Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 22 April 2022

Suzuki GSX-R1000R - Jentera Lagenda Kebanggaan Suzuki

Model Suzuki GSX-R diperkenalkan ke pasaran dunia tiga dekad yang lalu dengan penjualan lebih daripada sejuta unit di seluruh dunia. Ia bermula menerusi model GSX-R400 yang dilengkapkan dengan enjin 398cc, DOHC, empat silinder sebaris, sistem penyejuk cecair dengan kuasa 59hp. Itulah titik mulanya evolusi siri GSX-R.

Kecemerlangan prestasi siri GSX-R ini dibuktikan dengan kemenangan demi kemenangan yang dicapai hingga ke hari ini. Suzuki telah kecapi 13 takhta kejuaraan di World Endurance Championship dalam masa 19 tahun, lapan kemenangan di 24 Hours Le Mans, 12 kali juara di perlumbaan Bold'or 24Hours Endurance dan lapan kali menjadi juara dalam saingan AMA Superbike Championship.

Terkini, kami perkenalkan GSX-R1000R yang dilancarkan pada tahun 2021 pada harga RM110 ribu. Jika dibandingkan dengan harga-harga model sport saingannya, Suzuki ini masih berada di paras yang boleh dikatakan tidaklah terlalu tinggi (walaupun lebih daripada seratus ribu).

Model baru ini kompak, tidak besar, aerodinamik dan memiliki rekacorak luaran seperti jentera lumba Team Ecstar yang digunakan oleh Joan Mir dan Alex Rins dalam MotoGP. Duduk di atas pelana setinggi 825mm memberikan perasaan teruja kerana jentera yang sedang dipegang ini adalah antara model sport paling premium dalam keluarga GSX-R.

Lampu hadapan dan belakang jenis LED dan untuk model GSX-R1000R, diletakkan sepasang lagi lampu LED pada corong kemasukan udara di bahagian depan dan dari pandangan hadapan, lampu inilah yang membezakan model GSX-RR dengan GSX-R.

Pelananya selesa tetapi untuk pembonceng mungkin tidak sama sekali. Sesuai untuk mereka yang bertubuh kecil molek. Saiz GSX-RR yang kecil ini direka untuk mempertingkatkan tahap pecutan, mengoptimumkan pengendalian dan membuka peluang lebih besar buat penunggangnya beraksi lebih baik di atas litar.

Ingatan kami kembali pada model GSX-R1000 K9 yang pernah dimiliki oleh seorang sahabat karib. Bentuk kuncinya sama seperti unit 2021 ini – menarik juga apabila Suzuki memiliki idea untuk terus guna design yang sama. Posisi menunggang jentera sport 1000cc ini tidaklah terlalu memenatkan dan walaupun nampak kompak, ia sesuai untuk pelbagai saiz penunggang.

Apa yang agak menyedihkan ialah pada paparan panel meternya. Sebagai jentera premium, GSX-RR ini masih didatangkan dengan panel meter digital biasa sedangkan hampir semua pencabarnya sudah pun beralih kepada teknologi paparan TFT. Walaupun prestasi enjin adalah yang utama tetapi pihak Suzuki juga perlu pandai menarik perhatian para pelanggan yang kini sangat memilih dan cerewet sebelum mengeluarkan sejumlah wang.

Memang betul, Suzuki ini memang bertubuh kecil. Kalau parkir bersebelahan dengan model-model sport berkuasa 250cc – 600cc pun tak jauh sangat bezanya. Antara sistem elektronik yang dimiliki oleh GSX ini dan hampir semua jentera Suzuki baru ialah Suzuki Easy Start System. Dengan sistem ini, kita hanya perlu menekan suis penghidup sekali lagi – tak perlu tekan lama-lama seperti sebelum ini. Namun begitu, sebaik sahaja kita menekan suis penghidup, sistem ekzos 4-2-1 jenis stainless-steel berderum dengan mantap sekali.

Jujurnya, dalam masa empat hari (termasuk hari ambil/pulang) untuk menguji sebuah jentera 'lumba' berkuasa lebih 200hp ini agak tidak mencukupi. Untuk memahami setiap peranan/fungsi sistem elektronik canggih sahaja memerlukan masa. Itu belum lagi kita perlu memahami corak kawalan, posisi badan, karaktor enjin, keberkesanan sistem brek dan lain-lain.

Merentap tenaga enjin 999.8cc berkuasa 202ps pada 13,200rpm dan tork 117.6Nm pada 10,800rpm memang mengujakan. Hamburan kuasa bagaikan tiada noktah, Suzuki ini mampu dipecut lebih daripada 270km/j tanpa sebarang sentapan pada sistem transmisi. Dalam kelajuan tinggi, kami benar-benar suka pada rekabentuk tangkinya yang berlekuk bukan saja cantik tapi membolehkan kita merebahkan badan dengan selesa ketika memecut.

Kecemerlangan atau prestasi unggul GSX-R1000R ini perlulah sesuai dengan jumlah modal yang dikeluarkan. Paling utama ialah pada sistem elektronik iaitu Advanced IMU (Inertial Measurement Unit) iaitu sistem pengurusan enjin elektronik menggunakan Engine Control Module (ECM) dwi-prosessor 32-bit. ECM ini akan membuat bacaan kadar posisi pendikit, posisi aci engkol, posisi IMU dan kadar jumlah oksigen dalam sistem ekzos.

Setelah itu, sistem ini akan membuka dan menutup injap rama-rama atau butterfly valve badan pendikit seterusnya meningkatkan atau mengurangkan jumlah bahan api yang dibakar (melalui sistem suntikan bahan api) untuk mengoptimumkan tahap pembakaran menjadi lebih sempurna.

Secara ringkasnya, IMU ini bagaikan satu paksi yang mengikat semua bantuan elektronik seperti traction control, wheelie control, sistem ABS dan banyak lagi. Teknologi ini diambil daripada pembangunan moden MotoGP dan semakin luas digunakan khususnya untuk jentera baru agar lebih selamat. IMU juga membantu pembuatan komponen menjadi lebih murah dan bersaiz lebih kecil.

Di Richiamo Coffee, Tamarind Square, Cyberjaya.
Di Richiamo Coffee, Tamarind Square, Cyberjaya.

Tidak ada yang lebih menyeronokkan selain memecut dan menukar gear tanpa perlu menggunakan klac. Best betul naik motor yang ada Bi-Directional Quick Shifter ni! Bagi mereka yang gunakan jentera ini untuk berlumba pula, GSX-R1000R dilengkapi dengan sistem Launch Control yang membolehkan para penunggang/pelumba bermula dengan sempurna.

Sistem ini bertindak dengan menggunakan pemetaan khas yang mengawal pembukaan injap pendikit dan waktu nyalaan. Ia memantau cara penggunaan pendikit, posisi injap pendikit, tahap rpm, posisi gear, putaran tayar depan dan belakang. Sebaik sahaja kita merentap pendikit, sistem ini akan menahan enjin pada putaran rpm yang betul-betul ideal agar pergerakan menjadi tepat.

Untuk selamat, yakin dan semestinya pantas, Suzuki ini telah dilengkapkan dengan sistem elektronik moden yang benar-benar memukau. Kita mulakan dengan sistem Motion Track Traction Control kerana pada mulanya kami terfikir: “Mengapa perlu sehingga 10 tahap pilihan? Kita perlu sangat ke banyak macam ni?”

Apabila menunggang lebih daripada 300 kilometer, berdepan dengan pelbagai jenis cuaca... ada masa panas, ada ketika hujan dan ada ketika permukaan jalannya tidak baik maka barulah benar-benar faham mengapa Suzuki menyediakan begitu banyak tahap/pilihan.

Pertamanya, kita menunggang sebuah jentera 'superlaju' yang terang-terang memecut bagaikan anak panah dilepaskan daripada busurnya. Maka, sistem traction control (TCS) mod 1-4 direka untuk kegunaan di litar. Anda boleh talakan mengikut tahap kemahiran masing-masing sama ada perlu lembut atau berat. Ketika di bandar, mod 5-8 boleh dipilih mengikut keadaan jalan tetapi apabila berhadapan dengan hari hujan atau di permukaan jalan yang licin, gunakan mod 9 atau 10. Sekarang kami lebih yakin.

Sayang sekali jentera ini tidak dapat kami tunggang di litar. Teringin juga nak rasa adrenalin sewaktu cuba masuk ke selekoh dalam kelajuan tinggi. Memang seronok dan selamat bermain selekoh dengan jentera sekuat GSX-R1000R ini di litar berbanding jalan raya biasa.

Kami pasti kita juga akan dapat kecapi keseronokan menunggang Suzuki ini di Lebuhraya Karak, Ulu Yam, Bukit Tinggi atau di Kuala Klawang. Jalan berselekoh di sana juga mantap dan menguji kecekapan kita. Cuma... seperti yang dikatakan awal tadi, menguji kemantapan jentera sport tetap lebih sesuai di litar.

Ada beberapa sebab utama yang kami rasa anda juga setuju. Pertama, walaupun jalan-jalan berselekoh di luar sana padu, kualiti atau keadaan permukaan jalan akan sentiasa berubah. Mungkin semalam okay, hari ni licin sebab di sebelah malamnya ada minyak/pasir tumpah. Mungkin juga hari 'ride' kita terpaksa berkongsi laluan dengan rider-rider baru yang belum mahir memilih laluan (takut tiba-tiba melebar), mungkin banyak kereta. Jika semuanya ok... silakanlah tapi tolong berhati-hati.

GSX-R1000R disempurnakan dengan kerangka dan lengan ayun jenis aluminium yang lebih ringan agar kita dapat melayangkan jentera ini dengan cepat dan tepat. Untuk mengimbangi kelincahannya di jalan-jalan berselekoh, Suzuki telah menggunakan fork hadapan Showa BFF yang bermaksud Balance Free Fork (depan) dan Balance Free Rear Cushion (BFRC) di belakang yang memiliki kadar penyerapan yang sangat mantap.

Sistem ini dibangunkan untuk jentera perlumbaan dan kini dapat dinikmati oleh mereka yang membeli model GSX-RR. Untuk model GSX-R1000, ia didatangkan dengan fork hadapan Showa BFF (Big Piston Front) dan penyerap hentak belakang Showa.

Sistem brek dimantapkan lagi dengan penggunaan cakera Brembo bersaiz 320mm (depan) dan 220mm (belakang) yang dilengkapkan dengan Motion Track Brake System yang berinteraksi dengan IMU untuk mengurangkan daya angkat tayar belakang ketika kita membrek dengan keras. Bagi mereka yang berlumba, sistem ini amat berguna ketika membrek di trek yang menuruni bukit.

Apa pun, harus sentiasa diingat dan diamal bahawasanya, keselamatan tunggangan tidak wajar kita letak/harapkan 100% kepada kemodenan sistem elektronik, komponen dan keadaan jentera itu. Tungganglah mengikut kemampuan dan mahirkan diri secara berperingkat. Biar proses itu lambat tetapi akhirnya pergerakan jentera adalah di dalam kawalan kita dan bukan disebaliknya.

Secara keseluruhan, GSX-R1000R memang sebuah jentera premium yang setanding dengan para pencabarnya. Motor ini sangat laju dan memiliki pakej elektronik serta keselamatan yang benar-benar menjadikan tunggangan kita mengujakan. Bila menunggang tanpa rasa tertekan barulah seronok! RR

Isu Pada

Januari 2022

Spesifikasi

Enjin4 silinder, 4 lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu999.8cc
Kuasa maksimum202ps pada 13,200rpm
Tork maksimum117.6Nm pada 10,800rpm
Transmisi6 kejaluan
Tayar120/70ZR-17 M/C (depan) & 190/55ZR-17M/C (belakang)
Brek2 cakera 320mm Brembo (depan) & cakera Brembo
P x L x T2,075mm x 705mm x 1,145mm
Isi tangki16 liter
PengeluarSuzuki Malaysia Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.