Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 6 Jun 2022

Honda RS-X - Lebih Garang... Lebih Moden...

Pertama kali jentera super moped empat lejang keluaran Honda mula memasuki pasaran negara pada tahun 2016 yang diberi nama sebagai Honda RS150R. Perkenalan model tersebut pada ketika itu adalah untuk bersaing dengan jenama-jenama motosikal di Malaysia dalam segmen moped yang berkuasa 150cc. Tahun demi tahun RS150R mula mendapat sambutan menggalakkan kerana mempunyai hantaran kuasa yang mantap, rekabentuk sporty dan amat menjimatkan.

Pada tahun 2019, Honda Vietnam telah melancarkan versi terbaru Honda Winner X di mana rupabentuk keseluruhan jentera tersebut mengalami perubahan yang cukup ketara berbanding Winner 150 atau digelar RS150R di negara kita. Namun, model tersebut telah menjadi tanda tanya buat para pencinta dua roda di Malaysia adakah pihak Boon Siew Honda (BSH) juga akan membawa masuk versi terbaru itu ke dalam pasaran negara.

Segala persoalan akhirnya terjawap apabila pihak BSH memperkenal pengganti kepada RS150R dengan diberi nama yang cukup menarik iaitu Honda RS-X. Model ini telah memasuki pasaran negara pada tahun 2021. Kehadiran jentera itu ternyata berjaya menambat lagi hati para pengguna dua roda di luar sana. Mantap, garang dan menawan… itulah ungkapan yang keluar daripada mulut kami sebaik sahaja melihatnya.

Rekaan lampu utamanya yang besar dan jelas mampu memberikan suluhan yang terang ketika menunggang pada waktu malam. Untuk menawarkan rupabentuk hadapan yang garang, kedudukan lampu utama kini berada di bahagian hadapan dada jentera. Rekabentuk lampu isyaratnya pula lebih tirus. Namun kedudukan lampu isyarat hadapan agak kami kurang sukakan kerana terjojol keluar, risau mudah patah. Lampu belakang jenis LED juga telah direka dengan baru agar jentera sentiasa kelihatan menarik dari pandangan belakang.

Dengan memiliki berat 122kg (tanpa muatan), RS-X amat mudah untuk digerakkan ke depan dan belakang dengan senang tidak kira buat golongan lelaki mahupun wanita. Pelana setinggi 795mm sangat mudah dipanjat, kedua-dua belah kaki kami dapat jejak permukaan bumi tanpa menjengket. Sebaik sahaja melabuhkan punggung ke atasnya, kami rasa sedikit kecewa kerana pelana RS-X ini agak keras sedikit buat penunggang dan lebih-lebih lagi pembonceng.'Orang di belakang' mengadu lenguh selepas bergerak lebih daripada 120 kilometer. Harap pihak BSH dapat mengatasi masalah ini pada masa akan datang.

Oh ya! Untuk memudahkan pemilik, tempat membuka pelana kini berada bersama kunci utamanya. Senang sahaja, putarkan kunci ke ‘SEAT’, kemudian tekan butang ‘SEAT’ yang berada di sebelah kunci utama. Pelana akan terbuka dengan mudah. Pemilik tidak perlu lagi bersusah payah untuk membuka kunci pelana yang berada berdekatan tempat pemijak kaki pembonceng sebelah kanan seperti versi RS150R.

Naikkan tongkat sisi, betulkan kedudukan, putarkan kunci utamanya kemudian hidupkan enjin jentera dengan menekan suis penghidup elektrik. Sistem ekzosnya tampak lebih mantap dengan rekaan yang serba baru serta pendek. Kami jangkakan bunyinya pasti garang! Ya… sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi yang keluar dari corong ekzos sememangnya sangat sedap didengar. Bunyinya seakan-akan model CBR150R. Semakin dipulas pendikitnya, semakin keluar garangnya. Kami sudah tidak sabar untuk bersiar-siar bersama Honda RS-X ini.

Paparan meter digital pada model ini memang best… rekabentuk meternya yang moden serta bergaya sama seperti model CBR150R. Memang amat cantik sekali, langsung tidak membosankan. Terdapat pula info penting seperti putaran rpm, tahap kelajuan, kedudukan gear, masa, tahap bahan api, odometer dan jarak perjalanan untuk tatapan penunggang. Manakala lampu-lampu kecil di bahagian bawah meter adalah lampu isyarat, lampu atas, lampu enjin, kedudukan gear neutral, suhu serta ABS. Kesemua maklumat sangat mudah dibaca.

Ciri-ciri enjin pada model ini masih sama seperti RS150R. Honda telah menyempurnakan RS-X dengan enjin silinder tunggal, DOHC, sistem sejukan cecair yang bersesaran 149.16cc. Gerek & Lejang bersaiz 57.3mm x 57.8mm ternyata menawarkan kuasa dan tork yang cukup mantap sekali! Kuasa maksimum setinggi 11.8kW pada 9,000rpm memudahkan kita memintas kenderaan lain yang berada di atas jalan raya. Tidak kiralah anda berbadan kecil mahupun besar, jentera ini mampu mengheret kita ke hadapan dengan pantas serta selesa kerana model ini memiliki kuasa tork 13.6Nm pada 7,000rpm.

Semakin lama menunggang RS-X ini semakin seronok pula rasanya. Mana taknya, kuasa yang terdapat pada jentera ini membuatkan kami semakin teruja untuk mengembara. Satu persatu kedudukan gear ditukar tanpa sebarang masalah. Sistem klacnya bertindak dengan cemerlang sekali semasa menukar gear agar jentera tidak mudah kehilangan kuasa sewaktu memecut. Pendikit semakin dipulas, makin lama… makin laju dapat kami rasakan sehinggalah tahap kelajuan mencapai 145km/j. Namun kelajuan paling ideal bagi kami adalah sekitar 110km/j. Biar lambat, asalkan selamat.

Dari lebuhraya, kami beralih pula di kawasan pekan. RS-X mempunyai panjang (2,019mm), lebar (727mm), tinggi (1,104mm) yang memudahkan kita untuk bergerak lancar di tengah-tengah kesesakan lalu lintas. Sebagai pengguna dua roda, elakkan memintas apa-apa jenis kenderaan di sebelah kiri terutama apabila tiba di kawasan susur/keluar ataupun persimpangan untuk mengelakkan daripada sebarang kecelakaan yang tidak dapat diduga.

Menunggang di jalan-jalan berselekoh bersama mesin ini juga amat menyeronokkan. Untuk sentiasa kekal berada di laluannya, RS-X telah dilengkapi dengan saspensi hadapan jenis fork teleskopik. Sampai sahaja di selekoh, tekan tuas brek, saspensi hadapannya telah memberi tindak balas yang baik ketika membrek.

Kami bertambah yakin memiringkan jentera ini kerana memiliki tayar-tayar lebar bersaiz 90/80 – 17M/C (depan) dan 120/70 – 17M/C (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang ketika cuaca panas. Manakala saspensi belakang jenis penyerap hentak tunggal memberi keselesaan buat penunggang dan pembonceng agar jentera tidak mudah membuai apabila mengharungi laluan berselekoh.

Tidak kiralah menunggang pada jarak dekat mahupun jauh… sebelum memulakan perjalanan, pastikan jentera kita dilengkapi dengan sistem brek yang berfungsi dengan baik. Honda telah menyempurnakan RS-X ini dengan brek-brek jenis cakera di bahagian hadapan dan belakang yang terbukti cukup mampu memperlahankan jentera dengan selamat. Apa yang lebih meyakinkan, mesin ini turut didatangkan dengan sistem ABS yang sudah pastinya amat berguna semasa membrek di permukaan jalan yang basah ataupun licin.

Honda sememangnya sebuah jentera yang amat menjimatkan. Kami akui kadar penggunaan bahan api pada model yang menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI ini tidak mengecewakan. Dengan satu isian penuh tangki bersaiz 4.5 liter, kami dapat bersiar-siar bersama RS-X sekitar 150 kilometer walaupun ada kalanya kami memecut.

Secara jujurnya RS-X cukup diminati tidak kira golongan dan peringkat umur. Berhenti sahaja di mana-mana pasti ada yang memandang. Jentera moped ini juga ternyata sesuai untuk pelbagai jenis kegunaan. Pergi ke tempat kerja, tempat belajar, Delivery, berkonvoi, bersiar-siar dan macam-macam lagi. Kemantapan enjinnya serta kombinasi rupabentuk yang menarik adalah faktor utama kenapa mesin ini sering menarik perhatian ramai.

Bagi mereka yang berminat dengan model ini, sila kunjungi bilik pameran Honda Impian X atau pengedar sah motosikal Honda untuk melihatnya dengan lebih dekat lagi. Honda RS-X ditawarkan pada harga bilik pameran yang disyorkan RM9,550 (tanpa cukai jalan, insurans & pendaftaran) beserta jaminan selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Terdapat tiga warna pilihan iaitu Trico Edition, Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow. RR

Isu Pada

Mac 2022

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isi padu149.16cc
Kuasa maksimum11.8kW pada 9,000rpm
Tork maksimum13.6Nm pada 7,000rpm
Transmisi6 kelajuan
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang)
Tayar90/80 - 17M/C (depan) & 120/70 - 17M/C (belakang)
Brekcakera, ABS (depan) & cakera (belakang)
P x L x T2,019mm x 727mm x 1,104mm
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.