Yamaha Ego Gear - Mudah Ditunggang Ke Mana Sahaja
Penggunaan kenderaan di negara ini kian meningkat setiap hari. Aliran trafik semakin bertambah sehinggakan berlakunya kesesakan lalu lintas terutamakan apabila tibanya waktu puncak kerana ramai orang yang ingin ke tempat kerja atau pulang dari tempat kerja. Bagi memudahkan pergerakan, motosikal merupakan pilihan yang baik kerana mudah, pantas dan menjimatkan.
Pasaran motosikal di Malaysia semakin meluas dengan kehadiran pelbagai jenis jentera dalam segmen yang berlainan. Jika hendak diceritakan, Malaysia merupakan sebuah negera di mana majoriti penunggangnya adalah menggunakan jentera segmen moped. Namun, penggunaan motosikal automatik apa kurangnya makin hari makin bertambah. Skuter juga merupakan sebuah jentera yang juga diminati kerana tidak perlu menggunakan gear dan klac serta paling penting, selesa. Pulas sahaja pendikitnya untuk meningkatkan kelajuan ke destinasi yang dituju.
Yamaha Ego Gear telah diperkenalkan pada bulan November 2021 oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). Jentera ini ditawarkan pada harga RM5,998 (tanpa pendaftaran & insurans). Kehadiran model ini bersedia memenuhi keperluan setiap pengguna dengan beberapa ciri tambahan dan pasti akan menarik minat pencinta dua roda dari pelbagai peringkat umur dan golongan.
Ya… Ego Gear sebuah jentera skuter yang kecil tetapi memiliki kemampuan yang cukup mengasyikkan tidak kira tempat dan suasana. Rupabentuk model ini tampak anggun dan mampu menawan hati siapa sahaja yang melihatnya. Menerusi rekabentuk keseluruhannya, Ego Gear mengetengahkan gaya moden dengan konsep rekaan garis-garis badan yang lembut.
Model ini boleh dihidupkan menggunakan dua kaedah iaitu suis elektrik dan penendang. Sama seperti model-model skuter yang lain, untuk menghidupkan Ego Gear ini perlu menaikkan tongkat sisi terlebih dahulu. Selepas putar kunci utamanya ke posisi ‘On’, tarik tuas brek kemudian tekan suis penghidup elektrik. Dengan bantuan sistem Smart Motor Generator (SMG), enjin silinder tunggal, SOHC dan sistem penyejuk udara ini dapat dihidupkan dengan mudah. Paling penting sekali enjin 125cc itu berputar dengan cukup senyap sekali semasa dihidupkan
Walaupun panel meternya ringkas tetapi mempunyai informasi penting yang mudah dibaca pada waktu siang mahupun malam. Meter analognya memaparkan tahap kelajuan, bahan api dan odometer. Manakala lampu-lampu seperti lampu enjin, Eco, Stop & Start, lampu atas, dan lampu isyarat. Mod Eco pada paparan meter akan menyala apabila keseimbangan di antara bahan api dan kuasa sedang dicapai. Lampu tersebut akan mati sebaik sahaja kelajuan ditingkatkan.
Pelana yang mempunyai ketinggian 750mm ini amat mudah dipanjat buat penunggang lelaki dan wanita. Bukan setakat lebar, pelananya juga cukup empuk sekali dan tiada masalah walaupun ditunggang berdua. Kami amat berpuas hati dengan lantai pemijak yang luas. Lantai Anti-Slip ini menawarkan tunggangan yang lebih selesa untuk perjalanan jauh atau di dalam kawasan bandar. Model skuter ini ternyata amat mesra pembonceng. Terutamanya khusus buat kanak-kanak kerana terdapat tempat meletak kaki khas yang disediakan buat penumpang si kecil agar lebih selesa dan selamat.
Seronok juga bermain-main bersama skuter ini di kawasan bandar. Kuala Lumpur merupakan destinasi kami untuk bersiar-siar pada hari cuti. Lincah dan mudah! Itulah ungkapan yang boleh kami berikan kepada skuter ini. Kemantapan kuasa enjin dengan teknologi BLUE CORE yang setinggi 7.0kW pada 8,000rpm dan tork 9.6Nm pada 5,500rpm digunakan untuk memintas dan mencelah kenderaan yang sedang bersesak-sesak di tengah kota. Berat basah 95kg ini memudahkan lagi pergerakan kami. Jentera dapat dikawal dengan senang.
Cuaca di sebelah pagi sememangnya cukup indah sekali. Inilah masa yang sesuai untuk mengambil gambar. Kami singgah bersarapan terlebih dahulu. Kemudian, perjalanan disambung semula untuk menuju ke sebuah rumah yang digelar ‘Rumah Biru’ dalam kalangan penduduk tempatan yang terletak di Kampung Baru. Rumah ini sering kali digunakan sebagai lokasi pengembaraan untuk beberapa filem dan rancangan televisyen. Antara filem-filem yang masih kami ingat adalah Adnan Sempit dan Remp-It. Terima kasih buat Mak Long (Mami Suzi), pemilik rumah cantik ini yang sudi berbual dan menjamu kuih muih yang semuanya sedap-sedap belaka.
Keluasan ruang simpan barang di bawah pelananya membolehkan pemilik menyimpan barang-barang kecil seperti set baju hujan, telefon bimbit, beg bersaiz kecil, powerbank, set penyelenggaraan dan macam-macam lagi. Namun untuk meletakkan sebuah topi keledar tidak muat kerana model ini memiliki ruang yang kecil. Manakala soket pengecas USB yang terdapat di ruangan kecil di bahagian hadapan memudahkan penunggang untuk mengecas telefon bimbit pada bila-bila masa sahaja walaupun bergerak.
Di jalan-jalan berselekoh, skuter ini ternyata tidak mengecewakan kami. Saspensi hadapan jenis fork teleskopik ini telah bekerja dengan baik sekali walaupun kita membrek dengan keras ataupun menyusuri di jalan-jalan berliku. Penyerap hentak belakangnya pula menawarkan keselesaan buat penunggang dan pembonceng ketika mengambil selekoh.
Dari segi keselamatan, Yamaha telah melengkapkan Ego Gear dengan penggunaan brek jenis cakera di bahagian hadapan, manakala belakang menggunakan brek jenis gelendong. Sistem brek-brek ini telah berfungsi dengan baik sekali, kami dapat memperlahankan jentera dengan selamat tanpa sebarang kecelakaan. Yang penting elakkan membrek di kawasan berpasir. Yamaha ini dilengkapkan dengan tayar-tayar bersaiz 70/90-14M/C (depan) dan 90/80- 14M/C (belakang).
Walaupun mempunyai saiz tangki bahan api 4.2 liter, penggunaan petrol amat menjimatkan selepas meyusuri perjalanan sekitar 150 kilometer. Penjimatan bahan api ini juga turut disumbangkan dengan adanya sistem Stop & Start. Sistem ini akan mematikan enjin secara automatik sebaik sahaja penunggang berhenti di persimpangan ataupun lampu isyarat. Enjin akan kembali berputar semula tanpa menekan suis penghidup dengan hanya memulas sahaja pendikit.
Tunggangan pada waktu malam amat memuaskan hati dengan adanya sepasang lampu utama jenis LED. Suluhan lampunya cukup terang agar penunggang dapat melihat keadaan yang berada di hadapan. Lampu hazard pula didatangkan sebagai ciri keselamatan tambahan untuk kemudahan penunggang apabila dalam situasi kecemasan.
Bagi mereka yang berminat dengan jentera ini, sila kunjungi pusat pengedar sah Yamaha berdekatan dengan anda untuk menjadi pemilik Yamaha Ego Gear. Terdapat tiga pilihan warna iaitu Perak, Merah dan Biru. Pemilik jentera ini akan menikmati waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu) serta pengunci brek cakera Yamaha bernilai RM100 yang diberi percuma. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, SOHC, 4 lejang, sistem pentyejuk udara |
Isi padu | 125cc |
Kuasa maksimum | 7.0kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 9.6Nm pada 5,500rpm |
P x L x T | 1,870mm x 685mm x 1,060mm |
Saspensi | fork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang) |
Tayar | 70/90-14M/C (depan) & 90/80-14M/C (belakang) |
Brek | cakera (depan) & gelendong (belakang) |
Isi tangki | 4.2 liter |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) |
Popular