Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 9 September 2020

BMW E-Roadster: Jentera Istimewa Yang Bakal Tiba

Dalam segmen automotif pengeluar motosikal elektrik di Eropah, BMW adalah pendahulu dalam pengenalan kepada jentera elektrik. Ini dibuktikan dengan jumlah 150,000 buah kereta E-Car yang telah dijual sejak pengenalannya pada tahun 2013 yang lalu. Tujuan asalnya pengeluaran model E tersebut ialah untuk membuat penilaian terhadap permintaan jentera seperti ini berbanding model kereta yang lain.

Setahun selepas itu hadirlah jentera dua roda pula yang diperkenalkan oleh BMW Motorrad, ia tidak lain dan tidak bukan… BMW C Evolution. BMW Motorrad amat berbangga dengan kejayaan itu kerana menjadi pengeluar motosikal utama dunia di luar Asia yang memiliki barisan jentera elektrik.

Lima tahun kemudian Harley Davidson pula melangkah masuk ke dunia yang sama menerusi model LiveWire. Ia juga mendapat respons yang cukup positif. Berbalik kepada pengeluar dari Jerman itu, model C Evolution telah berjaya dijual sebanyak 6,985 unit, jumlah yang dikira sehingga November 2019. Model ini menawarkan kuasa setinggi 11kW/15bhp dan bermula kesungguhan mereka untuk terus menawarkan jentera beroda dua menggunakan kuasa elektrik.

Model paling mantap adalah Vision DC Roadster yang diperkenalkan Jun lalu sebagai platform untuk tujuan pembelajaran khususnya dalam bidang rekabentuk. Ia adalah sebuah mesin Boxer serba baru tetapi model ini tidak pernah lagi dipamerkan ke khalayak ramai. Terbaru, BMW jelas semakin bersedia untuk kembali ‘mengganas’ dengan memperkenalkan sebuah jentera roadster E-prototaip serba baru.

Seramai 27 orang wartawan dari seluruh dunia telah dijemput ke pusat ujian rahsia iaitu Miramas Test Centre yang terletak di bahagian timur bandar Marseille. Di pusat ujian rasmi ini juga dilengkapkan dengan trek bulatan yang bentuknya seakan-akan litar Indianapolis. Lebih mengujakan, kami bukan sahaja dibawa untuk melihat produk terbaru itu malah telah diberi peluang untuk menunggangnya juga.

Melihat terus kepada model Roadster yang menggunakan kuasa E-Power ini, ia membuktikan betapa tekunnya pihak BMW dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran jentera elektrik ke pasaran dunia. BMW baru ini menggunakan kerangka jenis trellis yang sekali imbas nampak seperti model Monster. Bateri 13kW disimpan rapi dalam perumah aluminium dan bateri ini diasaskan dari kereta BMW 2 Series Hybrid yang sememangnya berteknologi tinggi dan menjadi kebanggaan syarikat dari Jerman ini. Bentuk roadster mengingatkan saya dengan siri K cuma ia kini didatangkan dengan motor 200V bersama kawalan sistem penyejuk jenis cecair (terletak di bawah kotak bateri.

Enjin model ini diilhamkan daripada jentera empat roda BMW 7 Series Hybrid yang menawarkan hantaran kuasa maksimum setinggi 100kW/134bhp pada 12,000rpm dan tork bertenaga 200Nm yang jelas dapat dinikmati dari 1rpm dan ke atas. Pergerakan BMW ini dikawal oleh pacuan akhir jenis shaft dengan sistem penyerap hentak belakang jenis paralever seperti yang digunakan pada model R1200 ICE-Roadster. Bahagian hadapan pula disempurnakan dengan fork yang sama seperti digunakan pada model S1000R. Tujuannya adalah untuk memberi pengendalian hebat jentera seberat 290kg ini.

Menurut Jurutera Pembangunan BMW Motorrad E-Mobility, Florian Traub, pihaknya mampu untuk menurunkan berat jentera ini, sekurang-kurangnya 30kg lagi agar lebih lincah. Setidak-tidaknya lebih kurang sama berat berbanding H-D LiveWire. Barulah mampu bersaing.

Saya dan rakan-rakan media lain dijemput untuk menyertai perlumbaan drag menggunakan model E-Roadster ini dengan penunggang uji BMW, Holger Englisch yang menunggang S1000R berkuasa 162bhp. Walaupun Traub menyatakan jentera elektrik ini mampu memecut sepantas 200km/j dengan mudah, kelajuan purata yang kami dapati ialah sekitar 160km/j. itulah yang dipaparkan oleh panel meter digitalnya yang berbentuk sama seperti yang digunakan pada skuter C-Evolution.

Florian Traub
Florian Traub


Namun begitu, saya amat kagum dengan kuasa pecutannya! E-Roadster mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 2.9 saat. Wow! Ini hanya ketinggalan 0.2 saat sahaja berbanding model sport, S1000RR. Boleh dikatakan saya telah menunggang uji berbagai jenis jentera elektrik termasuklah unit yang pernah menjadi juara kategori elektrik TT Zero di perlumbaan terhebat, Isle of Man’s.


Dengan ketiadaaan sistem gear, tuas klac kini diganti dengan tuas brek belakang. Memang bagus, saya dapat membrek dengan lebih pantas! Nak gerakkan E-Roadster ini? Caranya mudah sekali. Tarik brek hadapan, tekan suis penghidup, kawal pergerakan jentera menggunakan brek belakang dan pecut tanpa ada sebarang gangguan pada tayar belakang. Ia tegap membelah angin. Hamburan kuasanya boleh menyebabkan tayar depan terangkat dan JANGAN lepaskan tuas brek belakang dengan cepat atau kita akan terkejut dengan kekuatan torknya.

Dengan kawalan yang betul, saya dapat memecut lebih pantas berbanding jentera Holger Englisch. Sedang dia ‘bersusah payah’ dengan sistem transmisi dan tuas klac, saya terus ke depan tanpa bunyi sehinggalah mencapai kelajuan 162km/j dan di sinilah dia berjaya memintas. Untuk tidak terlajak ke depan, saya menutup pendikit dan ketika itu kemantapan sistem brek Brembo dapat dinikmati kerana saya menarik brek dengan keras. Sayangnya tiada bantuan sistem regenerative braking (yang boleh membantu mengecas semula bateri) pada mod yang telah ditala pada unit yang saya bawa.

Betul, masalah untuk mengecas semula bateri dan kadar jangka hayatnya adalah isu utama yang sering dipersoalkan dalam dunia motosikal elektrik. BMW turut sedar akan masalah itu dan sedang membangunkan sesuatu solusi yang mantap. Apa pun, Fabian Traub menegaskan, jentera BMW ini mampu bergerak sejauh 200 kilometer dengan tahap bateri 13kW.


Untuk mengecas semula bateri itu, BMW telah menggunakan Combined Charging System (CCS) – yang bersamaan dengan sistem pengecas pantas Level 3 di USA. Soket pengecas terletak di bahagian tangki motosikal ini manakala pek sistem pengecasan seperti yang digunakan pada BMW 2 Series Hybrid. Dengan adanya teknologi ini, ia mampu mengecas semula bateri dari 5-80% dalam masa 30 minit sudah cukup untuk menyambung perjalanan sekitar 180 kilometer lagi. Tambah lagi 6 kilometer dengan adanya sistem re-charge yang akan berfungsi di setiap minit.

Tempoh jangka hayat bateri ini ialah 1,000 kali cas atau sekitar 200,000 kilometer perjalanan. Cuma pihak BMW terpaksa memasang kipas berbateri pada jentera ini bertujuan untuk mengurang haba yang terhasil setiap kali proses mengecas sedang dijalankan. Ketika bateri sedang dicas semula, jentera ini tidak bergerak dan ketiadaan udara menyebabkan suhunya boleh meningkat kepada 40°C. Traub menegaskan masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan teknologi solid cell cuma… semua itu hanya dapat dilakukan di masa hadapan.

Kami tidak dibenarkan untuk menguji jentera E-Roadster ini di litar berselekoh walaupun di Miramas Test Centre. Oleh itu saya cuba setiap peluang dengan membuat ‘selekoh sendiri’ dan mendapati keseimbangan dan pengendaliannya agak memberangsangkan (hanya boleh dilakukan dalam kelajuan sederhana). Saya juga tidak dapat merasakan tindak balas sistem saspensi jentera ini sepenuhnya kerana permukaan litar drag ini sangat baik dan lancar. Paling pasti, prestasi BMW ini di laluan lurus tidak perlu diragui lagi. Harapnya BMW dapat memberi peluang lagi secepat mungkin agar prestasi mutlak jentera ini dapat dinilaikan.

Christof Lischka
Christof Lischka


“Kami amat berpuas hati dengan pencapaian yang dicapai dalam pembangunan E-Roadster ini seperti mana yang pernah dirasakan ketika menghasilkan skuter C-Evolution dulu. Jentera roadster elektrik adalah tanda aras baru dan bakal menawarkan dunia serba baru buat para pencinta BMW khususnya buat mereka yang cintakan alam hijau atau laluan pergunungan. Pencinta alam akan menghargai kebersihan yang dimiliki oleh jentera E seperti ini” kata Ketua Bahagian Pembangunan BMW Motorrad, Christoph Lischka.

“BMW memahami kehendak para penunggang dan pengembara motosikal yang mahukan jarak lebih daripada 250 kilometer dengan setiap kuasa penuh bateri agar perjalanan lebih selesa. Buat masa ini, infrastruktur untuk memenuhi permintaan itu masih belum bersedia. Stesen pengecas-pantas perlu dibina lebih banyak terutama sekali tempat-tempat penting seperti di laluan pergunungan Austria dan di Black Forest. Stesen pengecas sudah mula banyak didirikan di lebuhraya dan di autobahnen dan segala nya hanya perlu masa,” tambah beliau.

BMW menjelaskan mereka tidak mahu mengikut jejak Tesla. Walaupun tempat pengecas-pantas terdapat di merata-rata, kos untuk membeli sebuah kereta itu mencecah Euro100,000 sedangkan BMW dikaitkan dengan kepuasan membeli pada harga yang berpatutan bukannya perlu berhabiskan wang untuk membeli jentera itu nanti. Eropah sudah menunjukkan sokongan padu terhadap sistem pengangkutan seperti ini dan BMW akan terus mengemaskinikan E-Roadster ini.


Jadi, masih ada beberapa fasa lagi buat BMW Motorrad dalam pembangunan jentera ‘sebenar’ dunia elektrik sebelum memperkenalkannya ke pasaran dunia. BMW ternyata mempunyai kepakaran dalam bidang ini yang dibuktikan menerusi kelancaran dan kepantasan pasukan beroda empat dalam industri kereta elektrik dan hybrid. Syarikat ini akan melancarkan 25 lagi model baru sehingga 2023 – dua tahun lebih awal dari jadual yang sepatutnya. Hebat!

Divisyen motosikal akan cuba mengejar kejayaan itu tetapi ia bukanlah sesuatu yang akan berlaku sekelip mata. Apa yang saya pasti, pengenalan kepada jentera jalanan BMW berkuasa elektrik sememangnya suatu yang ditunggu-tunggu. Kita selaku pencinta motosikal mahu lebih pilihan, tidak hanya berharap pada C-Evolution sahaja. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: BMW Motorrad/Markus Jahn

Isu Pada

Februari 2020

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.