Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 21 Julai 2021

Suzuki Hayabusa 2021 - Busa Telah Kembali

Pada tahun 1999 lalu, ketika itu saya baru sahaja memulakan karier sebagai wartawan. Saya masih ada rambut, pinggang yang nipis dan belum lagi ada pinjaman kewangan. Pada masa yang sama jugalah Suzuki telah melancarkan model Hayabusa generasi pertama dan saya memang tak sabar-sabar lagi untuk mengujinya. Saya baru berusia 24 tahun ketika itu, ada kunci 'Busa' dan landasan peribadi.

Suzuki itu tidak mengecewakan, ia memang laju. Saya masih teringat ketika jarum meter melepasi kelajuan 200bsj atau 320kmj. Kuasa pecutan bagaikan nak merobek sut kulit saya dan selepas itu, berbulan-bulan saya asyik ceritakan tentang kemampuan Hayabusa memecut lebih daripada 300km/j (sebelum zaman media sosial).

Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk
Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk

Ya, tahun 1999 Hayabusa telah mentakrifkan semula segmen jentera sport, membuka helaian baru buku peraturan motosikal dan ia seumpama 'menendang pasir' ke muka-muka motosikal lain yang dikatakan 'LAJU' sebelum kehadirannya. Ia terbukti adalah satu langkah besar. Walaupun jentera sport konvensional seperti R1 terus dominan di laluan berselekoh atau di litar, Busa akan menewaskan mereka di laluan lurus. Sebenarnya, jentera istimewa Suzuki ini memiliki 30bhp lebih tinggi daripada R1.

Apa pun, masa telah berlalu. Untuk model 2021, Suzuki telah membuat perubahan, Busa baru ini memiliki hantaran kuasa dan tork yang lebih rendah, ini adalah untuk menuruti piawaian regulasi emisi Euro-5. Model GSX-R1000 lebih power daripada Busa baru (lebih ringan pula tu). Kalau nak banding, jentera naked Ducati Streetfighter pun lebih berkuasa, jika masih di tahun 1999, sukar untuk kita bayangkan.

Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk
Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk

Sebelum saya menunggang Busa baru ini, saya berfikir sejenak mengenai lagenda ini suatu ketika dulu. Adakah model ini telah diubah keterlaluan? Sekarang ini, enjin berkuasa 200bhp adalah perkara normal dan masih adakah pasaran untuk jentera besar Suzuki ini? Atau lebih baik ia berada di 'rumah persaraan' untuk berehat dan mengenang kembali zaman kegemilangannya dulu... sebelum adanya traction control dan undang-undang pelepasan emisi seperti sekarang ini.

Dengan bangganya saya ingin katakan... fikiran dan jangkaan saya itu semunya salah. Busa baru ini jauh lebih bagus, dan masih memiliki kemantapan pecutan yang mampu meramas organ dalaman kita hingga ke tulang belakang. Hebat!

Hayabusa baru masih kekal dengan enjin lagenda 1,340cc. Kuasa maksimumnya kini 140kW pada 9,700rpm, lebih rendah berbanding model generasi kedua, tahun 2008 145kW pada 9,500rpm (ketika kapasiti ditingkatkan dari 1,298cc kepada 1,340cc). Sebagai rujukan, model generasi pertama memiliki kuasa 129kW pada 9,800rpm. Kuasa tork juga lebih rendah. Daripada 155Nm pada 7200rpm kepada 150Nm pada 7000rpm.

Walaupun begitu, angka-angka ini tidak mewakili cerita penuh mengenai Busa ini. Suzuki telah menambahbaik khususnya hantaran kuasa di peringkat pertengahan, memberikan kuasa pecutan lebih pantas dan bertenaga berbanding sebelumnya. Jangan bimbang, Busa baru ini tetap mampu dipecut sehingga 300km/j dengan mudah sekali.

Walaupun saya sedikit kecewa Suzuki tidak menambah turbo atau meningkatkan kapasiti untuk melepasi 149kW (200bhp), kini saya faham kenapa ia tidak dibuat begitu. Mengapa perlu mencipta sebuah motosikal dengan kuasa terlalu tinggi sedangkan ia sudah mampu 'berlari' sangat pantas dengan mudah dan pasti 99% daripada pelanggan tidak mahu lebih daripada apa yang telah disediakan sekarang ini.

Suzuki telah memberikan kemantapan hantaran Busa ini khusus di peringkat pertengahan, pihak mereka menyatakan jentera ini 0.1 saat lebih pantas untuk mencecah kelajuan 62bsj (100kmj) dan 0.1 saat lebih cepat melepasi jarak 200m berbanding dua generasi sebelum ini.

Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk
Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk

Melihat dari mata kasar, enjin ini tidak ada perbezaan yang dramatik berbanding model sebelumnya – gerek dan lejang masih sama. Akan tetapi, bila di'masuk' lebih dalam lagi, barulah kita dapat lihat pembaharuan yang dilakukan. Omboh, rod, aci engkol, sesondol, transmisi dan yang terbaru, Assist-Slipper Clutch. Sesetengah daripada perubahan ini terpaksa dibuat bagi menepati piawaian Euro-5, tetapi Suzuki juga meningkatkan daya ketahanan (contohnya penambahbaikan pengaliran pelincir) walaupun sudah terbukti cukup baik sejak model awal dahulu.

Seperti yang saya katakan, saya tidak pasti apa yang diharapkan daripada Busa ini, lebih-lebih lagi bila jentera berkuasa 149kw (200bhp) adalah satu perkara sekarang ini. Namun begitu, seperti biasa, selepas beberapa kilometer bersama Suzuki ini, senyuman tidak pernah lekang dari wajah saya. Wow, Busa masih mantap!

Tahap pecutan dalam gear kelima dan keenam memang superb tapi perlu berani apabila kita menurunkan ke gear dua atau tiga, dari kelajuan 64kmj, ia gagah ke hadapan sehinggakan seperti organ dalam kita beralih tempat. Ya.... kuasa yang sangat hebat!

Jika berada di atas superbike biasa, kita akan terasa agak sukar untuk mengimbangi dan menggunakan seluruh kekuatan enjinnya; kita akan ubah berat badan ke depan untuk mengawal bahagian depan ketika memecut, mengharapkan sistem elektronik dan menggunakan 'sayap' aerodinamik untuk memastikan jentera ini berada di laluan dengan selamat. Tetapi Busa ini lebih 'old school'.

Agihan berat badannya 50:50. Gabungan di antara penyerap hentak belakang KYB, rim berjejari dan tapak roda agak panjang, memberikan tahap cengkaman yang mengagumkan. Kita hanya perlu 5 saat sahaja untuk mencapai 160kmj, laju mana lagi kita nak? Saya menurunkan gear beberapa kali untuk menikmati betapa lancarnya sistem quickshifter dan tahap hamburan kuasanya. Benar... 160kmj macam dah tak ada apa-apa, 210kmj hanya sekelip mata. Betullah... Hayabusa bukan jentera untuk dibawa perlahan.

Apa pun, motor baru dari Suzuki ini amat praktikal. Saya berani cakap, ia mesra penunggang. Suzuki telah memperbaiki dan mengemas kini sistem elektronik yang benar-benar membantu. Model ini didatangkan dengan tiga mod tunggangan (A-Active, B-Basic and C-Comfort) dan mod paling rendah cukup mudah dirasa kerana hantaran kuasa dan torknya terbatas. Dalam kelajuan rendah, sistem transmisi dirasakan cukup lembut dan lancar membolehkan Busa ini ditunggang secara santai.

Dengan adanya sistem elektronik yang cukup bijak, pergerakan jentera ini dapat dikawal dengan baik, walaupun ia adalah Hayabusa. Sensor six-axis IMU mengaktifkan Lean-sensitive ABS Braking, Traction Control, Launch Control dan mod tunggangan.

Terdapat enam mod untuk dipilih. Tiga daripadanya telah diset dan tiga lagi untuk talaan pemilik Busa sendiri. Pada dasarnya, tiga mod pra-set menawarkan tahap kawalan penghantaran kuasa yang berbeza iaitu dari kuasa tertinggi/penuh hinggakan yang paling minimum. Bagi tiga lagi set tetapan peribadi, ia boleh ditala mengikut tahap keupayaan, corak tunggangan dan di mana anda menunggang. Kesemua talaan ini dapat dikawal/ditala menggunakan suis di bar hendal dan paparan meter TFT yang sangat jelas.

Saya cukup suka panel meternya yang menggabungkan paparan TFT dan meter analog 'tradisi' bagaikan model terdahulu. Paparan TFT ini juga boleh ditukar mengikut ciri-ciri yang kita suka. Seperti mana-mana motosikal baru, kita akan ambil masa sedikit untuk penyesuaian diri dengan suis-suis dan cara membuat talaan.

Satu lagi ciri keselamatan yang dimiliki oleh Busa ini ialah betapa lancarnya ia beroperasi. Sistem ABS tidak terlalu keras/mengganggu dan ia benar-benar memberi bantuan terutamanya bila kita sudah kehabisan landasan pada kelajuan 180mph atau lebih daripada 290kmj.

Ada juga sebilangan penunggang yang tidak suka akan sistem keselamatan ini tetapi bagi saya, Hayabusa ini lebih mantap dengannya. Dulu, bila kita letih menunggang Busa ini dalam keadaan basah dan sejuk, ia agak menakutkan bila tumpuan kita hilang tetapi dengan adanya segala pembaharuan ini, ia jauh lebih terkawal dan selamat.

Brek adalah satu kelemahan Hayabusa, walaupun mereka menaik taraf dengan Brembo (dari Tokico) dan ABS pada tahun 2008 - ia masih tidak begitu sempurna. Kombinasi sebuah mesin yang besar, berat, panjang dan sangat bertenaga memerlukan sistem brek yang sangat baik. Suzuki telah mengeluarkan belanja yang agak besar untuk menyempurnakan Busa ini dengan brek Brembo Stylema yang bersaiz 320mm. Hasilnya cukup mengagumkan berbanding yang pernah digunakan sebelum ini. Pengenalan kepada Cornering ABS juga sangat dialu-alukan untuk tunggangan di jalan biasa.

Busa dilengkapkan dengan kerangka spar-kembar sama seperti yang terdahulu, fork hadapan dan penyerap hentak belakang juga sama. Namun begitu, Suzuki telah memberi jaminan sistem saspensi ini telah dipertingkatkan agar ia lebih stabil. 'Punyalah stabil sehingga kita boleh update post media sosial.... saya gurau ya! Biar pun kita melanggar bonggol, laluan tidak rata, jentera ini tidak terganggu, ia terus tegap seperti seorang tentera yang berdisiplin.

Pada keberatan 264kg dan tapak roda yang panjang (1,480mm), pengendalian tidaklah sangat tajam tetapi untuk jentera sebesar Busa, ia sudah cukup cemerlang. Kita dapat meratah selekoh-selekoh tajam dengan mudah dan tepat – walaupun di permukaan yang kurang sempurna.

Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk
Sumber gambar: www.suzukipress.co.uk

Seingat saya, Busa lama tidak dapat berbuat sedemikian. Dulu, ia memang mantap di laluan sempurna tetapi bila berlanggar bonggol, memang ramai yang 'komplen'. Harus juga diingat, Busa bukan direka khusus untuk tunggangan litar, kalau nak lebih seronok, dapatkanlah GSX-R1000.

Mungkin ramai yang setuju dan ramai yang kurang setuju jika saya katakan model lama tidaklah begitu selesa. Ramai yang guna Busa untuk mengembara, lengkap dengan kotak barang dan pembonceng tetapi bagi saya yang bertinggian 5'7”, bar hendal dirasakan terlalu rendah, cermin depan terlalu kecil dan tempat pemijak pula agak tinggi.

Untuk model 2021, Suzuki telah berjaya menepis kritikan itu dengan merapatkan bar hendal 12mm ke arah penunggang. Nampak perubahan itu macam kecil tetapi perbezaannya adalah besar. Tempat pemijak masih tinggi, cermin depan juga masih rendah tetapi kemasan rekaan luarannya sangat baik. Bagi penunggang tinggi, terdapat cermin depan touring sebagai pilihan, 38mm lebih tinggi.

Sistem cruise control kini adalah ciri standard dan turut dilengkapkan dengan Speed Limiter yang boleh ditala untuk sentiasa berada di dalam kelajuan yang dibenarkan. Dengan piawaian Euro-5, sudah pasti penggunaan petrol akan lebih tinggi.

Suzuki menyatakan tangki sebesar 20 liter ini memberi jarak sekitar 6.7l/100km berbanding hanya 5.65l/100km untuk model sebelum ini. Saya dapat mencatatkan penggunaan bahan api 6.1l/100km (sebelum tiba di landasan). Ingin juga saya uji bagaimana prestasi Busa ini jika dapat menunggang jauh beberapa hari daripada hanya sempat mengujinya untuk 1 hari sahaja.

Dari segi rekabentuknya. Melihat daripada respon di media sosial, terdapat pelbagai pandangan berbeza. Ada yang suka dan ada yang tidak. Bagi saya, keputusan Suzuki untuk mengekalkan rekabentuk asas Hayabusa sangat bagus. Lampu utama, lampu isyarat semuanya tampak kemas dan saya suka pada bentuk ekzosnya. Panel meter juga kemas dan secara peribadi, saya tidak mementingkan teknologi penyambungan bluetooth dan sebagainya. Suzuki Hayabusa ini sememangnya memiliki kualiti pembikinan yang tinggi, mampu menyaingi pencabarnya seperti Honda, Kawasaki dan Yamaha. Harga Busa lebih tinggi berbanding ZZR1400, ia lebih bersaing dengan Kawasaki Ninja H2 SX.

Tidak selalu saya mengaku salah tetapi segala perasaan risau dan khuatir ketika membayangkan keburukan apa yang boleh terjadi Hayabusa lagenda ini telah hilang sama sekali selepas berada di jalan dengannya. Busa baru ini sangat mantap sehinggakan saya seperti tidak mahu memulangkan kuncinya. Suzuki tidak mengejar kekuatan maksimum semata-mata tetapi telah memberi lebih nikmat dengan penambahan ciri-ciri keselamatan dan terkini. Enjin baru ini mungkin telah kehilangan kekuatan top-end tetapi ia telah diganti dengan peningkatan hantaran kuasa peringkat pertengahan yang menakjubkan.

Bagi saya ia Hayabusa yang akan terus membawa kita dari A ke B dengan pantas, mengujakan dan selesa tetapi kini semestinya lebih bergaya dan selamat. Lagenda ini berterusan. RR

Laporan: Adam Child ‘Chad’
Kredit Foto: Jason Critchell

Isu Pada

Jun 2021

Spesifikasi

Enjinempat silinder, 4-lejang, 16 injap, sistem penyejuk cecair
Isipadu1,340cc
Kuasa maksimum140kW pada 9,700rpm
Tork maksimum150Nm pada 7,000rpm
Transmisi6 kelajuan
Kerangkaspar-kembar
Saspensifork 34mm, boleh laras (depan) & penyerap hentak mono, boleh laras (belakang)
Tayar120/70 ZR17 (depan) & 190/50 ZR17 (belakang)
Isi tangki20 liter
Laju maksimum300kmj

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.