Honda CBR150R - Mantap, Jimat & Bergaya
Honda CBR150R merupakan sebuah jentera 4-lejang daripada siri keluarga CBR keluaran APHonda. APHonda adalah syarikat bersekutu Honda milik Thailand yang ditubuhkan pada tahun 1986. Jentera itu sememangnya cukup terkenal dalam kalangan pencinta motosikal berfairing penuh.
Pertama kali model ini diperkenalkan adalah sekitar tahun 2002 sebagai pengganti kepada sebuah jentera 2-lejang, Honda NSR150 dan disasarkan untuk pasaran Asia Tenggara. Pada penghujung tahun 2007, CBR150R mula dibawa masuk oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) untuk pasaran negara di mana sebelum ini jentera tersebut hanya untuk pasaran Thailand dan Singapura.
CBR150R kemudian mula diberhentikan pengeluarannya di Malaysia pada hujung tahun 2009. Namun, atas permintaan yang banyak, BSH mula memasarkan balik model tersebut sehingga sekarang.
Kini Honda CBR150R telahpun dibangunkan sehingga lima generasi. Pada awal bulan September 2021, BSH telah memperkenalkan CBR150R serba baru sebagai model 2021 dan merupakan jentera generasinya yang kelima. Model ini dibina dengan konsep siri CBR Total Control yang menawarkan rekabentuk seakan jentera berkuasa tinggi, agresif, trend terkini dan berteknologi tinggi.
Honda CBR150R adalah sebuah siri sportbike yang paling kecil dalam keluarga CBR. Di mana untuk pasaran negara kita terdapat model CBR150R, CBR250RR, CBR500R, CBR600RR, CBR650R, CBR1000RR Fireblade dan CBR1000RR-R Fireblade SP.
Mari kita fokuskan kepada model yang kami tunggang uji ini iaitu Honda CBR150R. Model ini adalah jentera sportbike Entry Level kepada pengguna baru yang ingin merasai, bergaya dan bersantai sebelum beralih ke sebuah jentera yang berkapasiti lebih tinggi.
Dari segi keseluruhan rekabentuknya memang cukup menarik. Pandang sahaja dari jauh, rupabentuknya yang aerodinamik mengingatkan kita pada model ‘abangnya’ CBR250RR. Tidak kira la lihat dari sudut hadapan, kiri, kanan mahupun belakang, memang sangat serupa.
Bahagian hadapannya dilengkapi dengan dwi-lampu LED beserta DRL dengan bentuk yang agresif seperti CBR250RR. Bahagian ekornya juga turut dipadankan dengan sepasang lampu LED. Kami yakin lampu-lampu ini menawarkan sistem pencahayaan yang jelas untuk perjalanan di waktu siang mahupun malam.
CBR ini mempunyai ketinggian pelana pada 788mm. Tidaklah begitu tinggi mahupun rendah. Kami yang mempunyai ketinggian sekitar 170cm dapat memanjat CBR ini dengan begitu mudah sekali. Kedua-dua tapak kaki juga dapat memijak permukaan bumi dengan senang. Kedua-dua belah tangan kami mula memegang bar hendalnya yang lebar. Posisi tunggangan tidak terlalu membongkok dan kami dapat rasakan cukup selesa tidak kira menunggang di dalam kawasan bandar mahupun memecut di lebuhraya.
Enjinnya mula dihidupkan dengan menggunakan suis penghidup elektrik. Sebaik sahaja enjin 149.2cc ini berputar, sistem ekzosnya mengeluarkan bunyi yang mantap. Mata kami tertumpu pada paparan meter digital yang kemas dan padat dengan segala info penting. Terdapat tahap kelajuan, rpm, tahap bahan api, odometer, jarak perjalanan, masa dan suhu. Lampu latar belakang berwarna gelap memang cukup padan sekali pada panel meternya. Walaupun menunggang pada waktu tengah hari, maklumat-maklumat di meter dapat dilihat dengan jelas.
Model ini memiliki berat 139kg (berat tanpa muatan). Manakala rekabentuknya tidak la terlalu besar atau kecil. Panjang keseluruhan cuma 1,983mm, lebar 700mm dan tinggi 1,090mm. Tidak lama menunggang bersamanya, kami dapat rasakan CBR ini bukan sahaja ringan malah mengawalnya juga amat memudahkan sekali. Walaupun mencelah di antara kenderaan lain, kami dapat melintasi kesesakan lalu lintas dengan mudah. Membuat pusingan ‘U’ juga tidak begitu susah. Perhatikan keadaan sekeliling, patuhi lampu isyarat, pastikan tiada kenderaan lain dan pusing sahaja mesin ini dengan yakin berserta jarak yang selamat agar jentera tidak mudah terjatuh.
Cuaca yang cerah melancarkan lagi perjalanan kami ke destinasi yang ingin dituju. Kami mula memasuki kawasan lebuhraya untuk merasa sendiri kemantapan enjinnya. CBR ini menggunakan enjin silinder tunggal, DOHC dan sistem penyejuk cecair. Ramai yang berkata enjin pada CBR ini sama seperti model moped Honda RS-X. Ya memang sama. Tetapi dari segi talaannya ada sedikit perbezaan di antara kedua-dua jenis model tersebut.
Dengan kuasa maksimum 12.0kW pada 9,000rpm manakala torknya 13.7Nm pada 7,000rpm, respon di antara pendikit dan kuasa enjinnya yang tepat membuatkan kita sentiasa ingin memulasnya. Kekuatan kuasa di peringkat pertengahan memang mengujakan. Ketika berada di kedudukan gear-gear rendah, kelajuan jentera dapat ditingkatkan semula walaupun ada kalanya kami menurunkan kelajuan. Sistem klacnya pula dirasakan cukup lembut sekali. Proses penukaran gear dapat dilakukan dengan mudah dan pantas. Terima kasih kepada sistem Assist & Slipper yang bekerja dengan keras. Dari segi kelajuan, dengan berat badan penunggang dalam 70 - 80kg, kami dapat larikan CBR ini sekitar 135km/j.
Keseronokan menunggang mesin ini semakin dirasai apabila memacunya di jalan-jalan berselekoh. CBR150R dilengkapi dengan roda-roda bersaiz 17 inci yang disaluti dengan kelebaran tayar 100/80 (depan) dan 130/70 (belakang). Gigitan tayar yang kemas membolehkan kami membuat miringan bersama jentera ini. Walaupun kami bukanlah seorang pelumba profesional, kemantapan kerangka diamond dan casisnya meningkatkan keyakinan kami membaringkan sedikit jentera ini. Tetapi jika permukaan jalan basah, lembab ataupun suhu jalan menurun, menunggang lah dengan penuh berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kecelakaan.
Pengendalian yang licah dan stabil turut diperkemaskan dengan sistem-sistem saspensi yang boleh diharap. Saspensi hadapan pada CBR ini disempurnakan dengan fork terbalik (USD) jenis Showa. Ia menyerap segala hentakan dengan baik sekali. Bukan sahaja di laluan berselelekoh, malah tidak menghasilkan gegaran yang begitu kuat ketika berada di jalan yang tidak rata. Lengan ayun dengan Monoshock Pro-Link di bahagian belakang memberikan keselesaan tanpa merasakan diri kita melompat-lompat mengharungi segala hentakan.
Proses membrek dapat dilakukan dengan selamat kerana CBR150R ini memiliki brek jenis cakera di bahagian hadapan dan belakang. Walaupun memacunya dengan laju, mesin ini dapat kita berhentikan dengan mudah dan selamat. Bukan itu sahaja, model ini juga turut dilengkapi dengan sistem ABS dua saluran yang meningkatkan lagi tahap keselamatan untuk sistem pemberhentian jentera.
Prestasi enjinnya memang cukup memuaskan. Penggunaan bahan api amat menjimatkan kerana Honda telah menyempurnakan jentera ini dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi. Walaupun ditunggang dengan pelbagai gaya tunggangan dan permukaan jalan, model ini mampu dibawa bersiar-siar sekitar 300 km/j dengan isian penuh 12 liter… itu pun masih lagi berbaki satu ke dua tahap bahan api yang terpapar pada meternya.
Honda CBR150R didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Matt Charcoal Gray Metallic dan Candy Scintillate Red. Dari segi harga, adakah ianya berbaloi dengan harga yang dicadangkan oleh pihak BSH RM12,499 (tanpa cukai jalan, insurans & pendaftaran)? Bagi kami, ianya sangat berbaloi walaupun dari segi kelajuan mungkin tidak memenuhi citarasa sesetengah pengguna dua roda, tetapi keseluruhan rekabentuknya dan ciri-ciri menarik serta tahap keselamatan yang ada pada model ini memang mantap sekali. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, DOHC, 4-lejang, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 149.2cc |
Kuasa maksimum | 12.0kW pada 9,000rpm |
Tork maksimum | 13.7Nm pada 7,000rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Saspensi | fork USD jenis Showa (depan) & Monoshock Pro-Link (belakang) |
Tayar | 100/80-17 M/C (depan) & 130/70-17 M/C (belakang) |
P x L x T | 1,983mm x 700mm x 1,090mm |
Isi tangki | 12 liter |
Pengeluar | Boon Siew Honda (BSH) |
Popular