Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 22 Ogos 2021

Honda CB1000R 2021 - Prestasi Melangkaui Jangkaan

Sejak beberapa tahun ini, hampir setiap pengeluar motosikal utama telah cuba sehabis baik ‘menukar’ jentera sportbike mereka menjadi jentera jalanan/naked dengan menawarkan kekuatan enjin dan penambahbaikan dari segi aerodinamik agar jentera ini dapat ditunggang dengan cemerlang. Bagaimanapun, Honda memilih untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza.

Honda tidak mengeluarkan jentera streetfighter yang agresif atau model lumba yang ditala semula. Sebaliknya, kembali ke zaman silam untuk mendapatkan inspirasi daripada sejarah pembangunan café racer mereka khususnya model CB yang telah memberi cabaran buat jenama British pada era 1960an dan 70an dulu. Kini Honda menambah ciri-ciri moden untuk menghasilkan CB1000R.

Model-model Neo Sport Café ciptaan Honda ini dibuktikan menerusi pengenalan jentera konsep CB4 yang diperkenalkan di pameran motosikal antarbangsa EICMA pada 2015. Daripada kejayaan ini maka terhasillah siri-siri Sport Café lain seperti CB1000R, CB650R, CB300R dan CB125R.

CB1000R dilancarkan pada tahun 2018 dan setahun kemudian saya telah menikmati perjalanan selama enam bulan bersama model ini dan benar-benar kagum dengan prestasinya di dunia sebenar hinggalah ke litar. Untuk tahun 2021, Honda mempunyai model CB1000R serba baru yang berpiawaian Euro 5.

Kami menguji model ‘Black Edition’ yang benar-benar bergaya dan ia didatangkan dengan sistem quick-shifter sebagai alatan standard. Kemasan warna hitam pada CB ini benar-benar anggun. Untuk model 2021, CB1000R berdiri teguh di jalanan dengan sub-kerangka, sistem ekzos dan panel meter TFT serba baru. Menerusi panel meter ini, penunggang boleh dihubungkan dengan telefon pintar menerusi sistem komunikasi Bluetooth. Walaupun ia direka menepati piawaian Euro 5, kekuatan kuasa dan tork tidak berkurangan walau sedikit pun.

Enjin empat silinder sebaris Honda ini masih sama seperti model yang dilancarkan pada 2018 dengan kekuatan tork yang dapat dirasakan cukup jelas pada 6,000rpm. Enjin Honda Fireblade 2006 berkuasa 143bhp pada 10,500rpm dan tork 76.7lbft pada 8,250rpm. Pematuhan Honda terhadap piawaian Euro 5 adalah menerusi sistem ekzos dan sistem pengurusan bahan api baru yang cukup mantap.

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Sport, Standard, Rain dan User – kesemuanya bersambung dengan corak brek enjin dan sistem traction control. Ia menawarkan tindak balas, prestasi dan karaktor yang berbeza. Model yang diuji ini turut lengkap dengan sistem quick-shifter (aksesori standard) yang menyajikan respon penggunaan klac yang lembut sebaik sahaja ia bergerak. Penukaran gear cukup sempurna, walaupun dalam kelajuan rendah – cukup menyeronokkan. Kuasa tork juga luas/banyak meskipun enjin berputar dengan perlahan dan rendah. Jadi, kita tidak begitu perlu banyak bermain gear tetapi saya tetap lakukan juga kerana ingin mendengar kemantapan bunyi ekzosnya dan menikmati kelancaran sistem transmisi CB1000R ini.

Ketika berada di dalam bandar, CB ini cukup senyap tetapi apabila kita memerah pendikit keluar dari bandar, enjinnya yang semakin galak mula berbunyi dengan merdu. Ia tidak menjerit kuat seperti Honda Fireblade 2020 yang agak mirip dengan jentera perlumbaan tetapi bunyi memang bertukar menjadi lebih garang apabila putaran enjin mencecah 5,000rpm dan ke atas. Honda CB ini tetap berjaya mengeluarkan bunyi yang mantap walaupun dalam garisan piawaian Euro 5.

Sistem pengurusan bahan api CB yang baru ini menawarkan hantaran kuasa yang lembut lebih-lebih lagi ketika menggunakan mod Standard atau Rain. Kemudian, pada 5-6000rpm, kekuatan enjin ‘melonjak’ dengan cukup padu mencapai tahap tertinggi iaitu pada 11,000rpm. Pada mulanya, hantaran kuasa yang cukup mantap ini agak mengejutkan saya kerana ia begitu ‘jinak’ pada putaran enjin rendah tetapi bila buka saja pendikitnya, fuh! Ia berlari kencang menuju ke horizon, CB ini memang laju.

Dalam mod Sport, sistem TC bekerja lebih keras terutamanya dalam gear-gear awal untuk menghadkan berlakunya wheelie. Sistem nisbah gear dirasakan lebih pendek berbanding Fireblade yang dilihat daripada kelipan lampu penukaran gear. CB ini memecut dengan pantas dan anda perlukan lengan yang kuat untuk bermain dengan jentera ini – dan laju maksima CB ini juga amat mengagumkan.

Sudah menjadi kebiasaan jentera naked, cermin pengadang udaranya amat kecil dan boleh dikatakan tidak menghalang laluan udara langsung. Namun begitu, bar hendal dan tangkinya yang lebar berjaya memberikan posisi menunggang cukup selesa – tidaklah sehingga kurang enak sewaktu kita meningkatkan kelajuan. CB ini sesuai dan amat ideal ditunggang dalam kelajuan sekitar 130km/j tetapi tetap bergantung kepada keadaan angin di persekitaran yang ada kalanya kuat.

Sub-kerangka barunya tidak menjadikan motosikal Honda baru ini lebih tinggi, pelana masih berketinggian 830mm – ruang kaki yang luas menjadikannya sebuah mesin ideal untuk semua jenis penunggang. Dengan kelembutan sistem saspensinya, saya amat bersedia untuk menikmati ribuan kilometer dengannya walaupun CB ini bukan jentera pengembaraan. Itu pasti.

Honda menyatakan mesinnya ini mampu bergerak sejauh 190km per liter dan saya juga hampir dapat mencatatkan jarak sama tetapi apabila rajin memulas pendikit, jarak perjalanan dipendekkan sedikit. Secara teori, satu isian penuh tangki 16.2 liter CB ini mampu bergerak lebih daripada 300 kilometer (penunjuk bahan api kini digital – dipapar di atas penunjuk gear).

Panel meter TFT yang dipadankan pada model ini memang baik – menunjukkan pembaharuan yang perlu dibuat berbanding model lama. Ia jelas dan mudah dibaca. Terdapat empat paparan pilihan yang lengkap – memang ini yang kita mahukan untuk mengembara. Mungkin ada peminat CB yang mahukan paparan itu tidak begitu ‘meriah’ tapi bagi saya ia sudah direka dengan baik – mudah diguna dan ringkas.

Terdapat kenaikan ‘kg’ pada model ini iaitu dari 212kg kepada 214kg, dan kini didatangkan dengan rim tujuh jejari. Walaupun 2kg lebih berat, ia langsung tidak dirasa untuk sebuah jentera seperti CB ini kerana ia adalah sebuah jentera bertubuh sasa. Jika dibandingkan dengan Kawasaki Z1000R, ia lebih ringan dan hanya sedikit lebih berat berbanding Yamaha MT-10.

CB dilengkapi dengan saspensi Showa dengan BPF (Big Piston Forks) yang boleh ditala sepenuhnya. Dijamin hampir semua penunggang tidak ada yang mengadu perkara negatif. Ia boleh dikemudi dengan natural, berada di laluan tanpa ragu-ragu dan kelegaan tanahnya memang cukup sesuai untuk jentera seperti ini. Segala talaannya memberikan keyakinan untuk tunggangan lebih garang kerana kita dapat rasakan setiap pergerakan casis dan tahap cengkaman tayar-tayar Michelin yang disempurnakan pada Honda ini.

Seperti yang saya katakan awal tadi, pada tahun 2019, saya telah menunggang CB1000R di litar dan mengurangkan tahap mampatan redaman (lebih 300mm daripada pengiraan asal) dan memperkukuhkan lagi fork hadapan untuk kestabilan tinggi sewaktu membrek dengan keras. Prestasi jentera ini telah mengejutkan saya – lebih daripada jangkaan!

Sistem brek yang disempurnakan pada jentera ini cukup mantap walaupun tidak ada pembaharuan yang dilakukan berbanding model terdahulu. Kita dapat rasakan ABS berfungsi dengan baik termasuklah di bahagian belakang. Ketika berada di dalam keadaan ekstrim di litar, brek depan cukup kuat dan progresif tetapi tidaklah sehingga mengganggu untuk tunggangan santai di dalam bandar. Brek belakang juga cukup lembut apabila kita menggunakannya sewaktu membuat pusingan ‘U’ dengan selamat.

Seperti model baru jentera Honda yang lain, brek kecemasan akan menyala apabila kita membrek dengan keras atau ketika sistem ABS aktif – ini untuk memberi amaran buat para pengguna jalan raya yang lain. Terdapat tiga aras talaan untuk brek enjin iaitu low, medium dan high yang akan ‘bekerja’ dengan sistem slipper clutch untuk mengelakkan tayar belakang daripada terkunci sewaktu kita menurunkan gear dengan menggunakan quick-shifter.

Setiap kali menunggang uji sesebuah motosikal, saya akan lihat spesifikasi dan cuba menilai harga jualannya tetapi untuk CB1000R ini, saya memang agak teruja kerana apa yang dikira dalam fikiran jauh berbeza. Saya ingat harganya akan hampir kepada £14,000 memandangkan kemasan keseluruhan Honda ini berada di tahap yang tinggi. Logo CB yang dipasang pada jentera ini cukup cantik dan lihat saja pada rim-rim yang dipadankan pada CB ini, ia seperti ‘dicuri’ daripada jentera lumba esotik.

Lampu utama, kerangka serba baru dan tempat nombor pendaftaran serta rupa ciptaan bahagian enjin semua amat berkualiti dan ‘high end.’ Jika tidak ada logo itu, kita mungkin akan katakan ia adalah sebuah motosikal dari kilang di Itali, bukan Jepun. Honda masih belum nyatakan harga sebenar CB ini tapi untuk versi Black Edition, mungkin pelanggan perlu membayar kira-kira £1000 lebih mahal berbanding model biasa. Harga versi standard ialah dalam anggaran £11,000.

Dalam segmen ini, terdapat model yang boleh memberi saingan terutamanya dari segi gaya dan harga. Model retro dari Kawasaki, Z900 RS ditawarkan pada harga di antara £10,649 hingga £10,949 manakala Yamaha XSR pula £9,699 tetapi dari segi kekuatan enjinnya, model-model tersebut agak rendah berbanding CB ini. Untuk menyaingi kemantapan CB1000R, anda mungkin perlu memiliki Kawasaki Z1000R atau Yamaha MT-10.

M mod tunggangan CB ini iaitu Sport, Standard, Rain dan User (boleh ditala sendiri oleh tuan punya motor mengikut kemampuan masing-masing). Selain itu, turut menanti para pemiliknya ialah sistem Traction Control (HSTC) tiga tahap iaitu Low, Medium atau High. Sememangnya banyak model baru yang dikeluarkan oleh jenama lain memiliki sistem pertahanan yang agak kompleks tetapi dengan Honda ini, ia lebih ringkas dan mudah difahami. Sistem TC beroperasi dengan baik, membantu kita untuk menunggang dengan lebih yakin dan selamat.

Sayangnya, CB ini tidak didatangkan dengan sistem kawalan lean-sensitive yang boleh membantu sewaktu berada di laluan berliku. Saya rasa sistem Lean-Sensitive ABS ini perlu dipasang untuk sebuah motosikal yang bernilai sekitar £13,000 lebih-lebih lagi demi menjamin keselamatan penunggang. Betul tak Honda? Harapnya ia boleh difikirkan untuk generasi CB1000R akan datang.

Honda menawarkan pelbagai pakej aksesori untuk CB1000R. Dari sebuah jentera sport ke motosikal kembara. Ini termasuklah beg tangki, tail pack, lampu isyarat padam secara automatik, soket USB bawah pelana dan panel baru yang lengkap dengan sistem komunikasi Bluetooth.

Saya sendiri peminat Honda CB1000R 2018. Ia motosikal yang seronok, mudah dikawal dan cukup bertenaga. Amat sesuai untuk tunggangan biasa dan tidak mengecewakan apabila dibawa ke litar. Model itu juga tampak matang dan canggih berbanding model-model streetfighter yang berada di pasaran.

Untuk model 2021, Honda telah memperbaiki tahap kemodenan dan kualitinya. Gayanya juga kini lebih mantap tanpa perlu mengganggu prestasi enjin dan pengendalian. Panel meter TFT adalah antara penambahbaikan yang besar. Saya sukakan kemasan berwarna hitam pada CB ini termasuklah rim serba baru dan lengan ayun tunggal yang cukup sempurna.

Dari segala sudut, CB ini nampak sangat hebat dan amat sesuai untuk tunggangan harian. Ia bukan jentera berkuasa 200bhp tetapi tenaga CB ini sudah memadai dan sistem elektroniknya juga menjadikan Honda ini selamat dan mudah dikendali. CB1000R 2021 merupakan motosikal jalanan yang sempurna dan bergaya. RR

Laporan: Adam Child ‘Chad’
Kredit Foto: Tim Keeton, Impact Images

Isu Pada

Julai 2021

Spesifikasi

Enjin4 silinder sebaris, sistem penyejuk cecair, 16 injap, Euro 5
Isi padu998cc
Kuasa maksimum143.5bhp pada 10,500rpm
Tork maksimum104Nm pada 8,250rpm
Transmisi6 kelajuan
Saspensifork Showa USD SFF-BP boleh laras (depan) & lengan ayun tunggal (belakang)
Tayar120/70 Michelin Power (depan) & 190/55 Michelin Power (belakang)
Berat basah212kg
Isi tangki16.2 liter
Tinggi pelana830mm

Popular

  • Model Baru

    Rieju Xplora 557 dan 707, Model 'Crossover' Baru dari Sepanyol.

  • Dari Litar

    WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

  • Warta Roda

    Lelaki Lemas, Motosikal Dihanyut Banjir

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Perkenalkan GSX-8R Baru. Harga asas RM53,800

  • Model Baru

    BENDA NAPOLEON BOB 500 - Sudah Berada di Pasaran, Harga Bermula RM27,888

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Nyaris Dihanyut Banjir

JITRA: Seorang penunggang motosikal berjaya diselamatkan orang ramai daripada dihanyutkan arus deras di Kampung Manggol, Malau.

Warta Roda

Penunggang Maut Motosikal Terbabas Di Kuantan

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran pintu belakang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota.

Model Baru

Benelli Tampilkan Leoncino Bobber 400 Serba Baru

Terbaru, Benelli Eropah telah melancarkan Leoncino Bobber 400 serba baru dan ia adalah model sulung yang berkonsepkan 'cruiser' yang memang cukup lawa!

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.