BMW R 18 B First Edition - Mantap dan Bergaya
Setahun yang lalu, BMW Motorrad menunjukkan keperkasaan untuk menentang pandemik global dengan memperkenalkan model pertama keluarga Cruiser selepas sekian lama. BMW suatu ketika dulu telah pun menampilkan model R1200C Custom yang bertahan sehingga tahun 2004.
Memandangkan permintaan untuk jentera Cruiser mendominasi pasaran motosikal di USA, (nombor 1 di negara Barat), CEO BMW Motorrad, Markus Schramm merasakan BMW perlu bersaing dalam sektor ini. “Kami tidak akan meniru mana-mana model cruiser lain tetapi akan perkenalkan jentera mantap mengikut citarasa dan gaya kami sendiri. Ia perlu rekaan yang tulen BMW.”
Model BMW R 18 Big Boxer Cruiser dan R 18 Classic memasuki produksi tahun lepas dan sejak pengeluarannya, ia telah mendapat riaksi yang sangat positif dengan jumlah penjualan yang baik. Menurut Schramm, sebanyak 4,000 unit telah dijual di seluruh dunia khususnya di USA, China dan Jerman.
Kini hadir pula model baru iaitu R 18 B (B untuk Bagger) dan R 18 Transcontinental yang merupakan sebuah jentera kembara.
Saya berkesempatan menunggang uji R 18 B di laluan yang cukup cantik di Jerman dengan jarak keseluruhan sekitar 155 kilometer melalui kawasan bukit-bukau dan lembah di Pergunungan Taunus yang terletak di utara Frankfurt. Sesi tunggangan uji itu bukan sahaja telah memberi kita info serta kesungguhan BMW untuk 'bermain' di pasaran cruiser dengan jentera 'bagger' yang lain daripada yang lain.
BMW tidak mengikut rentak pengeluar lain yang menggunakan enjin v-kembar sebaliknya kekal dengan ‘akar’ serta DNA asal iaitu enjin Big Boxer. Paling menarik, model cruiser ini menggunakan enjin Boxer paling besar pernah dihasilkan oleh BMW. BMW telah mengesahkan model ini berada dalan segmen 'Cruising Touring'.
Geometri telah direka semula agar lebih mudah dikendalikan dalam kelajuan tinggi. Klac perlu lembut agar pergerakan jentera besar ini lancar dalam semua keadaan dan ruang tunggangan. Selekoh 'U' perlulah dielakkan kecuali ruang persekitarannya luas yang membolehkan kita memiringkan jentera ini dalam kelajuan yang sesuai. Gear undur pula boleh dikawal dengan menekan suis penghidup – gear ini amat diperlukan untuk jentera yang seberat dan sepanjang ini.
Walau bagaimana pun, pengendalian dalam kelajuan yang tinggi terbukti lebih baik daripada model R 18 biasa. Akhirnya sekali tentulah mengenai kecemerlangan tindak balas bahagian hadapan yang kini lebih mantap berbanding model asal R 18. Ini membolehkan kita mengambil selekoh dengan tenang. Saya dapat miringkannya hingga 35° ketika menikmati selekoh-selekoh di daerah Taunus. Dengan R 18, kadar miringan hanya 32°. Walaupun perbezaannya nampak kecil tetapi percayalah, ia memang sangat penting terutamanya untuk kita dapatkan rentak dalam satu perjalanan yang berjarak jauh.
Pelana R 18 B setinggi 720mm (30mm lebih tinggi daripada R 18) – lebih selesa walaupun untuk jentera cruiser berenjin Boxer. Tempat pemijak Mid-Mounted memberikan lebih ruang untuk bahagian lutut – tidaklah terlipat sehingga melenguhkan dan pada masa yang sama kita dapat meletakkan kaki ke tanah dengan mudah.
Seperti R 18, bar hendal jentera ini bergetar dan menari sebaik sahaja kita menekan suis penghidup untuk menggerakkan silinder-silindernya. Getaran itu kemudiannya hilang bagaikan magik apabila pendikit dipulas. Jurutera BMW mengakui mereka telah mencuba (trial and error) untuk mencari tahap getaran yang sesuai dengan kehendak para pencinta cruiser.
Sistem ekzos R 18 B nampak lebih cantik daripada model terdulu malah bunyinya juga lebih mantap. Enjin BMW ini mempunyai kekuatan yang cukup bertenaga walaupun dari kedudukan 1,500rpm dan kita perlu berada di atas 2,500rpm untuk membuat pecutan dengan pantas.
Kuasa maksimum BMW ini ialah 91bhp pada 4,750 rpm dan tork 158Nm pada 3,000rpm. Saya dapati proses penukaran gear enjin Big Boxer ini cukup lembut dan antara yang terbaik pernah BMW hasilkan – ia cepat dan tepat. Gear Neutral juga senang untuk kita dapatkan.
Terdapat gegaran di bahagian pelana apabila enjin berputar dari 4,000rpm hinggalah ke garisan merah iaitu 5,750rpm. Hakikatnya, kita tidak perlu pun menarik kekuatan enjinnya setinggi itu kerana ia adalah jentera santai dan saya dapat keadaan terbaik untuk menukar gear ialah pada 4,200rpm.
Model cruiser ini didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Rock, Roll dan Rain. Setiap mod ini memiliki talaan sistem traction dan tindak balas pendikit yang sesuai dengan kemampuannya bergerak. Kuasa enjin ketika dalam mod Rain memang sangat rendah dan ini adalah untuk keselamatan penunggang jika berada di kawasan yang basah atau licin.
Mod Roll pula lebih kurang sama dengan mod Street/Normal/Touring yang digunakan pada model-model lain manakala mod Rock lebih mirip dengan mod Sport. Dalam mod ini, kita dapat mengerahkan seluruh tenaga dengan respon pendikit yang mengagumkan. Saya lebih banyak menggunakan mod Rock dalam sesi tunggang uji ini.
Gear kelima dan keenam sesuai untuk tunggangan di lebuhraya dan apabila berada di kawasan urban atau di laluan berselekoh, saya sering gunakan gear keempat – percayalah, kuasa torknya yang kuat memudahkan kita bergerak walaupun dalam gear yang agak tinggi. Apabila berada di lebuhraya, gunakan gear keenam dan pulas pendikit pada tahap 2,800rpm dan nikmatilah pergerakan yang santai sepanjang pengembaraan.
Sistem saspensi R 18 B memang lebih baik berbanding model R 18, satu pembaharuan yang mempertingkatkan kualiti perjalanan. Saya dapat rasa sistem penyerap hentaknya bekerja dengan cemerlang sekali untuk kekal di laluan dengan kemas apabila tiba di kawasan yang perlu kita mendaki.
Meskipun ia hampir 400kg, sistem brek jenis Brembo yang dipadankan pada jentera ini sangat efisien ketika memperlahankan BMW ini dari kelajuan tinggi – saya tekan brek belakang bersaiz 300mm agak kuat untuk dapatkan kelajuan yang selamat buat R 18 B ini sebelum masuk ke selekoh. Tunggangan lebih meyakinkan apabila kita tahu jentera ini dilengkapkan dengan sistem slipper clutch yang mantap. Ia menghalang tayar belakang daripada terkunci sewaktu kita menurunkan gear dengan rancak.
Pengendalian R 18 B ini memang memberikan kita keseronokan. Benarlah apa yang dikatakan oleh Markus Schramm – misi BMW adalah untuk mengeluarkan sebuah cruiser yang lain daripada yang lain dan apa yang saya lihat, mereka telah berjaya melakukannya. Cruiser buatan Jerman ini memang sesuai untuk pelbagai jenis laluan dan pengembaraan.
Sistem Cruise Control merupakan ciri standard untuk model R 18 B dan Transcontinental tetapi untuk model yang saya uji ini, BMW tawarkan ciri baru pilihan iaitu Active Cruise Control/ACC. Sistem baru ini dikawal dengan penggunaan sensor radar yang akan mengesan kenderaan di hadapan (sistem ini beroperasi jika penunggang mengaktifkan cruise control). Jika berada dalam jarak tertentu, sistem ini akan memperlahankan kelajuan secara automatik agar motosikal terus berada dalam jarak yang selamat.
Sistem ACC ini juga berfungsi untuk mengurangkan kelajuan apabila jentera dimiringkan pada sudut tertentu dengan mengambil input daripada sensor sudut-miring. Ia adalah satu inovasi yang boleh menyelamatkan nyawa terutamanya ketika menyusuri laluan luas seperti di lebuhraya mahupun perjalanan ke kawasan tanah tinggi.
Tahniah buat para jurutera atas kejayaan melahirkan generasi baru jentera cruiser keluaran BMW dan kini kita hanya perlu menunggu apakah model-model lain yang akan dikeluarkan nanti dengan berpandukan enjin 1,802cc ini. BMW mempunyai persamaan dari segi saiz enjin dengan model Indian 1819cc Thunder Stroke 111 yang dipasangkan pada barisan model-model Chief termasuklah versi Touring dan Custom.
Apapun, tidak ada sebarang kenyataan sama ada BMW akan mengekori jejak Indian untuk mengeluarkan enjin sejukan cecair DOHC 1,133cc seperti mana yang digunakan oleh model Scout. Model tersebut dilancarkan setahun selepas pengenalan Chief dan Chieftain Big Twins. Memang menarik jika BMW turut mengeluarkan R 11 Cruiser dengan harga mampu milik yang pastinya memberi saingan buat Scout dan H-D Sportster S. Pasti pasaran akan meletup lagi! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: BMW Motorrad/Markus Jahn, Daniel Kraus dan Jörg Künstle
Spesifikasi
Enjin | sistem sejukan udara/cecair, 2 silinder, 4 lejang, Boxer |
Isipadu | 1,800cc |
Kuasa maksimum | 91bhp pada 4,750rpm |
Tork maksimum | 158Nm pada 3,000rpm |
Tayar | 120/70 R 19 (depan) & 180/65 B 16 (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik 49mm (depan) & cantilever (belakang) |
Brek | brek cakera 300mm dengan sistem BMW Motorrad ABS (depan & belakang) |
P x L | 2,560 x 1,040mm (termasuk cermin sisi) |
Tinggi pelana | 720mm |
Isi tangki | 24 liter |
Popular