KTM RC390 : Mesin Lincah & Tangkas!
Kalau sebut KTM, dahulunya pasti kita akan membayangkan ia sebuah jentera lasak yang mampu 'terbang' tinggi atau mengembara ke ribuan kilometer hinggalah pada tahun 2008 apabila diperkenalkan model RC8 yang bersesaran 1,148cc. Setahun kemudian KTM melancarkan pula RC8R, kali ini dengan isipadu lebih tinggi iaitu 1,195cc. Berbanding dengan jentera-jentera sport lain, KTM RC8 menawarkan rekaan yang paling menonjol dan lain daripada yang lain. Lampu utamanya yang menegak, sistem ekzos yang tersorok dan bahagian belakang yang nipis dan tajam.
Kira-kira lima tahun lalu, CEO KTM, Stefan Pierer mengumumkan akan ada model-model jalanan baru yang bakal diletakkan dalam segmen bawah 400cc. Bermula dari saat itulah kita dapat melihat beberapa model Duke sudah mula membanjiri pasaran dunia termasuk Malaysia. Selepas menjadi juara Moto3 pada tahun 2013, adalah menjadi satu impian penunggang motosikal khususnya peminat KTM untuk merasa sendiri menunggang sebuah mesin perlumbaan di jalanan biasa. Maka, menjadi keutamaan KTM untuk mencipta dan menghasilkan apa yang diimpikan itu terutamanya dari segi rekabentuk, kuasa dan kelincahannya. 2014 adalah tahun lahirnya model RC390 ini!
Menurut En. Sebastian Sekira (Ketua Pembangunan Jentera Jalanan KTM), pihaknya telah menguji jentera ini di Austria, Jerman, Sepanyol, India, Sardinia malah di Pulau Tenerife baik di jalanan biasa mahu pun di litar semata-mata untuk mencari kesempurnaan agar RC390 sesuai digunakan oleh semua penunggang motosikal di seluruh dunia. Tidak hairanlah hasil daripada kesungguhan itu, model ini mendapat permintaan yang cukup tinggi. Menurut data tahun lalu pasaran Malaysia, model RC (200 & 300) berjaya dijual sekitar 113 unit setiap bulan dan jumlah ini semakin hari semakin meningkat.
Terima kasih kepada KTM CKD Malaysia atas kesudian memberi peluang kepada RR untuk menguji jentera popular ini. Berani! Ucapan untuk kumpulan pereka yang menghasilkan RC ini. Sekali pandang sudah cukup untuk kita tahu bahawa konsep rekaannya adalah dari litar perlumbaan. Dua buah lampu hadapannya jenis projektor cukup canggih dan dimantapkan lagi dengan rekaan cermin pengadang udara yang melitupi hingga ke bahagian kepala hadapan – tiada lagi rekaan seumpamanya daripada jenama lain.
Fairing sisi kemas dan mantap dan kalau kita lihat dari sisi kanan, terdapat corong kecil di hujung fairing... di situlah ekzosnya! Kalau tak pegang atau melihat dari dekat, pasti kita akan mengatakan model RC ini hanya untuk tunggangan solo, tidak boleh membawa pembonceng. Pelana belakang sebenarnya wujud tetapi kreativiti daripada pereka KTM menyebabkan ia kelihatan seperti 'single seat'. Lampu belakang unik terdiri daripada barisan lampu-lampu LED, mengingatkan kita pada model RC8.
Dengan ketinggian pelana 820mm, sesiapa pun dapat menunggang RC ini dengan mudah cuma posisi menunggangnya lebih agresif berbanding Duke dengan bar hendal yang lebih rendah dan tempat meletak kaki sedikit ke belakang. Jelaslah... ini lebih mirip dengan gaya tunggangan mesin-mesin perlumbaan dan sport! Model ini juga menyambung tradisi rekaan jentera KTM iaitu dengan menggunakan kerangka jenis trellis. Walaupun nampak sama seperti model Duke, sebenar kerangka RC ini mempunyai geometri sedikit berbeza yang direka untuk pengendalian yang mantap. Seperti panel RC8, 100% digital! Itulah panel meter yang dilengkapkan pada model ini. Ia memaparkan tahap kelajuan, rpm, posisi gear, purata penggunaan bahan api, masa, jarak perjalanan, suhu enjin dan tahap bahan api.
RC390 menggunakan enjin 375cc, sistem penyejuk cecair, silinder tunggal yang sama seperti dipasang pada model Duke, menawarkan kuasa maksimum 44bhp. Sebaik sahaja dihidupkan, kita akan mendengar enjinnya berputar dengan lancar sekali manakala bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos “Pelana belakang sebenarnya wujud tetapi kreativiti daripada pereka KTM menyebabkan ia kelihatan seperti ‘single seat’. Lampu belakang unik terdiri daripada barisan lampu-lampu LED, mengingatkan kita pada model RC8.” juga tidak membingitkan. Apabila kita memulas pendikit, kuasa tork RC ini sememangnya cukup menyeronokkan, tidak hadir secara mendadak seperti sebuah jentera 200hp.
RC dilengkapi dengan transmisi yang bernisbah pendek agar cepat kita menikmati keupayaan sebenarnya. Seronoknya apabila dapat menukar gear dengan tepat dan lancar. Pulas pendikit, nampak kelipan lampu penukar gear (ketika 9,000rpm) dan tambah gear, sedar-sedar kita dah mencapai kelajuan hampir 180km/j manakala rekabentuk tangki RC ini memudahkan kita mengepitnya untuk mendapatkan kestabilan.
Walaupun ia sebuah mesin sport berkuasa sederhana, sistem pancitan bahan api elektronik dengan badan pendikit bersaiz besar (46mm) jenis Dell'Orto memberikan keupayaan enjinnya berputar dengan kemas dari kedudukan rpm rendah. Dari kedudukan itu, kita rentap pendikit dan rasakan kuasa RC ini meningkat tanpa sebarang sentapan. Dengan adanya balancer shaft, KTM ini dapat ditunggang dalam putaran enjin yang tinggi dengan lancar dan selesa, tidak seperti kebanyakan enjin satu silinder biasa yang agak bergegar jika memecut dalam jangka masa agak lama.
Kalau dibandingkan dengan Duke ketika menunggang di dalam bandar, RC ini tidaklah seselesa model naked itu tetapi posisi menunggang ini dijamin tidak memenatkan untuk suatu perjalanan jauh. Sistem penyejuk jenis cecair yang dilengkapkan pada model ini terdiri daripada pam edaran kekal dan radiator besar bertindak dengan cemerlang sekali. Untuk menjamin keselamatan penunggang dan jentera, tanda amaran akan terpapar di papan digital jika berlaku masalah.
Setakat yang kami uji hampir di merata lokasi, sistem penyejuk RC ini bertindak dengan baik sekali, terima kasih. Apa pun, KTM ini tetap sebuah jentera yang cukup 'hot' terutamanya apabila berada di tengah kota. Bentuknya yang garang, mirip RC8 membuat ramai yang datang melihat dengan lebih dekat.
Kita tidak perlu takut untuk menarik tubuh badan jentera 147kg ini ke kiri dan ke kanan sewaktu masuk atau keluar selekoh kerana tayar-tayar Metzeler Sportec M5 bersaiz 110/70 ZR17 (depan) dan 150/60 ZR17 (belakang) yang dipasang pada RC390 ini melekat dan mencengkam bagaikan ada gam! Kita dapat merasakan lengan ayunnya jenis trellis die-cast yang mengimbangi setiap pergerakan dengan cemerlang sekali. RC didatangkan dengan saspensi hadapan jenis terbalik 43mm jenis WP berdiameter sama seperti yang digunakan oleh model 1190 RC8 R manakala saspensi belakang pula penyerap hentak WP dengan spring progresif untuk kesesuaian di semua jenis jalan raya.
Kekuatan tork mesin satu silinder ini membantu kita mendapat rentak yang tepat setiap kali berada di sekeloh-selekoh tajam cuma sayang sedikit brek hadapannya bersaiz 300mm itu kurang efisien walaupun lengkap dengan sistem ABS dan diharap KTM dapat meningkatkan prestasinya di masa hadapan. Brek belakang okay... tak ada masalah, kuat dan kemas memperlahankan jentera ini walaupun dalam kelajuan tinggi tetapi tak kanlah kita 'nak' harapkan keberkesanan brek belakang sahaja, betul tak?
Dengan tangki sebesar 10 liter, KTM RC390 ini dapat ditunggang sekitar 200 kilometer. Untuk mempertaruhkan jentera ini dalam pasaran sememangnya cukup bijak kerana ia menawarkan pengendalian yang sempurna, enjin antara yang berkuasa pada sebuah mesin yang agak ringan. Satu nisbah yang amat penting untuk mendapatkan prestasi optimum. RC390 ini ditawarkan pada harga RM27,200 (termasuk 6% GST). RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 375cc |
Gerek & Lejang | 89 x 60mm |
Nisbah Mampatan | 12.5:1 |
Kuasa Maksimum | 32kW pada 9,500rpm |
Tork Maksimum | 35Nm pada 7,250rpm |
Isi Tangki | 10 liter |
Tinggi Pelana | 820mm |
Berat | 147kg |
Pengeluar | Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd |
Popular