Aprilia RSV4 1100 Factory
Sejak mula berada di pasaran pada tahun 2009 yang lalu, banyak pihak bersetuju mengatakan RSV4 merupakan antara jentera sportbike yang terbaik di eranya. Kekuatan enjin RSV4 terbukti kejuaraan yang ditempa oleh Max Biaggi (2020 & 2012) dan Sylvain Guintoli (2014) menerusi perlumbaan World Superbike Championship serta menjadikan Aprilia muncul Juara Pengeluar sebanyak empat kali.
Para pelumba Aprilia menerima kibaran bendera penamat kira-kira 30% begitu cemerlang dengan jumlah kemenangan sebanyak 41 kali, 89 kali kedudukan podium dan 10 kali berada di posisi pole. Ini adalah satu kebenaran yang membolehkan para pemilik Aprilia berbangga dengan adanya sebuah model yang unggul di litar, anggun di pameran dan membanggakan di jalanan biasa. Pada tahun 2015, Aprilia membuat keputusan untuk meninggalkan dunia perlumbaan jentera-jalanan dan memberi tumpuan sepenuhnya pula dalam MotoGP.
Kejayaan yang dinikmati oleh Aprilia ketika itu (2015) membolehkan mereka meraih lebih banyak permintaan yang membawa pengenalan kepada Tuono VR4 1100, sebuah jentera jalanan yang disempurnakan dengan enjin RSV4 dan serta merta ia menerima permintaan yang tinggi. Model ini juga sentiasa muncul juara dalam perlumbaan Supernaked Shootouts yang diadakan di seluruh dunia dengan menewaskan saingan lain seperti Ducati 1200S Monster dan KTM 1290 Super Duke yang terkenal dengan gelaran 'The Beast'.
Sejak mereka tidak lagi 'terikat' dengan regulasi WSBK, kita terfikir mengapa Aprilia harus berpuas hati dengan model 1,000cc sedangkan para pencabarnya mula memperkenal model-model lebih mantap seperti 1299 Panigale. Rupanya, mereka tidak pernah 'tidur' dan kini memperkenalkan model RSV4 1100 Factory.
“Kami memulakan projek model ini pada tahun 2017 dan terdapat banyak sebab mengapa ia tidak bermula lebih awal. Oleh kerana kami tidak lagi berada di WSBK, kini bolehlah lancarkan model 1100 seperti mana yang telah pun dinikmati menerusi Tuono. Sebab kedua ialah kerana saingan kami telah pun mengeluarkan pelbagai model yang berkuasa lebih tinggi. Kami juga perlu lakukan perkara yang sama agar terus kompetitif,” kata Ketua Jurutera R&D Aprilia, Piero Soatti.
Persoalannya mengapa hanya berhenti di 1100cc sahaja sedangkan boleh terus ditingkatkan kepada 1200cc?
“Ketika mula-mula mencipta enjin model ini pada tahun 2007 dulu, kami berbincang dalam hal berkaitan dengan saiz gerek dan lejang – agar melepasi peraturan perlumbaan. Ketika itu ada yang katakan ia perlu 81mm dan ia menyebabkan jurutera kami menghasilkannya. Kami kemudiannya hanya menggunakan omboh 78mm sahaja. Apabila menghasilkan 1100 Tuono, kami menggunakan kembali pengiraan pada saiz 81mm yang membawakan kepada 1,078cc.”
Pemilik Aprilia dan Piaggio khususnya masih terus memberi kepercayaan pada RSV4 terbaru ini, lebih-lebih lagi selepas ia diberi sentuhan serba baru agar lebih menepati citarasa semua. Untuk merasai kemantapan jentera ini, tiada yang lebih sempurna selain Litar Mugello yang mempunyai laluan lurus sepanjang satu kilometer. Dengan kekuatan enjinnya, jentera ini boleh diperah mencapai 300km/j tetapi jujurnya saya hanya dapat 283km/j (sempat pandang meter digitalnya) sebelum mengerahkan sistem brek Brembo Stylema untuk memperlahankannya dan terus mengguna gear 2 untuk masuk ke selekoh satu, San Donato itu.
Peningkatan 16bhp kuasa dan 7Nm tork berbanding versi RR ternyata dapat dirasakan dengan jelas dalam semua peringkat putaran rpm. Betul…. pakej enjin 1100 ini memang cukup kuat, memberikan kemampuan untuk masuk/keluar selekoh dengan pantas tidak kiralah dalam apa juga kedudukan gear dan kadar putaran enjin. Saya sendiri menikmati kekuatan RSV 1100 ini dengan menggunakan gear ketiga di setiap selekoh sehinggalah tiba di laluan lurus semula. Ketika meleperkan jentera ini di dalam selekoh Arrabbiatta Uno and Due, Aprilia ini memang cukup fleksibel dan memberikan ketagihan di setiap saat.
Saya mengekalkan posisi gear di beberapa selekoh dan kemudian bersedia untuk merasai powerwheelie ketika memulas pendikit ke tahap maksimum dalam semua gear. Ketika menunggang jentera RSV4 milik Max Biaggi buat pertama kalinya pada tahun 2009 lalu, saya hampir terbabas ketika sedang berada di kelajuan 290km/j (bacaan dari telemetri) apabila bahagian hadapan motor itu terangkat. Saya memang buat salah ketika itu termasuklah menutup pendikit dan tidak menggunakan gear belakang untuk menurunnya tayar depan kembali ke bumi.
Kali ini saya menunggang sebuah mesin jalanan yang mempunyai kuasa yang sama dengan jentera Max Biaggi itu cuma hanya 1kg lebih ringan. Saya tetap menarik kuasanya dengan rakus tetapi kali ini bersedia untuk tidak lagi membuat kesilapan. Kelajuan juga hampir sama tetapi apa pun tidak berlaku. Tayar hadapan terus kemas menyentuh permukaan jalan dan itulah kemantapan sistem pakej elektronik anti-wheelie yang serba baru ini. Ia membuatkan kita terus selamat walaupun dalam kelajuan tinggi.
Sangat laju... sangat selesa dan cukup canggih. Saya juga benar-benar sukakan kestabilan yang dimiliki oleh jentera ini dan dengan adanya gear-driven counterbalancer bahagian hendal rasa cukup seimbang serta tiada langsung gegaran sama ada yang dirasakan dari permukaan jalan mahupun dari enjin V4nya yang besar itu. Makin tinggi rpm dipulas, makin sedap benar suaranya. Itulah keistimewaan sistem ekzos Akrapovic titanium yang garang, padat dan bagaikan bergema.
Biasanya, penunggang akan menekan tempat pemijak dan menggerakkan badan ke depan sedikit untuk memberi bebanan yang tepat ketika membuat pecutan tetapi dengan RSV 1100 ini, segalanya dikawal oleh sistem elektronik – selesa sungguh. Sistem traction control dan brek enjin boleh ditala mengikut kemahiran penunggang dan situasi tunggangan.
Saya benar-benar kagum dengan kemahiran para jurutera Aprilia yang mampu menghasilkan sebuah sportbike yang mudah dikendalikan dan ultra-stable sehinggakan saya dapat meratah Mugello Chicane dan Arrabbiata Uno dengan 'santai'. Bagi saya, Aprilia ini tidaklah begitu lincah tetapi ia mempunyai pakej kuasa yang mantap untuk kita memberikan catatan masa cukup baik walaupun di litar yang sukar. Ia begitu memahami apa sahaja kehendak penunggangnya.
Sememangnya satu nikmat dalam menggunakan sistem gear tanpa perlu menarik tuas klac lebih-lebih lagi ketika kita cuba menambah gear pada putaran enjin yang tepat. Terdapat lampu penukaran gear yang menyala apabila rpm mencecah 12,500rpm. Memang seronok melunjur laju dan dengan adanya Brembo Stylema, saya dapat merebahkan jentera ini dengan kemas dalam gear kedua untuk masuk ke Scarperia Chicane dengan kemas sekali.
Aprilia RSV 1100 Factory adalah gabungan bijak di antara enjin versi EVO dengan casis mantap yang akhirnya memberikan keterujaan buat sesiapa sahaja yang menunggangnya. Bagi saya, walaupun saiznya agak kecil dengan saiz tapak roda sekitar 1,439mm, rekabentuknya yang sempurna memboleh penunggang tinggi tetap mudah mengawal. Sistem saspensi jenis Ohlins yang dipadatkan pada model ini cukup efisien. Kita sudah dapat merasakan perubahan ketara walaupun talaannya hanya sedikit.
Jika dulunya winglets gentian karbon ditawarkan sebagai aksesori pilihan, ia kini didatangkan sebagai aksesori standard dengan setiap pembelian RSV 1100 Factory. Winglets ini cukup efektif untuk memberikan tekanan-bawah seberat 8kg ketika kelajuan mencecah 300km/j atau agar jentera ini sentiasa berada tepat di laluannya. Ya! Mesin yang hebat ini adalah satu ciptaan yang bijak. Ia benar-benar sangat laju tetapi memiliki pakej elektronik dan sistem keselamatan yang membolehkannya berada di dalam kawalan sesiapa sahaja yang menunggangnya.
Apa yang mengecewakan saya ialah pada warnanya. Mengapa hanya perlu berwarna hitam sahaja sedangkan boleh dimantapkan lagi dengan beberapa gabungan warna seperti bendera Itali atau skima warna pasukan MotoGP. Apa pun boleh daripada hitam semata-mata. Untuk pasaran Malaysia, Aprilia RSV1100 Factory ini ditawarkan pada harga RM159,900. Jangan lepaskan peluang kerana unitnya memang terhad! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Milagro/Marco Zamponi, Rudy Carezzevoli dan Luca Gambuti
Spesifikasi
Enjin: | V4 Silinder, 4 Lejang, sistem penyejuk cecair. |
Gerek x Lejang: | 81 x 52.3mm |
Isipadu: | 1,078cc |
Kuasa maksimum: | 217hp pada 13,200rpm. |
Tork maksimum: | 122nm ada 11,000rpm. |
Saspensi hadapan: | Penyerap hentak Ohlins NIX 43mm. |
Saspensi belakang: | lengan ayun aluminium dengan penyerap hentak Ohlins TTX. |
Tayar hadapan: | 120/70 ZR 17 |
Tayar belakang: | 200/55 ZR 17 |
Transmisi: | 6 kelajuan |
Popular