Royal Alloy TG250S ABS - Gaya, Elegen & Berprestasi Tinggi
Selepas berpuas hati dengan model GP180, kami diberi peluang untuk melompat ke atas model yang lebih bertenaga iaitu Royal Alloy TG250S. Model ini turut sama menawarkan rekabentuk skuter retro dan ditawarkan pada harga atas jalan RM23,719 (termasuk cukai jalan, nombor pendaftaran dan insurans). Ya.... hampir sekali ganda lebih mahal berbanding GP180. Tapi jujur kami katakan, memang berbaloi!
TG250S adalah singkatan buat Tigara Grande, bahasa suku kaum Inuit yang bermaksud 'Big Point'. Suku kaum Inuit berasal dan menetap di wilayah Artik seperti Greenland, Kanada dan Alaska. Model ini didatangkan dalam dua warna iaitu Burgundy Red-Ivory dan Pewter Grey-Ivory yang merupakan antara kombinasi warna paling tepat dengan konsep dan gaya skuter ini.
Bagi mereka yang sukakan gaya hidup retro, kunjungi ibu pejabat Royal Alloy yang beroperasi di Taman Perindustrian Tiong Nam. Lihat sendiri dan tidak mustahil, anda juga akan jatuh cinta.
Model yang diuji ini (Burgundy Red-Ivory) menawarkan gabungan warna merah hati dan warna putih cream yang betul-betul anggun. Tidak kira ke mana sahaja kita pergi, semua mata akan tertumpu padanya. Macam film star tau!
Lampu utamanya berbentuk bulat dan dikemaskan dengan lingkaran krom yang turut disempurna pada bahagian rak besi di belakang, pelindung ekzos, lampu isyarat belakang dan saluran udara di depan tetapi sayangnya cermin sisi depan tidak pula berwarna krom. Terdapat ruang barang di bahagian depan berkunci yang bersaiz sederhana lengkap dengan port USB dan dipasangkan juga tempat menyangkut yang cukup praktikal untuk kita sangkutkan barang-barang basah. “Teh ais ikat tepi satu!”
Pelana TG250S ini boleh dibuka dengan menekan butang kecil di sebelah kiri. Tiada apa-apa ruang di bawah pelana kecuali tangki petrol bersaiz 10.5 liter. Madgad depan direka cukup besar berbanding GP180 yang lebih nipis. Apa pun, bahagian depan kedua-dua model TG dan GP memang berbeza. Sekali tengok memang nampak sama tapi ia berlainan sekali. Selain itu, model ini juga didatangkan dengan meter TFT yang berpaparan kemas dan terang.
Posisi menunggang Royal Alloy ini natural tetapi pelananya yang agak nipis berbanding GP180 yang dirasakan lebih empuk. Bagi penunggang yang tinggi, ruang kaki mungkin dirasakan agak sempit. Caranya ialah dengan mengubah posisi ke belakang sedikit agar lutut dapat diluruskan. Naik berdua susah sikitlah sebab ruang agak terhad. Namun begitu, masalah ini tidak mengganggu penunggang bersaiz biasa.
Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi yang terhasil cukup senyap dan segar. Apa yang mengagumkan ialah tenaga yang ditawarkan oleh skuter ini. Memang power! Dengan kuasa setinggi 15.9kW pada 8,000rpm dan tork 21.0 pada 6,500rpm, TG250S meluncur dengan pantas sekali. Suatu detik yang tidak dijangka sama sekali. Never judge a book by its cover.... - memang setuju dengan kata-kata popular tu.
Bukan kami saja terkejut dengan pecutan skuter ini malah penunggang motosikal lain juga tidak terkecuali. Nampak macam skuter 'lama’ tapi bila kita pulas pendikit, dia punya lari dah macam lipas kudung. Bila kami kongsikan ia bersesaran 250cc, riaksi mereka memang mengujakan.
Royal Alloy ini memang mudah digemari oleh peminat jentera automatik di negara ini kerana ia laju dan cukup tegap. Dengan berat 152kg, TG ini tidaklah begitu melayang-layang ketika berada di atas lebuhraya yang turut dikongsi bersama kenderaan berat. Keadaan ini amat berbeza dengan pengalaman kami sewaktu menunggang GP180 yang agak melayang apabila dihentam angin kuat daripada bas atau lori tetapi dengan TG ini, kita lebih stabil.
Dengan enjin yang lebih mantap, skuter ini dapat dipecut hingga 130km/j dengan mudah – amat penting untuk kita larikan diri jika berada berdekatan dengan lori-lori besar. Dengan isian penuh tangki 10.5 liter (sama seperti model GP), kami dapat menikmati perjalanan lebih daripada 150 kilometer walaupun ditunggang dengan macam-macam gaya di macam-macam tempat. Puas!
Keunikan rekabentuk Royal Alloy turut digemari oleh penunggang dan peminat motosikal wanita. Rata-ratanya minat dengan warna merah dan sememangnya jentera ini juga sesuai untuk golongan hawa. Anda pasti nampak super cute dengan Royal Alloy tambah pula jika mengenakan pakaian yang sesuai. Jaket denim atau kulit, dipadankan dengan jeans berwarna gelap dan topi keledar gaya retro yang juga dijual di ibu pejabat Royal Alloy pada harga berpatutan.
Untuk membawanya ke laluan berbukit dan berselekoh, TG ini memang lebih menyeronokkan. Kita tidak perlu fikirkan untuk bermain gear – pulas pendikit, dapat posisi sesuai dan kawal pergerakan dengan brek. Model ini didatangkan dengan sistem brek cakera di depan dan belakang beserta sistem ABS Bosch. Ia bertindak cukup baik membantu tayar-tayar (110/70-12 depan / 120/70-12 belakang) untuk berada di laluan dengan selamat. Dengan kuasa enjin yang dimilikinya, tanah tinggi dapat didaki tanpa bersusah payah.
Kami dapati fork hadapannya agak keras sewaktu menyerap hentakan jika kita membrek dengan kuat (terasa juga gegaran di bahagian lengan) tetapi mujurlah penyerap hentak belakang memberikan respon yang cemerlang. Bak yang kami katakan awal tadi, model ini memang banyak kali berikan kejutan. Ia nampak 'lama' tapi tawarkan kepuasan jentera moden.
Secara keseluruhannya, Royal Alloy TG250S ini memang berbaloi untuk dimiliki. Ciri-ciri menarik seperti panel meter TFT, sistem brek ABS, kombinasi warna mewah dan prestasi enjin yang mengagumkan memang sesuai benar dengan harga yang ditawarkan. Jika minat dengan gaya hidup retro, jangan buang masa lagi. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, empat lejang, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 244cc |
Kuasa maksimum | 15.9kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 21.0Nm pada 6,500rpm |
Brek | cakera |
Tayar | 110/70-12 (depan) & 120/70-12 (belakang) |
Berat | 152kg |
P x L x T | 1,845mm x 670mm x 1,115mm |
Isi tangki | 10.5 liter |
Pengedar | Royal Aloy Malaysia |
Popular