Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 9 Oktober 2021

Royal Enfield Meteor 350 - Jentera Jalanan Class Tinggi

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-120 buat Royal Enfield (RE) dan ia adalah satu kejayaan yang penuh kebanggaan untuk berada di dalam pasaran dua roda selama ini. Pengeluar motosikal bersejarah dan elit ini dilahirkan di Redditch, England tetapi kini beroperasi di India sejak dari tahun 1955 lagi.

Untuk meraikan ulang tahun ini, RE telah melancarkan sebuah model baru yang cukup penting dan menarik. Perkenalkan RE Meteor 2021 yang boleh dikatakan satu ciptaan yang ‘kembali’ kita dengan jentera dua roda yang cukup asas. Enjinnya berkapasiti 349cc, SOHC, sistem penyejuk udara/cecair dengan dimensi (72 x 85.8). Model ini direka sepenuhnya serba baru memandangkan enjin 350 Classic tidak dapat terus berlari selari dengan regulasi alam sekitar yang kian ketat.

Untuk itu, Meteor 350 ditawarkan sebagai motosikal asas pada harga patut tetapi hadir dengan kelas dan kualiti tinggi. Di India, ia adalah model premium – sekurang-kurang buat masa sekarang ini. Sejak dilancarkan di India pada Disember lalu, kehadiran model ini benar-benar menarik minat ribuan peminat motosikal. Ini dibuktikan dengan senarai masa menunggu untuk pasaran tempatan yang mencecah empat bulan manakala sekitar 45,000 tempahan lagi belum dapat ditunai. Masalah ini timbul berikutan wabak Covid-19 yang agak mengganggu pengeluaran.

“Sejak Meteor dilancarkan di India enam bulan lalu, permintaan yang diterima benar-benar hebat. Rancangan awal kami adalah untuk mengeluarkan sebanyak 120,000 unit setiap tahun tetapi tempahan dari India sahaja telah melepasi jumlah tersebut. Sehingga kini, kami telah memasang dan menjual sebanyak 50,000 unit sejak dilancarkan,” kata Ketua Pengurusan Program RE Global, Simon Warbunton.

“Asalnya kami mahu mengeluarkan 10,000 unit setiap bulan tetapi kini ia perlu dipertingkatkan. Kami telah asingkan bekalan-bekalan penting untuk dieksport dan para pengedar kami di seluruh dunia kini bersedia untuk mendapatkan pelanggan,” tambahnya.

Meteor asal diperkenalkan pada tahun 1953 dengan enjin bersesaran 693cc dan merupakan model pertama berjaya mencecah 160km/j. Ia adalah jentera enjin berkembar selari yang terbesar ketika itu, sebelum diganti oleh RE Interceptor sedekad kemudian. Ini jelas menunjukkan RE tidak menyimpan atau memperkenalkan nama model tanpa ada kaitan dengan model-model pengeluaran sebelum ini.

Selain memasarkan jentera ini di India, RE turut bersedia untuk berjaya di pasaran dunia. Ia dimulakan menerusi karaktor dan sifat-sifatnya yang menarik. RE Meteor sesuai untuk penunggang baru, wanita atau buat mereka yang ingin kembali bermotosikal jika kurang selesa dengan sistem pengangkutan awam disebabkan pandemik yang sedang berlaku.

Kualiti pembikinan yang wajar dipuji ini adalah hasil usaha Ketua Bahagian Rekaan Industri, Mark Wells. Ia diperkenalkan sebagai jentera 'Easy Cruiser' yang hadir dengan bar hendal yang tinggi dan tempat pemijak ke depan. Terdapat tiga versi berbeza iaitu Fireball berwarna Merah dan Kuning (£3,749 di UK termasuk cukai 20%), Stellar datang dalam warna Biru, Merah dan Hitam Matt (£3,829) dan turut dilengkapkan dengan bar sissy di bahagian belakang.

Model paling top ialah Supernova yang ditawarkan pada harga £3,909. Terdapat dua warna iaitu Biru Dua Tona dan Coklat. Ketiga-tiga versi dipasangkan dengan tongkat tengah yang senang untuk digunakan. Tongkat sisinya nampak kurus tetapi ia benar-benar solid dan selamat. Model-model ini juga dilengkapkan dengan rim aluminium yang kemudiannya dipasang dengan tayar buatan tempatan jenama CEAT yang bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (di belakang).

Ketiga-tiga varian ini juga dipasangkan dengan pod navigasi Turn By-Turn (TBT) yang juga dikenali sebagai Royal Enfield Tripper. Sistem navigasi ini memang bagus yang akan menggunakan arah dari Google Maps yang berinteraksi dengan telefon pintar kita dan menerusi paparan dari Aplikasi RE terbaru ini, penunggang akan diberikan pilihan laluan terbaik. Kita perlu sentiasa membawa bersama telefon pintar agar aplikasi ini terus berjalan dengan tepat.

Terdapat dua panel meter bulat cukup stylo yang dilengkapkan pada Meteor. Ia memaparkan tahap kelajuan, tahap bahan api, posisi gear, jam, jarak perjalanan, trip dan menu pilihan. Turut disediakan ialah port USB yang terletak di bawah bar hendal – mudah untuk kita mengecas telefon walaupun sewaktu bergerak. Dijangkakan sistem Tripper ini akan dipasangkan sebagai aksesori pilihan untuk model-model 650cc.

Untuk menilai prestasi RE Meteor ini, saya telah diberi peluang menunggang uji versi Supernova di South Warwickshire yang juga merupakan laluan ke kilang RE di Redditch. Jalan ini dahulunya merupakan laluan tunggang uji jentera-jentera RE ketika ia dibangunkan pada tahun 1950an – 1960an dulu. Ini kerana terdapat laluan curam di Sunsiring Hill. Perjalanan dari Stratford-on-Avon memang menyeronokkan, tambah-tambah lagi dengan adanya 'hairpin' di tengah-tengah laluan ini.

Laluan seperti ini menjelaskan pilihan RE untuk meletakkan pelananya setinggi 765mm memang ideal dan sangat selesa. Posisi bar hendal yang tepat manakala pendikit yang dibalut lebih tebal daripada biasa jadikan tunggangan lebih selesa. Ruang kaki yang luas juga memberikan kita banyak ruang untuk bergerak.

Lampu utamanya agak kecil tetapi saya benar-benar tidak menyangka ia mampu memberi suluhan yang terang dan tepat. Royal Enfield Meteor ini memiliki prestasi yang saya kata cukup efisien. Model ini dikatakan dapat memecut pada kelajuan maksimum 120kmj dan saya berjaya melakukannya dengan merendahkan sedikit tubuh badan ke bahagian tangki yang bersaiz 15 liter.

Enjin 349cc SOHC ini juga cukup lancar untuk tunggangan santai. Corak penghantaran kuasanya lancar, senyap dan memberikan pecutan mantap apabila putaran enjin mencecah 6,100rpm. Tork maksimum untuk cruiser ini ialah 4,000rpm dan dengan adanya pengimbang syaf, tidak dirasakan sebarang gegaran pada bahagian pelana, bar hendal dan tempat pemijak. Oh ya... cermin sisi Meteor ini juga bukan saja cantik tetapi memang efektif.

Anda bagaimana pun perlu sentiasa menggunakan sistem transmisi lima kelajuan untuk mendapatkan momentum terbaik terutamanya ketika memanjat kawasan berbukit atau ketika memotong kenderaan depan. Tidak kiralah dalam keadaan apa pun, Royal Enfield Meteor ini sesuai ditunggang dalam kelajuan 105km/j sahaja. Jika masuk ke kawasan luar bandar, kelajuan 80kmj sudah cukup baik. Kelancaran enjin ketika kita membuka pendikit juga amat saya suka. Tidak ada sebarang lonjakan mendadak sehinggakan kita tersentak ke depan ketika kita menurunkan gear.

Pemetaan enjin yang bijak membuat pemilik/penunggang Meteor ini dapat meramal setiap tindak balasnya dengan selamat. Walaupun tidak mempunyai pilihan mod tunggangan atau bantuan elektronik seperti TC contohnya, tetapi ia tetap menyeronokkan. Seperti yang dikatakan tadi, Meteor adalah model paling ideal untuk penunggang newbies. Tahniah RE, ini satu usaha yang cukup padu!

Walaupun tuas klac tidak boleh dilaras, ia tetap lembut dan amat selesa digunakan sewaktu memacunya di dalam bandar. Pada mulanya saya seperti tidak begitu suka dengan rekaan tuas gearnya tetapi bila digunakan, wow... ia betul-betul mudah sekali. Tidak keterlaluan jika saya katakan ini antara model silinder tunggal terbaik yang pernah RE keluarkan. Setiap gear dapat kita nikmati dengan lancar sehinggalah ke posisi gear tertinggi untuk bebas di lebuhraya.

Enjin yang mantap ini direka oleh pasukan jurutera di Pusat Teknologi Royal Enfield UK yang diketuai oleh James Young yang juga pernah mengetuai pasukan untuk merekacipta enjin Triumph 675cc yang digunakan pada Daytona dan Street Triple. Dia adalah salah satu daripada para jurutera tertinggi di RE yang bersama bekas eksekutif Triumph, Simon Warburton. Kemantapan pembinaan casis telah dipertanggungjawabnya kepada Harris Performance Products.

Harris telah merekacipta Meteor ini menggunakan kerangka 'tulang belakang' berkembar yang dipadankan dengan fork hadapan bersaiz 41mm dan penyerap hentak berspring di bahagian belakang. Tapak rodanya sepanjang 1,400mm dan boleh dikatakan ianya agak pendek – tangkas dan lincah untuk bermain-main di dalam kawasan bandar termasuklah membuat pusingan-U.

Tayar-tayar bersaiz 100/90-19 (depan) dan 140/70-17 di belakang mengigit permukaan jalan dengan baik terutamanya pada hari yang terang. Model baru ini juga dilengkapkan dengan sistem ABS untuk dapat memperlahankan jentera seberat 191kg ini dengan baik. Untuk lebih mantap, RE menyempurnakan jentera ini dengan brek cakera jenis ByBre bersaiz 300mm (depan) dan 270mm (belakang).

Saspensi depan tidak mengecewakan sewaktu kita menyusuri laluan yang tidak semuanya cantik, ada ketikanya terpaksa menempuh jalan-jalan berbonggol. Sekurang-kurangnya, tidak ada terasa bagaikan ingin terhumban ke depan apabila menarik brek dengan keras. Namun begitu, saya agak kecewa dengan saspensi belakang yang tidak menyerap hentakan dengan baik. Redaman terlalu keras sehinggakan seperti melompat-lompat. Saya berpendapatan ini kerana RE juga direka untuk pelanggan di India yang sering akan menunggang berdua atau membawa barangan keperluan.

Selain itu, RE Meteor 350 adalah sahabat motosikal baru yang bakal diterima oleh para peminat motosikal di seluruh dunia khususnya yang suka bergerak santai dengan kelajuan sekitar 80-100km/j. RE ini menyeronokkan dan selesa, kecuali di jalan-jalan tidak rata. Apa pun, ia tetap motosikal yangcukup menarik.

Menurut RE Malaysia, model ini dijangkakan akan berada di pasaran negara pada tahun ini dengan harga asas yang bakal ditawarkan ialah sekitar RM36,000.RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Jason Critchell

Isu Pada

Ogos 2021

Spesifikasi

EnjinSilinder tunggal, 4 lejang, SOHC, sistem penyejuk udara
Isi padu349cc
Kuasa maksimum20.2 bhp pada 6,100rpm
Tork maksimum27 Nm pada 4000rpm
Transmisi5 kelajuan Speed Constant Mesh
Saspensifork teleskopik 41mm (depan) & penyerap hentak berspring (belakang)
Tayar100/90-19 57P (depan) & 140/70-17 66P (belakang)
Isi tangki15 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.