Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Ogos 2015

Honda Dream EX5 110 FI : Penyambung Legasi Ikonik

Sudah hampir tiga dekad nama model Honda EX5 berada di pasaran negara kita. Tidak kira tua ataupun yang muda, nama EX5 sendiri memberi impak kepada seluruh penggunanya disebabkan penjimatan petrol dan kelasakannya mengharungi pelbagai permukaan jalan, cuaca dan kemampuannya membawa beban yang berat.

Jika di kawasan kampung, model EX5 menjadi pilihan para petani kerana model ini sesuai dan tahan lasak di jalan raya setiap pelusuk negara. Malah model ini menjadi pilihan kerana ia kembali dengan rupa bentuk baru yang lebih segar dan moden namun masih mengekalkan ciri-ciri asal Honda EX5 100. Malah, model ini turut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api menggantikan sistem karburetor yang lebih menjimatkan petrol, maka lahirnya Honda Dream EX5 110 FI.

Model terbaru ini dilancarkan pada bulan Mei lalu masih mengekalkan ciri-ciri yang sinonim dengan model lama seperti penyerap hentak belakang boleh laras, pelindung kaki berwarna putih, penutup penuh rantai dan lampu utama yang begitu mirip dengan model keluaran pertama. Ianya bagaikan membawa kita mengimbau ke nostalgia lama apabila melihat rupabentuknya. Antaranya ialah kita akan teringat sewaktu kecil selalu membonceng meronda-ronda sekitar kampung bersama ayah mahu pun atuk yang membawa guni padi untuk ke sawah, penjual roti yang membawa muatan penuh membunyikan 'hon' dan penjual aiskrim.

Info: Untuk pengetahuan pembaca, Honda memperkenalkan EX5 100 bermula tahun 1986 dan pada tahun 1994, ia masih mengekalkan rupabentuknya tetapi diberi pelbagai perubahan rekacorak grafik untuk menarik minat pengguna setia dan pelanggan baru. Pada tahun 1999 Honda memperkenalkan model serba baru dan reka bentuk yang jauh berbeza iaitu EX5 Class 1 berkapasiti 110cc. Model ini diberi pembaharuan enjin dan lengan ayun baru pada tahun 2003 untuk memantapkan lagi pengendaliannya.

Namun, penghujung tahun 2013 menyaksikan model ikonik ini telah ditamatkan pengeluarannya. Model EX5 100 mencecah 2,051,530 unit sejak dilancarkan di pasaran 26 tahun yang lalu. Ini kerana Boon Siew Honda Sdn Bhd ingin mematuhi panduan Forum Sedunia untuk Pengharmonian Peraturan Kenderaan (WP.29) yang disidangkan di bawah Suruhanjaya Ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE). Ini adalah untuk mematuhi tahap pelepasan asap kenderaan mengikut spesifikasi Euro3. Maka lahirlah model terbaru, Honda Dream EX5 110 bagi menggantikan model yang lama. Model ini masih menggunakan sistem bahan api jenis karburetor dan diberi wajah baru. “Model EX5 100 mencecah lebih daripada 2 juta unit sejak dilancarkan 26 tahun yang lalu.”

Pandu Uji:

Sebaik sahaja 'memanjat' pelana Honda Dream EX5 110 FI yang selesa itu, terus dirasakan perbezaan dengan model yang lama. Kedudukan bar hendal lebih tinggi sedikit memberi keselesaan kepada penunggang. Panel meter mudah dan ringkas dengan paparan info yang senang difahami walaupun sekilas pandang. Ia lengkap dengan penunjuk isian tangki dan memberi maklumat terperinci kepada penunggang, penunjuk amaran sistem EFI dan lampu isyarat membelok.

Apabila kunci diputarkan, lampu penunjuk sistem pancitan bahan api akan menyala menunjukkan sistem sedang beroperasi. Apabila lampu penunjuk itu padam, barulah kita boleh hidupkan enjinnya dengan sistem elektrik ataupun tendang dan enjin berputar dengan segar. Enjin ini amat mudah dihidupkan tidak kira suhu sejuk di waktu pagi ataupun di waktu panas tengahari.

Namun, agak sedikit kecewa kerana tiada penunjuk gear yang begitu penting untuk mengetahui kedudukan gear kerana sering kali berlaku penunggang terlupa untuk menurunkan gear ketika berhenti di lampu isyarat mahupun jika sedang ingin bergerak. Jika ada, mudahlah untuk penunggang.

Lampu belakang dan lampu isyarat belok model ini bukan sahaja cantik tetapi bentuk dan saiznya juga kemas, besar dan ianya juga terang. Lampu utama jentera ini memberikan suluhan yang luas dan terang untuk dilihat oleh pemandu kenderaan lain dari hadapan.

Kapasiti isi tangki petrolnya kini dipertingkatkan dari 3.5 liter kepada 4.0 liter memberikan jarak perjalanan lebih jauh ditambah pula dengan sistem pancitan bahan api yang terbukti menjimatkan di era moden kini. Jarak yang mampu dicapai untuk setangki penuh adalah sejauh 140km dan dilakukan dengan kelajuan malar sekitar 80- 100km/j. Manakala kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh EX5 FI baru ini adalah sekitar 115km/j.

Bergambar di hadapan Rumah Serambi Pahang, Universiti Putra Malaysia dengan keizinan Cik Khairul Nishak bt Harun, Quator Muzium Resam Melayu.
Bergambar di hadapan Rumah Serambi Pahang, Universiti Putra Malaysia dengan keizinan Cik Khairul Nishak bt Harun, Quator Muzium Resam Melayu.

Untuk beraksi di jalanan, model ini dilengkapi dengan sistem saspensi teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berspring di bahagian belakang yang boleh dilaras secara manual dengan mudah sekali (diwarisi dari generasi pertama EX5). Saspensi hadapan menyerap hentakan dengan baik dan lembut. Manakala saspensi belakang amat selesa jika menunggang solo ataupun berdua.

Apa yang kurang memuaskan adalah sistem brek pada bahagian hadapan dan gelendong untuk belakang yang dilengkapkan pada model ini. Ianya didapati kurang mencengkam. RR berharap ianya akan dilengkapi sistem brek cakera suatu hari nanti.

Laluan yang padat dengan kesesakan jalan raya di ibukota dipilih untuk merasai tahap pengendaliannya. Di sinilah keupayaan EX5 FI ini teruji. Tindak balas antara pendikitnya dengan putaran enjin cukup tepat. Putaran enjin ini membantu kita memintas kenderaan yang lebih besar dengan tangkas mahupun mencelah di dalam kesesakan trafik.

EX5 FI ini mampu dipecut dengan tangkas dan terutamanya dalam gear kedua dan ketiga. Boleh terangkat tayar hadapan dibuatnya! Bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos jentera ini juga memang nyaring dan garang. Enjin berkapasiti 109.17 cc ini menawarkan kuasa maksimum 6.23kW dengan kuasa tork setinggi 8.40Nm. Kerangka jenis Back Bone yang tegar dan kuat memberikan pengendalian yang jitu ketika dipecut laju mahupun mengubah kedudukan di pelana ketika berada di jalan-jalan berselekoh atau memintas kenderaan yang lebih besar.

Boon Siew Honda Sdn Bhd melengkapkan mesin ini dengan tayar bersaiz 70/90-17 pada bahagian hadapan dan 80/90-17 pada bahagian belakang menjadikan EX5 FI ini semakin seronok ditunggang. Selain itu juga jentera ini hanya seberat 94kg.

Ayuh miliki model ikonik ini. Honda Dream EX5 110 FI dijual pada harga asas RM4,299 (penghidup tendang) dan RM4,599 tidak termasuk GST 6%. Ianya ditawarkan dalam tiga warna menarik iaitu merah metalik, biru metalik dan ungu metalik. Berkunjunglah ke wakil sah pengedar Boon Siew Honda Sdn Bhd berhampiran anda untuk menempah sebuah model terbaru ini. RR

Isu Pada

Ogos 2015

Spesifikasi

enijn4-lejang, satu silinder, OHC, sistem penyejuk udara
Isipadu109.17cc
Gerek & Lejang50.0 x 55.598mm
Nisbah Mampatan9.0:1
Kuasa Maksimum6.23kW
Tork Maksimum8.40Nm
Isi Tangki4 liter
Tinggi Pelana-
Berat94kg
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.