Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 7 Mei 2022

Thor 13U 1913

Di zaman awal kemunculan dunia motosikal di Amerika dari tahun 1901 hingga 1916 telah membuka peluang buat hampir 300 pengeluar yang memiliki kekuatan kewangan dan keberanian untuk mencuba meletakkan diri mereka di dalam perdagangan jentera pengangkutan persendirian.

Banyak syarikat pengeluar komponen dan alat ganti bergantung kepada enjin yang dikeluarkan oleh syarikat kejuruteraan yang lebih besar.

AAM diasaskan oleh Alex Levendahl pada tahun 1886 dengan memulakan perniagaan sebagai kedai mesin tetapi berkembang sehingga mampu menjadi pengeluar komponen motosikal terpenting di pasaran Amerika yang ketika itu sedang pesat membangun. Syarikat ini menawarkan hab tayar, jejari, bar hendal, kerangka, tempat pengayuh dan macam-macam lagi.

Pada tahun 1890an, AAM menjadi milik Thor Power Tool Company, sebuah syarikat milik keluarga Hurley yang terletak di Aurora. Kilang ini mengeluarkan tukul pneumatik yang digunakan dalam pembinaan keretapi. Pada tahun 1906, Niel C. Hurley dan saudaranya Edward bersetuju untuk memulakan perniagaan baru menerusi Hurley Machine Co. yang mengeluarkan mesin basuh Thor yang dipatenkan sebagai mesin basuh elektrik pertama di dunia.

Antara syarikat paling berpengaruh pada era itu ialah Springfield yang beroperasi kira-kira 1,450 kilometer ke arah Timur – kini di bawah pemilik Polaris dan merupakan pengeluar dua roda tertua di USA.

Pelumba dan pengeluar basikal, George Hendee bekerjasama dengan beberapa rakannya dan pakar teknikal Oscar Hedstrom pada tahun 1900 untuk membina motosikal Indian 'Camelback' berenjin silinder tunggal yang pertama (model ini dinamakan sempena tangki bahan api melengkung di atas roda belakang).

Model yang sepatutnya dikeluarkan pada tahun berikutnya mustahil untuk dilakukan di kilang George Hendee. Untuk sementara ini, segala kemudahan di kilang ini memang sudah mencukupi untuk pengeluaran komponen dan beberapa jenis barangan motosikal tetapi ia tidak mempunyai kemampuan untuk menghasilkan kotak engkol, silinder malah karburetor.

Hedstrom telah menghasilkan tiga buah motosikal pada tahun 1901. Dua daripadanya telah dijual tetapi ia membuktikan tugas itu sukar dan memakan masa. Untuk mempercepatkan segala proses, sememangnya bantuan luar amat diperlukan.

Pada tahun 1902, ketua pegawai Indian telah mencapai persetujuan dengan Aurora/AAM, (sudah menjadi pembekal sejak awal 1890-an ke kilang kitaran Hendee), kali ini untuk membina enjin bagi model-model Indian.

Oscar Hedstrom mengambil model Indian ketiga yang dibinanya sebelum ini di kilang Aurora dan menghabiskan masa kira-kira lima bulan untuk menghasilkan jentera versi baru. AAM kemudiannya menggunakan enjin ini untuk model pengeluaran Indian.

Dalam perjanjian selama lima tahun itu, Aurora turut dibenarkan untuk menjual enjin tersebut kepada pengeluar motosikal lain seperti Reading Standard, Torpedo, Sears, Merkle, Apache, Raycycle, Manson dan lain-lain lagi. Tidak dapat dinafikan, lahirlah pelbagai model baru di pasaran tetapi secara hakikatnya, itu semua adalah klon Indian. Hendee dan Hedstrom telah diberi royalti untuk setiap enjin yang dikeluarkan.

Sebagai anak syarikat kepada Thor Power Tool Company, AAM menubuhkan syarikat satelit Thor Moto Cycle & Bicycle pada tahun 1903. Mereka menerbitkan katalog senarai beserta gambar motosikal yang lengkap dengan bahagian dan komponen keluaran Thor.

Kerangka tidak dijual tetapi Thor akan membekalkan semuanya penempahan yang diperlukan untuk pemasangan sendiri. Majalah-majalah pada tahun 1903 penuh dengan iklan syarikat-syarikat yang menjual motosikal yang dibina daripada barangan buatan Thor.

Thor tidak mengeluarkan motosikalnya sendiri sehinggalah pada tahun 1907, apabila kontraknya bersama Indian tamat dan kedua-duanya memilih jalan tersendiri. Sehingga itu, Aurora telah mengeluarkan bukan sahaja jentera Indian silinder tunggal, tetapi juga Hedstrom enjin berkembar 633cc V pada akhir tahun 1905. Model ini dihasilkan selepas Glenn H. Curtiss mencipta model V-kembar Amerika ikonik pada 1903. Ia adalah satu ciptaan yang menggabungkan dua enjin Hercules satu silindernya pada kotak engkol biasa.

Jujurnya, AAM menghadapi kesukaran untuk membekalkan enjin disebabkan permintaan yang semakin tinggi terhadap model Indian. Pada tahun 1903, mereka berjaya mengeluarkan sebanyak 137 unit dalam setahun di Springfield. Jumlah itu meningkat kepada lebih 500 unit pada tahun 1905 dan pada tahun 1913, jumlah pengeluaran mencecah 32,000 unit. AAM tidak mampu untuk mengekalkan masa penghantaran dan ini menyebabkan Hedstrom and Hendee terpaksa melakukan pengeluaran sendiri.

Sebaik sahaja Indian mempunyai 'rumahnya' sendiri pada tahun 1906, syarikat ini mula mengeluarkan enjin buatan sendiri termasuk komponen-komponen lain. Ini membolehkan Levendahl dan rakan-rakannya di Aurora memiliki lebih kebebasan untuk menghasilkan sebuah motosikal lengkap di bawah label Thor. Langkah awal ialah menerusi jentera silinder 'upright’ tunggal pada tahun 1907. Ini diikuti dengan Model 8C 50° enjin V-kembar 980cc yang dihasilkan oleh Thor sendiri pada tahun 1908 dengan injap yang digelar 'automatik' (digerakkan secara mekanikal).

Pada tahun itu juga, Thor turut membuka pusat pengedar di lokasi yang lebih jauh iaitu Hawaii dan mula memasarkan model-model yang siap sepenuhnya. Mereka juga mengupah penunggang ‘dare devil’, Paul Derkum pada November 1908 untuk menunggang jentera-jentera Thor. Ternyata usaha mereka tidak sia-sia apabila projek ini cukup berjaya.

Pada tahun 1909, Thor mengambil William Ottaway bekerja untuk menambahbaik enjin Model 8C dan turut menubuhkan pasukan lumba demi membuktikan keupayaan jentera tersebut. Pada tahun 1910 pula, Thor memperkenalkan jentera berenjin tunggal serba baharu dan Ottoway turut membaik pulih Model O iaitu jentera berenjin 980cc v-kembar yang menggunakan layout rekaan silinder yang konvensional.

Model U dilancarkan pada penghujung tahun 1911 dengan enjin v-kembar 7hp dengan menggunakan komponen yang sama iaitu Model W berkuasa 5hp. Kedua-dua model ini menggunakan ‘rocker arm’ dengan gear injap dan sistem transmisi satu kelajuan. Model U ini kekal dengan silinder bersudut 50 darjah.

Setahun kemudian (1912), buat pertama kalinya Thor menawarkan warna putih pada motosikalnya yang digabungkan dengan hiasan berwarna biru dan tayar berwarna putih. Namun begitu, untuk kekal bersih lebih-lebih lagi apabila menunggang di jalan-jalan lasak memang mencabar.

Model 13U, 980cc sememangnya sebuah motosikal yang cukup laju. Menerusi Luke Camplejohn, Thor telah berjaya mencatatkan kelajuan 117 km/j di Jacksonville, Florida pada tahun 1913 diikuti Ray Creviston bersama Model U pada kelajuan 105km/j di Columbus, Ohio.

Pada tahun 1914, pihak Thor membuat keputusan untuk meningkatkan isipadu Model U kepada 1,250cc dengan sistem transmisi 3 kelajuan tetapi sayangnya, pihak pengurusan induk Thor tidak mahu lagi meneruskan perniagaan dalam bidang dua roda. Keputusan itu dibuat dengan alasan masalah kewangan. Keseluruhan pengeluaran dihentikan pada tahun itu tetapi Thor masih dapat membekalkan motosikal pelbagai siri dan model sehingga 1920.

Tidak diketahui berapa banyak model Thor yang sempurna sifat telah dikeluarkan sepanjang syarikat ini berada di pasaran. Dipercayai hanya terdapat lima unit model 13U sahaja yang masih kekal. Satu daripadanya di Britain.

“Saya memang sudah lama mahu memiliki sebuah Thor, model 13U dan ia adalah idaman saya sejak dulu lagi,” kata Simon Roud, seorang pencinta motosikal yang berumur 62 tahun. Ia juga adalah satu-satunya model Thor 13U yang dikatakan masih bergerak seperti biasa. “Ketika menghadiri acara International Raalte Rally di Belanda tiga tahun lepas, saya ternampak motosikal ini dan masih cantik dalam warna putih. Saya perlu memujuk pemiliknya tetapi sebelum sempat menyatakan niat itu, pemiliknya berterus terang bahawa dia memang ingin menjual motosikal ini pada saya.”

Orang itu menceritakan mendiang datuknya merupakan salah seorang ahli Dutch Vintage Club yang akan datang ke acara ini setiap tahun. Sebelum meninggal dunia, dia telah memesan pada cucunya untuk menjual Thor ini dengan syarat bukan kepada pengedar, penyimpan atau ke pihak muzium. Dia mahu jentera ini dimiliki oleh mereka yang akan menunggangnya. Selepas membaik pulih motosikal ini, ia lebih seronok ditunggang.

Ketika bertemu dengan Simon di Goodwood Festival of Speed, saya diberi peluang untuk menunggang uji jentera bersejarah ini di kawasan muzium Sammy Miller (www.sammymiller.co.uk) yang hampir sepanjang dua kilometer.

Walaupun saya bukanlah penunggang ‘novice’, saya tetap tercabar untuk mengendalikan jentera Amerika lama ini. Nasib baik sistem brek model ini berfungsi dengan baik untuk menurunkan kelajuan. Pelananya setinggi 737mm. Guna tuas nyahmampatan di hendal bar sebelah kanan dan mulakan kayuhan. Lepaskan pengangkat-injap selepas dua kali kayuh - BANG!

Tarik tuil klac kembali ke arah anda untuk melepaskan pacuan, turun dan tolak motosikal ini. Memang sukar dijelaskan bagaimana untuk menggerakkan motosikal ini tetapi saya berjaya lakukannya. Puas hati!

Walaupun hanya mempunyai satu gear sahaja, ia cukup lancar dan selesa – memang sebuah rekaan yang mantap di eranya. Sistem ekzos yang kelihatan cukup bergaya dengan paip keluar melengkung yang langsung terletak di bawah hab belakang. Kaki kita boleh diletakkan pada papan pemijak direka Thor buat kali pertama pada tahun 1912. Selesa dan memberi keyakinan untuk jarak jauh.

Lampu ‘asetilena’ yang diletakkan di hadapan cukup cantik manakala hon ‘klaxon’ menawarkan bunyi yang kuat - dipasang dengan jelas di bahagian kiri bar hendal. Meter kelajuan jenis Steward Magnetic beserta meter-meter jarak (Season Milage/Jarak Perjalanan dan Trip). Penunjuk kelajuan (dalam b/sj) juga mudah dibaca – Simon Roud menjangkakan Thor ini mampu mencatat kelajuan tertinggi pada 70b/sj atau 112.6 km/j.

Saya harus mengakui saya tidak takut sama sekali untuk menghentikan Thor. Ini kerana perancangan dibuat dengan baik, hanya sekali-sekala kereta berkongsi jalan dengan saya. Cara untuk memperlahankan kelajuan ialah dengan memutarkan pedal ke belakang kira-kira suku putaran supaya kaki kiri anda yang akan menggunakan brek coaster itu.

Oleh kerana laluan yang saya gunakan itu tidak banyak bonggol, saya tidak dapat memberi banyak komen terhadap pengendaliannya melainkan ia cukup tegap di laluan lurus walaupun ketika menuruni kawasan berbukit. Simon Roud dan Chris Newbold layak menerima pujian tinggi kerana dapat memulihkan sebuah ciptaan yang sangat penting dalam sejarah awal jentera dua roda di Amerika. Ia tetap tulen, dalam kondisi original tanpa mengorbankan kemantapan tunggangannya.

Isteri Simon, Pippa (pemilik Ducati V4 dan ‘kaki’ track day) tidak menyukai motosikal lama seperti ini. “Sayangnya isteri saya tidak menggemarinya kerana ia lebih cenderung kepada motosikal yang selamat, moden dengan sistem elektronik terkini untuk ditunggang di litar, pecutan dan sistem brek yang mantap,” kata Simon sambil menggelengkan kepalanya.

“Memang berbeza dengan saya tapi tak mengapa asalkannya kami berdua adalah pencinta motosikal!” RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foro: Kel Edge

Isu Pada

Februari 2022

Spesifikasi

Enjinsistem penyejuk udara, IOE, V-Kembar, empat lejang
Isi padu979cc
Kuasa maksimum7 bhp pada 3,000rpm
Transmisisatu kelajuan dengan kawalan tangan
Saspensifork gelang Thor (depan) & tiada (belakang)
Brektiada (depan) & pedal-terbalik coaster
Tayar28 x 3.00 (depan & belakang)
Isi tangki10.4 liter
Tahun pembuat1913
PemilikSimon Roud, Canterbury, Kent, Great Britian

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.