SUZUKI V-STROM 650 : Harungi Perjalanan Dengan Selesa
Tiada yang lebih menyeronokkan selain melompat ke atas sebuah jentera yang menawarkan pengendalian mudah, hantaran kuasa yang tepat, keselesaan yang optimum dan pecutan mengagumkan. Jika ini yang kita cari... ia bakal dikecapi apabila memacu model terbaru Suzuki V-Strom 650! Model ini dilancarkan ke pasaran negara pada Februari lalu dan jujurnya, ia adalah sebuah model yang amat sesuai untuk mereka yang ingin melakukan pengembaraan dan pada masa yang sama boleh juga dijadikan teman seharian.
Terima kasih buah Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd atas kesudian memberi peluang kepada RR untuk merasai nikmatnya menunggang jentera tinggi lampai ini. Sedikit info untuk perkongsian: V-Strom 650 mula diperkenalkan ke pasaran dunia pada tahun 2004 dan kekuatan model ini berbanding para pesaingnya ialah menerusi posisi tunggangan yang natural, enjin yang berkuasa, tubuh badan yang tegap dan kualiti tahap keselesaannya. V-Strom adalah gabungan antara V iaitu enjin jenis V dan Strom (bahasa Jerman) yang membawa maksud aliran. Jadi... pastinya 'aliran' putaran kuasa enjin dan pengendaliannya amat hebat!
Untuk model 2015, rekabentuk hadapannya disetujui lebih anggun dan kemas berbanding model lama. Dua buah lampu utamanya berbentuk seperti mata cleopatra yang lengkap dengan saluran udara kecil di sisi - cantik dan unik. Pengadang udara model ini boleh diubah kepada tiga tahap ketinggian bergantung kepada pilihan dan kesesuaian penunggang itu sendiri. Sekali tengok memang nampak jentera ini agak sukar untuk dipanjat tetapi hakikatnya, pelana yang setinggi 835mm ini dihasilkan bukan sahaja empuk tetapi juga menawarkan posisi tunggangan yang sesuai untuk semua jenis penunggang. Secara peribadi, ekzos bersaiz agak besar di sisi V-Strom ini memang amat dialualukan kerana ia membantu menjadikan model ini nampak besar dan gagah.
Walaupun ia adalah sebuah model dual purpose, Suzuki yakin bahawa model ini juga amat sesuai untuk tunggangan santai di hujung minggu dan juga sebagai jentera pengangkutan ke lokasi kerja. Ia amat bertepatan dengan kata-kata Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd, En. Toru Kobayashi yang mengatakan kepelbagaian peranan yang ditawarkan oleh model-model V-Strom selama ini adalah faktor utama mengapa ia terus diminati oleh para penunggang di Jepun dan Eropah dari dulu hingga kini. Terdapat beberapa ciri-ciri utama yang perlu dimiliki oleh sebuah motosikal untuk tunggangan santai. Dalam bandar contohnya, ia perlu mempunyai pengendalian yang mudah, lincah, kuasa enjin terkawal dan jimat petrol manakala bagi 'kaki' mengembara, mereka pastinya inginkan sebuah jentera yang tegap, tahan lasak dan pantas. Persoalannya...Adakah kesemuanya terdapat pada model baru ini? Mari kita rasa!
V-Strom dihasil bukanlah disasarkan untuk para pencinta kelajuan dan pecutan sahaja tetapi, ia bersedia untuk semua jenis tunggangan! Termasuk di dalam kesibukan kota dan kelasakan jalanjalan luar bandar. Untuk memudahkan proses menghidupkan enjin ini, Suzuki telah melengkapkan V-Strom ini dengan Throttle-body Intergrated Idle Speed Control (TI-ISC) – sejenis sistem yang membantu enjin untuk mudah dihidupkan di waktu sejuk. Masalah motosikal 'susah start' ini memang suatu yang mengecewakan. Ia menjadi lebih teruk apabila kita terpaksa berulang kali cuba menghidupkan enjin sedangkan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk memulas pendikit!
Untuk melindungi jentera ini daripada di'culik' oleh mereka yang tidak bertanggung jawab, V-Strom didatangkan dengan Suzuki Advanced Immobilizer System (SAIS). Apa tu ya? Ia adalah sistem pencegahan kecurian dengan menyimpan kod ID secara elektronik ke dalam kunci utama jentera ini. Tanpanya, enjin V-Strom tidak dapat dihidupkan dengan cara apa sekali pun. Okay, kunci dah diputarkan, suis penghidup sudah ditekan... bunyinya yang segar daripada sistem ekzos model ini memang bagaikan membisik ke telinga menyuruh kita mula beraksi.
Enjin yang bersesaran 645cc ini dilengkapi dengan gerek bersaiz 81mm dan lejang 62.6mm yang menawarkan tork 60.0 Nm pada 6,400rpm dan kuasa maksimum setinggi 50.5kW pada 8,800rpm. Dengan hamburan kuasa sehebat ini, kita amat mudah memecut ke hadapan dengan cukup lancar dan paling mengagumkan, tiada sebarang sentapan berlaku terutamanya ketika pendikit diperah ke tahap maksimum dalam semua gear. Posisi bar hendal yang tepat (tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu mendatar) memberikan peluang untuk kita mengendalikan V-Strom ini dengan cukup mudah walaupun ketika 'berlari' ke hadapan dengan pantasnya. Ini adalah satu lagi ciri-ciri penting mengapa Suzuki ini cukup sesuai ditunggangi oleh sesiapa sahaja.
Demi memastikan para pelanggan Suzuki berpuas hati dengan setiap pembelian, beberapa sistem elektronik terkini yang dahulunya hanya dilengkapkan pada jentera-jentara berkuasa tinggi kini dapat kita nikmati. Antaranya, Suzuki telah melengkapkan jentera ini dengan Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) yang memastikan pergerakan jentera ini di peringkat pertengahan berjalan dengan lancar sekali.
Dalam gear 3, 4 dan 5, kita dapat merasakan betapa kemasnya putaran enjinnya memecut ke hadapan. Dalam kedudukan gear kelima, V-Strom dapat memecut lebih daripada 170km/j sebelum dirasakan enjin semakin mengerang, memaksa kita menambah gear seterus mendapatkan kelajuan maksimum sekitar 190-200km/j (bergantung kepada saiz penunggang). Walaupun dapat menghampiri 200 km/j, kelajuan paling selesa ialah di sekitar 140km/j.
Enjin v-kembar ternyata tidak hanya menawarkan bunyinya yang tersendiri tetapi juga karaktor yang unik. Kuasanya hadir bagaikan tidak putus-putus sehingga ada ketikanya terlupa sama ada ini model 650 atau 1,000cc – begitu lancar dan mantap sekali. Menunggang di atas lebuhraya sememangnya nikmat untuk mesin-mesin seperti ini kerana ia cukup berat (214kg) untuk bertahan dan menghadapi kelajuan tinggi, tamparan angin hadapan dan hujan lebat. Cermin pengadang udara memberikan perlindungan yang cukup baik – kita hanya perlu menunduk sedikit bagi menyorokkan kepala, tak perlu bersusah payah!
Dengan rekabentuk tangki yang langsing, bahagian lutut penunggang cukup luas untuk memudahkan kita mengepit ketika memecut laju atau mengambil posisi terbaik untuk membuat belokan. Kerangka aluminium aloi sparkembar model ini tidak hanya bertegaran tinggi tetapi juga ringan – menyumbang pengendalian yang lancar dan kemas sama ada di atas lebuhraya luas atau pun di jalanan berselekoh sempit. Ketika berada di selekoh panjang...kita hanya perlu menekan bar hendal sedikit disamping menggerakkan sedikit tubuh badan ke kiri atau ke kanan dan saksikan V-Strom ini cukup tegap berada di laluannya. Bagi penunggang setinggi 5'10” dan ke atas, anda akan dapati dimensi dan posisi tunggangannya memang sedap dan selesa.
Papan pemuka model ini besar, ringkas dan mudah dilihat. Meter LCD di sebelah kanan memaparkan kelajuan, masa, tahap bahan api, suhu enjin, jarak perjalanan dan posisi gear. Meter yang simple tetapi mudah dilihat sebenarnya jauh lebih selamat berbanding unit meter yang mempunyai berdozen-dozen maklumat tetapi sukar dilihat. Ketika berada di jalanan, penunggang hanya perlu kurang daripada dua saat untuk melihat maklumat (kelajuan, posisi gear atau tahap bahan api) yang dipaparkan kerana ia amat berbahaya jika terpaksa membelek lebih daripada itu.
V-Strom tidak dilengkapi dengan sistem elektronik yang terlalu canggih seperti traction control (TC) atau pemetaan enjin seperti rain, sport dan touring tetapi ia langsung tidak menjejaskan prestasinya sama ada di jalanan biasa atau pun di jalanan berselekoh. Fork hadapan jenis teleskopik 43mm menyerap segala hentakan dengan cemerlang sekali walaupun kita menarik tuas brek dengan keras.
Walaupun bersesaran 650cc, ia dilengkapi dengan sistem brek yang mantap dengan saiz 310mm (hadapan) yang dipasang pada tayar hadapan bersaiz 110/80R 19MC. Diseimbangkan dengan tayar belakang 150/70R 17MC, V-Strom telah dilengkapi dengan brek cakera bersaiz 260mm manakala kehadiran sistem ABS telah menambah kemantapan proses membreknya. Tiada rasa seperti kita 'nak' terpelanting ke hadapan sebaliknya terus tegap di laluannya. Ia benar-benar mampu menyelamatkan penunggang ketika berhadapan dengan situasi cemas.
Bagi mereka yang gemar mengembara , prestasi cemerlang sistem saspensi belakang juga amat penting kerana ia bukan sahaja diperlukan untuk menyerap segala hentakan di permukaan jalan tetapi juga kemampuannya menanggung bebanan seperti pembonceng atau barang keperluan yang dibawa. Saspensi belakang dengan penyerap hentak stepless jentera ini terbukti cukup efisien dan turut dilengkapi dengan tapak meletak kotak barang (luggage carrier) tahan licin yang cukup praktikal.
Jauh perjalanan, luas pengalaman. Ya! Kami setuju dengan peribahasa ini terutamanya apabila bercerita mengenai pengalaman bermotosikal. Dengan menyusuri berbagai destinasi, pastinya kita akan menjadi penunggang yang lebih peka dan berwaspada kerana gaya dan cara menunggang di suatu tempat itu berbeza.
Secara jujurnya, V-Strom merupakan sebuah mesin pengembaraan sport yang mempunyai pakej lengkap untuk pelbagai jenis tunggangan – hampir segala yang kita inginkan dimilikinya kecuali beberapa jenis sistem elektronik yang boleh dipasangkan di masa hadapan. Walaupun ia hanya berkuasa 650cc, kemantapan model ini di atas jalan sememangnya memerlukan sistem 'pelindung' elektronik yang lengkap untuk menjadikan perjalanan lebih selamat! Penggunaan bahan api? Usah dirisau....tangki 20 liternya boleh membawa kita mengembara lebih daripada 250 kilometer dengan mudah sekali, anda perlu pilih destinasinya sahaja. Model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Merah Candy Daring, Biru Metallic Triton, Kelabu Mat Metallic Fibroin dan Putih Pearl Bracing pada harga RM41,870.
Turut ditawarkan di pasaran ialah model V-Strom XT yang sedikit berbeza iaitu dilengkapi dengan rim jejari yang lebih ringan dan paruh (peak) yang lebih sesuai untuk tujuan pengembaraan. Model ini boleh dimiliki pada harga RM43,831 dengan empat pilihan warna iaitu Metallic Mat Fibrion Gray, Pearl Bracing White, Metallic Triton Blue dan Candy Daring Red. RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC, V-kembar |
Isipadu | 645cc |
Gerek & Lejang | 81.0 x 62.6mm |
Nisbah Mampatan | 11.2:1 |
Kuasa Maksimum | 50.5kW pada 8,800rpm |
Tork Maksimum | 60.0nM pada 6,400rpm |
Isi Tangki | 20 liter |
Tinggi Pelana | 835mm |
Berat | 214kg |
Pengeluar | Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd |
Popular