Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 April 2022

Suzuki GSX-S750 - Sesuai Untuk Penunggang Baru & Lama

Selepas kembalinya Suzuki ke pasaran negara, pengenalan kepada model-model baru sangat positif. Pasaran untuk jenama ini 'meletup' sehingga ada beberapa model yang mendapat permintaan tinggi menyebabkan para pelanggan terpaksa dimasukkan dalam senarai menunggu (waiting list). Tahniah buat Suzuki Malaysia.

Jentera yang diuji kali ini ialah GSX-S750. Ia merupakan siri model jalanan atau naked yang hadir untuk memberi kepuasan buat para peminat motosikal yang mahukan kemantapan kuasa pecutan tetapi dalam masa yang sama, menawarkan keselesaan dan mudah dikendalikan.

Kita mulakan dengan spesifikasi enjin. Suzuki GSX-S750 disempurnakan dengan 'jantung' bersesaran 749cc, 4 lejang, sistem penyejuk cecair DOHC, 4 silinder sebaris yang mampu kita pecut lebih daripada 200km/j dengan cukup cepat. Mantap kan? Harganya ialah sekitar RM41,000... murah dan sangat berbaloi.

Betul, antara topik yang hangat dibincangkan di kalangan peminat motosikal ialah berkenaan harganya. Model-model baru Suzuki Malaysia kini tidaklah begitu mahal berbanding sebelum ini. Jadi, tidak peliklah mengapa jentera Suzuki kini bagaikan pisang goreng panas.

Rekabentuk GSX-S ini mengingatkan kami pada model GSX-S1000 yang diuji pada tahun 2017 yang lalu – walaupun hampir lima tahun berlalu, kita dapat lihat masih banyak ciri-ciri yang agak sama dikongsikan oleh kedua-duanya. Antaranya ialah bahagian belakang, fork hadapan, madgad dan panel meternya. Model ini masih menggunakan panel meter LCD yang memaparkan segala informasi yang kita kehendaki dengan jelas.

Rupabentuknya 'straight forward' seperti mana-mana jentera jalanan. Lampu hadapan bentuk seperti 'taring' tetapi bukan lampu LED, sayang sekali! Pandangan sisi nampak padu dengan susuk enjin 750nya dan lengkap dengan belly pan atau orang kita panggilnya 'sampan'. Tidak dinafikan sistem ekzos besar moden yang diselit di sisi kanan ini juga membantu jadikan rekabentuk GSX-S ini nampak sasa.

Dengan adanya sistem Easy Start, kita hanya menekan suis penghidup sekali sahaja dan enjin akan terus hidup. Kita tidak perlu lagi menekan suis lama, tekan... tekan... sehingga enjin berputar. Bunyi yang terhasil daripada enjin jentera 750cc dan sistem ekzosnya memang mengghairahkan. Senyap dan sekata tetapi gema deruman Suzuki ini cukup padu.

Tahap putaran RPM dapat kita lihat pada bahagian atas paparan meternya manakala tahap kelajuan dan posisi gear turut dapat dilihat dengan sangat jelas. Di sisi kanan penunjuk gear terdapat talaan untuk sistem TC dan Suhu Enjin. Penunjuk bahan api terletak di bahagian bawah.

Sdr Rosman bersama jentera barunya, Suzuki GSX-S750.
Sdr Rosman bersama jentera barunya, Suzuki GSX-S750.

Pelananya setinggi 820mm tidaklah memberi kesukaran buat para penunggang motosikal meskipun penunggang hawa. Dengan ketinggian ini, GSX-S ini memang terasa tinggi dan membolehkan kita melihat keadaan trafik melepasi bumbung-bumbung kereta dengan mudah.

Terdapat empat tahap mod sistem Traction Control iaitu Off, Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3. Tahap 1 dikhususkan untuk tunggangan sport, pantas dan talaan ini sesuai apabila berada di permukaan jalan yang sempurna dan di litar. Tahap 2 pula sesuai untuk kegunaan harian seperti di bandar dan jalan-jalan biasa dan Tahap 3 adalah untuk kita gunakan apabila menunggang di dalam hujan atau permukaan jalan yang licin. Kami cukup suka dengan suis di bar hendal sebelah kiri. Mudah ditekan untuk membuat sebarang talaan.

Posisi menunggang memang selesa. Tidak bongkok, bar hendal berada di kedudukan yang tepat cuma sudut belokan dirasa agak kecil berbanding model jalanan dari jenama berbeza. Apa pun, dengan kawalan yang betul, itu semua langsung tidak mendatangkan masalah. Suzuki ini adalah antara jentera pilihan buat mereka yang suka mengembara, ingin bergaya dan juga untuk berulang alik kerja. Memang tak memenatkan!

Seperti kebanyakan model Suzuki baru sekarang ini, GSX-S750 turut dilengkapkan dengan Low RPM Assist yang akan memastikan putaran enjin terus sekata walaupun tanpa memulas pendikit. Sistem ini sangat praktikal ketika kita menunggang di dalam kesesakan jalan raya. Ciri-ciri ini memang kami betul-betul dapat nikmati ketika berada di dalam kawasan bandar baik di Kuala Lumpur, Shah Alam hinggalah ke Port Dickson.

Deruman enjin jentera jalanan ini memang mengasyikkan. Selain sistem ekzos yang cukup padu, kotak udara jentera ini yang menarik udara dari tiga saluran masuk telah menyumbang kepada bunyi bergema dan padat. Bunyi dari jentera Suzuki ini bagaikan berlagu merdu... sedap benar didengar. Percayalah... ke mana Suzuki ini dibawa, ia akan menarik perhatian ramai orang.

Warna Metallic Triton Blue/Glass Sparkle Black atau warna biru metalik bercampur hitam memang nampak garang. Jikalau diberi pilihan, kami lebih suka jika warna hitam dikurangkan sedikit agar nampak lebih banyak biru terutamanya pada bahagian tangki. Bagi mereka yang sukakan warna gelap, terdapat satu lagi pilihan warna Metallic Oort Gray/Glass Sparkle Black.

Kami menuju ke Port Dickson dan menunggang pada hari biasa dan di awal pagi memang tenang. Sejak sektor ekonomi dibuka dan tamatnya larangan merentas negeri telah menyebabkan tempat percutian 'meletup' dengan kehadiran para pengunjung. Ia adalah berita baik buat para peniaga yang telah hilang punca rezeki selama ini. Untuk elak daripada bertembung dengan kesesakan luar biasa, kami bermotosikal pada hari biasa.

Laluan yang luas memang ditunggu-tunggu! Menarik enjin empat lejang, empat silinder, DOHC yang berkuasa 113hp pada 10,500rpm dan tork 80.4Nm pada 9,000rpm memang sangat memuaskan hati. Hamburan kuasa hadir dengan lancar setiap kali pendikit dipulas tanpa rasa sebarang sentapan pada enjin. Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) yang dimiliki oleh Suzuki ini memastikan tahap pembakaran yang cekap agar tenaga dapat disalurkan dengan sangat lancar dan terkawal.

Sedap betul! Jentera ini dapat dipecut mencecah 200km/j dengan pantas sekali. Namun begitu, bahagian hadapan perlu ditambah dengan cermin pengadang udara (aksesori) agar lebih selesa untuk kelajuan tinggi. Apa yang betul-betul kami inginkan ketika menyusuri laluan yang lurus dan luas sebegini ialah sistem cruise control (CC), kalau ada mungkin lebih seronok!

Untuk mengawal pergerakan sebuah mesin seberat 213kg ini, Suzuki telah melengkapkannya dengan fork hadapan KYB jenis terbalik dan penyerap hentak berspring di bahagian belakang. Kadar serapannya? Memang sudah cukup cemerlang untuk membawa bebanan semua jenis penunggang tidak kiralah yang comel molek atau yang berbadan besar. Apa yang menarik mengenai sistem penyerap hentak belakang ini ialah rekaannya yang unik dan bijak. Ia digelar variant cross-section swingarm yang turut memberi kemudahan buat pemilik jentera ini membuat penyelenggaraan rantai.

Suzuki GSX-S750 dilengkapkan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70ZR17M/C (58W) di depan dan 180/55ZR17M/C (73W) di belakang yang menyerap permukaan jalan dengan cemerlang. Kami menggunakan laluan berselekoh dari Port Dickson menuju ke Linggi yang agak sempurna buat menguji kelincahan jentera ini membelok. Miringan dapat dibuat tanpa ragu-ragu. Agihan berat yang memang cukup sesuai dengan karaktor enjin membuatkan tunggangan lebih meyakinkan.

Kami sempat berbual dengan dua orang pemilik tegar Suzuki iaitu Ishak (GSX-R1000 K9) dan Rosman yang menunggang GSX-S750 2021. Kedua-duanya memang pemilik Suzuki sejak dari dulu. Mengapa mereka begitu setia dengan Ishak menyatakan dia sudah mencuba dan pernah memiliki jentera lain daripada Suzuki tetapi 'jodoh' mereka tidak lama. Baginya Suzuki memiliki pakej kekuatan dan kelancaran enjin yang cukup sempurna. Hantaran kuasa sangat lancar, mudah ditunggang, berprestasi tinggi dan senang untuk diselenggara.

Rosman pula bekas pemilik Suzuki V-Strom, GSX1250 dan yang terkini ialah model sama diuji ini iaitu GSX-S750. Menurut Rosman, enjin Suzuki jarang benar bermasalah. Tidak memeningkan kepala, tahan lasak dan mudah untuk diselenggara. Baginya, adalah amat penting untuk menunggang dan memiliki sebuah jentera yang mempunyai sifat tahan lasak seperti mana yang ditawarkan oleh jentera-jentera keluaran Suzuki.

Panel meter menunjukkan jarak perjalanan melebihi 200 kilometer dengan tangki bersaiz 16 liter, cukup jimat! Secara keseluruhan, Suzuki GSX-S750 ini memang menyeronokkan untuk pelbagai jenis tunggangan. Bagi kaki leper, Suzuki ini cukup lincah untuk tujuan itu manakala bagi mereka yang ingin berulang alik ke tempat kerja, ini juga antara jentera yang wajar dijadikan pilihan. Motor ini sangat selesa, mantap dan jimat.

Dengan sokongan para pengedar dan pusat servis Suzuki yang ada sekarang ini, tidak mustahil GSX-S750 bakal popular dan menjadi pilihan para pencinta jentera jalanan. RR

Isu Pada

November 2021

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder sebaris, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu749cc
Kuasa maksimum113hp pada 10,500rpm
Tork maksimum80.4Nm pada 9,000rpm
Tayar120/70ZR17M/C (depan) & 180/55ZR17 M/C (belakang
Saspensifork KYB jenis terbalik (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak berspring (belakang)
Brekbrek cakera berkembar (depan) & cakera tunggal (belakang)
Berat213kg
Tinggi pelana820mm
PengeluarSuzuki Malaysia Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    ARRC: Pusingan Akhir SS600 Hujung Minggu ini! Siapa Akan Bergelar Juara?

  • Warta Roda

    Pelajar Calon SPM Maut, Motosikal Yang Ditunggang Terbabas

  • Model Baru

    Honda BeAT Versi Terbaru Dilancarkan - RM6,090

  • Model Baru

    Rieju Xplora 557 dan 707, Model 'Crossover' Baru dari Sepanyol.

  • Dari Litar

    WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Nyaris Dihanyut Banjir

JITRA: Seorang penunggang motosikal berjaya diselamatkan orang ramai daripada dihanyutkan arus deras di Kampung Manggol, Malau.

Model Baru

Benelli Tampilkan Leoncino Bobber 400 Serba Baru

Terbaru, Benelli Eropah telah melancarkan Leoncino Bobber 400 serba baru dan ia adalah model sulung yang berkonsepkan 'cruiser' yang memang cukup lawa!

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.