Ace Four 1922 - Meningkatkan Kecemerlangan
Pada tahun 1911, dua adik beradik dari Scotland iaitu William G. dan Thomas W. Henderson telah mengasaskan Henderson Motorcycle Co. yang beroperasi di Detroit, Michigan. Matlamat utama pasangan adik beradik itu ialah untuk mengeluarkan jentera dua roda yang mewah, tahan lasak dengan menggunakan enjin empat silinder.
Jika ia berjaya dikeluarkan, jentera ini merupakan satu penciptaan yang terbaik daripada apa yang sedia ada di US ketika itu. Model popular di pasaran US ketika itu terdiri daripada jentera satu silinder dan enjin v-twin yang masih dalam era pembangunan.
Ketika Tom Henderson mengepalai dan menguruskan syarikat, saudaranya Bill merupakan antara salah seorang jurutera terbaik di USA. Kualiti rekabentuknya boleh dikatakan mengatasi semua motosikal yang datang dari Eropah termasuklah syarikat FN di Belgium yang telah pun mencipta motosikal empat silinder pada tahun 1904. Bill mendapat jolokan ‘Duesenbergs’ dua roda dan dikatakan memiliki kemahiran yang jauh lebih baik berbanding Pierce Four yang berjaya berada di pasaran pada tahun 1910.
Selepas membina jentera prototaip pada tahun 1911 dengan menggunakan tali sawat untuk pacuan akhir, pada Januari 1912, Henderson Motorcycle Co. memulakan produksi sebanyak 25 unit untuk dipasarkan. Enjin model itu bersesaran 934cc,7hp, injap mekanikal dan pacuan akhir jenis rantai, sistem transmisi 1 kelajuan beserta klac. Ciri-ciri ini memang bukan perkara biasa untuk sebuah motosikal pada era tersebut.
Pada harga $325, model Henderson Four dijual $75 lebih murah berbanding pencabarnya Pierce. Salah seorang daripada pemiliknya, Carl Stearns Clancy menjadi orang pertama mengelilingi dunia dengan dua roda pada tahun 1912-13 dengan jarak perjalanan sejauh 28,968 kilometer dalam masa 10 bulan. Perjalanan merentasi empat benua ketika itu memang sukar dan di antara pengembaraan terpanjang dan paling bahaya pernah dilakukan. GPS tak ada, bengkel servis tak ada, telefon bersel belum wujud untuk buat panggilan jika berlaku kecemasan!
Ia adalah promosi terbaik, telah berjaya pengeluaran dan penjualan 2,000 unit pada tahun 1913 dan seterusnya. Model Henderson Four ini kemudiannya dinaik taraf pada tahun 1917 dengan nama Model G. Pelincir kini diletakkan dalam kotak engkol (seperti kereta) dan penambahan kotak gear tiga kelajuan daripada dua.
Dengan penjualan Henderson Four yang memberangsangkan, mereka memiliki modal yang cukup untuk ke fasa membuat R&D tetapi masih belum memadai untuk mengeluarkan siri jentera berkapasiti kecil atau berenjin kembar yang boleh membantu peningkatan jumlah jualan.
Bill Henderson tidak pernah mempunyai cukup dana untuk membiayai apa yang diingininya. Oleh itu, pada November 1917, dia dan saudaranya menjual syarikat tersebut kepada pemilik Excelsior, Ignaz Schwinn. Schwinn kemudiannya memindahkan produksi ke kilang besarnya yang terletak di Chicago.
Di kilang baru ini, Schwinn sedang berusaha membangunkan jentera Excelsior empat silinder miliknya sendiri tetapi membuat keputusan untuk membeli Henderson kerana ia lebih senang dan menjimatkan. Schwinn kemudiannya menjadi pengeluar pertama untuk keluarga Big Three (bersama Indian dan Harley-Davidson ketika itu) yang menawarkan jentera empat silinder berprestij.
Schwinn adalah seorang lelaki yang sukar untuk bekerja bersama. Dia bertegas untuk menambah berat dan saiz luaran jentera Excelsior-Henderson Four. Ini amat bertentangan dengan penciptaan adik beradik pemilik asal yang mahukan jentera lebih ringan agar prestasi lebih baik dan tahan lasak. Setahun kemudian, kedua-duanya tinggalkan kerjasama itu.
Tom tidak meneruskan minatnya dalam dunia motosikal dan kembali ke Eropah. Pada Oktober 1919, Bill Henderson telah memperoleh pembiayaan daripada pemilik Haverford Cycle Co. iaitu Max Sladkin, seorang pengeluar basikal dari Eropah Timur yang telah menyimpan hasrat untuk memiliki syarikat motosikal sendiri. Mereka menubuhkan Ace Motor Corporation dan beroperasi di kilang Savage Arms, Philadelphia yang tidak lagi digunakan.
Di kilang ini, mereka telah bersetuju untuk mengeluarkan rekaan jentera empat silinder yang berbeza, walaupun masih kekal dengan silinder panjang. Untuk menghalang Schwinn daripada memiliki tuntutan hak cipta, Bill Henderson cukup bijak untuk memastikan tiada komponen/bahagian Henderson yang sesuai dengan enjin baru Ace Four itu.
Jentera tersebut menggunakan enjin 1,229cc yang berkuasa 20hp pada 3,000rpm dengan saiz dimensi 68.58 x 82.55mm, menggunakan pencucuh magneto Simms dan digerakkan dengan karburetor tunggal jenis Schebler. Aci engkolnya juga lebih kuat berbanding unit keluaran Henderson. Model segar dan baru itu ditawarkan dengan skima warna Packard Blue yang diserlahkan lagi melalui rimnya yang berwarna krim.
Ace Four memilki tapak roda bersaiz 1,499mm, pelana setinggi 737mm yang dikatakan cukup selesa untuk semua jenis penunggang. Tiada saspensi belakang, tetapi digantikan dengan fork dwi galang Flying Merkel yang memiliki redaman cukup baik. Madgad didapati dari pengeluar yang sama dipilih oleh Henderson. Madgad ini direka lebih lebar untuk disesuaikan dengan tayar yang lebih besar. Model ini tidak dilengkapkan dengan brek hadapan tetapi brek belakangnya memang cemerlang.
Ace Four adalah satu kejayaan besar dengan ribuan unit dijual di seluruh USA termasuk di negara luar. Sayangnya tidak lama kemudian, Ace Motor Corp. menghadapi masalah kewangan – tidak cukup modal untuk memenuhi permintaan yang semakin banyak. Pada awal tahun 1921, Sladkin mendapat suntikan dana sebanyak setengah juta dollar atau bersamaan $7,000,000 nilai sekarang ini. Dana ini menstabilkan semula syarikat dan mampu untuk membayar semua pembekal.
Untuk mempromosikan jentera ini, pihak syarikat telah memulakan rancangan memecah rekod demi rekod. Cannonball Baker telah menunggang Ace Four untuk mencatat rekod tunggangan pantai ke pantai kurang daripada 7 hari pada September 1922. Ia adalah pencapaian pertama sedemikian dan berjaya memecah masa milik Henderson Allan Bedell pada tahun 1917.
Pada bulan Disember tahun yang sama, tragedi tergempar berlaku! Bill Henderson telah terlibat dalam kemalangan ketika menunggang uji motosikal terbaru, Ace Sporting Solo di depan kilang miliknya. Kemalangan itu telah meragut nyawanya. Kehilangannya telah meninggalkan ruang kosong dalam syarikat yang memaksa Sladkin dan rakan niaganya mengambil bekas Penolong Jurutera Henderson di Excelsior, Arthur O. Lemon untuk menggantikannya.
Art Lemon diarah untuk merekacipta jentera perlumbaan dan dalam masa tiga bulan dengan menggunakan dynomometer baru yang mahal, Lemon berjaya tampilkan jentera prototaip XP4. Dengan menggunakan jentera ini, T.N.Terpening (seorang pelumba) berjaya meraih kemenangan dalam kemunculan pertamanya di perlumbaan mendaki di Rochester, New York pada Julai 1923.
Pada bulan November tahun yang sama, Charles 'Red' Wolverton yang merupakan bekas kakitangan Excelsior telah mencatatkan masa elektronik terpantas di World Land Speed Record (motosikal) di Philadelphia pada kelajuan 209km/j.
Kejayaan dan rekod yang dicapai ini telah meningkatkan permintaan model Ace Four tetapi disebabkan oleh salah urus kewangan dan ketidakcekapan di pihak Max Sladkin, bahagian pengurusan Ace mengambil masa lebih setahun untuk menyedari bahawa harga penjualan jentera mereka sebenarnya mengalami kerugian besar. Akhirnya pada November 1924, sebuah pengeluar motosikal cemerlang telah muflis dan terpaksa dihentikan.
Pada tahun 1926, terdapat cubaan untuk memajukan semula syarikat ini tetapi sayangnya hanya beberapa ratus unit dijual. Ace telah diserap masuk ke dalam Indian dan sekali lagi tempat produksi berpindah ke Springfield, Massachusetts.
Ace Four dijenamakan semula pada tahun 1928 dengan nama baru iaitu Indian Four Model 401. Model ini juga mendapat permintaan tinggi sehinggalah berlakunya pengeboman Pearl Harbour pada Disember 1941 yang menamatkan semua motosikal awam secara kekal.
“Kami pernah menghadiri beberapa perhimpunan motosikal di Eropah tetapi selepas pelaksanaan Brexit, keadaan agak sukar. Kira-kira sembilan tahun lalu, saya ternampak Ace Four di Denmark dan terus jatuh cinta. Saya rasa ia adalah sebuah jentera yang sangat cantik kerana ia menunjukkan kebijaksanaan para jurutera awal di Amerika, kata Nick Road, salah seorang pemilik Ace Four yang menetap di England.
“Saya terpaksa mengambil masa hampir dua tahun untuk menjejaki dan membeli jentera ini di Belgium serta terpaksa menjual segalanya untuk tujuan itu. Saya juga membuat pinjaman bank untuk menambah jumlah wang (nampak bodoh) tetapi saya tetap melakukannya. Saya juga menggunakan lebih banyak wang untuk proses pemulihan,” tambahnya.
Ketika Nick membawanya pulang pada tahun 2014 lalu, enjinnya dapat dihidupkan dengan sempurna. Seminggu kemudian, kami pergi bersarapan bersama. Nick bawa Ace dan saya naik BMW. Ketika kami berhenti di satu persimpangan, enjin Ace berbunyi pelik dan kemudiannya terus diam. Keadaan motosikal tidak sebaik yang disangka, banyak komponen rosak dan bukan original.
Seorang kenalan kami di Essex telah memaklumkan bahawa dia mempunyai satu omboh yang lengkap. Kami meminjam dan terus membawa segala komponen ke CP Pistons di California. Di sana mereka membuat semula segala barangan dan komponen dengan sempurna. Akhirnya Nick berjaya menunggang jentera yang dibelinya.
Dengan keizinan Nick, saya dapat menunggang Ace ini di laluan luar bandar di England. Saya pernah menunggang sebuah Ace Four tulen tetapi ia kira-kira 40 tahun yang lalu. Melihatnya di depan mata sangat mengujakan kerana ia adalah sebuah jentera lama yang masih sangat cantik. Tahun 2022 adalah ulangtahun ke-100nya dan membuktikan Bill Henderson bukan sahaja bijak dalam kejuruteraan tetapi juga seorang yang kreatif.
Posisi menunggang Ace ini memang selesa. Bar hendal ke belakang dan amat mudah untuk kita mengawalnya. Pelana Troxel yang terletak di atas tangki bahan api sangat selesa, memang mengejutkan. Ruang kaki cukup luas dan model ini didatangkan dengan penghidup jenis tendang yang cukup lembut. Terdapat juga klac kaki di sebelah kiri yang berguna ketika berada di laluan berbukit.
Tuas di sebelah kiri Ace ini ialah untuk penukaran gear bagi sistem transmisi tiga kelajuan. Jentera ini memiliki kuasa tork yang tinggi sehinggakan dalam gear tertinggi pun dapat digunakan untuk mendaki. Bunyi ekzos 4-1 mengingatkan kita dengan jentera bermotor tahun 1930an dan saya rasa kebanyakan enjin Ace memiliki bunyi yang sama. Memang suatu yang mengagumkan apabila dapat menunggang jentera lama di ketika zaman moden ini dengan selesa,
Sistem saspensi jentera berusia seabad ini menyerap segala hentakan dengan baik sekali – terima kasih kepada spring empat inci yang berfungsi secara praktikal. Jentera ini juga sangat stabil ketika dipecut di laluan lurus – tidak ada gegaran walaupun melalui laluan berbonggol. Riaksi kuasa torknya lebih kurang sama dengan apa yang dimiliki oleh enjin BMW Boxer, Moto Guzzi atau Triumph Rocket 3!
Untuk memberhentikan sebuah motosikal yang tidak ada brek hadapan dari kelajuan 130km/j memang sukar tetapi apabila diturunkan kelajuan sedikit sekitar 80km/j, sistem brek belakang bekerja dengan cemerlang. Sememangnya ia adalah satu lagi kejutan melihat tahap penciptaan motosikal di era 1920an. Sekali lagi, enjin empat silinder jentera Henderson ini sangat lancar dan tidak hairanlah ia digunakan untuk pengembaraan jarak jauh.
Dan tidak hairanlah mengapa Nick Roud sangat mengidamkan jentera ini dan saya sangat berterima kasih kepadanya kerana telah memberi peluang menunggang jentera yang sangat canggih jika mengikut kepada piawaian motosikal 100 tahun yang lalu. RR
Laporan Oleh: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk udara, empat silinder, empat lejang |
Isipadu | 1,229cc |
Kuasa maksimum | 20 bhp pada 3,000rpm |
Nyalaan | Magneto Simms |
Transmisi | 3 kelajuan |
Saspensi | fork jenis girder (depan) & tiada (belakang) |
Isi tangki | 11.35 liter |
Laju maksimum | 130 km/j |
Tahun pembuatan | 1922 - No. Kerangka 2 1199, No. Enjin: B4011 |
Pemilik | Nick Round, Canterbury, Kent, Great Britian |
Popular