KTM RC390 2022 Pra-Produksi - Jentera Sport Pertengahan Cukup Mantap
Tujuh tahun telah berlalu sejak mula-mula ia dibawa ke bahagian R&D, dihasilkan, dimiringkan di meratah selekoh-selekoh tajam serta kemampuannya untuk berlumba di litar – begitulah kisahnya model KTM RC390 yang diperkenalkan pada tahun 2014 yang menawarkan pelbagai keistimewaan. Ia adalah model paling besar dalam keluarga RC selepas RC125 dan RC200.
Jentera ini dibangunkan oleh para jurutera KTM yang berkolaborasi dengan firma Bajaj Auto yang beroperasi di kilang Chakan berdekatan dengan Pune, India. Kilang ini telah mengeluarkan lebih daripada 100,000 unit dan menurut pihak atasan KTM, ia telah membuktikan betapa pentingnya model-model RC dalam hubungan dua hala Indo-Austrian.
Kini, sudah tepat waktunya untuk diperkemaskan dengan perubahan radikal buat tahun 2022 untuk model KTM silinder tunggal demi terus memberi saingan dalam pasaran yang semakin kompetitif. Model yang diperkenalkan harus memiliki kombinasi penting iaitu perlu mesra pengguna, boleh digunakan sebagai jentera tunggangan harian dan pada masa yang sama bertenaga untuk kekal mantap dalam kategori Supersport yang kini dikuasai oleh Kawasaki Ninja 400 dan Yamaha YZF R-3.
Lihat sahaja barisan jentera yang berada dalam saingan WorldSSP 300, hanya ada beberapa buah jentera KTM sahaja berbanding jentera Jepun. Para pelumba KTM juga dilihat jarang sekali mampu memberi cabaran kepada kumpulan pelumba di depan dan ini sudah tentu keadaan yang kurang disukai oleh Stefan Pierer, pemilik KTM sendiri.
Bagaimana pun, KTM perlu positif dengan prestasi mantap wakil mereka dalam saingan Moto3 seperti Albert Arenas yang muncul juara keseluruhan tahun lalu. Musim ini juga KTM dilihat cukup kuat menerusi tunggangan mantap pelumba muda, Pedro Acosta yang sedang berada di tangga tertinggi pungutan mata Moto3.
Untuk 2022, KTM telah membuat pelaburan penting dalam pembangunan dan peningkatan jentera satu silinder dengan radikal. “Kami mahu membuat penambahbaikan menerusi penampilan luaran dengan menjadikannya lebih sporty, moden dan mirip dengan jentera perlumbaan, kata Ketua Pengurusan Produk, Andriaan Sinke.
“Kami juga akan menambahbaik tahap keselesaannya kerana kebanyakan pelanggan menunggang motosikal setiap hari. Untuk menarik minat lebih ramai pelanggan, KTM baru mestilah mudah dikendalikan, ruang tunggangan yang luas dengan tahap ergonomik yang sesuai untuk semua golongan penunggang motosikal tanpa mengecualikan karaktor sporty yang dimilikinya.”
Jadi, selain mengekalkan tahap piawaian Euro 5 – Sinke nyatakan pihaknya akan dapat menyempurnakan piawaian ini pada model-model lain – KTM baru ini dihasil menggunakan enjin 390 Duke yang dikemas kini. Ia didatangkan buat pertama kali dengan sistem ride-by-wire, slipper clutch dan kuasa tork yang lebih mantap.
Model ini dilengkapkan dengan enjin empat lejang 373cc, silinder tunggal DOHC dan masih menggunakan sistem transmisi 6-kelajuan dengan nisbah gear yang sama seperti model sebelum ini. Sistem slipper clutch dikekalkan agar dapat mengawal hantaran kuasa enjinnya yang cukup bertenaga.
Kuasa maksimumnya kekal 44bhp tetapi kini dalam putaran enjin 9,000rpm – 500rpm lebih rendah berbanding sebelum ini. Namun begitu, tork maksimum model ini ditingkatkan daripada 35Nm ke 37Nm pada 7,000rpm (sebelum ini 7,250rpm). Keinginan para jurutera KTM ialah ialah untuk melengkapkan jentera sport ini dengan hamburan kuasa dan tork yang mengagumkan.
“Berbanding RC lama, enjinnya kini telah dikemaskini tetapi dari segi mekanikal, ia mirip kepada model terdahulu. Kami mahukan persamaan yang dapat dikongsikan dalam satu platform agar dapat menggunakan komponen yang sama untuk model variasi lain yang menggunakan enjin yang sama. Ini dapat mengurangkan kos.”
‘Power Unit’ model ini kompak, hanya seberat 36kg untuk isipadu enjin 373.20cc dengan saiz dimensi 89 x 60mm. Ini amat berbeza berbanding saiz dimensi enjin 199.50cc (RC200) iaitu 72 x 49 mm. Bahagian R&D untuk jentera RC390/200 diketuai oleh Shaun Anderson, seorang bekas pelumba Ireland yang pernah bersaing dalam perlumbaan Isle of Man TT dengan kedudukan di tempat ke-13 dalam kelas Superbike TT pada tahun 2018 lalu.
Beliau juga terkenal dalam perlumbaan di Republik Czech sejak berpindah ke Austria untuk bersama-sama KTM sebagai Ketua Pembangunan Projek Jentera Jalanan. Shaun juga memiliki pengalaman dalam pembangunan enjin jentera motocross yang telah meraih Kejuaraan Dunia MX2 untuk lima tahun dan memenangi dua daripada lima takhta MX-GP.
Enjin RC390 seperti aci engkol berbelah-tengah dan kepala silinder turut dikongsi pada jentera 390 Duke. Kepala silinder empat injap ini mempunyai sepasang injap kemasukan bersaiz 36mm. Enjin RC390 2022 memiliki nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 12.6:1 dan masih boleh diserasikan dengan bahan api RON95 Unleaded.
Profil sesondol sama dengan model 390 Duke dengan badan pendikit Dell’Orto bersaiz 46mm (38mm untuk RC200) yang ‘bernafas’menerusi kotak udara lebih besar berbanding model sebelum ini. Model ini juga menggunakan unit ECU Bosch – ia adalah komponen biasa yang dilengkapkan pada semua jentera KTM buatan India. Unit ECU ini dibuat di India oleh anak syarikat firma Jerman.
Namun, tidak seperti pada varian enjin yang lebih kecil yang hanya didatangkan dengan satu pam tekanan sahaja. Terdapat dua pam-pelincir jenis Eaton pada enjin 390. Satu untuk pelinciran bertekanan tinggi manakala satu lagi adalah pam penyedutan untuk pengosongan kotak engkol.
Sistem ekzos yang berpiawaian Euro 5 ini dibuat menggunakan aluminium dan dipasang di sebelah kanan KTM anda – ia kini sekitar 3kg lebih berat berbanding model Euro 4. KTM baru ini adalah seberat 155kg (pelincir + air tanpa petrol) berbanding hanya 149kg untuk model semasa.
Bagi mengurangkan berat, KTM ini telah dilengkapkan dengan rim aluminium bertempa enam jejari yang kemudiannya disempurnakan pada tayar-tayar bersaiz 110/70ZR17 (depan) dan 150/60ZR17 di belakang. Untuk memberi kecekapan membrek, KTM ini menggunakan brek cakera di depan dan belakang jenis Bybre yang turut disepadukan dengan sistem ABS.
Rim dan sistem brek yang ringan sudah pasti membantu pecutan menjadi lebih mantap dengan mengurangkan tahap putaran inertia. Dengan berat badan yang lebih rendah, ini bermaksud kurang tenaga inersia ketika memulakan pergerakan. Rekabentuk jentera baru ini juga dihasilkan oleh Kiska Design dan untuk model prototaip ini, ia berwarna hitam.
Saya merupakan 'orang luar' pertama yang berpeluang menunggang uji jentera pra-produksi RC390. Beberapa hari selepas sesi ujian ini, saya melihat unit yang dicat sepenuhnya di studio Kiska yang beroperasi di Salzburg dan tolonglah percaya... ia benar-benar menarik dan cantik yang akan berjaya dijual hanya kerana rekacoraknya.
KTM tidak lagi mengekalkan lampu utama kembar sebaliknya menggantikan dengan lampu LED yang dilindungi oleh kaca plexiglass termasuklah lampu isyarat – nampak moden. Cuma, rekaan kali ini banyak yang berbentuk bulat berbanding rekaan tajam-tajam sebelum ini yang tampak lebih sporty. RC390 2022 baru nampak kurang agresif.
Dalam sesi ujian saya yang berjarak 100 kilometer, jentera prototaip ini telah membuktikan ia sememangnya sebuah motosikal yang lebih baik daripada versi awal yang saya uji di Modena, Itali pada tahun 2014 yang lalu. Saya dapati fairing baru ini nampak lebih teguh untuk melindung manakala posisi menunggangnya juga berbeza. Dengan perubahan pada saiz tangki – kini lebih besar iaitu 13.7 liter (model lama: 9.5 liter), kita akan duduk jauh sedikit ke belakang.
Kita boleh mengubah kedudukan bar hendal (jenis clip-on) dengan mudah apabila ingin mendapatkan kedudukan yang selesa. Ini penting agar kita dapat melabuhkan punggung dengan betul di atas pelananya yang berketinggian 824mm.
Bagi saya yang setinggi 1.80m, posisi menunggang saya masih baik, luas dan tidaklah sehingga kekejangan. Lebih baik daripada yang dulu! Walaupun pelananya tinggi, ia mudah untuk dinaiki dan dikendalikan walaupun di mana sahaja ia dibawa.
Enjin baru ini dipasangkan pada kerangka jenis trellis yang dibuat daripada tiub-keluli yang dibahagikan kepada dua bahagian – tidak lagi dikimpal pada sub-kerangka belakang yang terpisah. Kesemuanya dibuat dan dipasang menggunakan teknologi robotik oleh Bajaj.
Model ini kemudiannya dipadankan dengan lengan ayun cantilever aluminium diecast jenis WP APEX bersama spring pra-beban boleh laras (pelarasan sehingga 10-tahap) yang menyerap setiap hentakan dan bebanan dengan baik ketika jentera sport ini ditunggang di laluan yang tidak sempurna – ia seperti yang diingini oleh pemiliknya, KTM ini mesti praktikal tapi langsung tidak mengorbankan sifat sportnya.
“Motosikal kami lengkap dengan sistem ride-by-wire, Cornering ABS, Cornering Traction Control, sistem Bluetooth dan panel meter TFT. Turut dikemaskini ialah pada bahagian casis seperti sistem saspensi, peredam boleh laras, penyerap hentak belakang dengan split-piston. Ini bermakna model ini sekarang mempunyai penakung tambahan yang berasingan untuk gas nitrogen dan minyak. Tidak lagi berupa campuran emulsi,” kata Adriaan.
Kerangka baru ini memiliki geometri kemudi yang lebih tepat berbanding model sebelumnya yang dikawal oleh fork USD 43mm jenis APEX yang dibangunkan oleh anak syarikat WP di Austria tetapi dibuat di India oleh rakan niaga yang dimiliki sepenuhnya oleh Bajaj. Memang fork hadapan ini lebih baik daripada unit yang dipasang pada model lama. Dulu, kita perlu membeli model Edisi Terhad RC390R yang hanya dikeluarkan 500 unit sahaja untuk dapatkan sistem fork seperti ini. Sekarang... ia adalah aksesori standard.
Sebaik sahaja kita naik, serta merta kita dapat rasakan betapa ringan dan mudahnya KTM ini untuk dikendalikan – memang memberikan keyakinan tinggi buat semua jenis penunggang. Posisi menunggangnya lebih selesa berbanding model lama yang lebih radikal. Model itu menyebabkan bebanan pada bahagian bahu dan pergelangan tangan kita.
Jentera ini saya tunggang di laluan berbukit berdekatan dengan kilang KTM di Mattighofen, Austria. Dengan ketangkasan yang dimilikinya, anda tidak perlu miliki sebuah jentera empat silinder lagi untuk mencari keseronokan. RC silinder tunggal ini sudah cukup bertenaga.
Tubuh badannya yang besar menjadikan RC390 ini bukanlah sebuah motosikal kecil – ia benar-benar motosikal full size. Bunyi sistem ekzosnya juga cukup mantap dan ini bermakna... walaupun tanpa Akrapovic, bunyi RC390 2022 memang cukup garang.
Hamburan kuasanya yang luas membolehkan kita merentap pendikit dengan rakus tanpa dirasakan sebarang sentapan. Tenaga enjin di peringkat pertengahan juga dipertingkatkan – dapat dirasakan pada putaran enjin bermula dari 4,500rpm hingga 7,000rpm. Saya tidak perlu menggunakan tenaga KTM ini sehingga zon merah, bermain-main gear di putaran 8,500rpm sudah cukup mengujakan.
Enjin KTM ini juga lancar, tiada sebarang gegaran dan ini datangnya dari shaft pengimbang dan pemberat yang dipasang di penghujung bar hendal. Tarikan kuasanya mula dirasakan apabila kita berada di atas 6,000rpm dan KTM ini juga dilengkapkan dengan Lampu Penukaran Gear yang telah ditala oleh KTM pada kedudukan 9,500rpm. Kotak gear 6 kelajuan KTM ini mudah digunakan dengan adanya sistem klac yang ringan. Kita akan dapat membuat pecutan tanpa sebarang keraguan.
KTM RC390 baru ini tangkas, mudah dikawal dan lebih ringan. Kita boleh membaringkan jentera ini ke kiri dan ke kanan dengan mudah. Saya benar-benar yakin dengan keupayaan jentera ini berbanding model sebelumnya. Tindak balas yang dimiliki daripada sistem saspensi juga tepat dan mantap – terima kasih buat fork hadapan yang canggih.
Pengendalian yang cukup tepat dan kestabilan RC ini dalam kelajuan tinggi memang memberi ketagihan. Tayar-tayar yang mencengkam dengan baik dan sistem brek yang cemerlang menambah kualiti jentera yang bersaiz sederhana ini. Saya benar-benar kagum dengan keupayaan brek KTM ini yang dapat memperlahankan kelajuan dari 160km/j dengan mudah dan selamat.
KTM dan Bajaj harus berbangga dengan jentera yang dikeluarkan ini. Ia adalah sebuah mesin berprestasi mantap yang sesuai untuk penunggang motosikal tidak kira tua atau muda. “Ia adalah sebuah motosikal yang seronok ditunggang dan merupakan sasaran utama kami di pasaran. Ia adalah sebuah jentera mantap di setiap masa, bukan hanya motosikal yang ditunggang di hujung minggu. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: KTM/Heiko Mandi
Spesifikasi
Enjin | empat lejang, silinder tunggal |
Isipadu | 373cc |
Kuasa maksimum | 32kW (44hp) pada 9,000rpm |
Tork maksimum | 37Nm pada 7,000rpm |
Kotak gear | 6 kelajuan |
Saspensi | fork USD WP APEX 43mm (depan) & penyerap hentak WP APEX (belakang) |
Tayar | 110/70ZR17 (depan) & 150/60ZR17 (belakang) |
Berat | sekitar 164 kg (termasuk pelincir & bahan api) |
Tinggi pelana | 824mm |
Isi tangki | 13.7 liter |
Popular