Husqvarna Svartpilen 250 - Unik, Tegap & Bergaya
Husqvarna Motorcycle merupakan jenama motosikal yang berasal dari Sweden yang kini dimiliki oleh pembuat motosikal terkenal Austria iaitu KTM. Pada asalnya, Husqvarna bukan sahaja sebuah syarikat yang menjual motosikal tetapi mahir dalam pengeluaran pelbagai produk. Syarikat ini sebenarnya mula ditubuhkan pada tahun 1689 di bandar Huskvarna, Sweden. Syarikat ini memulakan perniagaannya dalam bidang pembuatan Musket.
Seperti kebanyakan pengeluar motosikal yang lain, Husqvarna mula menghasilkan basikal pada abad ke-19. Manakala perniagaan motosikalnya telah ditubuhkan pada tahun 1903 dengan pengeluaran model pertama satu silinder. Sehingga kini, motosikal yang dikeluarkan ialah jenis motocross, enduro, supermoto dan motosikal jalanan. Jika hendak bercerita tentang sejarah asal usul Husqvarna ini memang panjang lebar. Jadi apa kata kita fokuskan pada model yang kami tunggang uji baru-baru ini iaitu Husqvarna Svartpilen 250.
Setelah sekian lama, jenama motosikal premium ini akhirnya kembali ke pasaran Malaysia dengan beberapa model yang dibawa masuk oleh Husqvarna Motorcycles Malaysia termasuklah jentera yang kami tunggang uji ini. Svartpilen 250 dibina berasaskan sebuah jentera scrambler yang tampil dengan rekaan unik agar penunggang tampak menonjol ketika berada di atas jalan raya.
Unit yang ditunggang uji ini diambil daripada pengedar rasmi Husqvarna Motorcycle Malaysia iaitu Welly World Cycle Sdn Bhd (Welly Sg Buloh) yang beralamat di No. 2135, 2136 & 2137, Jalan 3/1, Batu 13 1/2, Bandar Baru Sungai Buloh, 47000, Selangor. Syarikat ini diuruskan oleh En. Ngo Yoke Kwang selaku Pengarah Urusan Welly World Cycle – menyediakan ruang pameran yang luas, pelbagai jenis motosikal, aksesori serta perkhidmatan servis/baik pulih motosikal. Ia dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi – 7.00 petang manakala Ahad 9.00 pagi – 5.00 petang.
Secara jujurnya boleh kami katakan, jentera ini memang cukup cantik dan menarik sekali. Gabungan rekaan klasik moden pada Svartpilen 250 menyerlahkan lagi rupabentuk keseluruhannya untuk menarik minat para pencinta motosikal scrambler. Adakalanya sewaktu berhenti di lampu isyarat pasti akan ada yang curi-curi pandang. Ada juga yang bertanya “jenama motor apa ni bang”. Dengan nada yang lembut, kami pun membalasnya “Husqvarna bang.”
Duduk di atasnya, putarkan kunci, meternya yang berbentuk bulat mula menyala dengan paparan digital yang mudah dibaca agar memberikan kita terus fokus ketika menunggang. Lampu latar belakangnya memang sesuai dengan pelbagai jenis cuaca. Walaupun di bawah cuaca yang panas terik, kami dapat melihat info-info dengan mudah. Hanya sekali pandang sahaja kita dapat mengetahui tahap kelajuan, putaran rpm, suhu, masa, kedudukan gear, jarak perjalanan, isyarat membelok dan tahap bahan api.
Lampu utama berbentuk bulat pada model jalanan ini turut dipadankan dengan lampu siang (DRL) di kelilingnya agar tampak lebih mewah. Walaupun pada waktu siang, lampu DRLnya memang cukup terang sebaik kunci utama diputar ke posisi ‘On’. Lampu hadapan jenis LED yang menawarkan suluhan yang luas sudah pasti akan memudahkan perjalanan pada waktu malam ataupun ketika di dalam terowong. Lampu belakang serta lampu sisinya juga adalah jenis LED.
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan segala kelengkapan keselamatan seperti Riding Gear, Glove, topi keledar dan kasut lengkap dipakai agar perjalanan lebih selamat. Svartpilen 250 boleh dihidupkan dengan suis penghidup elektrik yang berada di sebelah kanan bar hendal. Dengan sekali tekan sahaja enjin 248.8cc ini dapat dihidupkan dengan mudah.
Svartpilen 250 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4 lejang dan sistem penyejuk cecair. Enjin bertransmisi 6-kelajuan ini mampu menghemburkan kuasa maksimum 23kW (31hp) pada 9,000 rpm dan tork 24Nm pada 7,250rpm yang menawarkan kuasa pecutan mantap. Sistem klacnya dirasakan cukup lembut. Kami dapat menukar kedudukan gear tanpa sebarang masalah. Dengan adanya lampu amaran penukaran gear di panel meter, proses penukaran gear dapat dibuat dengan tepat agar jentera tidak akan kehilangan kuasa.
Menunggang dalam kawasan bandar bersama jentera ini amat mengasyikkan. Dengan tubuh badan yang ramping serta bar hendalnya lebar dan tinggi meyakinkan kami untuk melarikan jentera ini ke sebelah kiri dan kanan. Kerangka jenis Trellis menjadikan mesin ini kelihatan lebih lincah di kawasan persekitaran bandar. Asalkan kita berwaspada, jangan sampai terlanggar kenderaan lain.
Sebagai nasihat, tidak kiralah anda menunggang motosikal mahupun memandu kenderaan empat roda, sila patuhi undang-undang jalan raya terutama ketika berada di kawasan lampu isyarat. Apa salahnya jika kita tunggu sebentar daripada terburu-buru melanggar lampu merah sehinggakan boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
Bagaimana dengan kelajuan maksimum? Sewaktu di lebuhraya tahap kelajuan tertinggi yang dapat kami capai adalah sekitar 145km/j dengan berat badan penunggang lebih kurang 75kg. Manakala casisnya yang tegar dan berat 153kg menjadikan Svartpilen 250 ini cukup stabil ketika memecut.
Kehebatan jentera ini terserlah apabila berada di jalan-jalan berselekoh. Unit yang kami tunggang uji ini dipadankan dengan tayar jenis Michelin Pilot Street Radial. Tayar hadapan yang bersaiz 110/70-R17 dan belakang 150/60-R17 menawarkan cengkaman cukup cemerlang. Kami dapat memiringkan jentera ini dengan penuh yakin.
Pengambilan selekoh yang selamat juga turut disumbangkan dengan sistem brek yang baik. Model ini dilengkapi dengan sepasang brek jenis ByBre di bahagian hadapan dan belakang. Kami dapat memperlahankan mesin ini dengan mudah dan selamat. Untuk cengkaman yang lebih baik, tekan sahaja kedua-dua tuas brek serentak. Jangan risau, tayar tidak akan mudah terkunci kerana terdapat sistem ABS dua saluran Bosch.
Sistem saspensi hadapan jenis WP Apex USD yang terdapat pada model ini amat efektif. Ia telah bekerja dengan keras untuk menawarkan proses hentakan yang baik dan selesa buat penunggang ketika membrek dengan kuat ataupun menyusuri di jalan-jalan yang tidak rata. Manakala saspensi belakang WP Apex Monoshock tidak memberikan sebarang masalah ketika masuk/keluar selekoh.
Walaupun mempunyai tangki bahan api seluas 9.5 liter, kami dapat bersiar-siar bersama sekitar 250km/j dengan sekali isian. Boleh tahan jimatnya! Untuk pasaran Malaysia, Husqvarna Svartpilen 250 ditawarkan pada harga RM24,800 manakala untuk varian Spoke Edition (SE) RM29,500. Kesemua harga adalah tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.
Secara keseluruhannya, Svartpilen 250 amat sesuai untuk dipacu ke mana sahaja sama ada ke tempat kerja, mengembara dan bersiar-siar. Sesuai dengan karektor scramblernya, model ini juga merupakan pilihan yang ideal bagi mereka yang inginkan tunggangan lasak. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, 4 lejang, sistem penyejuk cecair |
Isi padu | 248.8cc |
Kuasa maksimum | 23kW (31hp) pada 9,000rpm |
Tork maksimum | 24Nm pada 7,250rpm |
Saspensi | WP Apex - USD 43mm (depan) & WP Apex - monoshock (belakang) |
Brek | ByBre, cakera 300mm - ABS Bosch (depan) & ByBre, 250mm - ABS Bosch (belakang) |
Tayar | 110/70 - R17 (depan) & 150/60 - R17 (belakang) |
Berat | 153kg |
Isi tangki | 9.5 liter |
Pengedar | Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd |
Popular