Suzuki V-Strom 650XT - Seronok Untuk Kembara, Sesuai Untuk Bersantai
Selepas sekian lama menyepi, akhirnya Suzuki Malaysia kembali ke pasaran negara dengan 'pasukan' pengurusan serba baru. Hakikatnya peminat Suzuki memang ramai tetapi kewujudan jentera jenama ini di pasaran masih samar-samar. Untuk menangani masalah itu, tugas 'pasukan' baru ini adalah untuk memperkenalkan semula jenama Suzuki kepada para pencinta motosikal tanahair dengan barisan produk-produk yang mantap.
Model yang diuji ini adalah sebuah jentera pengembaraan yang memiliki spesifikasi mantap dan ia adalah Suzuki V-Strom 650XT. Bila bercerita tentang model XT maka perbezaannya berbanding model biasa ialah rim berjejari, pelindung tangan dan pelindung enjin.
Okay. Kali terakhir kami uji model V-Strom ialah kira-kira tiga tahun yang lalu. Unit itu diuji ke pelbagai jenis laluan dari Kuala Lumpur hinggalah ke Cameron Highlands dan ia adalah perjalanan yang sangat menyeronokkan. Tidak mungkin dapat kami lupakan keselesaannya, tahap pecutannya dan tahap pengendaliannya.
Dari segi posisi menunggang memang tidak ada banyak bezanya. Tangki model baru ini lebih ramping tetapi masih kekal pada saiz 20 liter. Lampu utamanya kekal dengan konfigurasi menegak serta masih menggunakan mentol halogen sedangkan lampu belakang jenis LED – alangkah baiknya jika lampu utamanya ditukar kepada yang lebih moden, LED. Baru boleh bersaing dengan model-model lain!
Panel meter masih mengekalkan penggunaan meter digital + meter analog. Meter analog menunjukkan putaran rpm manakala info-info lain seperti tahap kelajuan, posisi gear, trip, jarak perjalanan, pilihan sistem TC, suhu dan tahap bahan api dipaparkan menerusi panel meter digital. Seperti model sebelum ini, V-Strom 650XT baru lengkap dengan sistem elektronik yang agak asas seperti Suzuki Advanced Traction Control, Easy Start, Low RPM Assist dan sistem ABS.
Dengan adanya sistem Easy Start, kita hanya perlu tekan suis penghidup sekali sahaja (satu sentuhan) untuk menghidupkan enjin. Tak perlu lagi tekan lama-lama suis penghidup macam biasa. Tongkat sisi kita angkat, masuk gear 1 dan mulakan perjalanan. Sistem transmisi cukup lembut dan dengan penggunaan Low RPM Assist, pergerakan jentera ini dalam kelajuan rendah sangat lancar – memang best!
Jantung V-Strom ini bersesaran 645cc dengan kuasa hantaran 66hp pada 8,800rpm dan tork 60.3Nm pada 6,400rpm. Kekuatan enjin dua silinder v-kembar memang seronok kita gunakan pada gear-gear pertengahan. Dalam kedudukan gear keempat khususnya, V-Strom ini dapat dipecut mencecah 160km/j pada kedudukan hampir garisan merah atau 10,000rpm dan dalam gear tertinggi, ia boleh ditunggang pada kelajuan maksimum 190km/j.
Dalam kelajuan sebegini (150-190km/j), pengendalian langsung tidak mengecewakan. Kita dapat mengubah posisi dengan mudah, dapat kekal berada di laluan selekoh panjang dengan cukup yakin dan apabila ingin memintas kenderaan lain, pulas sahaja pendikitnya. Kita terus meluru ke hadapan tanpa gangguan. Kombinasi ringan dan tegar yang terdapat pada kerangka spar-kembar aluminium memang unik dan bijak. Ia adalah penyumbang utama mengapa pengendalian jentera ini cukup menyenangkan.
Untuk model XT, bahagian bar pemegang didatangkan dengan pelindung tangan (knuckle cover) yang bertujuan untuk melindungi tangan daripada angin dan sebarang jenis impak. Bagi rakan-rakan yang berjari panjang, kita dapati agak sukar juga untuk regangkan jari (jikalau lenguh dalam perjalanan jauh). Jari pasti akan terkena knuckle cover – kalau boleh biarlah luas sedikit.
V-Strom disempurnakan dengan gabungan sistem suntikan bahan api Suzuki Throttle Valve (SDTV) dan teknologi Dual Spark yang membantu pembakaran menjadi lebih sempurna. Tidak akan terasa hantaran kuasa hadir dengan tiba-tiba atau secara mendadak jika kita membuka pendikit dengan lebih agresif. Walaupun boleh dipecut hampir 200km/j, kelajuan paling ideal dan selesa ialah sekitar 130-140km/j. Dalam kelajuan ini kita dapat membuat penilaian dan jangkaan keadaan jalan atau trafik lebih rasional.
Perjalanan yang kami lakukan meliputi kawasan-kawasan luar bandar, tepi sungai dan laut yang cukup bersih yang nyaman. Dengan pelaksanaan PKP, pergerakan orang awam terbatas, kurang pencemaran dan alam sekitar nampaknya lebih sihat. Sistem saspensi yang dimiliki oleh Suzuki ini boleh diberi pujian. Penyerap hentak belakang dilengkapkan dengan pelaras lantunan yang kita boleh ditala dengan tangan tahap penyerapan lantunan tanpa menggunakan perkakas.
Masih dalam bab pelarasan, cermin pengadang angin Suzuki ini boleh diubah kepada tiga ketinggian mengikut kesesuaian penunggang itu. Cermin pengadang angin ini 9mm lebih tinggi berbanding yang lama manakala bentuknya pun diubah sedikit untuk lebih selesa. Namun begitu, kami lebih suka jika pelarasannya dapat dibuat tanpa perlu menggunakan 'Allen Key' – pengembara motosikal sentiasa mahukan apa juga sistem yang sangat mudah dan praktikal.
Selepas puas menunggang solo, tibalah masanya membawa pembonceng. Terima kasih V-Strom! “Memang sedap dan selesa sungguh,” kata Si Pembonceng. Komen ini kami terima selepas bermain gear-gear awal, lalu jalan 'kona-kona' dan cuba beberapa kali dalam kelajuan maksimum. Ini juga maklum balas yang kami terima ketika menguji model 2018 dulu ke Cameron Highlands.
Suzuki V-Strom XT dilengkapkan dengan tayar-tayar tanpa tiub bersaiz 110/80R 19M/C (depan) dan 150/70R 17M/C di belakang. Prestasi tunggangan di jalan raya, laluan lasak, berpasir atau basah dapat dipermantapkan dengan adanya sistem Advanced Traction Control 3 Tahap (TC1, TC2 dan TC Off). Jalan biasa gunakan TC1, kalau hujan atau licin, sila tekan TC2 dan bagi 'abang-abang' offroad yang berpengalaman, boleh matikan sistem TC ini untuk laluan lasak. Suzuki juga melengkapkan jentera dengan sistem brek cakera yang mantap beserta sistem ABS. Memang selamat asalkannya janganlah terlalu teruja atau terlebih yakin.
Kami dapat menikmati perjalanan lebih daripada 260 kilometer dengan satu isian penuh tangki 20 liter – boleh tahan jimat. Jika diberi ruang untuk memberi cadangan, kami berharap model kembara berenjin sederhana turut dikemaskan dengan teknologi dan aksesori lebih moden seperti Auto Cruise, Leaning Sensor, lampu utama LED/DRL, Riding Mode, Cornering Light, sistem Quick Shifter dan panel meter TFT.
Ok.. Suzuki V-Strom 650XT didatangkan dalam tiga warna iaitu Candy Daring Red / Glass Sparkle Black dan Champion Yellow dengan harga asas RM37,989. Memang agak jauh lebih murah berbanding sebelum ini yang dijual pada harga RM44,900. Jadi... apa tunggu lagi! Lawati Suzuki Big Bike World dan Suzuki Station Plus di seluruh negara atau layari http://www.suzuki.com.my untuk maklumat lanjut. RR
Spesifikasi
Enjin | 2 silinder, 4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isi padu | 645cc |
Kuasa maksimum | 66bhp pada 8,800rpm |
Tork maksimum | 60.3Nm pada 6,400rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
P x L x T | 2,275mm x 910mm x 1,404mm |
saspensi | fork teleskopik (depan) & lengan ayun dengan spring pra-beban (belakang) |
Tayar | 110/80R19M/C (depan) & 150/70R17M/C (belakang) |
Isi tangki | 20 liter |
Pengeluar | Suzuki Malaysia Sdn Bhd |
Popular