SYM Attila Elizabeth 125 Nama Secantik Rupa
Apa yang anda idamkan jika ingin berasa bebas di dalam sebuah bandar pesat? Boleh kami cadang sesuatu? Untuk sentiasa seronok dan bersemangat untuk bergerak dengan lancar, setiap warga kota memerlukan sebuah jentera yang mudah, efisien dan bergaya. Sesuai dengan kepesatan teknologi dan gaya hidup zaman ini, SYM kini menampilkan sebuah skuter terbaru, Attila Elizabeth 150 yang pastinya mampu menambah keceriaan kita semua.
Attila Elizabeth, gabungan nama dari dua benua Asia dan Eropah yang diperkenalkan untuk semua jenis penunggang tidak kira lelaki mahu pun perempuan. Bagi penunggang lelaki, jentera ini nyata menggambarkan gaya urban terkini dan matang, manakala jika yang menunggangnya seorang wanita....anda memang akan nampak cute sangat! Seronokkan kalau 24 jam kita nampak cool sahaja walau di mana sahaja kita berada.
Dari segi gaya dan rupa, Attila menawarkan bentuk retro yang menarik - lampu utamanya yang berbentuk bulat, lampu posisi dan belakang jenis LED, pelindung kaki dan pelana dwi warna yang cukup menarik. Melihat akan bentuk susunan lampu-lampu LED model ini yang kelihatan seperti seutas rantai, kami yakin Attila Elizabeth memang cukup sesuai untuk penunggang wanita. Pelana model ini empuk, selesa manakala kemasan dwi warna yang dilengkapkan pada model ini membantu menjadikannya tampak lebih anggun dan menarik.
Jangan pandang rendah pada skuter ini, jangan sesekali! Enjin empat lejang SOHC dengan sistem pancitan bahan api menawarkan kuasa tork 8.6Nm pada kedudukan 6,500rpm memang dapat dirasakan dengan jelas ketika kita memulas pendikit hampir dalam semua keadaan dan kelajuan. Selain dapat bergerak dengan pantas, kelicinan dan kelancaran sistem continuously variable transmission (CVT)nya yang tidak pernah tersangkut-sangkut pasti menggembirakan setiap pemilik.
Prestasinya di dalam bandar memang cukup hebat! Ia ringan (122kg), mudah untuk para penunggang termasuk wanita mengendalikannya di dalam kawasan bandar atau untuk parkir. Manakala bar pemegang di belakang membantu pembonceng menikmati perjalanan dengan lebih selesa dan selamat. Selain direka untuk keselamatan pembonceng, bar pemegang ini juga memudahkan Attila untuk diparkir di mana-mana sahaja.
Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada model ini ialah saiz ruang barangnya yang sebesar 20 liter. Bukan setakat boleh simpan topi keledar, nak simpan 'stok' balik kampung untuk seminggu dua pun tak ada masalah. Melihat akan ruang barang sebesar ini mengingatkan kami dengan 'trend' memasang sistem audio pada jentera skuter suatu ketika dulu. Memang kreatif anak-anak muda kita!
SYM memang bijak! Untuk mengekalkan rekabentuk klasik, panel meternya masih mengekalkan sistem analog untuk penunjuk kelajuan dan menggabungkan dengan meter digital yang memaparkan jarak perjalanan, masa dan tahap bahan api. Apa yang lebih seronok ialah sistem elektronik yang terdapat pada kunci utamanya, membolehkan kita mengesan skuter ini. Apabila kita menekan suis, jentera Attila Elizabeth ini akan mengeluarkan bunyi 'beep' manakala sistem lampu juga akan berkelip dengan serentak. Terdapat juga suis di kunci ini yang boleh digunakan untuk membuka pelana – hebat!!
Seperti kebanyakan mesin automatik lain, kita juga perlu menarik tuas brek untuk menghidupkan enjinnya. Demi menawarkan penjimatan optimum, jentera SYM ini dilengkapi dengan sistem Smart Idle – dengan adanya sistem ini, enjin akan berhenti secara automatik apabila berada dalam keadaan melahu lebih daripada tiga saat. Untuk menghidupkannya semula memang sangat mudah...pulas sahaja pendikit dan zooomm! Ia meluncur dengan pantas. Memecut dari kelajuan sifar memang lebih seronok dengan menunggang skuter. Kita tidak perlu membuang masa menukar gear, pulas sahaja!
Apabila mula meluncur dengan lebih pantas, para penunggang pastinya akan berpuas hati dengan keluasan ruang bahagian hadapan (antara lutut dengan bar hendal). Ini memudahkan penunggang mengubah posisi dengan pantas sewaktu membuat belokan di jalanan berselekoh tajam khususnya. Masalah sukar membuat pusingan 'U' memang sering dihadapi oleh penunggang-penunggang tinggi tetapi ianya tidak terjadi apabila menunggang Attila Elizabeth ini.
Dengan kuasa 8.12hp pada 7,500rpm, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 107-110km/j, SYM ingin membuktikan bahawa Attila ini bukan sahaja sebuah jentera yang tampak sahaja hebat tetapi ia turut memberikan prestasi yang cukup cemerlang. Adakah ia mesra penunggang jika ingin menunggang jauh? Ya...selain ruang barangnya yang cukup besar, papan pemijak yang luas memberi peluang kepada para penunggang untuk mengubah posisi kaki pada bila-bila masa jika merasa lenguh semasa dalam perjalanan.
Tidak kiralah anda menunggang apa sekali pun, dari jentera sebesar BMW K 1600GT atau sekecil Attila ini, kenakanlah pakaian yang sesuai dan selamat. Antara perkara wajib yang perlu ditekankan sebelum duduk di atas sebuah motosikal ialah pemakaian sarung tangan, topi keledar yang berkualiti, kasut jenis highcut dan jaket keselamatan. Malang tidak berbau beb...maka, Sediakan Payung Sebelum Hujan!
Keupayaan mesin ini ketika berada di jalan-jalan berselekoh mengejutkan kami! Ini skuter woooo, bukan superbike pun! Setiap proses masuk/keluar selekoh dapat dilakukan dengan tepat dan selamat. Ketiadaan sistem gear langsung tidak mengurangkan kelincahannya, tarik dengan keras brek-brek Attila Elizabeth ini dan miringkannya ke kiri atau ke kanan. Layan beb! Attila didatangkan dengan tayar hadapan dan belakang bersaiz 100/90-10 (tanpa tiub) yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali.
Untuk membantu menjadikan proses membrek lebih efektif, SYM telah melengkapkan model ini dengan brek hadapan jenis cakera.
Keberkesanan tindak balas saspensi hadapannya (jenis teleskopik) dan belakang (lengan ayun) memang wajar diberi pujian. Ia menyerap dengan baik sekali segala hentakan – bahagian lengan tidak terasa sakit manakala pinggang kita tetap selesa walaupun ada ketikanya kami berada di jalan-jalan yang kurang sempurna. Inilah yang semua penunggang inginkan, sebuah jentera yang mempunyai pakej lengkap. Attila Elizabeth ternyata sebuah skuter yang cantik, mudah dan tahan lasak!
Dengan isian penuh tangki bersaiz 5 liter ini mampu membawa kita bergerak sejauh 130 kilometer dan kadar jarak ini bergantung kepada saiz penunggang, jenis mukabumi dan cara tunggangan. Model ini ditawarkan dalam tiga warna menarik iaitu putih, merah dan kelabu. Sila berkunjung ke wakil-wakil pengedar SYM berhampiran dengan anda. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 1 silinder, SOHC, sistem penyejuk udara |
Isipadu | 124.6cc |
Gerek x lejang | 52.4 x 57.8mm |
Nisbah mampatan | 9.6:1 |
Kuasa maksimum | 8.12hp pada 7,500rpm |
Tork maksimum | 8.6Nm pada 6,500rpm |
Tinggi pelana | - |
Isi tangki | 5 liter |
Berat | 122kg |
Pengedar | Mforce Bike Holdings Sdn Bhd |
Popular