Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 5 Jun 2022

BMW CE 04 - Evolusi Elektrik

Jentera dua roda elektrik telah menjadi perbualan dan perdebatan sejak sedekad yang lalu. Tidak kira sama ada kita suka atau benci penciptaan ini, harus diketahui bahawa terdapat ramai penyokong di kedua-dua belah pihak.

Hampir tidak dapat dielakkan BMW Motorrad adalah pengeluar arus perdana pertama yang memperkenalkan model E pengeluaran besar-besaran. Dengan penampilan sulung E-skuter bersaiz sederhana iaitu CE 04 2022 yang telah pun dihasilkan seiringan bersama enjin model ICE (Internal Combustion Engine) di kilang Spandau yang terletak di Berlin.

Kilang ini diperluaskan dengan 800m• khas yang membolehkan pemasangannya dilakukan oleh kakitangan yang telah diberi latihan dan kemahiran dengan baik. Model BMW elektrik ini dijual di 38 buah negara di seluruh dunia pada harga pasaran asalnya €11,990 termasuk cukai 19%. Harga ini 70% lebih tinggi daripada skuter C400X konvensional yang bernilai €6,950.

BMW Motorrad sememangnya peneraju utama dalam E-Mobiliti di kalangan para pengeluar di Barat. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Dr. Markus Schramm, mereka tidak akan menghasilkan lagi model ICE baru untuk segmen Mobiliti Bandar tetapi boleh menjangkakan untuk melihat jentera PTW elektrik baru yang dilancarkan oleh pengeluar Jerman ini setiap 18 hingga 24 bulan.

Mulai tahun 2025 dan seterusnya, BMW akan mula menukar beberapa segmen model motosikalnya kepada kuasa elektrik. "Kami tidak akan berhenti membuat model ICE malah kami akan memperluaskan rangkaian elektrik kami melangkaui sektor Mobiliti Bandar," katanya.

CE 04 seumpama kita sedang membaling dadu pertama dari BMW ke dalam evolusi jentera elektrik. Ia kelihatan cukup menarik jika dibandingkan dengan skuter separa maxi/maxi konvensional. Cuma saingannya adalah dari segi harga. Untuk skuter ini, huruf 'C' adalah untuk mengklasifikasikannya datang dari segmen skuter, 'E' jelas untuk ‘elektrik’ manakala '04' merujuk kepada kategori 400cc. Schramm juga ada memberi 'hint' bahawa mereka akan memperkenalkan pula CE 02 dan/atau CE 06.

Masuk akal... betul juga lebih-lebih BMW baru sahaja menandatangani perjanjian usaha sama dengan rakan kongsi Indiannya iaitu TVS. Menerusi usahasama ini, mereka akan mengeluarkan rangkaian G310 untuk semua segmen. Kedua-dua pengeluar ini juga akan mengembangkan lagi pengeluaran menerusi Platform-E.

Produk pertama dijangka akan disempurnakan dalam dua tahun akan datang. “Memandangkan kerjasama kami telah menunjukkan kejayaan dengan TVS, kami cukup berbesar hati untuk melanjutkan kerjasama yang telah dibina sekian lama untuk memajukan pembangunan dilakukan bersama-sama termasuk model elektrik," kata Schramm.

Sama seperti apa yang dilakukan lapan tahun lalu menerusi pengeluaran C-Evolution. Peluang untuk saya menguji CE 04 ini telah disempurnakan di Barcelona, bandar yang sesuai bagi majlis pelancaran global kerana ini adalah ibu kota Eropah yang khusus untuk jentera dua roda.

Di bandar ini sudah terbukti ramai warganya dari semua peringkat umur dan sosial menunggang skuter dan motosikal berbanding tempat-tempat lain di Eropah. Dengan 457,000 kenderaan dua roda didaftarkan di kawasan bandar dengan populasi seramai 5.65 juta penduduk.

Barcelona telah menerima sepenuhnya konsep EV. Pihak kerajaan bandar setakat ini telah memasang lebih 450 tempat pengecas di seluruh bandar. Sejumlah 125 unit pengecas telah dikhususkan untuk kenderaan dua roda elektrik - turut mendapat manfaat daripada ruang parkir percuma untuk kenderaan EV.

Penampilan CE 04 yang menarik menunjukkan bahawa ia dibangunkan mengikut piawaian BMW oleh pasukan Reka Bentuknya yang diketuai oleh Edgar Heinrich dari helaian bersih yang kemudiannya dibantu oleh Kumpulan Kejuruteraan yang diketuai oleh bekas BMW World Superbike iaitu Rainer Bäumel yang akhirnya mengubah menjadi realiti.

Elemen utama dalam seni bina model ialah pek bateri utama 8.90 kWj (60.60 Ah) yang menurut Pengurus Projek CE 04 Florian Roemhild telah menggunakan 1/11 daripada jumlah modul yang digunakan untuk kereta elektrik BMW iX. Ia diletakkan betul-betul di bahagian bawah casis keluli jentera ini.

Ini membolehkan bateri ini dapat disejukkan dengan udara yang masuk melalui plat di bahagian bawah kenderaan - saluran penyejuk jenis sirip yang disusun membujur. Terdapat juga bateri 12V kedua yang berfungsi untuk menghidupkan panel meter dan sistem pencahayaan lampu-lampu jenis LED.

Bateri-bateri ini tidaklah begitu berat. CE 04 cukup ringan agar mudah dikendalikan. Memang ia adalah di luar jangkaan, lebih-lebih lagi bagi model seberat 231kg. Kalau dibandingkan dengan Suzuki Burgman 400, ia 20kg lebih ringan! Enjin CE 04 dan pek bateri kedua-duanya telah dikeluarkan oleh BMW Motorrad di Berlin yang terletak betul-betul di sebelah kilang pemasangan CE 04.

BMW ini menghasilkan 31 kW/42 bhp pada 4,900 rpm dan tork bernilai 62Nm pada 1,500 rpm. BMW menyatakan mereka hanya memerlukan 2.6 saat untuk memecut dari 0-50km/j manakala tahap kelajuan telah dihadkan pada 120 km/j. CE 04 dihasilkan untuk pemegang lesen A2. Namun begitu versi untuk lesen A1 juga dikeluarkan. Model tersebut memiliki kuasa 31 bhp dan laju maksimum yang sama, cuma nak sampai pada kelajuan maksi itu memang agak lambat.

Secara purata CE 04 mampu bergerak untuk perjalanan sejauh 130km – ini bergantung bagaimana kita menggunakan pendikit. Penyongsang/pengawal elektronik sejukan udara diperolehi daripada kereta Hibrid BMW dipasang terus di atas enjin elektrik.

Soket pengecas terletak di bawah pelindung kaki sebelah kanan hadapan, manakala ruang simpanan di sebelah kanan menempatkan kabel pengecas Tahap 1. Jika BMW CE 04 dilengkapi dengan kabel pengecas pantas Tahap 2, masa untuk kita mengecas pastinya dapat dikurangkan dengan ketara. Kita memerlukan sekitar 4 jam 20 minit untuk pengecasan 0-100% dengan kabel pengecas Tahap 1 (2.3 kW) tetapi dapat dikurangkan sehingga 1 jam 40 minit menggunakan kabel pengecas Tahap 2 (6.9 kW), dan kemampuan mengecas dari 20-80% hanya dalam masa 45 minit dengan kabel yang sama.

Enjin CE 04 yang kompak serta modul bateri jenis rata memerlukan ruang yang sangat sedikit. Tidak seperti skuter ICE konvensional yang mempunyai tempat duduk yang besar hanya untuk mencipta ruang di bawah tempat duduk. Pelana jenis rata hanya setinggi 780mm dan masih terdapat ruang simpanan yang cukup besar untuk menyimpan sebuah topi keledar muka penuh.

Terdapat ruangan laluan udara bersih di antara bahagian atas ruang simpanan dan tempat duduk - sentuhan rekabentuk unik yang menghasilkan imej 'pandangan' yang luas serta lapang. Terdapat ruang simpanan bertutup tambahan di hadapan – sesuai untuk telefon pintar. Ruang ini disejukkan oleh kipas elektrik untuk mengurangkan haba sewaktu kita mengecas. Bijak sekali.

Skrin TFT warna penuh 10.25 inci memaparkan pelbagai fungsi skuter ini termasuklah navigasi peta bersepadu dan paparan di skrin ini juga boleh kita asingkan (split screen). Cermin depan jenis 'smoke' memberikan perlindungan angin yang minimum dan bagi saya ia lebih kepada ciri penggayaan. Skrin yang lebih tinggi ditawarkan sebagai aksesori pilihan bersama-sama dengan pemanas pelana, pemanas pendikit dan lampu selekoh.

Pelananya 780mm yang panjang dengan ruang pembonceng cukup luas sememangnya lebih tinggi daripada model BMW C400X (775mm) tetapi ianya ramping – memudahkannya ditunggang oleh penunggang yang agak rendah. Gear undur disediakan sebagai alatan standard yang membantu kita mengundur dengan perlahan-lahan.

Suis penghidup BMW ini seperti biasa terletak pada bar hendal sebelah kanan. Apabila ditekan, kita tidak akan mendengar bunyi enjin berputar seperti skuter biasa. Akan terpapar perkataan "Ready", perhatikan keadaan trafik dan pulas pendikit.

Kita perlu bersedia dan pegang kuat-kuat bar hendal kerana enjinnya akan melonjak ke hadapan dengan sangat senyap dan pantas tanpa sebarang bunyi kecuali tayar-tayar yang sedang berputar. CE 04 ini sangat responsif, bergantung pada mod tunggangan yang boleh dipilih melalui butang pada bar hendal sebelah kanan.

Sangat mudah untuk memecut tetapi saya harus memerhatikan kamera 'speed trap' yang cukup terkenal di Barcelona. Ada banyak di sini dan hanya menunggu masa untuk 'menangkap gambar' anda. Selepas 68 kilometer menunggang gaya sport hampir di semua jenis keadaan. Saya mengujinya dari jalan berliku hingga ke bandar, mendaki bukit bekas laluan perlumbaan hinggalah ke lokasi pesta 'fun-fair' Tibidabo.

Saya juga dapat memecut pada kelajuan 110 km/j ketika di lebuhraya dan satu lap di litar jalanan biasa yang dahulunya pernah menjadi tempat lumba terkenal. Setelah lama di atasnya, saya masih mempunyai baki 48km mengikut kiraan yang terpapar di panel meter.

Berbeza dengan mod Road yang saya gunakan tadi, mod ECO memberikan tahap pecutan dan penggunaan tenaga yang dihadkan, manakala tenaga maksimum dapat dijana semula apabila pendikit ditutup. Mod Rain agak pelik, walaupun tindak balas pendikit dan daya pecutan lebih lembut, ia juga menyaksikan pengurangan penjanaan bateri semasa kita bergerak. Ini berlaku terutamanya ketika menuruni bukit apabila anda benar-benar ingin memerlukan brek enjin lebih kuat pada permukaan licin agar kita tidak menggunakan brek dengan keras yang kemudiannya mengaktifkan sistem ABS. Soft mungkin merupakan nama yang lebih sesuai untuk mod ini berbanding Rain.

Akhir sekali, mod Dinamik adalah yang paling agresif, hanya tersedia sebagai aksesori pilihan yang perlu dibayar. Mod ini menggabungkan pecutan mantap dengan penjanaan maksimum yang setara dengan apa yang diperolehi ketika brek enjin pada jentera ICE. Itu menjadikannya lebih sesuai bagi mereka yang suka laluan berselekoh dan menuruni jalan lereng bukit yang berliku. Mod ini bagaimana pun tidak begitu sesuai untuk selekoh-selekoh berbukit (mendaki).

Sistem Traction Control adalah ciri-ciri standard untuk CE 04 ini yang berfungsi seperti sistem Automatic Stability Control (ASC) pada motosikal ICE dari BMW. ECU memantau kelajuan roda belakang, dan ASC menghadkan tahap tork motor jika putaran tayar berlebihan.

Model baru ini dilengkapkan dengan fork hadapan Showa 35mm dan lengan ayun tunggal yang mengawal setiap hentakan penyerap hentak Showa cantilever yang mempunyai tahap redaman yang sangat baik sehinggakan anda bagaikan tidak rasa apa-apa. Ia seperti kita boleh melalui/melanggar penutup lubang (manhole), jalan tidak sempurna atau bonggol-bonggol dengan selesa. Kuasa membrek dikendalikan dengan baik oleh sepasang brek cakera 265mm dan brek belakang (juga cakera) dengan cemerlang sekali. Turut ditawarkan ialah aksesori tam-bahan iaitu ABS Pro.

CE 04 akan mengungguli carta jualan sebagai alat komuter pilihan di masa hadapan. Ia adalah satu ciptaan lebih hebat daripada jentera dua roda biasa yang datangnya dari rekabentuk yang unik dan menarik. Ciptaan yang inovatif ini dipadankan dengan prestasi dan spesifikasi menyeluruh yang memikat hati, termasuk pecutan yang mendebarkan.

BMW Motorrad berhak mendapat pujian atas cara mereka membangunkan kenderaan dengan cara tersendiri yang terbukti cukup praktikal dan memberikan ketagihan untuk ditunggang. CE 04 menetapkan paras yang cukup tinggi bagi mereka yang berhasrat untuk mengikuti jejaknya. Yamaha mungkin pesaing utama BMW yang berkemungkinan besar untuk menghasilkan unit seperti ini. Adakah akan ada TMAX versi E yang bakal 'berdepan' dengan BMW E baru ini? Pasti mereka sudah ada memikirkan tentangnya. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredir Foto: BMW Motorrad/Markus Jahn dan Jörg Künstle

Isu Pada

Mac 2022

Spesifikasi

EnjinSistem penyejuk cecair, permanent magnet synchronous
Voltage148V
Kuasa maksimum42hp pada 4,900rpm
Tork maksimum62Nm pada 1,500rpm
Kerangkakeluli double loop
Saspensifork Showa 35mm (depan) & lengan ayun tunggal (belakang)
Tayar120/70 R15 (depan) & 160/60 R15 (belakang)
Brekbrek cakera 265mm dengan ABS (depan & belakang)
P x L x T2,285mm x 855mm (dengan cermin sisi) x 1,150mm
Tinggi pelana780mm

Popular

  • Model Baru

    Rieju Xplora 557 dan 707, Model 'Crossover' Baru dari Sepanyol.

  • Dari Litar

    WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

  • Warta Roda

    Lelaki Lemas, Motosikal Dihanyut Banjir

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Perkenalkan GSX-8R Baru. Harga asas RM53,800

  • Model Baru

    BENDA NAPOLEON BOB 500 - Sudah Berada di Pasaran, Harga Bermula RM27,888

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.