YAMAHA YZF-R25 : Memberi Kejutan!
Kali pertama RR melihat kelincahan model ini merentap di selekoh-selekoh ialah ketika membuat liputan perlumbaan Yamaha Asia Cup di Indonesia awal tahun ini. Litar Antarabangsa Sentul menjadi saksi bagaimana Jorge Lorenzo dan para pelumba Yamaha dari serata Asia memerah tenaga R25 ini dengan gagah sekali. Terus terang kami katakan... jentera ini memang cukup-cukup layak bergelar mesin sport kelas pertengahan. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan ciri-ciri yang diperkenalkan pada model ini seperti rekabentuk sporty, saiz tubuh badan besar, saiz tayar dan rekaan lampu hadapan dan belakang yang mantap.
Selepas beberapa lama menunggu akhirnya jentera 'panas' ini berada di depan mata dan ucapan terima kasih kepada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kerana memberi kepercayaan untuk menguji mesin hebat ini. Okay, memang R25 ini sebuah jentera yang bersaiz agak besar, tidak jauh bezanya dengan model YZF R6. Kalau tidak percaya, letak kedua-duanya bersebelahan! Memandang pada model ini ternyata mengingatkan kami pada mesin lagenda, TZM 150 ketika ia mula-mula dilancarkan pada tahun 1994. Walaupun hanya bersesaran 150cc, rupabentuknya yang besar dan kepantasan memecut telah menjadi igauan ramai anak-anak muda di waktu itu. Ia sememangnya sebuah jentera 'fotostat' mesin berkuasa tinggi dan menjadi kebanggaan anak-anak muda memacu jentera Yamaha itu ke mana sahaja.
Tarikan utama R25 ini datangnya hampir dari semua arah. Yamaha menggelarkan lampu utama R25 ini sebagai 'predator look' untuk menggambarkan gaya dan suluhannya yang tepat dan mantap. Rekaan lampu utama ini ada persamaannya dengan model R6 2004 manakala lampu belakang pula tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan model MT-07. Seperti model R6 dan R1, fairing sisi model 250cc ini bukan sahaja anggun tetapi juga melindungi dan menutupi bahagian enjin dengan kemas sekali. Apabila melihatnya dengan teliti, kualiti dalam pembikinan model ini memang cukup tinggi. Tahniah!
Walaupun sebuah mesin sport, pelananya lembut dan selesa dan ini membuktikan bahawa Yamaha tidak pernah berkompromi dalam usaha menawarkan jentera-jentera yang berprestasi tinggi, selesa dan sesuai untuk semua jenis tunggangan. Sebaik sahaja melabuhkan punggung, anak mata terus tertumpu pada panel meternya yang kemas dan terkini. Meter analog memaparkan tahap rpm manakala penunjuk digital memberi maklumat mengenai tahap kelajuan, kedudukan gear, jarak perjalanan, suhu, jam dan tahap bahan api. Lengkap!
Sebaik sahaja enjin ini dihidupkan, 'suara' cukup agresif kedengaran daripada sistem ekzos 2-1 ini menarik perhatian kami. Ruang yang luas dan kedudukan bar hendal yang tepat memudahkan kita mengendalikan jentera ini dalam semua kelajuan. Ketika mula-mula digerakkan, mesin ini bagaikan 'malas' untuk berlari dan kami agak terkejut dengan prestasinya pada waktu itu tidaklah seperti yang diharapkan. Mengapa begini? Sedangkan kuasa torknya agak tinggi, 22.6 Nm pada 10,000rpm. Rupa-rupanya karaktor enjin dua silinder, 8 injap DOHC ini sedikit berbeza – kita perlu lebih agresif! Caranya ialah dengan menarik putaran enjin di antara 7,000 hingga 9,000rpm dan barulah R25 'sudi' menunjukkan belangnya.
Sistem pancitan bahan api yang dilengkapkan pada jentera ini cukup-cukup lancar. Tidak ada terasa walaupun sekali 'kekosongan' ketika memulas pendikit. Tindakbalasnya tepat dan sempurna... layan habis! Kehadiran lampu penukaran gear yang terletak di atas panel meter menjadikan kita lebih cekap mengawal kelajuan dan menukar gear. Lampu ini akan berkelip dengan lajunya setiap kali enjin ditarik mencapai ke tahap 11,000rpm dan memaksa kita menambah gear. Dengan kuasa maksimum 35.5hp pada 12,000rpm, jentera Yamaha ini berlari bagaikan seekor lipas kudung dengan kelajuan maksimum yang berjaya dicapai iaitu sekitar 175km/j. Ketegaran casisnya (jenis berlian) menjadikan penunggang dan jentera terus stabil ketika dilayarkan sepantas itu, ia tidak bergoyang-goyang manakala cermin mengadang udara cukup bagus, kita dapat menyorok dengan selesa di belakangnya.
Untuk mendapat kepercayaan penunggang-penunggang motosikal khususnya di Malaysia, setiap pengeluar motosikal perlu memahami apakah kehendak mereka yang sebenar. Pertama, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai lebuhraya dan jalan raya antara yang terbaik di Asia. Kita juga dapat menikmati perjalanan yang selamat tidak kira ke arah Utara, Selatan, Timur dan Barat dengan adanya perkhidmatan bantuan kecemasan, ruang rehat dan tempat penginapan hampir di mana-mana sahaja. Dengan kemudahan yang disediakan ini, 'trend' mengembara bermotosikal di Malaysia kini bukan sahaja digemari oleh para pemilik motosikal berkuasa tinggi tetapi juga turut dikecapi oleh semua jenis penunggang motosikal.
Posisi menunggang R25 yang tidak radikal membuatkannya juga amat sesuai untuk dibawa mengembara. Selepas menunggang kira-kira 150 kilometer, kami masih segar, tidak ada tanda-tanda keletihan atau lenguh-lenguh – bagus! Sedikit perkongsian: Jika menunggang perjalanan jauh, banyakkan meminum air agar tidak berlaku dehidrasi dan pada masa yang sama kurangkan kuantiti makanan di waktu tengahari untuk elak daripada mengantuk. Bermotor memang aktiviti yang paling 'sempoi' tetapi keselamatan adalah keutamaan.
Okay... selepas menyegarkan diri, kami kembali ke atas R25 dan seperti mesin sport berkuasa tinggi, model ini didatangkan dengan pelana antigelongsor yang membantu kita terus berada di posisi yang selamat ketika membrek dengan keras, mengubah posisi dalam selekoh dan ketika menunggang berdua. Jika terlalu licin, pembonceng akan mudah bergerak dan ini langsung tidak selesa – jika sering bergerak ke hadapan, penunggang pula terpaksa menahan beban yang menyebabkan bahagian pinggang dan tapak tangan cepat lenguh.
Tubuh badan yang sememangnya mirip dengan big bike berjaya 'menghentikan' seketika aktiviti masyarakat di Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan. Tidak kurang yang datang bertanyakan berbagai soalan berkaitan dengan model baru ini dan hampir kesemuanya mengagumi rekabentuk R25 ini yang cantik dan moden. Sistem penyejuknya juga berfungsi dengan cemerlang sekali! Walaupun dalam cuaca panas dan sesak, tidak berlaku pun keadaan panas lampau daripada mana-mana bahagian terutamanya di bahagian betis (berdekatan dengan sistem ekzos). Suhu enjin terus terkawal seterusnya menjadikan tunggangan di bawah sinar matahari tidak begitu menyeksakan.
R25 mampu 'menangani' kekalutan tunggangan di kawasan yang mengalami kesesakan dengan mudah sekali kerana ia ramping dan lincah. Dengan mesin ini kita mudah menyelit dan mengekori mesin-mesin moped yang bagaikan 'raja' di tengah-tengah kota tetapi apabila terdapat ruang yang agak besar dan selamat...kita pulas pendikit dan meluncur ke hadapan dengan pantas sekali.
Jentera baru ini didatangkan dengan fork hadapan teleskopik dan saspensi monocross yang menjadikan pengendalian di jalan-jalan berselekoh, kasar dan berbonggol lebih efisien. Apabila menunggang sebuah mesin yang tawarkan kemantapan kuasanya, kita memerlukan sistem saspensi yang mampu menyerap segala hentakan dengan baik agar ia berada di selekoh terus kekal dengan selamat. Apabila berada di kawasan tanah tinggi, kita akan dapati masih ada jalan-jalan berselekoh yang berbonggol-bonggol tetapi mujurlah R25 terus kemas meratahnya. Disebabkan sistem saspensinya yang baik, ia turut sesuai untuk ditunggang berdua. Prestasi mesin ini tidak akan berkurangan dengan syarat... Cara kita menafaatkan kuasa serta pemilihan kedudukan gear perlu dilakukan tepat dan sesuai.
Sebut sahaja model R keluaran Yamaha, ia amat sinonim dengan ketangkasan di selekoh, kepantasan memecut dan kelincahannya mengubah kedudukan. Manakala posisi tunggangannya yang selesa membuatkan kita tidak mudah berasa letih dan penat ketika menikmati suatu pendakian kawasan berbukit seperti ke Genting Highlands, Bukit Tinggi atau ke Fraser's Hill. Dari segi gaya dan keselesaan ketika menunggang, terbukti model ini memang banyak benar persamaannya dengan R1. Model ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 110/70-17 dan belakang 140/70-17 + rim aluminium 10 jejari yang ringan, menjadikan pengendaliannya cukup mudah. Tayar-tayar ini menggigit permukaan dengan sempurna sekali tidak kira apa juga jenis permukaan jalan dan cuaca. Paling penting ketika berada di selekoh ialah kita tidak perlu memaksanya untuk membuat miringan, lakukan dengan tenang – ia lebih selamat!
Untuk disesuaikan dengan kelincahannya, R25 dilengkapi dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera yang bertindak dengan baik sekali – dapat dirasakan dengan jelas terutama sekali apabila membrek dengan keras. Selain dapat memperlahankan kelajuan dengan tepat dan cepat, ciri-ciri penting sebuah mesin hebat ialah tindak balas casisnya sewaktu proses membrek itu dilakukan. Adakah ia melayang.....terhoyong hayang? Untuk R25, ia cukup mantap dan tegap sekali!
Sebenarnya, apa yang telah pun ditawarkan oleh model YZF R25 ini sudah cukup untuk kita tersenyum setiap kali bersamanya. Ia bukan sahaja sebuah jentera pertengahan yang berprestasi tinggi tetapi juga amat menjimatkan dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 220 kilometer untuk satu tangki penuh 14.3 liter. Tak usahlah tunggu lagi...nanti dikebas orang. Kunjungilah pusat pengedar Yamaha terdekat dan pilihlah sama ada R25 berwarna merah atau biru yang ditawarkan pada harga asas RM19,783. RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, 2-silinder, 8 injap DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 249cc |
Gerek & Lejang | 60.0 x 44.1mm |
Nisbah Mampatan | 11.6:1 |
Kuasa Maksimum | 26.5kW pada 12,000rpm |
Tork Maksimum | 22.6nM pada 10,000rpm |
Isi Tangki | 14.3 liter |
Tinggi Pelana | 780mm |
Berat | 166kg |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd |
Popular