Keeway Dorado Black Knight 250 : Mesin Untuk Tunggangan Santai
Cruise dalam bahasa malaysia bererti pelayaran, meronda-ronda yang dikaitkan dengan aktiviti 'makan angin' atau suatu pergerakan yang selesa. Bagi pencinta motosikal pula, sebuah mesin cruiser dikaitkan dengan motosikal yang mempunyai krom... selesa... santai... penuh gaya. Selain kelihatan ranggi dan bergaya di jalanan biasa, mesin cruiser juga adalah pilihan utama bagi mereka yang ingin mengembara kerana ia menjimatkan, tidak memerlukan pecutan yang pantas, posisi tunggangan yang selesa dan mudah untuk dipacu.
Terima kasih buat Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd kerana sudi memberi peluang RR untuk menguji Dorado Black Knight 250, sebuah mesin yang cukup cantik dan bergaya. Walaupun bersesaran 250cc, sekali pandang ia kelihatan seperti mesin lebih daripada 500cc kerana susuk tubuhnya cukup tegap dan sistem ekzosnya yang mantap. Unit yang disediakan untuk kami berwarna Exclusive Matte Black – sangat sepadan dengan dua lapis ekzos krom yang dilengkapkan pada model ini. Dorado kelihatan cukup anggun, seperti mana model-model cruiser terkenal yang berkuasa lebih daripada satu liter.
Jom kita tengok Dorado ini dari dekat! Kita akan dapati bahawa legasi mesin-mesin cruiser masih jelas dimiliki olehnya tetapi untuk diselarikan dengan peredaran masa, Keeway telah melengkapkan mesinnya dengan panel meter digital disusun dengan baik sekali. Paparan digital menunjukkan jarak perjalanan dan trip manakala satu-satunya meter analog pula memaparkan tahap kelajuan.
Tidak pernah menjadi satu masalah buat sesiapa pun untuk menaiki sebuah motosikal cruiser kerana pelananya yang cukup rendah – model ini tidak terkecuali. Dorado ini hanya seberat 135kg, mudah untuk digerakkan ke mana-mana dan pada pendapat kami, penunggang wanita juga tidak akan mengalami masalah untuk memacunya! Sebaik sahaja menghidupkan enjinnya, bunyi yang terhasil menerusi dua corong ekzos terlalu 'baik'.... senyap sahaja berbanding dengan kebanyakan model cruiser lain yang sentiasa mementingkan kemerduan 'suara'nya!
Kita tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan jentera ini dan itulah keistimewaan cruiser Keeway Dorado Black Night 250. Enjin berkuasa 14.5 kW pada 5,800rpm dan tork 13.5Nm pada 6,500rpm ini membenarkan Dorado memecut dengan lancar dan pantas. Dengan adanya sistem pancitan bahan api, enjin Black Night bukan sahaja mudah dihidupkan tetapi menawarkan tindak balas pendikit yang responsif di semua kedudukan gear. Nisbah gearnya dirasakan agak pendek, maka proses penukaran gear perlu dilakukan dengan cepat agar enjin tidak bergerak dalam keadaan memaksa.
Sudah menjadi tujuan utama model-model cruiser dibuat demi menawarkan tunggangan yang santai dan selesa. Maka tunggangannya juga perlu relaks... tidak tergesa-gesa. Walaupun mampu mencecah 140km/j, kelajuan paling ideal ialah sekitar 110km/j – tiada gegaran dan tidak pula risau terkena 'tembakan' mesin perangkap laju AES.
Cermin pengadang udara yang dilengkapkan pada model ini memang amat berguna terutamanya di waktu malam. Pernah tak serangga-serangga yang berterbangan di waktu malam melekat pada visor topi keledar anda? Kalau menunggang di lebuhraya bersebelahan dengan kawasan perladangan, ia adalah perkara biasa. Kalau setakat melekat di visor takpelah.... ada juga serangga ini yang dapat lolos ke dalam jaket – gatal beb dibuatnya! Ya... di sinilah Dorado menunjukkan 'belang'nya! Cermin ini akan menjadi benteng terbaik untuk elakkan perkara tadi berlaku pada penunggangnya. Syabas!
Kerangka Dorado yang bertegaran tinggi ini bukan sahaja cukup tegap ketika menahan tampanan angin laju tetapi juga memberikan pengendalian yang menyeronokkan di laluan-laluan berselekoh…. jangan pula nak dibandingkan dengan mesin-mesin jalanan (naked) atau superbike, tak adillah! Kita bukan nak cecah lutut, Dorado menawarkan gaya tunggangan yang berbeza untuk kecapi nikmat berbeza.
Kalau nak dibandingkan dengan mesin sport, mari kita bersiar-siar di dalam bandar. Dengan pengendalian yang mudah, Dorado memang sesuai untuk tunggangan di dalam bandar manakala sistem penyejuk udaranya berfungsi dengan cemerlang sekali. Walaupun boleh dikatakan sistem ekzos yang hampir dengan kaki, bahang panas langsung tidak terasa, bahagian lengan dan kaki juga selesa – “Takdelah rasa lenguh sana-sini,” kata salah seorang daripada kami.
Seperkara lagi, tidak kiralah motosikal apa pun yang anda tunggang.... sila kunci dengan sebaik-sebaiknya jika ingin parkir di tempat awam seperti taman-taman rekreasi, pusat membeli belah dan di lorong-lorong sunyi. Saat-saat kita alpa dan cuailah menyebabkan segalanya boleh hilang sekelip mata. Jadi... sediakan payung sebelum hujan!
Dorado dilengkapi dengan tayar Pirelli Sport Demon bersaiz 110/90- 16 (hadapan) dan En. Shubely dan pasangannya, Azrina merakamkan detik indah mereka bersama Dorado Black Night. 130/90-16 di bahagian belakang yang mencengkam setiap permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Tidak kira dalam kelajuan tinggi atau rendah, hujan atau panas, jentera cruiser ini kemas berada di laluannya. Itu amat penting terutamanya bagi para penunggang baru kerana bukan satu, bukan dua... tetapi sudah berpuluh kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang gagal mengambil selekoh dengan baik
Menunggang di jalan-jalan yang sedang dinaik taraf sememangnya memerlukan sistem brek dan saspensi yang baik. Risau juga nak lalu kawasan itu tetapi Dorado ini mempunyai saspensi hadapan jenis teleskopik dan lengan ayun berspring yang boleh dipuji keberkesanannya. Kita tidak terlompat-lompat atau sakit pinggang akibat jalan yang tidak menyenangkan itu. Apa yang kurang selesa ialah brek hadapan model yang kurang efisien, tidak seperti yang diharapkan dan semestinya masalah ini perlu diperhalusi dan dipantau atas faktor keselamatan pemiliknya. Brek belakangnya pula berfungsi dengan sangat cemerlang – kami tidak perlu menekan dengan kuat untuk merasakan cengkamannya, beratkan sedikit tuasnya dan serta merta kelajuan mesin ini dapat dikurangkan.
Penjimatan penggunaan bahan tidak perlu diragui lagi. Dengan isian penuh tangki bersaiz 13.5 liter, kami dapat menikmati sejauh 280 kilometer dengan selesa dan tenang sekali. Sejak memasuki pasaran di penghujung tahun lepas, sebanyak 100 buah Dorado Black Night 250 ini berjaya dijual pada harga RM13,990 (termasuk 6% GST) dan kepada mereka yang ingin melihatnya dengan lebih dekat, sila kunjungi para pengedar Benelli Keeway Motorcycles yang berhampiran dengan anda. RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, 2-silinder, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 249cc |
Gerek & Lejang | 49 x 66mm |
Nisbah Mampatan | 9.4:1 |
Kuasa Maksimum | 14.3 kW pada 5,800rpm |
Tork Maksimum | 13.5nM pada 6,500rpm |
Isi Tangki | 13.5 liter |
Tinggi Pelana | - |
Berat | - |
Pengeluar | Benelli Keeway Motocycles Sdn Bhd |
Popular