WMOTO XTREME 150i - Praktikal, Cantik & Mampu Milik
Jika dahulunya kita menganggap sebuah skuter merupakan alat pengangkutan yang sesuai untuk laluan santai di kawasan-kawasan urban tetapi dengan peredaran zaman, minat penunggang serta teknologi yang berkembang ternyata mengubah segalanya. Jentera automatik kini bukan sahaja dicipta untuk tunggangan santai semata-mata malah dipertingkatkan prestasinya agar lebih lasak dan mantap untuk ditunggang hampir ke mana sahaja.
Itulah yang ditawarkan oleh WMoto menerusi Xtreme 150i yang menawarkan spesifikasi yang lebih mantap – sesuai untuk semua jenis jalanan, termasuk di laluan lasak. Untuk lebih yakin, skuter ini telah diberikan taraf lima-bintang oleh Motorcycle Assessment Program di Malaysia (MyMAP).
Model ini juga menerima pengiktirafan oleh pihak MIROS yang berkolaborasi dengan Malaysian Institute of Automotive, Robotics and IoT (MARii) sebagai skuter yang paling selamat dengan penggunaan sistem ABS yang cukup efisien.
Jelasnya rekabentuk model ini memiliki elemen yang unik dan menarik. Bahagian hadapan dikemaskan dengan lampu utama LED, lengkap dengan Daytime Running Light (DRL) yang cantik dan terang. Mudah untuk dilihat! Lampu belakang skuter ini juga jenis LED dan tidaklah keterlaluan jika kami katakan rekabentuknya cukup cantik. Mungkin antara yang paling cantik di kalangan model-model skuter di pasaran negara.
Lampu isyarat depan dan belakang juga LED tidak berkelip seperti motosikal biasa tetapi bergerak ke tepi ala kereta mewah (kalau kurang pasti, tengok videonya di saluran youtube.com/c/RodaRodaMY). Mantap!
Sebaik sahaja kita duduk, mata akan tertumpu pada panel meter digital yang cukup simple dan kemas. Info-info seperti penunjuk kelajuan, takometer, jam, tahap bahan api, jarak perjalanan dan trip dapat kita baca dengan mudah.
Kunci utama Xtreme 150i ini turut berfungsi untuk membuka pelana dan penutup tangki petrol. Ruang bawah pelana bersaiz sederhana, walaupun tidak cukup besar untuk memuatkan topi keledar, tetapi muatlah untuk kita menyimpan barang-barang penting seperti set baju hujan, beg tangan untuk penunggang wanita, kasut hujan dan lain-lain.
Terima kasih buat Darma Motor yang telah menyediakan unit untuk sesi tunggangan uji. Sedikit info mengenai Darma Motor: Syarikat ini diasaskan oleh En. Chee Kok Hee pada tahun 2000 dan buat masa ini memiliki empat buah cawangan iaitu di Damai Perdana Cheras, Taman Impian Balakong, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi dan PJS 2, PJ. Waktu operasi ialah pada jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam (Isnin-Jumaat) manakala pada hari Sabtu hanya sehingga jam 6.00 petang.
Ok… kembali ke skuter comel ini. Ya.. saiz Xtreme tidaklah begitu besar – mudah untuk ditunggang oleh semua jenis penunggang termasuklah wanita. Bagi kawan-kawan yang tinggi lampai, memang terasalah skuter ini kecil tetapi ruang kaki yang agak besar membantu kita untuk mendapatkan posisi kaki yang selesa sewaktu menunggang.
Terdapat juga ruang barang di bahagian depan (kiri dan kanan hendal) yang boleh memuatkan sarung tangan, telefon pintar, dompet jika hujan dan dalam ruang bahagian kanan, terdapat soket kuasa 12v dan slot USB. Sebagai cadangan, kalaulah ruang barang ini dikemaskan dengan pelapik getah agar barangan elektronik seperti telefon pintar atau powerbank tidak bergegar teruk.
Kelincahan skuter ini menangani laluan sibuk di kota-kota besar memang menyeronokkan. Dengan enjin 149.3cc berkuasa 12.1hp dan tork 11.8Nm, kita menggunakan pendikit dengan agak agresif, barulah ‘syiok!’ Laju maksimum ialah sekitar 115-120km/j dan sudah mencukupi untuk membawa kita dari satu tempat ke satu tempat yang lain cuma, kita perlu tenang dan bersabarlah apabila menunggangnya di lebuhraya. Skuter memang bukanlah untuk kaki pecut ya!
WMoto ini juga sesuai untuk ditunggang berdua. Tempat pemijak untuk si pembonceng ‘tersorok’ di sisi dengan kemas sekali. Yang ini juga wajar dipuji. Pelana belakang tinggi dan selesa cuma sekali lagi, kawan-kawan yang berkaki panjang terpaksa membengkok lebih sedikit.
Ketinggian cermin pengadang angin WMoto ini boleh dilaras tetapi dengan menggunakan peralatan sikitlah. Ini agak menyusahkan dan diharap pihak WMoto dapat mengatasi masalah ini agar cermin pengadang angin ini boleh dilaras dengan mudah. Kita pastinya perlukan sedikit angin dari depan ketika menunggang di dalam bandar (untuk sejukkan badan) tetapi apabila masuk ke lebuhraya, cermin ini memang perlu ditinggikan.
Bagi mereka yang sudah biasa/pernah dengan sistem Auto Start/Stop, ya…. skuter ini juga hadir dengan sistem ini. Enjin akan dimatikan secara automatik apabila kita menutup pendikit pada kelajuan sifar. Sistem ini adalah untuk mengelakkan pembaziran bahan api khususnya ketika berada di lampu isyarat. Bila pendikit dipulas semula, enjin akan berjalan kembali seperti biasa.
Untuk disesuaikan dengan tunggangan lasak, ruang kelegaan tanahnya agak tinggi dan memuaskan hati iaitu pada jarak 180mm, manakala tayar-tayar berbunga ‘lasak’ (100/80-R14 depan dan 120/70-R14 belakang) yang dipadankan pada skuter ini memang membantu kita mengendalikan skuter ini di laluan agak lasak.
Walaupun tidaklah 100% sempurna, fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang boleh laras telah menyerap segala hentakan dengan baik – memang seronok tunggang skuter ini di laluan-laluan yang tidaklah begitu lasak. Sistem brek jenis cakera beserta ABS dua saluran yang dilengkapkan pada skuter ini juga cukup baik. Ia bertindak dengan cemerlang sekali untuk memperlahankan kelajuan Xtreme yang seberat 143kg ini dalam masa yang agak singkat.
Dengan sistem bahan api dan enjin yang berpiawaian Euro 4, skuter dari WMoto ini menawarkan penggunaan bahan api yang cukup jimat. Kami dapat menikmati perjalanan lebih daripada 200 kilometer dengan satu isian penuh tangki bersaiz 11 liter dan selepas menunggangnya di pelbagai jenis laluan, kelajuan yang paling ideal bagi kami ialah sekitar 90-100km/j.
Berapa modal untuk dapatkannya? WMoto Xtreme 150i ditawarkan pada harga asas RM9,588 (tidak termasuk pendaftaran dan cukai jalan) dan boleh dipilih dalam dua warna pilihan iaitu Merah dan Kelabu. Setiap pembelian melayakkan anda menerima waranti kilang selama dua tahun atau 20,000km perjalanan (yang mana terdahulu).
Alat ganti? Memang tak ada masalah kerana ianya boleh didapati di semua pusat pengedar sah WMoto atau Mforce Bike Holdings Sdn Bhd di seluruh negara. Jadi tunggu apa lagi? Dapatkan sekarang skuter WMoto ini untuk tunggangan yang santai, jimat dan menyeronokkan. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, 4 lejang, SOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 149.3cc |
Kuasa maksimum | 12.1hp pada 8,500rpm |
Tork maksimum | 11.8Nm pada 5,000rpm |
Tayar | 100/80-R14 (depan) & 120/70-R14 (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal boleh laras (belakang) |
Tinggi pelana | 765mm |
P x L x T | 1,925mm x 760mm x 1,290mm |
Isi tangki | 11 liter |
Pengeluar | MForce Bike Holdings Sdn Bhd |
Popular