Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 5 Disember 2020

Yamaha MAXAM CP250 Mega, Mewah & Menyeronokkan

Ke mana saja ia dibawa...100% jentera ini akan menarik perhatian ramai. Jika berdepan dengan yang ramah, memang lebih rancaklah berbual mengenai jentera yang kami uji ini. Ada yang kata ia motosikal limousine... kustom dan paling ramai mengaitkan Maxam dengan sebuah jetski kerana tubuh badannya yang panjang (hampir 10 kaki).

Hakikatnya, ia adalah sebuah skuter berkuasa 250cc dari Yamaha yang bernama Maxam. Model ini dibawa terus dari Jepun ke ruang pameran Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd di Sungai Buloh dan RR amat bertuah kerana diberi kesempatan untuk menikmati pengalaman menarik bersama mesin auto yang unik ini.


Model prototaip dipamerkan pada tahun 2005 lalu dan seperti yang dijangka, rupabentuk unik sememangnya digemari oleh para peminat motosikal di negara matahari terbit itu. Model seperti ini juga popular di Hong Kong terutama sekali di kalangan para penunggang muda. Ada di antara mereka yang mengubahsuai menjadikannya lebih menarik.


Pada tahun 2016, Maxam lebih canggih dilancarkan di EICMA dengan melakukan banyak perubahan berbanding model prototaip sebelum ini. Oleh kerana ia adalah unit pameran maka tidak dapatlah kami kongsikan berapa harga jualannya tetapi mengikut anggaran ia sekitar RM40,000.

Mendekati jentera ini, kita dapati rekabentuknya memang betul-betul unik... rare! Ia memang panjang, lampu utama jenis halogen jauh di depan manakala ruang pelana dan kokpit cukup luas dan mewah.

Lantai pemijak luas – sesuai untuk penunggang berkaki panjang manakala pelana pembonceng didatangkan dengan penyandar (penyokong pinggang) dan bar pemegang krom. Panel meternya jelas dengan lampu latar belakang berwarna merah manakala kemasan krom pada bahagian bar hendal menjadikan jentera ini eksklusif.

Lampu belakangnya direka mendatar dan panjang, memang kami suka kerana ia bukan sahaja cantik tetapi amat mudah untuk dilihat. Di hujung kiri dan kanannya pula adalah lampu isyarat yang direka berbentuk menegak yang mirip dengan kereta jenis Cadillac lama yang cukup popular di Amerika.

Fuh... rendah betul pelananya. Ia hanya setinggi 655mm, agak kekok juga ketika mula-mula melabuhkan punggung ke atas skuter ini. Fork teleskopik yang dipadankan padanya memang ringan, langsung tidak terasa beban menggerakkan Maxam yang lebih daripada 200kg ini tanpa perlu menghidupkan enjin. Seperti mana-mana skuter lain di pasaran, enjin Maxam hanya dapat dihidupkan jika tuas brek ditarik dan tongkat sisi dinaikkan. Senyap dan lembut! Itulah karaktor enjin skuter sewaktu mula-mula ia dihidupkan.

Kami benar-benar ingin tahu sama ada skuter ini boleh dipecut seperti skuter maksi lain atau dia lebih cenderung kepada dunia kustom dan bergaya sahaja. Enjin 249cc yang berkuasa 20hp pada 7,500rpm dan 22Nm pada 2,200rpm cukup bertenaga melarikan skuter Yamaha ini ke depan dengan pantas. Dengan mudah kita dapat memecut dari kelajuan 0-100km/j tanpa rasa sebarang gangguan dari sistem transmisinya. Memang power betul walaupun hanya bersesaran 250cc... kalaulah Maxam ini menggunakan enjin lebih besar, pasti lebih padu.


Walaupun rendah, kestabilannya ketika berada dalam kelajuan tinggi cukup mengagumkan. Hamburan kuasanya cukup kuat membolehkan kita memintas kenderaan lain dengan mudah dan disebabkan memiliki tubuh badan yang besar, kehadiran skuter ini mudah diketahui oleh kenderaan di depan. Apa agak mengecewakan ialah saiz cermin pengadang udaranya terlalu kecil molek dan hanya memberikan keselesaan jika berada di bawah 100km/j, kalau lebih daripada itu... Memang kena kuatkan genggaman pada bar hendal atau merendah sedikit bahagian depan badan.


Maxam mampu dipecut pada kelajuan maksimum 135km/j sebelum terasa enjinnya disekat. Putaran rpm terus menurun dengan tiba-tiba setiap kali kelajuan mencecah 135km/j (macam cut off) sedangkan ia masih mampu untuk terus laju. Apapun, kelajuan paling santai dan selesa ialah dalam sekitar 90-100km/j. Sayang sekali model ini tidak didatangkan dengan sistem cruise control.

Terdapat beberapa ruang barang yang menjadikan skuter ini cukup praktikal. Ruang barang di bahagian depan cukup luas untuk menyimpan sarung tangan, telefon pintar, powerbank dan dompet. Ruang ini boleh dikunci. Bawah pelana pula ada dua ruang penyimpanan barang. Satu besar (boleh memuatkan sebuah topi keledar) dan satu lagi sederhana tetapi paling best ialah ruang barang di belakang, macam but kereta. Ia turut boleh memuatkan barangan bersaiz sederhana dan boleh juga dikunci.


Dengan saiz tubuh yang panjang Maxam agak sukar untuk mencelah ketika berada di tengah-tengah bandaraya. Kita kena 'bajet' dengan tepat sebelum membelok atau mencelah agar bahagian belakang tidak terlanggar. Bagi kami, itulah yang dirasa pada dua hari pertama menguji jentera ini tetapi selepas itu, kami mulai sudah biasa, serasi dan kembali lincah seperti menunggang jentera lain.

Mungkin kerana begitu yakin dengan kemantapan casis dan geometri rekabentuk Maxam ini, prestasinya di laluan berliku langsung tidak mengecewakan. Tubuh badannya dilayarkan ke kiri dan ke kanan dengan stabil dan kekuatan enjin skuter ini membolehkan kita mendapatkan kelajuan yang ideal untuk keluar dari selekoh. Walaupun menyerap bebanan penunggang dengan baik, sistem saspensi belakang jenis unit swing dirasakan agak keras, bila melalui jalan yang tidak rata atau berbonggol, agak melompat-lompat jugalah.

Skuter Yamaha ini disempurnakan dengan sistem brek yang cemerlang. Sepasang brek cakera di depan dan satu di belakang bertindak dengan efisien walaupun kita hanya menarik tuas breknya dengan lembut. Oleh kerana pusat gravitinya juga rendah, jentera ini dapat berhenti dengan kemas dan tegap jika kita merentap brek dengan keras. Cukup memberangsangkan. Tidak hairanlah mengapa Maxam begitu popular bagi sesetengah pencinta motosikal, ia bukan saja unik tetapi juga berprestasi tinggi.


Untuk memudahkan pemiliknya meletakkan skuter walaupun di kawasan berbukit, Yamaha telah melengkapkan Maxam dengan 'hand brake' yang terletak pada bar hendal sebelah kiri. Tarik sahaja tuas itu setiap kali ingin meletakkan Maxam di kawasan yang bersudut curam dan bolehlah kita tinggalkannya tanpa risau. Dah tarik 'hand brake' tu, motor kita memang tak bergerak ke mana.

Penggunaan bahan api untuk model ini agak tinggi. Dengan isian penuh tangki sebesar 14 liter, kami hanya dapat bergerak sejauh 140 kilometer. Kami anggarkan ia mungkin kerana corak penggunaan pendikit, lokasi dan berat seseorang penunggang. Secara keseluruhannya, Maxam CP250 memang sebuah motosikal yang lain daripada yang lain. Ia terbukti mendapat permintaan yang tinggi di sesetengah negara dan pada pandangan kami, harganya menjadi perkara utama jika ia ingin dipasarkan di Malaysia. Apa pun... kami betul-betul suka padanya! RR

Isu Pada

Februari 2020

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.