Suzuki V-Strom 1050XT - Bagaikan Sahabat Karib
Kalau nak jadikan teman untuk melihat keindahan alam, Suzuki V-Strom 1050XT mungkin boleh dijadikan pilihan. Tak susah pun nak pilih, dengan barisan para pengedar yang cukup agresif di seluruh negara… anda perlu cari, cuba rasa dan bayar sahaja! Harga untuk sebuah jentera kembara ini ialah RM81,900 (tak sampai pun 100k!).
Empat hari kami bersama V-Strom ini dan selama itulah juga kami dapat merasakan baik buruknya jentera ini. Ketika menunggang uji V-Strom 650 dulu, kami akui ia antara motosikal kembara yang sangat sesuai untuk dimiliki. Harganya berpatutan dan paling utama, Suzuki itu memiliki spesifikasi enjin dan rekabentuk tubuh badan yang sesuai untuk semua jenis penunggang. Tak kira penunggang tu tinggi atau rendah, no worries!
Dari segi saiz, Suzuki V-Strom ini memang nampak lebih besar dan tinggi berbanding model 650... mestilah kan! Saiz enjin pun hampir sekali ganda. Paling menarik ialah keputusan para jurutera dan perekacipta Suzuki untuk mengembalikan nostalgia model DR 750 Big yang diperkenalkan pada tahun 1980an dulu. 'Hubungan kekeluarga' antara dua model yang dipisahkan selama tiga dekad memang nampak jelas terutamanya menerusi rekaan bahagian hadapan khususnya lampu utama yang berbentuk empat segi, paruh, bentuk tangki dan rekaan fairing.
Akhirnya, dapat kita saksikan motor tinggi Suzuki dengan lampu moden. Ya... lampu depan V-Strom ini jenis LED, tidak seperti model 650 yang masih menggunakan lampu halogen biasa. Panel meter digital V-Strom ini moden tetapi susunannya agak 'kelam kabut' sedikit. Kotak-kotak info, tulisan dan angkanya yang kecil agak sukar untuk dibaca. Ambil masa juga untuk nak ingat di mana letaknya jam, talaan TC, mod tunggangan dan lain-lain.
Posisi menunggang V-Strom ini selesa dan sememangnya ia direka pun untuk menyenangkan penunggang menikmati ratusan malah ribuan kilometer tanpa sungutan. Segala suis yang terdapat pada kiri dan kanan hendal Suzuki ini mudah untuk kita guna – cuma perlu cepat faham posisi info yang terdapat pada panel meternya baru lebih cepat kita berinteraksi di antara mata, panel meter dan apa juga talaan yang dipilih. ‘Gitu’ caranya….
Tangki yang sebesar 20 liter memang cukup sedap dikepit, rasa bersatu kalau waktu memecut. Okay, berbanding V-Strom 650, model ‘abang besar’nya ini memiliki ketinggian yang agak sukar dipanjat oleh penunggang yang agak rendah. Tapi kalau untuk abang-abang rider otai, ‘korang’ memang selamber je panjat motosikal macam ni.
adalah ‘hadiah’ dari Suzuki yang dapat dirasa dan dinikmati oleh para pemilik V-Strom ini dan merupakan bukti betapa canggihnya motosikal di zaman sekarang. Menerusi sistem ini, V-Strom 1050XT dilengkapkan dengan Motion Brake System, Hill Hold Control System, Slope Dependent Control System & Load Dependent Control System, Cruise Control, Suzuki Drive Mode Selector (SDMD) dan Traction Control System. Banyakkan? Percayalah…. bila dah jauh jalan, masuk macam-macam tempat… kita akan bersyukur betapa bijaknya otak manusia dalam penciptaan.
Sebelum bercerita tentang pengalaman menunggang dengan lebih 800 kilometer bersama V-Strom 1050 ini, ada lebih baik kami terangkan ‘apakebenda’ semua sistem yang ada tu. Untuk apa ia dicipta, agar kita lebih menghargai para jurutera yang cuba sebaiknya untuk jadikan ia sebuah kenderaan dua roda yang selamat.
Kita mula dengan Motion Track Brake System yang menggabungkan info/data daripada pergerakan jentera dengan kelajuan tayar depan/belakang. Ini membolehkan sistem ABS diaktifkan secara automatik bukan sahaja di laluan lurus malah ketika kita membuat miringan sekalipun (model XT sahaja).
Hill Hold Control System pula mengelakkan motosikal daripada mengundur ketika berada di kawasan/laluan yang agak curam. Sistem ini akan jadikan brek belakang berfungsi selama 30 saat - sempatlah untuk kita menahan pergerakan atau menambah kuasa untuk terus mendaki. Sistem Slope Dependant Control pula mengawal tekanan brek waktu kita turun bukit – ini untuk elakkan tayar belakang daripada terangkat (model XT sahaja). Model XT juga ada sistem Load Dependant Control yang menambah tahap kecekapan dan respon brek mengikut tahap bebanan yang kita bawa.
Sebelum membuat perjalanan ke Perak, V-Strom ini kami guna terlebih dahulu untuk ‘beriadah’ di dalam kawasan bandar. Selain KL… antara bandar padat lain yang sempat kami terjah ialah Puchong, Cheras dan Shah Alam. Disebabkan model XT ini didatangkan dengan kotak barang sisi, ia memang cabaran paling utama. Dengan saiz seluas 37 liter, kotak sisi V-Strom ini agak menyukarkan kita untuk mencelah melainkan pada ruang yang agak luas. Jadi… kalau masuk bandar, tak payahlah nak pasang kotak barang sisi.
Dengan pelana setinggi 850mm, pandangan kita lebih luas – melepasi bumbung kereta. Selain itu, hantaran kuasa dan pendikit yang lembut amat menyenangkan. Tenaga enjin 1,037cc dengan kekuatan 79.0kW pada 8,500rpm membolehkan kuasa hadir dengan lancar setiap kali pendikit dipulas – tidak secara tiba-tiba. Jika enjin memberi tenaga yang terlalu kuat, sukar untuk ditunggang dalam bandar dan ini memang bagi kita ‘stress’. Penat nak kawal! Dengan V-Strom semua okay kecuali susah nak celah saja lah.
Sekurang-kurangnya ada dua sistem yang menjadikan kita berasa tenang untuk mengawal motor tinggi ini dalam bandar. Pertama ialah Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang jadikan tuas klac lembut dan lagi satu ialah Low RPM Assist yang menaikkan putaran enjin secara automatik ketika bergerak perlahan.
Kepuasan sebenar ‘motor tinggi’ ini adalah ketika memecutnya di lebuhraya. Ada tiga mod iaitu A, B dan C yang akan mengawal tahap respon pendikit. A paling mantap, B lebih lembut dan C memberikan respon yang paling rendah – sesuai ketika dalam hujan. Pencahayaan yang jelas dari lampu LED juga memudahkan kita dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain.
Tubuh badan yang tegap menjadikannya cukup ‘steady’ dalam kelajuan tinggi. Dengan mudah ‘Suzi’ ini dipecut lebih daripada 200km/j manakala ‘windshield’ atau cermin pengadang anginnya cukup tinggi untuk membuatkan tubuh badan kita berasa selesa (ketika memecut laju). Jika membawa bebanan dalam kotak sisi, kelajuan maksimum yang disyorkan adalah sekitar 180km/j sahaja.
Apa yang kurang praktikal bagi kami ialah pelarasan ‘windshield’ ini hanya boleh dibuat dari depan dan bukannya dari kedudukan penunggang. Jadi, kalau nak ubah ketinggian ‘windshield’ ini, kena berhenti dahulu dan kena turun dari motor. Bagi pandangan kami, kan lebih baik jika tinggi/rendah cermin pengadang boleh kita ubah tanpa perlu turun dari motosikal dan sewaktu bergerak.
Cruise Control memang wajib dijadikan ciri-ciri utama bagi sebuah motosikal kembara dan mujurlah V-Strom ini turut memilikinya. Sistem ini boleh digunakan apabila kelajuan jentera sudah lebih daripada 50km/j serta dalam kedudukan gear keempat dan ke atas. Tekan suis yang ada tanda/lambang bulat ‘Cruise Control’ untuk bersedia manakala suis tambah/kurangkan kelajuan ada di sebelah kiri hendal. Seperti mana-mana sistem Cruise Control, ianya dimatikan apabila kita menutup pendikit atau menggunakan sistem brek.
Dari Cheras, Shah Alam, Puchong, Sungai Buloh….kami akhirnya tiba di Gopeng, Perak dengan niat untuk menikmati kehijauan dan kesegaran air sungai di sana. Terima kasih kepada En. Rosdhi, pengasas Rock Garden Camping Resort yang sudi memberi peluang buat RR untuk bergambar di sana. Siap jamu Teh O Ais dan kuih muih lagi. Untuk ke Rock Garden Camping Resort, kami melalui kebun kelapa sawit dan kawasan berbatu. Memang tak ada masalah buat Suzuki ini. Dapat juga layan ‘offroad’ ringan-ringan sikit.
Info: Rock Garden Camping Resort dibuka secara serius pada tahun 2018 dengan mempromosikan sebagai tempat untuk aktiviti berkumpulan (grouping). Di sini para pengunjung boleh memilih untuk bermalam di chalet atau berkhemah yang ditawarkan pada harga cukup berpatutan. Antara aktiviti yang lazimnya dibuat di sini ialah program berkumpulan, ‘water rafting’, ‘river tubing, berkayak, meneroka gua, mendaki ke Bukit Batu Putih dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook: Rock Garden Camping Resort atau hubungi Odi di talian 0193806630. Memang syok!
Selesai bergambar, kami kembali uji kelincahan motor seberat 247kg ini di jalan lasak. V-Strom bukanlah sebuah jentera yang takut untuk ditunggang – memang cukup mudah untuk dikawal walau permukaan yang berlumpur. Kerangka (aluminium spar-kembar) memang menyumbang kepada ketegaran, keseimbangan dan kestabilan.
Untuk diselarikan dengan kerangka yang mantap serta kuasa enjin yang mengagumkan, Suzuki telah sempurnakan model ini dengan pakej sistem saspensi yang cemerlang. Pada pendapat kami, sistem penyerapan hentak jenis boleh laras amat penting agar jentera dapat berinteraksi dengan gaya penunggang mengikut jenis penunggang dan situasi sekeliling. Yang ini memang kami puji!
Memang seronok menyusuri jalan-jalan kampung. Redup… tenang dan bila sampai bab makan, gerai di kawasan kampung sentiasa sedap dan murah. Kalau nak bawa balik pun boleh, bagi keluarga betapa bezanya rasa satu-satu juadah tu. Kotak barang kan luas… tapi…
Masalah pada kotak sisi V-Strom ini ialah kedudukannya yang agak tinggi. Ini menyebabkan pembonceng tinggi agak kurang selesa manakala pembonceng sederhana perlu adjust sikit kedudukannya. Kotak sisi Suzuki ini kami rasa agak mengganggu bahagian peha/kaki pembonceng.
Ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, hujan mula lebat dari Tapah hingga ke Bukit Beruntung. Kami memilih untuk menggunakan lebuhraya dan terus guna mod C. Tayar-tayar bersaiz 110/80R 19M/C (depan) dan 150/70R 17M/C di belakang memiliki cengkaman yang meyakinkan. Dengan adanya pelbagai sistem perlindungan, V-Strom tetap segak dan tegap di jalanan.
Kami dapat catatkan jarak perjalanan lebih daripada 250 kilometer dengan isian penuh tangki 20 liter dan ia sudah cukup memuaskan. Nilai untuk memiliki V-Strom ini memang memuaskan tetapi nikmatnya itu yang paling utama. Memang betul, tiada yang sempurna dalam satu-satu penciptaan tapi kalau berjaya memberikan kita rasa seronok, puas dan selamat, ia sudah memadai. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 2 silinder, sistem penyejuk cecair, DOHC |
Isipadu | 1,037cc |
Kuasa maksimum | 79.0kW pada 8,500rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Sistem bahan api | suntikan bahan api |
Saspensi | fork USD (depan) & penyerap hentak coil spring (belakang) |
Brek | cakera berkembar (depan) & cakera tunggal (belakang) |
P x L x T | 2,265mm x 940mm x 1,465mm |
Isi tangki | 20 liter |
Pengeluar | Suzuki Malaysia Sdn Bhd |
Popular