Kawasaki Ninja H2 & H2R : Menggetarkan Jiwa, Menggeletar Dibuatnya!
Ini bukan motor…. ini jet!” kata salah seorang krew RR selepas menunggang jentera ini buat pertama kalinya. Jet? Ya... itulah kata-kata paling sesuai untuk menggambarkan betapa pantas dan berkuasanya jentera 1000cc keluaran Kawasaki yang dikenali sebagai H2. Sejak diperkenal ke mata dunia tahun lalu, model terulung Kawasaki H2 dan H2R ternyata menjadi topik paling panas buat para pencinta motosikal. Jutaan pelayar alam cyber melihat dan membaca hampir segalanya yang berkaitan dengan model ini dan antara tarikan utama H2 dan H2R sudah tentulah pada kehebatan kuasa enjin alaf baru Supercharge dengan penggunaan sistem turbin yang menghasilkan kuasa setinggi 200 dan 300hp.
Terima kasih buat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd atas jemputan menunggang kedua-dua jentera hebat ini dan adalah penghormatan buat RodaRoda kerana diakui bahawa tidak ramai di dunia ini berpeluang untuk merasai dan menikmatinya. Kali pertama kami melihat jentera ini di hadapan mata sememangnya ia amat mengujakan. Sesi ujian 'pertama' telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 31 Mei lalu dan secara jujurnya jentera bagaikan magnet, menarik setiap pencinta motosikal untuk mendekatinya. Apa sebabnya?
H2
Mesin bernilai sekitar RM150 ribu ini mempunyai rekabentuk bahagian hadapan yang cukup hebat. Lampu utamanya berbentuk bulat dan disepadukan dengan lampu posisi yang unik (macam taring). Manakala untuk tampak lebih moden, cermin sisi model ini disepadukan dengan lampu isyarat. Di bahagian hadapan ini juga kita boleh lihat rekaan corong udara di kiri dan kanan yang menjadi kunci utama penghantaran udara bersih ke bahagian turbin dalam pengaktifan sistem Supercharge.
Fairing sisi dilengkapi dengan sayap-sayap kecil – memberi khabaran betapa pantasnya ia boleh 'berlari'. Ah... casis jenis trellis yang berwarna hijau metalik ini cukup mempersonakan, ia benar-benar selari dengan jenama dari Jepun ini. Untuk 'mengesahkan' ia adalah sebuah mesin ala perlumbaan, H2 ini hanya menggunakan pelana tunggal sahaja dan percayalah, pelana ini lembut dan selesa untuk semua jenis penunggang. Jika bahagian sisi kanan H2 diserikan dengan sistem ekzos yang besar dan mantap, sisi kiri pula tampak lebih segak dengan sistem lengan ayun tunggal (yang pertama pernah dilahirkan oleh Kawasaki).
Sebelum memulakan tunggangan sempat juga kami berbual dan mendapatkan tips daripada beberapa orang yang sememangnya berpengalaman luas dalam dunia motosikal iaitu bekas pelumba kebangsaan, En. Zamani Baharudin dan pemilik H2 sendiri iaitu En. Chua Chern Kwang. Berdasarkan enjin yang berkuasa 200hp, Zamani menegaskan agar kami perlu cepat memahami karaktor dan kuasa yang dimiliki. Kawalan pendikit dan penggunaan gear yang betul amat penting ketika menunggang jentera sehebat ini.
“Kuasa H2 ini 20% lebih tinggi jika dibandingkan dengan model ZX10R. Ia dapat dirasakan dalam semua kedudukan gear dan terus-terang saya katakan, H2 ini sangat-sangat mengagumkan! Sesuaikan diri terlebih dahulu dengan posisi tunggangan dan kuasanya sebelum memerah pendikit,” kata En. Chua yang sudah menunggang H2nya hingga ke Thailand dan antara yang paling berpengalaman mengendalikan mesin di Malaysia setakat ini.
Setiap wakil media diberikan peluang menikmati H2 ini sebanyak tiga lap dan apabila memikirkan kehebatan kuasa dan tinggi nilai harganya, kami akan gementar! Perasaan ini rupa-rupanya turut dikongsi bukan sahaja oleh rakan media yang lain tetapi juga pihak Kawasaki sendiri. Sebaik sahaja melabuhkan punggung ke atas pelana H2 buat pertama kali, posisi tunggangannya yang sempurna dan tidak radikal membuatkan kita cukup selesa. Lebih baik berbanding ZX10R yang mirip dengan posisi mesin perlumbaan.
Duduk buat pertama kalinya di atas sebuah mesin yang menjanakan kuasa 200hp ini agak menakutkan dan ia memang layak benar digelar 'The Beast' kerana bentuk dan karaktor enjinnya. Mesin ditala ke tahap ketiga (paling selamat), baguslah! Dengan bantuan dan kawalan dua orang 'marshal' iaitu saudara Farid dan saudara Hazlanshah yang juga merupakan pelumba pasukan Kawasaki, kami meninggalkan perkarangan paddock dengan bangga sekali.
Ya... kuasa torknya cukup hebat! Dalam kedudukan gear ketiga, keempat... kuasa H2 yang hadir secara mendadak bagaikan mampu membuatnya terbang jika pendikit direntap dengan keras. Nikmat sebenar menunggang jentera ini ialah apabila sistem supercharge beroperasi – bunyinya dapat kami gambarkan seumpama 'bunyi burung', cukup unik sekali. Paparan digital H2 juga menarik! Lampu penunjuk tahap putaran rpm hanya akan menyala apabila jarum meter mencecah nombor-nombor tersebut.
Untuk diseimbangkan dengan kehebatan enjinnya, Kawasaki telah melengkapkan H2 (termasuk H2R) dengan sistem elektronik berteknologi tinggi seperti Kawasaki Intelligent Anti-Lock Brake System (KIBS), Electronic Steering Damper (ESD), Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Engine Brake Control (KEBC), Kawasaki Quick Shifter (KQC) dan Kawasaki Launch Control Mode (KLCM) – semuanya telah ditala sebaik - baiknya oleh pihak Kawasaki demi keselamatan kami.
Selepas beberapa kali memacu H2 ini, barulah kami dapat memerah pendikit dengan lebih keras untuk menikmati kuasa sebenarnya terutama apabila tiba di laluan lurus litar Sepang yang sepanjang 927.5 meter. Dengan adanya KQS, kita dapat menukar gear dengan mudah dan tepat – alangkah bagusnya! Itulah nikmat paling cepat dan mudah untuk dirasakan di masa yang cukup singkat. Keupayaan enjinnya ini memang memerlukan masa untuk dijinakkan! Sedang ingin mendapat rentak, kami sudah diminta kembali ke paddock.
Rindu pada model ini terubat apabila pihak KMSB sekali lagi telah bermurah hati untuk memberi peluang kepada kami menguji model terulung ini. Ya... barulah dapat kami mengujinya dengan lebih teliti. Okay... kesemua sistem elektronik H2 ini dapat diakses dengan senang sekali. Hanya dengan menekan suis-suis yang terletak pada bar hendal di sebelah kanan dan kiri. Kita hanya dapat melakukan talaan ini sebelum ia bergerak. Berbeza dengan pengalaman di SIC, kami diberikan penerangan dengan lebih baik ketika berada di ibu pejabat Kawasaki mengenai segala selok belok sistem elektronik H2, menyebabkan rasa hormat pada jentera ini semakin menebal. H2 memang motosikal paling laju tetapi ia juga sebuah mesin yang padat dengan ciri-ciri keselamatan.
Seperti kebanyakan model-model sportbike terkini, H2 turut dilengkapkan dengan lampu penukaran gear tetapi dengan model ini, kita boleh menalanya mengikut kemampuan diri. Sebagai contoh, untuk permulaan mungkin kita hanya mampu menarik kekuatan enjin H2 dalam suatu gear setinggi 10,000rpm, jadi... setiap kali jarum rpm mencecah tahap itu, lampu penukaran gear akan berkelip. Talaan ini boleh diubah ke tahap maksimum iaitu pada kedudukan 13,500rpm.
Bila merasa hantaran kuasanya yang tinggi, ini menegaskan bahawa H2 adalah sebuah jentera untuk penunggang advance (berpengalaman). Dalam kedudukan gear ketiga, H2 dapat dipecut hampir mencecah 180kmj dengan jarum meter berada sekitar 10,500rpm manakala dalam gear keempat, dengan mudah kita memecut lebih daripada 200km/j. Dalam gear tertinggi, H2 amat berkebolehan untuk dipecut lebih daripada 275km/j dan kemantapan casis trellisnya sukar dilupakan – tiada langsung terasa melayang, H2 terus tegap membelah angin.
Seperti yang dikongsi tadi, kuasa hantaran yang cukup kuat (dalam gear ketiga) sememangnya memerlukan kawalan yang sempurna atau kita mungkin alami/ berdepan dengan perkara yang tidak diingini. Bukan ingin menakut-nakutkan tetapi ia benar... power sungguh. Walaupun begitu, memperlahankan mesin ini dalam kelajuan tinggi langsung tidak menakutkan, sistem brek hadapan Brembo 330mm (hadapan) dan 250mm (belakang) jenis separa terapung bertindak dengan cemerlang sekali. Model H2 ini juga dilengkapkan dengan sistem KIBS yang membantu kita membrek dengan lebih kemas dan tepat dalam semua keadaan. Apabila sebuah motosikal dilengkapi dengan sistem brek mirip MotoGP, ia memberikan suatu pengalaman baru menggunakan sistem brek yang sebaik ini.
Dengan casis yang ringan dan bertegaran tinggi, pastinya kita ingin benar merasakan kelincahannya di selekoh-selekoh dan sekali lagi dinyatakan di sini... ia bukan untuk penunggang biasa. Dengan menggunakan gear kelima, kita dapat berada di selekoh dengan kemas walaupun dalam kelajuan 180km/j ke atas. Ketika ini kita dapat merasakan sistem traction control (TC) sedang beroperasi dengan ligat sekali menstabilkan H2 – memang saat ini cukup mengujakan sekali! Model ini dilengkapi dengan sistem KTRC tiga tahap yang boleh diubah mengikut tahap tunggangan masing-masing dan talaan tertinggi ialah ketika berada dalam mod rain. Keberkesanan sistem saspensi belakangnya, (jenis lengan ayun tunggal, penyerap hentak uni-track jenis gas yang lengkap dengan peredam mampatan) menyerap segala hentakan dalam kelajuan tinggi memang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Dengan berat 238kg dan kuasa 200hp, kita memerlukan kemantapan tunggangan untuk bermain di selekoh-selekoh tajam. Posisi menunggangnya yang sempurna memudahkan kita mengubah kedudukan dengan cepat cuma... kita perlu cekap mengawal pendikit terutamanya ketika keluar dari selekoh, takut terlajak! Dengan ada KLCM tiga tahap, jentera ini tidak mudah berwheelie walaupun pendikit direntap dengan keras. Sistem saspensi hadapan jenis terbalik, lengkap dengan peredam mampatan, spring prabeban boleh laras yang membuat kita dapat masuk/ keluar selekoh dengan kemas sekali. Ninja H2 ini adalah sebuah mesin berprestasi tinggi yang memerlukan kita memerah tenaga setiap masa untuk merasakan nikmatnya. Dalam erti kata lain, penunggang perlu redha bahawa ia bukanlah sebuah motosikal yang jimat petrol. Dengan tangki sebesar 17 liter sekali pun, H2 tidak mampu ditunggang lebih daripada 200 kilometer dengan sekali isi.
Walaupun H2 ini boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja (asalkan ongkosnya cukup) dan boleh ditunggang di mana sahaja, ia tetap sebuah jentera yang sangat-sangat pantas. Buat mereka yang berbelanja ratusan ribu ringgit, pastinya anda akan menikmati setiap detik bersama jentera ini. Ia unik, tangkas, mantap dan benar-benar laju! Harapan kami ialah mereka yang bakal memiliki jentera terdiri daripada mereka yang bukan sahaja mempunyai kemampuan dari segi kewangan tetapi juga cara untuk mengendalikannya di jalanraya.
H2R
Jika H2 sudah mampu 'terbang', bagaimana pula dengan H2R yang dilengkapi dengan enjin berkuasa 300hp. Sebaik sahaja mendapat 'lampu hijau' daripada Dato’ Jeffrey Lim, kami menuju ke paddock bersebelahan untuk 'bertemu' dengan sebuah jentera dua roda yang berharga RM300,000. Rekabentuk R ini jauh lebih mantap! Bahagian hadapan dibuat menggunakan bahan gentian karbon, lengkap dengan 'sayap' diletakkan di posisi cermin sisi dan bahagian sisi fairing. Sayap-sayap ini bukanlah bertujuan kosmetik tetapi ia benar-benar menjadikan model R ini lebih stabil dalam kelajuan tinggi.
Posisi menunggangnya tidak jauh beza dengan H2 tetapi apa yang cukup mengagumkan ialah tunggangannya lebih selesa, lebih mudah dan lebih menyeronokkan. Benarlah apa yang dikatakan oleh Dato’ Jeffrey, “Perbezaan harganya jelas membuktikan prestasi sebenar H2R ini.” Kerangka jenis trellis ini bukan sahaja elegan tetapi juga bertegaran tinggi dan ringan. Ia memudahkan kita mengawal segala pergerakan mesin dalam semua kelajuan dan kelincahannya mengubah posisi adalah sesuatu yang diidam-idamkan oleh semua pemilik motosikal.
Kuasa H2R ini telah diturunkan kepada 250hp demi memudahkan pengendalian. Dengan pengendalian yang lebih mudah, perasaan risau sebelum memanjat ke atasnya terus hilang sama sekali, diganti dengan keterujaan maksima. Kekuatan kuasa tork iaitu 165Nm pada 12,500 rpm dikawal dengan sempurna dengan adanya KLCM yang bertindak mengelakkan berlakunya wheelspin. Seperti model ZX10R, H2R turut dilengkapi dengan sistem ABS demi keselamatan yang optimum.
Tidak seperti ketika menunggang H2, kami dapat memerah tenaga H2R ini lebih daripada 200km/j dalam kedudukan gear kelima di laluan lurus sebelum selekoh 15 dan laluan lurus hadapan grandstand sebelum membrek dengan keras masuk selekoh pertama. Bunyi sistem ekzosnya ketika itu mengingatkan kita dengan jentera-jentera MotoGP dan jujurnya H2R ini seumpama sebuah jentera GP untuk penunggang biasa. Benar! Apa yang dapat dikongsikan selain breknya yang efisien ialah kestabilan mesin ini yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Cepat benar masa berlalu.... sedar-sedar nikmat bersama H2R telah pun selesai. Walaupun sekadar tiga lap bersama model R ini, ia adalah satu penghormatan buat kami untuk menunggang kedua-dua model H2 dan H2R ini. Bagi sebuah jentera yang setangkas dan sepantas ini, litar SIC sepanjang 5.54 km bagaikan tidak cukup. Keupayaan enjinnya ini memang memerlukan masa untuk dijinakkan! Sedang ingin mendapat rentak, kami sudah diminta kembali ke paddock.
Untuk menceritakan kehebatan dan kemantapan H2R, tiada ayat atau perkataan yang sesuai melainkan anda sendiri perlu mengujinya. Jentera yang berharga setinggi ini hanya dibenarkan untuk tunggangan litar dan dihasilkan untuk 'menjadi permainan' orang-orang kaya raya dan semestinya ia menjadi bintang utama setiap kali berada di litar pada sesi trackday... pastilah!
Apabila sessi tunggangan hampir selesai, perasaan lega dan gembira dapat dilihat hampir di setiap wajah tidak kira rakan-rakan media atau pihak Kawasaki sendiri. Ini kerana H2 dan H2R keluar dan kembali ke paddock dengan selamat. RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang sebaris, DOHC, sistem sejukan cecair |
Isipadu | 998cc |
Gerek & Lejang | 76.0 x 55.0mm |
Nisbah Mampatan | 8.5:1/8.3:1 |
Kuasa Maksimum | 197hp pada 10,000rpm |
Tork Maksimum | 140.4Nm pada 10,000rpm |
Isi Tangki | 17 liter |
Tinggi Pelana | 825mm |
Berat | 238/216 kg |
Pengeluar | Kawasaki Motor (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular