspensi jenis teleskopik dengan peredam rebound boleh laras (bahagian hadapan) dan lengan ayun boleh laras banyak membantu menjadikan lengan dan punggung kita tidak bergegar atau sakit walaupun berada lama di permukaan berbatu. Casisnya yang bertegaran tinggi cukup seimbang untuk ditunggang membuatkan kita merasa mampu untuk mengatasi segala cabaran di atas jalan. Seperti yang dikatakan tadi, jentera ini juga mampu bergerak dengan lembut memudahkan kita mengawalnya di semua jenis permukaan jalan.

Walaupun kami tiba di daerah Sekinchan di waktu tengahari, angin yang bertiup di kawasan terbuka ini mendinginkan badan. Cukup nikmat tambahan pula apabila menyedari ada sebuah mesin versatil di sebelah – terasa seketika macam berada di luar negara. “Lawa motor bang!” tegur seorang penduduk tempatan menyedarkan lamunan.

“Ya...ya…motor Kawasaki Versys 650 baru ini,” jawab kami dengan ringkas. Tadi lengang tiba-tiba sahaja semakin ramai orang kampung keluar menggunakan jalan ini. Rupa-rupanya ini waktu tamat persekolahan sesi pagi… patutlah. Satu lagi perkara yang menyeronokkan apabila menunggang di kawasan luar bandar iaitu kemesraan yang dapat dikongsi sesama penduduk kampung lebih-lebih adik-adik yang tak letih-letih melambai. Hilang juga penat apabila melihat kerenah mereka ini. Kawasaki ternyata dekat di hati para penunggang motosikal di Konvoi wakil media Kawasaki Versys 650 ketika pelancaran model ini di Johor pada bulan Jun lalu. Malaysia kerana telah ‘berbakti’ kepada masyarakat lebih daripada 30 tahun. Antara model lagenda yang melonjakkan nama Kawasaki iaitu model KIPS, KRZ, ZZR250, ZXR250, Ninja 250, KR150, ER6n dan tidak terkecuali Versys 650/1000.

Dengan bentuk yang tinggi lampai dan langsing, jentera 650cc cukup lincah apabila berada di dalam bandar. Kita juga dapat melihat keadaan trafik dengan mudah dan sistem penyejuk cecairnya memang ‘superb’, tiada langsung haba panas dirasakan walaupun ada ketika terpaksa berasak-asak dengan kenderaan yang semakin banyak menjelang ‘sore’. Dengan yakinnya kami katakan bahawa Versys ini mudah ditunggang tidak kira tahap mana kemahiran tunggangan anda kerana ia sebuah mesin yang ringkas dan senang.

Versys baru ini dilengkapi dengan tayar hadapan 120/70ZR 17M/C (58W) dan belakang 160/60ZR 17M/C (69W) yang menggigit permukaan jalan dengan baik. Paling penting, perhatikan jalan, nilai sudut belokan, pilih kedudukan gear dan buat belokan dengan kelajuan yang sewajarnya... Versys ini memang cukup seronok untuk dilayan. Untuk proses membrek lebih tepat dan jitu, Versys ini didatangkan dengan sepasang brek cakera 300mm jenis berkelopak dan brek belakang 250mm jenis berkelopak yang memang bertindak dengan cemerlang sekali.

Penggunaan bahan api? Memang... memang sangat jimat, dengan isian tangki penuh 21 liter (model terdahulu: 19 liter) mampu membawa kita mengembara lebih daripada 330 kilometer. Jika model dahulunya sudah cukup diminati, bayangkan Versys 2015 ini... pastinya mendapat perhatian ramai kerana ia jauh lebih cantik, lebih berkuasa dan lebih jimat. Versys ditawarkan pada harga asas RM38,396 (termasuk GST). RR

Isu Pada

September 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, kembar parallel, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu649cc
Gerek & Lejang83.0 x 60.0mm
Nisbah Mampatan10.8:1
Kuasa Maksimum69PS pada 8,500rpm
Tork Maksimum64.0Nm pada 7,000rpm
Isi Tangki21 liter
Tinggi Pelana840mm
Berat214kg
PengeluarKawasaki Motor (Malaysia) Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.