Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Ogos 2015

YAMAHA YZF R1 : Gabungan Teknologi Untuk Tunggangan Pantas dan Selamat!

Selepas menggantikan Thunderace pada tahun 1998, Yamaha telah berjaya 'menggegarkan' dunia permotoran dunia dengan memperkenalkan sebuah jentera sport serba baru yang menawarkan rekabentuk 100% lebih inovatif dengan menggelarkannya YZF R1..... nama yang cukup 'simple' dan mudah diingati.

Model ini diperkenalkan selepas Yamaha telah mereka semula enjin Genesis yang lebih kompak dan dengan serta merta rekabentuk revolusi baru ini mendapat sambutan yang sangat mengagumkan. Ketika itu R1 dikatakan seumpama sebuah mesin perlumbaan yang digunakan di jalanan biasa.

Tahun demi tahun berlalu, Yamaha terus berada di landasan terbaik memperlihatkan model demi model terus dibangunkan. Para jurutera Yamaha mengembeling tenaga dan pemikiran untuk mempertingkatkan keupayaan enjin, pengendalian dan keselamatan selari dengan peredaran masa. Antaranya ialah meningkatkan kuasa daripada 150hp kepada 152hp pada tahun 2002. Memperkenalkan unit yang mempunyai nisbah antara kuasa dan berat yang sama iaitu pada tahun 2004 (172kg : 172hp). Kuasa maksimum enjin mesin 1000cc ini telah dinaikkan kepada 175hp pada 2006 dan 180hp setahun kemudian. Tahun 2009, Yamaha memperkenalkan frasa menarik ketika membangunkan R1 baru iaitu 'The Ultimate Cornering Master', menawarkan sebuah jentera berkuasa 182hp pada mesin seberat hanya 206kg.

Pada tahun 2011, Yamaha melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan R1 yang kini dikuasakan oleh enjin berteknologi lebih baru – diambil terus daripada kehebatan enjin M1 milik Valentino Rossi iaitu enjin berlejang pendek dengan aci engkol jenis 'crossplane'. Kemantapan enjin cross-plane ini meliputi hampir dari segala segi, daripada kepantasan responnya hinggalah kepada kelancarannya di peringkat rendah tetapi tarikan utama R1 ini adalah menerusi bunyinya yang mirip dengan jentera M1 milik pasukan Yamaha Racing.

Terima kasih buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) yang telah memberi peluang untuk kami menguji model ini. Belum sempat naik, lihat sahaja ia di perkarangan bangunan HLYM sudah mengujakan kami. Sudahlah rupabentuknya cukup garang, diwarnakan pula oleh pihak HLYM dengan rekacorak pasukan Yamaha Racing MotoGP yang anggun dan bergaya. Bijaknya pereka R1 ini dapat dilihat daripada kesinambungan rekabentuknya yang tidak pernah 'lari' daripada bentuk model pertama. Bagi peminat motosikal, kelibat R1 dapat dikenali walaupun sederas mana ia dipacu dan itulah keunikan jentera lagenda Yamaha ini.

Untuk model cross-plane ini, empat buah lampu hadapannya yang 'tertonjol' keluar adalah hasil rekaan unik dan ia dilengkapi dengan lampu LED nipis yang cukup cantik. Setiap jentera mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ada yang kelihatan cukup garang... ada pula yang direka berbentuk aerodinamik tetapi kalau YZF R1? Ia terkenal sebagai antara sportbike paling cantik pernah dihasilkan... bak kata orang putih! Tangki model ini yang berlekuk bukan sahaja cantik tetapi memberikan suatu sudut yang sesuai untuk penunggang mengepitnya ketika memecut atau berada di dalam selekoh. Salah satu lagi keanggunan jentera ini ialah menerusi rekabentuk sistem ekzosnya – bawah pelana yang memang cukup-cukup menarik!

Sebaik sahaja memanjat ke atas jentera 'Rossi' ini, secara tiba-tiba terus terbayang pengalaman menguji tayar Pirelli di Brindisi, Itali beberapa tahun lalu. Walaupun disediakan berbelas jentera dua roda untuk ditunggangi, R1 antara yang paling disukai dan antara komen paling banyak didengari selepas mereka turun daripada mesin ini ialah “R1 bukan sahaja pantas... ia juga selamat!” Benar.... sudut menunggang tidak terlalu radikal, ia cukup selesa untuk semua jenis penunggang, tinggi atau rendah. Posisi menunggang seperti ini menjadikan kita cepat serasi dengannya walaupun menunggang buat pertama kali.

YZF R1 ini dilengkapi dengan enjin cross-plane berisipadu 998cc yang menawarkan kuasa maksimum setinggi 182hp pada 12,500rpm dan 115Nm pada 10,000rpm. Keunikan enjin yang diilhamkan daripada mesin perlumbaan ini jelas dapat dinikmati sebaik sahaja enjin ini dihidupkan. Ia adalah sebuah enjin empat silinder sebaris yang mempunyai bunyi dan karaktor bagaikan sebuah enjin v-kembar! Pastinya kita merasakan seolah-olah sedang memacu sebuah jentera MotoGP milik Rossi mahu pun Lorenzo. Secara peribadi, kami sukakan sebuah jentera yang dilengkapi dengan meter yang ringkas tetapi cukup berinformasi. Panel meter R1 terdiri daripada satu meter analog (penunjuk rpm) dan meter-meter digital yang memaparkan kedudukan gear, tahap kelajuan, jarak perjalanan, masa, mod, suhu dan sistem TCS (Traction Control System).

Terdapat tiga jenis mod tunggang yang boleh dipilih mengikut tahap kemahiran seseorang penunggang itu sendiri. Mod yang ditawarkan ialah standard (STD) – sesuai untuk kegunaan tunggangan pelbagai tujuan. Mod A pula memberikan kita lebih kuasa di peringkat pertengahan dan mod B yang menawarkan kuasa lembut yang lebih sesuai untuk cuaca kurang sempurna atau ketika menyusuri kesesakan jalan raya. Kami lebih sukakan mod STD!

Model unggul Yamaha ini dilengkapi dengan kerangka Aluminium Deltabox yang menawarkan keseimbangan yang cukup sempurna manakala kerangka bahagian belakang pula dicipta menggunakan magnesium die-cast yang ringan berprestasi tinggi. Gabungan antara kerangka-kerangka ini memberikan tindakbalas yang pantas dan jitu sewaktu kita mengubah posisi jentera ini dalam setiap kelajuan. Kita tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk melakukan suatu aksi dengan R1 ini, memang cukup-cukup nikmat.

Kepantasan R1 ini memecut sangat mengujakan! Enjin yang didatangkan dengan omboh aluminium bertempa ini ternyata menghamburkan kuasa yang cukup luas dan sempurna. Gear keempat sudah mampu ditarik menghampiri 200km/j tanpa sebarang gangguan... apatah lagi apabila satu demi satu gear dimasukkan untuk mencapai kelajuan hampir 300km/j. Dalam kelajuan tinggi, rekabentuknya yang aerodinamik berjaya 'membenarkan' udara dari hadapan melalui R1 ini dengan lancar sekali. Kita hanya perlu menundukkan kepala dan serahkan yang lain pada R1 ini untuk membawa kita selaju mungkin! Satu kenikmatan yang dijanjikan iaitu jentera ini terus tegap dan meyakinkan.

Dengan adanya lampu penukaran gear, kita dapat menarik kuasa enjinnya di tahap yang tepat manakala sistem pancitan bahan api YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle) yang juga ilham dari jentera perlumbaan memberikan tindak balas antara enjin dan pendikit cukup tepat! Langsung tidak ada kekosongan sewaktu kita menggunakan pendikit, pulas sahaja dan rasanya R1 ini berlari. Dengan adanya sistem kemasukan YCC-I (Yamaha Chip Controlled Intake), kita dapat merasakan hantaran kuasa yang cukup luas. Ia menarik dengan kuat dalam putaran rendah dan memberikan hantaran yang linear dan kemas ketika memecut dalam gear-gear teratas. Tidak dinafikan, bunyi R1 yang cukup garang ini membuatkan kita merasa kuasa torknya jauh lebih hebat berbanding model empat silinder biasa. Ia benar-benar mempengaruhi gaya tunggangan!

Nimble...atau lincah! Itulah karaktor sebenar R1 ini apabila dibawa di kawasan berselekoh tajam. Dengan adanya TCS enam tahap, ia bukan sahaja untuk mengemaskan tahap pecutan di permukaan licin tetapi juga membantu penunggang untuk berada di dalam selekoh dengan lebih selamat. Jika kita terlalu membuka pendikit sewaktu miringan, tayar akan kehilangan cengkaman dan ketika inilah sistem TCS bertindak dengan mengurangkan hantaran kuasa agar jentera terus stabil ketika kita membuat miringan. Sememangnya satu pengalaman unik menunggang mesin cross-plane ini yang patut dirasakan oleh semua pencinta motosikal.

Mendaki dengan bermain gear-gear pertengahan memang menggiurkan, rekaan casis yang padat dibantu pula dengan sistem saspensinya yang hebat menjadikan tunggangan lebih pasti. Untuk perkongsian semua, R1 ini dilengkapi dengan sistem saspensi hadapan jenis terbalik 43mm yang mempunyai sistem peredam berasingan di kiri dan kanan – satu lagi teknologi yang dibawa dari dunia perlumbaan. Talaan redaman mampatan (compression damping) dapat dilakukan pada fork sebelah kiri manakala talaan untuk redaman lantunan (rebound damping) dibuat pada fork sebelah kanan. Jika saspensi hadapannya menerima pujian, R1 turut didatangkan dengan saspensi belakang jenis motocross bottom link boleh laras yang bertindak dengan baik sekali. Walaupun membrek dengan keras sebelum memasuki selekoh, bahagian belakang tidak 'menggeletar' sebaliknya terus mantap berada di laluannya dengan selamat.

Penunggang juga tidak perlu risau sama ada tayar akan terkunci ketika menurunkan kedudukan gear dengan cepat kerana R1 ini dilengkapi dengan sistem slipper clutch yang mampu mengurangkan kekuatan brek enjin dengan selamat. Terus terang kami katakan, R1 ini antara jentera yang memberikan keyakinan 100% selamat sewaktu berada di dalam selekoh tidak kira tajam atau lebar atau dalam kelajuan apa sekali pun…. perfect! Melihat akan kemampuan R1 ini di selekoh, ia 'memberitahu' kita bagaimana jentera M1 milik Lorenzo dan Rossi begitu mantap menewaskan para pencabarnya terutama ketika bersaing di litar yang teknikal.

Dua brek cakera 310mm dengan angkup enam omboh (hadapan) dan satu brek cakera 220mm di bahagian belakang berfungsi dengan cemerlang sekali, ia begitu sensitif walaupun dengan menggunakan satu jari sahaja. Sememangnya sistem brek mesin-mesin sport sekarang ini tidak perlu diragui lagi. Sudah menjadi kewajiban buat semua pengeluar untuk meningkatkan tahap dan prestasi sistem brek ini selaras dengan tahap kemajuan yang dicapai menerusi teknologi enjinnya yang mampu meluncurkan sebuah jentera beroda dua lebih daripada 290km/j. Untuk mengimbangi prestasinya, Yamaha telah melengkapkan R1 ini dengan tayar hadapan bersaiz 120/70 17 dan belakang 190/55 17 yang menggigit permukaan jalan dengan kemas dan meyakinkan.

Kami tinggalkan seketika keghairahan menunggang di jalanan berselekoh dan membuat keputusan untuk menunggangnya di dalam bandar. Adakah sistem ekzosnya yang terletak di bawah pelana itu mengganggu? Okay... selepas beberapa jam bersesak-sesak, ini jawapannya. Posisi menunggang yang tidak begitu radikal membuatkan kita tidak cepat sakit urat atau lenguh-lenguh pada bahagian pinggang mahu pun tapak tangan. Ya... sistem ekzosnya agak panas tetapi tidaklah sehingga mengganggu pergerakan dan paling seronok, R1 ini dapat mencelah dengan pantas kerana casisnya yang ringan dan tubuhnya yang ramping.

Walaupun R1 dikenali sebagai sebuah jentera berprestasi tinggi, ia tetap jimat petrol. Dengan isian penuh tangki sebesar 18 liter, kita dengan mudah mampu bermotor hampir 200 kilometer sebelum lampu amaran berkelip-kelip menyuruh kita mencari stesen petrol. Perlu diingat selalu, tahap penggunaan bahan api sentiasa berubah berdasarkan cara tunggangan, berat penunggang dan keadaan muka bumi. Sejauh mana perjalanan bukanlah soalnya tetapi yang penting ia lebih mengujakan jika dilakukan bersama YZF R1! RR

Isu Pada

Ogos 2015

Spesifikasi

Enjin4 silinder DOHC 16 injap, sistem penyejuk cecair
Isipadu998cc
Gerek & Lejang78.0 x 52.2mm
Nisbah Mampatan12.7:1
Kuasa Maksimum182hp pada 12,500rpm
Tork Maksimum115Nm pada 10,000rpm
Isi Tangki18 liter
Tinggi Pelana835mm
Berat206kg
PengeluarHong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Model Baru

Aprilia RS457 Dilancarkan. Harga dari RM33,900

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia telah melancarkan model 'superbike' terbaru iaitu Aprilia RS457.