Yamaha XSR900 - Motor Lama Dirasa Baru
Sebagai salah satu pengeluar motosikal utama dunia, Yamaha sentiasa berusaha menghasilkan pelbagai varian motosikal agar menetapi citarasa jutaan peminat motosikal di seluruh dunia. Antara ciptaan yang berjaya menarik perhatian ialah model XSR900. Ia adalah sebuah jentera neo-retro yang memiliki spesifikasi enjin dan sistem elektronik cukup moden.
Secara ringkasnya, model ini bermula dengan siri XS-1 yang diperkenalkan pada tahun 1970 yang lalu dengan menampilkan enjin bersesaran 654cc dan apabila terbukti ia mendapat sambutan, pengeluaran untuk siri ini diteruskan dengan penambahan ciri-ciri lebih moden dari masa ke semasa.
Pada tahun 2016, Yamaha memperkenalkan pula dua model terbaru iaitu XSR 700 dan XSR 900 yang direka berasaskan model asal iaitu XS 650. XSR700 didatangkan dengan platform sama seperti MT-07 iaitu berenjin 700cc, kembar parallel, dua silinder DOHC.
Yamaha XSR menawarkan enjin 847cc, konsep crossplane, sistem penyejuk cecair DOHC, 3 silinder sebaris seperti yang digunakan pada model MT-09. Enjin mantap ini mampu menjanakan kuasa setinggi 115hp pada 10,000rpm dan tork 88Nm pada 8,500rpm. Sayangnya model ini tidak sepopular MT-09 di Malaysia dan mungkin kerana ia tidak dipasarkan oleh pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).
Walaupun begitu, pihak HLYM ternyata mempunyai unit XSR900 yang digunakan untuk tujuan pameran dan apabila RR mendapat peluang untuk merasai sendiri prestasi jentera ini, ia bagaikan 'Bulan Jatuh Ke Riba'.
Unit yang diuji ini ialah versi '60th Anniversary' yang menampilkan rekacorak 'Speed Block' kuning/hitam yang dipopularkan oleh bekas pelumba terkenal, Kenny Roberts pada era 1970an lalu. Untuk disesuaikan dengan skima warna itu, Yamaha telah menggunakan fork hadapan jenis terbalik berwarna emas yang benar-benar menonjol.
Ketika menghasilkan jentera ini, Yamaha berharap agar model ini dapat menarik minat pencinta motosikal neo-retro yang semakin hari semakin besar jumlahnya. Namun begitu, XSR900 juga perlu diseimbangkan dengan teknologi moden yang menjadi 'benda wajib' buat pengguna motosikal sekarang ini.
Oleh itu, XSR900 ini hadir dengan tiga mod tunggangan (A, Standard dan B), sistem traction control dan sistem ABS.
Pelananya memang cukup sesuai untuk ketinggian purata penunggang motosikal di Malaysia. Bagi yang tinggi lampai, kaki anda akan dapat diletakkan atas jalan raya dengan sempurna. Bagi yang agak rendah, jangan risau... XSR ini tidak terlalu berat dan lincah, anda akan dapati ia mudah untuk dibaringkan ke kiri dan ke kanan.
Sebagai jentera retro, Yamaha telah menyempurnakan XSR ini dengan ciri-ciri motosikal lama seperti rekabentuk bulat pada bahagian lampu utama, lampu belakang dan panel meternya. Panel meter digital yang dipasang pada XSR ini jelas dan terang sekali. Susun aturnya yang kemas memudahkan kami melihat segala info dan membuat talaan.
Ketenangan awal pagi bagaikan disapa kawan lama sebaik sahaja kita menekan suis penghidupnya. Bunyi yang terhasil daripada muncung ekzos Yamaha ini sangat sedap. Bergema dengan cukup padu tetapi tidak kuat dan menjengkelkan. Kalau tanya kami, tak perlu lagi nak tukar ekzos! “Standard itu indah!”
Oleh kerana sudah tidak ada larangan merentas daerah, kami memilih untuk ke laluan berselekoh panjang/pendek semestinya ke Genting Highlands.
Hujan di sebelah malam membuatkan permukaan jalan masih basah dan licin. Dengan adanya Yamaha's Chip Controlled Throttle (YCC-T), jentera ini memiliki tiga mod tunggangan dengan karaktor yang berbeza. Untuk disesuaikan dengan cuaca, kami memulakan perjalanan dengan menggunakan Mod B yang menghasilkan tindak balas di antara pendikit dan enjin yang lebih lembut - tidak terlalu cepat. Dengan hantaran kuasa yang terkawal/rendah, pergerakan jentera ini di dalam hujan lebih terjamin. Kami juga memilih sistem TC di tahap 2 untuk lebih yakin.
Posisi menunggang yang tegak dan natural membuatkan kita dapat mengendalikan jentera gaya retro ini dengan tenang. Bahagian pinggang langsung tidak terasa lenguh manakala bar hendalnya (aluminium) yang lebar memberikan pengendalian yang mantap.
Sebaik mendapati laluan telah kering, tutup pendikit dan tekan suis talaan untuk menukar Mod Tunggangan dari B ke Standard. Perubahan karaktor enjin sangat jelas. Ia memecut lebih cepat dan nikmat enjin CP3 847cc sangat mengujakan. Dalam gear keempat jentera ini boleh dipecut mencapai 160km/j dengan mudah.
Apa yang sedikit mengganggu ialah pada bahagian hadapannya yang bergoyang-goyang apabila kelajuan melebihi 130km/j. Dua tiga kali kami pecut... dua tiga kali juga hal ini berlaku sehinggalah kami menukar posisi/gaya menunggang dengan memberikan lebih bebanan di bahagian hadapan. Untuk makluman, kelajuan tertinggi yang dapat kami capai dengan XSR900 ini ialah sekitar 215km/j.
Panel meter LCD yang dimiliki oleh model ini memaparkan pelbagai maklumat seperti meter kelajuan, penunjuk rpm (tachometer), posisi gear, sistem TC, mod tunggangan, suhu enjin, tahap bahan api, trip, jarak perjalanan, jam dan purata penggunaan bahan api.
Seperti MT-09, model retro ini juga dilengkapkan dengan mod ECO yang akan dipaparkan apabila jentera ini berada di dalam tahap putaran enjin yang ideal. Jika kita menunggang lebih lama dalam kelajuan lingkungan mod ECO, pasti kita dapat lebih jarak untuk isian penuh tangki bersaiz 14 liter.
Kerangka aluminium berasas jentera sport direka untuk model ini bagi memberikan respon yang lebih tepat dan pergerakan yang lincah khususnya di laluan berselekoh tajam. Satu persatu selekoh-selekoh di Karak – Genting Highlands dapat dilalui tanpa ragu-ragu.
Walaupun hantaran kuasa XSR900 ini lebih mantap apabila kami menggunakan Mod A, sistem slipper clutch sangat membantu agar tayar belakang tidak terkunci ketika menurunkan kelajuan dengan agresif. Sistem Assist & Slipper Clutch yang terdapat pada model ini juga menjadikan tuas klac lebih lembut – tidak meletihkan tangan walaupun rajin menukar-nukar gear.
Tidak dinafikan casis yang kompak memudahkan dan menambah keyakinan sewaktu mengawal setiap pergerakan jentera ini. Tidak disangka XSR900 sesedap ini! Miringkan sahaja sedalam mana dan buka pendikit dengan bijak, sekejap sahaja kita dah sampai ke puncak! XSR dipadankan dengan fork hadapan jenis terbalik 41mm manakala pergerakan di belakang dikawal oleh penyerap hentak tunggal dengan pra-beban boleh laras.
Motor dah power, sistem pertahanan mestilah kena power kan? Untuk memperlahankan kelajuan XSR ini dengan cepat dan selamat, brek depan (2 x cakera 298mm) dan belakang (1 x cakera 245mm) dilengkapkan dengan sistem ABS.
Perjalanan menuju ke Pahang memang mendamaikan. Kita dapat menikmati laluan berselekoh sepanjang lebuhraya Karak, dapat menguji tahap pengendalian di laluan berliku di Genting Highlands atau di Bukit Tinggi dan boleh juga memecut di laluan lurus dengan selamat. Pelana yang empuk dan posisi menunggang yang natural membuatkan kita tak lenguh pinggul walaupun telah lalui perjalanan yang lebih daripada 200 kilometer ini sungguh memuaskan hati.
Walaupun begitu, tiada ciptaan yang sempurna kan? Apa yang dirasakan 'tiada' pada XSR900 ini antaranya ialah sistem cruise control, lampu depan LED dan pasti sangat 'syiok' kalau ia dilengkapkan dengan sistem quick-shifter.
Nak tahu? Selepas beberapa tahun menunggu, Yamaha Motor telah melancarkan model XSR900 2022 untuk pasaran Eropah. Model baru itu telah dimajukan dengan pesat sekali dan apa yang dahulunya tidak lengkap, kini telah lebih sempurna.
Okaylah, kami kongsikan sedikit. Antara penambahbaikan yang telah Yamaha lakukan ialah lampu-lampu LED, panel meter TFT, sistem elektronik lebih canggih, enjin lebih mantap dan banyak lagi! Nantikan info lebih terperinci mengenainya ya!
Hakikatnya model yang diuji ini tidak berada dalam pasaran negara tetapi jika ianya dijual, harga untuk XSR900 adalah di antara RM60,000 hingga RM65,000 (unit CBU). Jika ianya model CKD dan dijual seiringan dengan MT-09 dan MT-07, kami pasti XSR900 turut mendapat sambutan hangat.
Mungkin pihak Hong Leong Yamaha Motor ingin memperkenalkan model XSR dengan saiz enjin lebih kecil... sesuai dengan kebanyakan peminat motosikal di Malaysia? Kita tunggulah pengumumannya nanti, jika ada..... RR
Spesifikasi
Enjin | 3 silinder crossplane, DOHC, 4 lejang, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 847cc |
Gerek x Lejang | 78.0mm x 59.1mm |
Nisbah mampatan | 11.5:1 |
Transmisi | 6 kelajuan |
Tayar | 120/70ZR17 (depan) & 180/55ZR17 (belakang) |
Saspensi | fork USD 41mm (depan) & penyerap hentak tunggal dengan pra-beban boleh laras (belakang) |
P x L x T | 2,075mm x 815mm x 1,140mm |
Berat | 195kg |
Tinggi pelana | 830mm |
Popular