Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 12 September 2021

Yamaha NVX 155 - Berprestasi & Canggih

Pasaran motosikal di seluruh dunia ternyata semakin meluas dengan pelbagai segmen motosikal yang berlainan seperti superbike, street bike, touring bike, easyrider, moped dan automatik. Jika kita lihat, di Malaysia penggunaan jentera moped masih mendominasi di jalan raya. Lain pula di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia di mana penggunaan dan pasaran jentera skuter jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan moped.

Namun, motosikal automatik atau lebih dikenali sebagai skuter memang sebuah jentera yang tidak lagi asing buat para pecinta dua roda di negara ini pada masa kini. Sedikit demi sedikit para pengeluar motosikal mula menghasilkan jentera automatik yang bukan sahaja berkuasa malah lebih menarik dan cantik. Semakin banyak pengeluar mula bangunkan jentera skuter, ada yang jenis biasa mahupun adventure.

Skuter sememangnya sebuah model yang mudah untuk ditunggang ke mana sahaja. Keseronokannya dapat kita rasakan apabila menunggang sebuah skuter semasa membuat perjalanan jauh, bersiar-siar, dalam kawasan bandar atau melalui di kawasan trafik yang sesak. Tidak perlu bersusah payah untuk menukar kedudukan gear atau menggunakan sistem klac. Pulas sahaja pendikit, jentera akan meluru ke hadapan dengan pantas.

Di Malaysia, Yamaha antara penyumbang terbanyak jentera automatik. Antara model-model skuter yang dapat kita lihat seperti Ego, Ego S, Ego LC, Ego Solariz, Ego Avantiz, Nouvo, Nouvo S, Nouvo LC, NMax 155, XMax 250 dan NVX 155. Pada tahun 2016, Yamaha NVX mula dipertontonkan di litar Antarabangsa Sepang bersempena perlumbaan MotoGP di Malaysia di mana majlis pelancaran disempurnakan oleh pelumba lagenda MotoGP, Valentino Rossi.

Model ini mula memasuki pasaran negara sekitar tahun 2017. Di Malaysia dan Vietnam, model tersebut diberi nama NVX 155. Lain pula di Thailand dan Indonesia yang digelar sebagai Aerox. Sejak pelancarannya, NVX 155 mula mendapat tempat di hati para penunggang tempatan. Hari demi hari model ini mula kelihatan di mana-mana sahaja. Untuk terus berdaya saing dalam pasaran jentera automatik, Hong Leong Yamaha Motor sekali lagi telah memperkenal model NVX 155 dengan rekaan yang serba baru sebagai model 2021. Jentera ini bukan sahaja menawarkan rekabentuk yang mantap, malah ia juga merupakan sebuah skuter yang cukup canggih, anggun dan inovasi.

Bagi pasaran Malaysia, Yamaha NVX 155 2021 ditawarkan dalam dua varian iaitu versi standard dan versi ABS. Apa yang membezakan kedua-dua varian tersebut tidaklah begitu ketara. Dari segi rekabentuk keseluruhan dan spesifikasi enjinnya masih lagi sama. Namun, apa yang boleh didapati pada versi ABS seperti sistem kunci pintar, saspensi belakang dengan sub-tank, sistem ABS dan sistem Stop & Start (semua ini tiada dalam versi standard). Untuk sesi tunggang uji kali ini, kami diberi model Yamaha NVX 155 (versi ABS).

Dari jauh kita dapat kenal ia adalah Yamaha NVX 155 dengan memiliki bentuk badan yang tegap, garang serta lebar. Bahagian hadapannya mantap! Rekaan fairing hadapan yang aerodinamik mengetengahkan DNA Super Sport.

Skuter ini tampak lebih gah dengan penggunaan lampu utama jenis LED yang turut disertakan dengan lampu siang (DRL). Pencahayaannya amat terang dengan warna putih untuk tunggangan di laluan gelap, dalam terowong dan waktu malam. Jentera ini juga dilengkapi dengan lampu belakang jenis LED yang lebih baik dan sporty. Terdapat lampu kecemasan yang boleh dihidupkan menerusi suis yang terdapat di bahagian bar hendal sebelah kanan.

Pelananya yang berketinggian 790mm amat mudah dipanjat buat penunggang wanita atau lelaki. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di atasnya, pelananya cukup empuk dan lembut. Pasti tidak terasa kebas di bahagian punggung ketika menunggang jauh. Untuk memudahkan pergerakan, terdapat ruang simpanan bawah pelana yang muat diisi dengan barang keperluan untuk dibawa mengembara atau ke tempat kerja. Ruangan ini juga mampu memuatkan sebuah topi keledar open face atau full face.

Di hadapan terdapat ruangan kecil yang lengkap dengan soket elektrik 12V. Kita boleh meletakkan barangan kecil seperti kunci dalam ruangan tersebut. Namun, kami cuba untuk meletakkan telefon bimbit atau dompet, tetapi ianya tidak muat.

Untuk tujuan keselamatan, NVX versi ABS ini dilengkapi dengan sistem kunci pintar yang merangkumi sistem penggera anti kecurian, serta sistem Answer Back bertujuan untuk mengenal pasti kedudukan tempat parking motosikal dengan mudah. Sistem ini sangat bagus kerana apabila kita tidak menetapkan posisi kunci pada penunjuk ‘Off’, jentera akan berbunyi ketika kunci berjauhan daripada motosikal.

Sebaik sahaja putar suis kunci utama, paparan meter LCD penuh barunya cukup menarik. Ia memaparkan segala info buat penunggang seperti putaran rpm, tahap kelajuan, tahap bahan api, bateri, v-belt, lampu servis, VVA, masa dan jarak perjalanan. Apa yang menarik, panel meter ini juga diserasikan dengan aplikasi Y-Connect di mana pemilik boleh menghubungkan telefon pintar mereka dengan motosikal. Antara kelebihan yang terdapat pada aplikasi Y-Connect ini adalah pemeriksaan minyak enjin, notifikasi, jadual servis, kuasa bateri, penggunaan bahan api (harian, bulanan & tahunan) dan mengenal pasti lokasi motosikal. Boleh dapatkan aplikasi ini di Google Play bagi pengguna android manakala untuk IOS di App Store.

NVX dijana dengan enjin 155cc, silinder tunggal, SOHC dengan sistem penyejuk cecair. Jentera yang hadir dengan sistem Variable Vale Actuation mampu menghamburkan kuasa maksimum 11.3kW (15.4PS) pada 8,000rpm dan torknya 13.9Nm (1.4 kgf.m) pada 6,500rpm. Lampu VVA akan menyala pada paparan meter apabila putaran rpm mencapai 6,000rpm. Teknologi BLUE CORE pula mampu meningkatkan kecekapan bahan api, pecutan kuasa lebih efisien serta penjimatan bahan api.

Sistem Stop & Start hanya boleh didapati dalam versi ABS. Sistem ini juga turut menyumbang dari segi penjimatan bahan api semasa motosikal berhenti. Putaran enjin akan kembali hidup sebaik sahaja pendikit dipulas semula. Sistem ini boleh di On/Off melalui suis di bar hendal sebelah kanan yang ada huruf ‘A’.

Memerah tenaga NVX ini cukup mengujakan. Respon di antara pendikit dan enjin yang tepat memudahkan kami untuk memintas kenderaan di hadapan. Model Yamaha ini boleh memecut sekitar 130km/j. Kami yakin jentera ini boleh dipecut dengan lebih lagi.

Ketegaran kerangka jenis backbone mampu memberikan tindak balas ketika menolak dan menarik jentera ini. Sifat lincahnya cukup menyeronokkan apabila tiba di kawasan berselekoh. Sewaktu memiringkang jentera ini, saspensi belakang dengan sub-tank bekerja dengan baik sekali. Jentera langsung tak berbuai. Pengambilan selekoh yang sempurna turut disumbangkan dengan penggunaan tayar-tayar bersaiz 110/80-14M/C 53P (depan) dan 140/70-14M/C 62P (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan baik. Walaupun membawa pembonceng, NVX terus berada di laluannya dengan yakin dan tepat.

Sehebat mana pun sesebuah motosikal itu, faktor keselamatan perlu diutamakan terlebih dahulu. Sistem keselamatan NVX ini diperkemaskan dengan penggunaan brek hadapan jenis cakera tunggal hidraulik dan belakang jenis gelendong. Walaupun memecut dengan laju, kami dapat memberhentikan jentera ini dengan selamat. Ditambah pula sistem ABSnya (versi ABS) telah bekerja keras agar tayar hadapan tidak mudah terkunci apabila membrek dengan keras.

Seiring dengan pujian pada prestasinya, kadar penggunaan bahan api untuk mesin automatik ini boleh dikatakan jimat juga. Kapasiti tangki minyak telah dipertingkatkan daripada 4.6 liter kepada 5.5 liter. Kami mampu menunggang jentera ini sekitar 200 kilometer dengan isian penuh bahan api. Gaya tunggang dan permukaan jalan juga memainkan peranan dari segi penjimatan dalam penggunaan petrol. Sama seperti skuter-skuter yang lain, tempat untuk mengisi minyak terletak di bahagian tengah antara bar hendal dan pelana.

Secara keseluruhan, Yamaha NVX 155 sesuai sebagai sebuah jentera harian. Boleh ditunggang pada bila-bila masa sahaja. Model ini juga amat sesuai buat mereka tidak kira golongan dan peringkat umur.

NVX ditawarkan pada harga yang disyorkan RM8,998 (versi std) dengan dua pilihan warna iaitu Merah dan Cyan. Manakala bagi versi ABS dijual pada harga RM10,998 (Platinum SE & Biru GP) tanpa pendaftaran dan insurans. Selain menerima waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu), pemilik jentera ini juga akan menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM100 secara percuma. RR

Isu Pada

September 2021

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, SOHC, 4-lejang, 4-injap, sistem penyejuk cecair
Isipadu155cc
Kuasa maksimum11.3kW (15.4PS) pada 8,000rpm
Tork maksimum13.9Nm (1.4 kgm.f) pada 6,500rpm
Brekcakera tunggal, ABS (versi ABS) - depan & gelendong (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak berkembar, sub tank (versi ABS) - belakang
tinggi pelana790m
P x L x T1,980mm x 700mm x 1,150mm
Isi tangki5.5 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.