Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 18 Mac 2020

Honda CBR1000RR Fireblade & Fireblade SP Satu Penciptaan Hebat

Bila kita bercakap mengenai jentera supersport, tajuk utama yang akan dibincangkan mestilah kepantasannya, posisi menunggang yang agresif dan kelincahannya meratah selekoh-selekoh tajam. Untuk model Honda CBR1000RR, kita tambah satu lagi ciri-ciri istimewa... selesa! Betul, Honda ini merupakan sebuah jentera sport yang tidak kekok untuk perjalanan jauh.

Untuk menikmati kemantapan sebenar jentera yang berada di tangan kami, CBR1000RR Fireblade dan CBR1000RR Fireblade SP dibawa ke beberapa tempat. Kami memilih untuk menggunakan laluan lebuh raya dan jalan luar bandar dari Sungai Buloh – Jalan Bukit Tagar – Felda Sungai Tengi Selatan – Kampung Soeharto – Kampung Merbau Berdarah – Kampung Sungai Limau – Sabak Bernam – Hutan Melintang – Teluk Intan.

Fireblade RR dan Fireblade SP sememangnya mempunyai beberapa perbezaan ketara antaranya ialah tangki, ekzos, sistem saspensi, sistem brek, pelana dan bahagian kosmetik. Dari segi spesifikasi enjin kedua-duanya sama. Duduk di antara jentera ini memang terasa benar saiznya yang cukup kecil. Semasa mula-mula meletakkan tapak tangan di atas bar hendalnya, aduhai.... kecil benar rasanya superbike ini terutamanya di bahagian hadapan. Macam 600cc pun ada. Tidak seperti versi-versi 1000cc sebelum ini!

Panel meter untuk kedua-dua model ini jenis TFT yang terang dan mudah dibaca. Ia memaparkan masa, tahap putaran rpm, posisi gear, mod tunggangan, suhu, jarak perjalanan, trip, quick shifter, masa lap dan penunjuk tongkat sisi. Walaupun begitu, ketiadaan penunjuk bahan api bagi sebuah jentera yang berharga RM114,999 (SP) dan RM91,999 (RR) agak mengejutkan. Ia hanya mempunyai tanda amaran apabila bahan api telah mencapai tahap minimum, lampu amaran akan menyala. Dalam keadaan itu, jentera ini masih boleh membawa kita untuk perjalanan sejauh 60 kilometer.

Walaupun belum sampai satu kilometer, kami dah rasa nikmatnya sistem Quick Shifter (QS) yang dilengkapkan padanya. Ia membolehkan kita menukar gear tanpa perlu menggunakan klac dan QS milik CBR ini merupakan antara sistem yang paling lancar dan lembut pernah kami alami. Sistem ini beroperasi dengan baik dalam kelajuan rendah dan ianya semakin lancar apabila kelajuan ditingkatkan.

Dengan kekuatan enjin 1000cc yang memiliki hantaran kuasa setinggi 141kW pada 13,000rpm dan tork 114Nm pada 11,000rpm, kedua-dua model RR dan SP memiliki pecutan yang benar-benar mengagumkan. Terdapat beberapa mod yang boleh dipilih mengikut kemahiran penunggang dan kesesuaian penggunaan jentera ini.

Mod 1 memberikan kuasa penuh dengan respon pendikit yang lancar dan brek enjin yang rendah. Dalam mod ini, kelincahan CBR tidak perlu diragui. Setiap kali dipulas, ia berlari dengan pantas dan keupayaan casis memberi tindak balas yang tepat menjadikan kita berada di laluan dengan selamat. Memang benar, CBR ini mungkin model paling 'comel' dalam kelasnya dan bagi kami, itulah yang menjadikannya mudah untuk dikendalikan. Kekuatan CBR1000RR (kedua-dua model) mampu diperah lebih daripada 280km/j tanpa rasa ragu-ragu.

Mod 2 pula boleh digunakan untuk hantaran kuasa yang lebih mudah untuk dikawal manakala Mod 3 pula dipilih untuk dapatkan brek enjin yang lebih kuat dan respon sistem TC yang ditingkatkan – sesuai untuk permukaan yang kurang sempurna. Terdapat juga USER MODE yang sesuai untuk mereka yang inginkan talaan mengikut kesesuaian tunggangan seperti berat badan, rekabentuk litar dan gaya tunggangan.

Laluan-laluan berliku di sepanjang jalan benar-benar membuktikan betapa modennya jentera yang berada di dalam genggaman kami ini. Terdapat dua perasaan berbeza sewaktu meleperkan RR dan SP. Bagi dapatkan input yang tepat, kami memilih selekoh yang sama untuk dilalui oleh kedua-dua model. Selepas 20 kali, SP ternyata lebih menyakinkan dan lebih sedap! Apa yang membezakannya?

SP didatangkan dengan fork hadapan NIX30 Smart-Electronic (Ohlins) di depan dan penyerap hentak TTX36 Smart-Electronic (Ohlins) yang akan memantau dan menala tahap redaman mengikut kesesuaian jalan, gaya miringan dan seterusnya melaras secara automatik agar kestabilan dapat dikekalkan dalam apa jua kelajuan serta sudut miringan. Model RR pula didatangkan dengan fork hadapan Showa jenis terbalik (depan) dan penyerap hentak bergas HMAS yang turut membolehkan kita membaringkan jentera ini dengan baik cuma... SP lebih pantas dan lebih selamat.

Bukanlah terlalu memuji tetapi sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Wheelie Control membuatkan kita mampu membuka pendikit di kawasan berselekoh dengan keras tanpa rasa takut. HSTC akan membuat pengiraan putaran tayar belakang agar pergerakan jentera di dalam miringan lebih tepat manakala Wheelie Control pula mencegah tayar depan daripada terangkat terlalu tinggi jika penunggang merentap pendikit dengan keras.

Model SP turut dilengkapi dengan Honda Electronic Steering Damper (HESD) yang cukup canggih. Selain mengawal pergerakan bar hendal mengikut kelajuan, sistem ini telah dipertingkatkan dengan kemampuan mengesan kelajuan jentera dan menala tahap redaman dengan tepat. Ini membolehkan Honda dapat ditunggang dengan selamat.

Ketika berada dalam kelajuan tinggi, setiap penunggang memerlukan naluri tajam dan tumpuan penuh agar dapat menjinakkan kuasa Honda ini. Dengan tindakbalas enjin terlalu pantas, jentera ini memerlukan pakej keselamatan yang cemerlang. Tayar-tayar bersaiz 120/70ZR17M/C (58W) depan dan 190/50ZR17M/C (73W) di belakang perlu dikawal dengan baik. Untuk itu, SP telah dilengkapkan dengan brek-brek Brembo beserta ABS manakala model RR pula menggunakan brek-brek Tokico beserta ABS. Semuanya bertindak dengan cemerlang!

Seperti yang dijangka, apabila terlalu asyik menikmati kuasanya, CBR ini cepat benar 'dahaga'! Lampu amaran petrol menyala pada jarak 170 kilometer dan ketika itu, kami berada agak jauh dari pusat bandar. Mujurlah kami telah diberitahu oleh pihak BSH tentang kadar baki bahan apinya, jadi... tak lah risau sangat. Campur tolak... tangki sebenar 16.2 liter milik Honda CBR ini mampu membawa kita untuk perjalanan lebih daripada 200 kilometer.

Seperti biasa, kami sering singgah di gerai-gerai yang berada di kawasan kampung. Ini memang menyeronokkan kerana dapat berbual dengan 'geng' pakcik-pakcik, makanannya sedap dan harganya juga amat berpatutan. Sebaik sahaja enjin CBR dimatikan, ia menarik perhatian ramai. Honda telah menyempurnakan bahagian hadapan jentera ini dengan lampu jenis LED yang cukup bergaya. Dari segi kosmetik dan warna luaran, SP tampak lebih menyerlah berbanding RR.

Kerangka dan lengan ayun model SP berwarna keperakan manakala RR berwarna hitam. Warna rim juga berbeza, SP emas manakala RR hitam. Model SP didatangkan dengan pelana tunggal manakala RR lengkap dengan pelana pembonceng. Antara soalan-soalan yang sering kami terima setiap kali CBR ini 'bertemu' peminatnya ialah “Berapa laju?” “Berapa cc?” “Berapa harganya?” dan “Selesa tak?” Jawapan yang paling mengejutkan mereka ialah isipadu enjin (ramai yang sangka ia berisipadu 600cc).

Antara tempat menarik yang sempat kami berehat seketika ialah D' Sawah Bendang Homestay yang terletak di Lot 22032, Jalan Parit 6 ½ Timur, Sungai Besar. Homestay ini betul-betul terletak di tepi sawah padi yang cukup mendamaikan. Padi menghijau... kicauan burung-burung dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menghilangkan kepenatan. Selepas sejam, kami menyambung perjalanan.

Walaupun kami sudah puas 'jalan' dengan SP dan RR, badan tidak terasa letih sedangkan ia model sport manakala bahagian lengan serta tapak tangan juga tidak penat. Ini sudah bagus! CBR1000RR telah mempamerkan kehandalannya melipat ke dalam selekoh dengan selamat, membrek keras tanpa takut dan menurut segala kemahuan kita tanpa membantah.

Apabila berada di dalam bandar, kami mula memahami mengapa Honda memilih untuk merekacipta sebuah mesin 1000cc seramping ini. Kami mudah mencilok sewaktu tersekat di dalam kesesakan dan disebabkan enjinnya memiliki banjaran kuasa yang luas, kami dapat kekal dalam gear keempat walaupun kelajuannya sudah diturunkan kepada 20km/j... jika mendapat ruang, pendikit dipulas dan tanpa rasa sebarang sentapan pada sistem transmisi atau enjin, CBR terus menghilangkan diri.

Dua hari kami di Teluk Intan dan kemudiannya menikmati segala kemantapan jentera ini sekali lagi dalam perjalanan pulang yang membawa kami ke Batang Kali pula. Jauh perjalanan, luas pemandangan dan CBR ini tidak mengecewakan. Secara keseluruhannya CBR1000RR dan CBR1000RR SP memberikan pengalaman menarik dan tidak keterlaluan jika kami katakan ia adalah sebuah jentera supersport yang serba boleh atau all-rounder. RR

Isu Pada

Januari 2020

Spesifikasi

Enjin: empat lejang sebaris, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu: 1,000cc
Gerek x Lejang: 76.0 x 55.1mm
Nisbah mampatan: 13.0:1
Klac: basah, plat berganda
Transmisi: 6 kelajuan

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.