Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 25 November 2021

Suzuki GSX-S1000 2021 - Mantap, Praktikal & Mampu Milik

Suzuki pastinya telah meningkatkan lagi prestasi jentera 150bhp mereka untuk tahun ini. Enjin baru kini dengan piawaian Euro 5, ekstra kuasa putaran enjin 1,000rpm berbanding model lama dan walaupun tork maksimumnya agak rendah, pihak Suzuki telah memastikan lengkungan tahap hantaran kuasa terus lancar dan mantap.

Untuk selari dengan kemodenan sekarang ini, model-model baru dari Suzuki juga didatangkan dengan sistem elektronik, panel meter baru dan sistem quick shifter (atas-bawah) beserta sistem traction control. Model ini ditawarkan tanpa memiliki sistem kawalan miringan terkini dan mungkin agak ketinggalan dari segi teknologi moden berbanding model-model saingannya tetapi.... Suzuki ini lebih murah dan mampu dimiliki.

Asal usul enjin ini ialah dari model GSX-R1000 K5, ini bermakna saiz sesaran, lejang dan gerek sama seperti yang dulunya. Namun begitu, aci engkol, spring injap dan sistem slipper clutch baru bakal menanti para pemilik Suzuki ini. Model ini juga dilengkapkan dengan sistem ekzos baru Euro 5 serta badan pendikit elektronik yang lebih kecil dan ringan. Badan pendikit baru ini (40mm) direka untuk memberi tindakbalas mantap di peringkat awal.

Hasilnya kepada perubahan kecil itu ialah, enjin mesin jalanan 2021 ini menawarkan peningkatan kuasa dari 150ps/147.8bhp pada 10,000rpm kepada 152ps/149.8bhp pada 11,000rpm. Walaupun kuasa tork kini lebih rendah iaitu 106Nm pada 9250rpm berbanding 108Nm pada 9500rpm, haruslah diingati bahawa Suzuki telah menggunakan segala kepakaran agar hantaran kuasa di peringkat pertengahan sebenarnya lebih tinggi dan mantap berbanding yang asal.

Bunyi GSX-S1000 mengembalikan nostalgia, ia 'bersuara' oldschool seperti mana model GSX-R1000 lama. Bukanlah niat saya untuk menghina bunyi jentera baru tetapi secara peribadi, saya lebih suka dengan deruman enjin empat silinder sebaris yang 'dalam' dan cukup garang.

Terdapat tiga mod tunggangan yang agak simple untuk dipilih iaitu A, B dan C yang kemudiannya ditukar kepada Active, Basic dan Comfort oleh pihak pemasaran Suzuki. Dengan setiap pilihan mod tunggangan ini, karaktor enjin akan berubah tetapi masih memberikan hantaran kuasa penuh. Dahulunya jentera Suzuki dikatakan kuat makan minyak tetapi masalah itu telah dapat diatasi untuk pengeluaran enjin 2021 ini.

A.... atau Active adalah mod tunggangan paling pantas dan sangat bertenaga – padu sangat sehingga saya rasa kita tak perlu hantaran kuasa sekuat ini. Saya lebih selesa menggunakan mod B untuk tunggangan di jalanan mahupun di litar. Mod Comfort atau C pula amat sesuai untuk penunggang baru kerana hantaran kuasanya rendah dan mudah dikawal. Saya menghabiskan banyak masa menggunakan mod B.... atau Basic.

Corak hamburan kuasa tertinggi untuk model lama dan baru agak sukar untuk dibezakan tetapi dari segi kuasa tork... jelas sekali berbeza. Saya cukup suka dengan perubahan corak pacuan enjin empat silinder yang dilakukan pada GSX-R1000 yang kini memiliki tenaga yang mantap di peringkat pertengahan.

Ada beberapa kali saya turunkan semula posisi gear khususnya ketika memintas hanya untuk menikmati betapa lancarnya sistem quickshifter Suzuki ini walaupun pada hakikatnya jentera ini mampu memecut dalam kedudukan gear apa sekali pun. Apa pun... itu yang menyeronokkan.

Jika mahu mengejar rakan-rakan sportbike di depan, tundukkan kepala dan kejar mereka! GSX-S1000 akan pamerkan kehandalannya. Saya kurang pasti tetapi tindak balas enjin dirasakan begitu kuat dan pantas – di luar jangkaan saya. Bila mengenang kembali akan kekuatan enjin model ini yang setinggi 150bhp, ia sudah lebih dari cukup.

Apabila tidak menghidupkan sistem TC, dengan mudah tayar depan Suzuki ini terangkat dalam dua gear terawal dan kita masih mampu berwheelie dalam gear ketiga jika merentap enjinnya lebih agresif.

Suzuki telah mengasingkan sesi tunggangan uji kepada dua bahagian. Salah satunya ialah dengan menikmati perjalanan 160 kilometer di Utara Yorkshire dan kemudiannya mendaki ke Harewood Hill Climb yang memiliki 11 buah selekoh tajam. Jujur, Suzuki memang berani untuk menguji kemampuan GSX-S ini untuk mendaki dengan menggunakan talaan sistem saspensi standard.

Apabila melihat pemandangan indah di Yorkshire, saya benar-benar gembira. Fork hadapan 43mm jenis boleh laras memberikan kawalan yang sempurna manakala tahap penyerapan sistem saspensi belakang juga cukup baik. Sistem saspensi model ini sama seperti mana yang digunakan pada model terdahulu cuma telah ditambahbaik dari segi talaan agar dapat membawa lebih bebanan dengan selesa dan meyakinkan.

Untuk tunggangan biasa sistem saspensi yang dilengkapkan pada model ini sudah memadai tetapi apabila kita ingin merasakan kekuatan enjin 150bhp, prestasinya mula dirasakan terhad. Saya cuba masuk ke selekoh yang agak beralun dan dapat rasakan penyerap hentak depan dan belakang bekerja keras untuk kekalkan jentera ini di laluan dengan selamat. Sekali lagi ditegaskan, sistem saspensi standard sudah memadai tetapi jika anda memang penunggang agresif, sesuatu perlu dilakukan.

Kami juga berdepan dengan masalah keberatan. Dengan penambahan lampu-lampu LED, sistem ekzos berpiawaian Euro 5 dan tangki yang lebih besar (19 liter), ia telah menambah berat keseluruhan jentera ini. Jika kita bandingkan dengan BMW S1000R atau Ducati Monster, anda akan dapati betapa bezanya saiz Suzuki ini. Walaupun tubuh badannya besar, GSX-S ini tetap mudah untuk dikendalikan.

Selepas puas menikmati perjalanan yang mendamaikan, Suzuki ini diuji ke laluan mendaki. Saya pada mulanya agak bimbangkan prestasi GSXS ini kerana jika ditunggang pada kelajuan 160kmj, saya tidak boleh ada sebarang kesilapan. Ternyata pengendaliannya yang ringan dan mudah membolehkan selekoh-selekoh tajam dapat dilalui dengan selamat.

Saya dapat mengendalikan jentera ini dengan tepat dan fork hadapan berjaya menyerap dengan baik walaupun ketika brek ditarik dengan keras manakala penyerap hentak di belakang bekerja cukup baik. Ia memberikan respon dengan cemerlang membolehkan saya menarik kuasa enjin lebih cepat. Saya ingat Suzuki ini tidak mampu menikmati jalanan mendaki yang rapat dan berselekoh tajam, ok… saya salah.

Sistem brek cakera bersaiz 310mm jenis Brembo bertindak dengan baik sekali. ABS adalah aksesori standard cuma tidak disertakan dengan sistem lean-sensitive. Walaupun dilengkapkan dengan sistem slipper clutch yang baru, saya tidak merasakan sebarang brek enjin ketika menurunkan gear.

Jika GSX-S ini ditunggang berdua dengan bebanan, kita dapat rasakan proses memperlahankan kelajuan tidaklah begitu efisien. Ketiadaan ABS Lean-Sensitive mungkin menyebabkan golongan muda tidak begitu menyukai model tetapi apabila melihat pada harganya, GSX-S ini lebih sesuai untuk dibawa pulang.

Jelas, jentera jalanan bukanlah mesin yang benar-benar selesa tetapi Suzuki berjaya melakukannya menerusi model ini malah menawarkan sebuah jentera yang lebih versatil. Bar hendal yang direka lebih lebar untuk mudah dikawal manakala saiz tangkinya yang besar membolehkan kita menunggang lebih jauh.

Ketika kami berbincang mengenai penggunaan bahan api, pihak Suzuki menyatakan jentera ini mampu bergerak pada kadar 46.3mpg (19.7km/liter), berbeza dengan kenyataan rasmi iaitu 53.3mpg atau 22/7km/liter. Ini bererti, GSX-S mampu ditunggang sejauh 370 kilometer untuk satu tangki penuh. Ketika menguji jentera ini, saya dapat merekodkan jarak purata sekitar 392 kilometer.

Perjalanan kami pada hari tersebut berjarak 160 kilometer tetapi jelasnya kami mahu lebih jauh kerana ingin merasakan tahap keselesaannya. Bagus juga Suzuki telah melengkapkan jentera uji ini dengan pelana standard daripada kami menunggang dengan pelana perlumbaan.

Antara sistem elektronik yang TIDAK dilengkapkan pada model ini ialah sistem IMU yang membolehkan kawalan ketika miringan, Engine Brakes Assist, Pit Lane Limiter, Cruise Control, Anti-Wheelie, Slide Control, Cornering ABS dan panel meter TFT yang besar. Dari segi ini, GSX-S memang agak ketinggalan berbanding para pencabarnya.

Perancangan Suzuki ialah untuk jadikan model ini mampu untuk dimiliki. Walaupun dengan ketiadaan teknologi canggih, GSX-S tetap sebuah jentera jalanan berkuasa 150bhp yang garang, menarik dan sesuai untuk semua tunggangan. Bagi mereka yang inginkan kepantasan tetapi boleh juga dijadikan rakan untuk tunggangan harian, inilah pilihannya. RR

Laporan: Adam Child ‘Chad’
Kredit Foto: Jason Critchell

Isu Pada

September 2021

Spesifikasi

Enjin4 silinder, sistem sejukan cecair
Isipadu999cc
Kuasa maksimum150bhp pada 11,000rpm
Tork maksimum106Nm pada 9,250rpm
Tayar120/70 17 (depan) & 190/55 ZR17 (belakang)
Saspensifork terbalik KYB 43mm (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang)
Brekcakera 310mm jenis brembo (depan) & cakera 250mm
Tinggi pelana810mm
Isi tangki19 liter
Laju maksimumanggaran 240 km/j

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.