Honda Monkey 125 Si Kecil Yang Comel
Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, Honda Monkey tidak lagi asing buat para pencinta motosikal di negara ini. Bentuknya yang menarik dan ketahanan enjin menjadi faktor utama mengapa model ini popular dari dahulu lagi. Walaupun tempoh diberi hanya seminggu untuk menunggang uji model ini, kami cukup berpuas hati dengan prestasi yang ditawarkan oleh jentera ini.
Perkara pertama yang menarik perhatian kami ialah bentuknya yang kecil dan comel. Model yang direka dengan gaya retro ini tidak membosankan apabila dilihat dari mana-mana sudut. Jentera yang dibekalkan untuk sesi pandu uji ini berwarna kuning putih atau dikenali sebagai Banana Yellow dan tentunya gabungan warna jentera ini mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui di hadapannya.
Pelana Monkey setinggi 776mm memudahkan penunggang berkaki pendek memanjatnya. Labuhkan sahaja punggung dan letakkan tangan pada bar hendal, kita akan dapati, ia benar-benar selesa. Walaupun enjin jentera ini masih belum dihidupkan, kita sudah berasa yakin, Monkey pastinya menawarkan pengalaman yang menyeronokkan.
Untuk menghidupkan enjin, kita hanya boleh menggunakan penghidup elektrik. Sekali tekan sahaja sudah cukup untuk dihidupkan, baik semasa enjin sejuk mahupun panas. Masuk sahaja ke lebuhraya, minda kami seperti meminta-minta untuk memerah lagi pendikit Monkey ini. Dengan keadaan trafik di lebuhraya yang lengang dan kurang kenderaan, apa lagi pecut la… Ketika membuat pecutan, kami dapat rasakan enjin silinder tunggal, empat lejang, SOHC dengan kuasa maksimum 6.66kW pada 7,000 rpm menghamburkan kuasa yang cukup hebat. Walaupun kecil, ia mampu memecut dengan mudah sekali. Prestasinya memang di luar jangkaan! Dengan berat 105 kg langsung tidak bergoyang walaupun tahap kelajuan hampir mencecah 110 km/j.
Dengan transmisi 4 kelajuan, boleh kami katakan betapa lancarnya proses penukaran di setiap kedudukan gear. Didatangkan pula dengan klac yang lembut menjadikan model mini ini cukup sesuai untuk tunggangan di bandaraya. Tapi sayang sekali kerana model ini tidak dilengkapi dengan penunjuk kedudukan gear di panel meternya. Sukar untuk kami ketahui kedudukan gear yang sebenar ketika mengambil selekoh.
Dengan bentuk badannya yang kecil, menunggang di kawasan bandar sangat mengasyikkan. Kuasa tork yang ditawarkan pada model ini ialah 10.5Nm pada 5,500rpm sudah cukup kuat untuk memecut dan bergerak dengan mudah di dalam kesesakan lalu lintas. Dengan bar hendal yang lebar, jentera ini sangat mudah untuk dikawal ketika mencelah di tengah kota.
Menunggang bersama jentera ini sememangnya menarik perhatian orang sekeliling. Hampir setiap motosikal yang berhenti di lampu isyarat tidak melepaskan peluang untuk mencuri-curi pandang pada jentera Honda ini. Ada yang tersenyum sambil menunjukkan isyarat bagus dan ada pula yang berkata “comel motor bang!”
Bunyi enjin yang cukup halus ketika enjin berada dalam keaadan melahu dan putaran enjin yang cukup stabil. Nada yang keluar dari ekzos sangat menyenangkan apabila didengar. Sistem ekzos dipadankan dengan muffler yang lebih rendah untuk mengurangkan bunyi.
Ekzos yang terletak di sebelah kanan dilengkapi dengan pelindung panas yang amat sesuai bagi mengelakkan haba panas terkena kaki terutamanya jika diparkir di kawasan perumahan yang ramai kanakkanak. Bahagian kaki penunggang juga langsung tidak terasa bahang walaupun kedudukan ekzos berada agak dekat.
Monkey diperkemaskan dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera hidraulik. Gabungan kedua-dua brek ini sudah cukup untuk memperlahankan kelajuan Monkey dengan pantas dan selamat. Pada masa yang sama, ia membantu kita kekal di laluan yang betul ketika berada di jalan-jalan berselekoh. Walaupun cermin sisinya yang berbentuk bulat, ia memudahkan kita untuk melihat keadaan trafik di belakang. Sifat semula jadi mini bike mestilah pantas dan lincah. Baringkan sahaja jentera ini ke kiri atau ke kanan, motosikal kecil ini dapat mengikut kehendak kita tanpa sebarang keraguan.
Honda Monkey merupakan sebuah jentera mini yang amat sesuai dalam apa jua keaadan. Berkeyakinan untuk berjalan jauh, cemerlang ketika mendaki dan selesa melalui kawasan bandar. Model ini juga sangat sesuai untuk semua jenis penunggang, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.
Posisi menunggangnya memang patut dipuji kerana ruang penunggang dan bar hendal luas. Bahagian lutut juga dirasa tidak terlalu hampir dengan lengan. Walaupun menunggang lebih daripada dua jam, tidak langsung terasa penat dan kebas di bahagian punggung. Ini kerana Monkey hadir dengan ruang pelana yang luas dan lembut. Sangat selesa! Untuk pengetahuan pembaca, Honda Monkey direka hanya untuk seorang penunggang sahaja. Kita tidak boleh membawa pembonceng di belakang. Jadi jangan pelik jika tiada pemijak kaki untuk pembonceng.
Kehebatan jentera Honda ini terserlah apabila tiba di jalan-jalan berselekoh. Honda Monkey ini dikemaskan dengan tayar-tayar bersaiz 120/8012 M/C (65P) di bahagian hadapan dan 130/80-12MC (69P) di belakang. Ia cukup ‘gemuk’ untuk memberikan keyakinan 100% ketika meratah selekoh. Langsung tidak terasa seperti ingin membuang dan memberikan gigitannya cukup sempurna setiap kali motosikal mini ini dimiringkan. Honda Monkey ini bukan setakat sesuai di jalan raya, ia juga sangat cemerlang apabila menunggang di jalan-jalan offroad.
Menunggang pada waktu malam tidak memberikan sebarang masalah pada kami. Untuk disesuaikan dengan trend dan citarasa terkini, lampu utamanya yang berbentuk bulat jenis LED dengan gaya retro memberikan suluhan cukup terang. Kita dapat melihat keadaan jalan di hadapan dengan lebih jelas.
Paparan meter LCD berbentuk bulat dan paparan yang mudah dibaca memberikan kelebihan buat kita untuk terus fokus ketika menunggang di jalanan. Walaupun saiznya agak sedikit kecil, tetapi ia memang jelas – hanya sekali pandang sahaja, kita mudah mengetahui kelajuan yang dicapai, tahap bahan api dan jarak perjalanan. Lampu latar belakang meter ini cukup terang dan jelas ketika menunggang pada waktu malam.
Honda Monkey menggunakan sistem saspensi hadapan jenis terbalik dan penyerap hentak belakang berspring yang menyerap segala hentakan dengan baik. Walaupun membrek dengan agak keras, bahagian lengan tidak terasa sakit atau kebas. Kami dapat menikmati perjalanan di laluan yang tidak sempurna dengan selesa. Jentera ini juga memiliki keseimbangan yang cukup sempurna sewaktu dibawa di laluan berselekoh.
Kadang-kadang kita sering terlupa di mana kita letakkan motosikal, lebih-lebih lagi apabila parkir di kawasan pasaraya yang dibarisi dengan pelbagai jenis motosikal. Dengan kehadiran sistem alarm dan Answer Back yang disediakan pada Monkey ini, ia memudahkan pemilik mengenal pasti lokasi motosikal dengan segera.
Sebuah mesin kecil dengan enjin suntikan bahan api sudah tentu kadar penggunaan bahan apinya sangat menjimatkan. Ia memberikan kita jarak perjalanan yang lebih jauh lagi dengan purata sekitar 170 kilometer dengan isian penuh 5.6 liter.
Kepada mereka yang ingin memiliki Honda Monkey ini, ia didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Banana Yellow, Pearl Glittering Blue dan Pearly Nebula Red. Model ini ditawarkan pada harga RM13,999 dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu). Nak ke tempat kerja pun boleh.. Nak mengembara pun boleh. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, silinder tunggal, SOHC |
Isipadu | 124 cc |
Gerek x Lejang | 52.4mm x 57.9mm |
Nisbah mampatan | 9.3:1 |
Kuasa maksimum | 6.66kW pada 7,000 rpm |
Tork maksimum | 10.5Nm pada 5,500 rpm |
Tinggi pelana | 776 mm |
Isi Tangki | 5.6 liter |
Berat | 105 kg |
Pengedar | Boon Siew Honda Sdn Bhd |
Popular